Wednesday, September 22, 2010

HANTU BERKELIARAN DI BULAN SYAWAL

Artikel ini telah disiarkan dalam Ruangan Rencana Akhbar Utusan Malaysia bertarikh 24/9/2010 dengan tajuk "Kebanyakan orang lebih takutkan hantu daripada balasan azab Allah".

FILEM hantu yang mengundang kepercayaan tahyul dan khurafat serta boleh membawa kepada perbuatan syirik menjadi juadah hidangan hari raya masyarakat Islam di Malaysia sejak 1 Syawal yang lalu. Berbagai gambaran hantu seperti pocong dan zombie yang ditayangkan kepada khayalak penonton semasa menyambut Aidilfitiri kelihatan tidak begitu sesuai dengan suasana hari raya yang hendaknya diisi dengan kegembiraan dan kesyukuran sambil memuji kebesaran Ilahi.

Akibatnya hari ini ramai orang lebih takutkan hantu daripada balasan azab Allah SWT ke atas segala dosa dan nista yang sengaja dilakukan. Malah perbuatan dosa yang mengundang malapetaka sosial kepada negara kini dilakukan secara terang-terangan tanpa segan-silu lagi. Di sana sini maksiat berleluasa, terbaharu jejantas pejalan kaki di Mersing Johor dijadikan tempat melakukan perbuatan zina terkutuk berikutan penemuan pakaian dalam wanita yang tidak sempat dipakai semula kerana tergesa-gesa melarikan diri.

Fenomena seperti ini juga boleh dilihat dengan mudah terutama di musim cuti dan hujung minggu di mana pasangan muda-mudi mengambil kesempatan cuti untuk memadu asmara di kawasan rekreasi seperti air terjun, hutan lipur dan kawasan pantai peranginan yang menjadi tumpuan ramai. Tentu sekali ia perlakuan menjijikkan apatah lagi jika dilakukan oleh umat Islam yang baharu sahaja selesai menerima pendidikan tuhan di bulan Ramadan. Malah ia kemungkinan dicontohi pula oleh kanak-kanak yang sentiasa ingin mencuba sesuatu yang baru apabila terpandang gejala tidak bermaruah tersebut. Ini ditambah lagi dengan akses mudah kepada bahan pornografi yang banyak terdapat di ruang siber tanpa sebarang sekatan.

Sehubungan dengan itu penulis menggesa semua pihak mengambil peduli akan kemungkaran yang berlaku disekeliling mereka. Ini kerana amanah menyeru kepada kebaikan dan mencegah perbuatan mungkar bukan hanya terpikul di bahu pihak berkuasa seperti Polis dan penguatkuasa majlis agama Islam semata-mata. Begitu pula ia bukan hanya tanggungjawab imam, ahli jawatankuasa masjid dan golongan agamawan. Ia merupakan tugas semua yang jika tidak ditunaikan akan dipersoalkan di hari kemudian.

Diriwayatkan bahawa Nabi Muhammad SAW pernah bersabda dengan maksudnya; “Barangsiapa yang melihat kemungkaran maka hendaklah dicegah dengan tangannya, jika tidak mampu maka hendaklah dengan lidahnya dan jika tidak mampu maka hendaklah dengan hati yang demikian itu adalah selemah-lemah iman”.

Malah jika ada gesaan daripada beberapa pemimpin masyarakat India supaya gansterisme di kalangan mereka dibenteras habis-habisan mengapa tidak ia diperluaskan juga kepada membenteras habis-habisan gejala tidak bermoral seperti berkhalwat, zina dan bersekedudukan di kalangan umat Islam yang kronik serta mengundang pula kepada tindakan keji buang bayi yang tidak berperikemanusiaan.

Selain hantu lakonan yang banyak disiarkan oleh stesyen televisyen masa kini terdapat pula sebilangan manusia yang benar-benar dirasuk oleh hantu syaitan hingga tergamak melakukan pembunuhan kejam terhadap rakan seperniagaan, jiran tetangga, ibu dan ayah serta kerabat terdekat. Perbuatan bunuh-membunuh seperti yang banyak ditayangkan di filem-filem seolah-olah menjadi mainan oleh penjenayah masa kini lebih-lebih lagi jika terdesak untuk berbuat demikian.

Lebih merungsingkan lagi apabila jenayah pembunuhan terancang seperti yang berlaku kepada Datuk Sosilawati dan ramai yang lain dilakukan oleh golongan professional seperti peguam yang sepatutnya berkhidmat untuk masyarakat dan negara demi menegakkan keadilan sejagat.

Untuk itu juga pengamal undang-undang Muslim terutamanya dinasihat supaya tidak hanya mementingkan keuntungan berlipat kali ganda dengan menipu dan mengambil hak orang lain. Kalaupun mungkin dengan perlakuan salah itu mereka terlepas daripada hukuman ketika di dunia, hukuman di hari akhirat yang lebih dahsyat menanti dengan pasti. Dan apabila tiba saat itu tiada sesiapa yang kebal daripada hukuman sehingga besar atau kecil sesuatu kesalahan tetap akan dipertanggungjawabkan.

Berdasarkan hukum karma juga jika sesuatu perkara terdahulu dilakukan bukan disebabkan nafsu, kerakusan dan sifat-sifat yang buruk maka pelakunya akan mendapat kenikmatan dan kebahagiaan. Manakala jika disebabkan nafsu dan segala sifat yang buruk, maka pembuatnya akan menerima padah. Ini juga bertepatan dengan kepercayaan dalam agama Hindu bahawa setiap manusia harus bertanggungjawab atas segala yang dilakukan dan akan menerima balasan yang setimpal.

Akhirnya masyarakat Islam perlu menyedari bahawa hantu yang sebenar iaitu Iblis serta kuncu-kuncunya kini berkeliaran di merata tempat. Sejak 1 Syawal yang lalu Iblis telah dibebaskan daripada dibelenggu dan kini berusaha sedaya-upaya untuk merosakkan akidah dan pemikiran manusia ke arah kesesatan. Untuk itu hanya golongan Mukmin yang beroleh ganjaran takwa dan teguh keimanannya mampu menangkis serangan bertubi-tubi musuh Iblis yang dilaknat oleh Allah SWT. Sedarlah juga betapa manusia yang bertopengkan hantu syaitan lebih berbahaya berbanding Iblis dan sekutunya yang hanya berupaya memujuk dan menjuruskan manusia kepada melakukan sesuatu kejahatan kemudian berlepas tangan daripada usaha buruk mereka itu.

In berdasarkan firman Allah SWT yang bermaksud “(Sikap kaum munafik dengan kaum Yahudi) itu samalah seperti (sikap) Syaitan ketika dia berkata kepada manusia: Berlaku kufurlah engkau! Setelah orang itu berlaku kufur (dan tetap terkena azab), berkatalah Syaitan kepadanya: Sesungguhnya aku adalah berlepas diri daripadamu, kerana sebenarnya aku takut kepada Allah, Tuhan Yang Menguasai seluruh alam!”. (Surah al-Hasyr:16)

No comments:

Post a Comment