Sunday, July 14, 2013

Solat Tarawih dan penghinaan terhadap Islam

Sebahagian artikel ini telah diterbitkan dalam Ruangan Rencana Akhbar Utusan Malaysia bertarikh 22 Julai 2013.

DALAM kesibukan melaksanakan tugasan harian, kaum Muslimin dinasihati mempertingkatkan amal ibadah termasuk menunaikan solat tarawih di malam-malam Ramadan. Diriwayatkan Rasulullah SAW pernah menggalakkan sahabatnya melaksanakan qiam Ramadan tanpa menyuruh mereka dengan bersungguh sungguh (yakni tidak menunjukkan suatu perkara yang wajib), seraya bersabda; “Barang siapa melakukan qiam Ramadan dengan penuh keimanan dan mengharapkan reda dan ganjaran Allah akan diampunkan dosa-dosanya yang telah lalu”. (Riwayat Bukhari, Muslim, Abu Dawud, al-Tirmizi dan al-Nasa’i)

Menurut buku Panduan Puasa Ramadan terbitan JAKIM, pendapat yang diamalkan dalam Mazhab Syafie’ ialah 20 rakaat dengan melakukan salam selepas setiap 2 rakaat. Imam Nawawi juga pernah mengingatkan imam dan orang ramai supaya menyempurnakan kesemua tuntutan solat kerana ada segelintir yang mengabaikan zikir dan bacaan solat kemungkinan dengan alasan untuk bersegera menghabiskannya. Menurutnya lagi sebaiknya dikhatamkan keseluruhan al-Quran dengan membaca satu juzuk untuk satu malam.

Selain itu umat Islam diharap tidak hanya semarak berbuat demikian di awal Ramadan, sehingga pengurusan masjid terpaksa bertungkus lumus untuk memastikan semua jemaah selesa lalu segala tikar, karpet dan permaidani dikeluarkan dari pada stor simpanan. Namun setelah berlalu beberapa hari Ramadan rumah Allah mula sepi dan jemaah yang hadir turut berkurangan.

Mungkin ramai yang mula sibuk berbuka puasa di luar sambil mengambil kesempatan berbelanja dan membuat persiapan awal bertemu Syawal. Atau mungkin juga rahmat Allah SWT lebih banyak diberikan di awal Ramadan berbanding ganjaran pengampunan dosa dan pembebasan api neraka yang dikhususkan untuk Mukmin terpilih sahaja.

Dalam pada itu amalan membawa juadah ringan seperti kuih muih untuk moreh seusai bertarawih elok diteruskan terutama oleh generasi masa kini. Amalan baik lagi terpuji seperti ini mampu mengimarahkan rumah Allah SWT sekali gus memupuk hubungan baik antara sesama jiran tetangga dan masyarakat setempat. Untuk tidak membebankan, ia boleh dilakukan secara bergilir-gilir mengikut blok, lorong atau tingkat supaya semua merasai nikmat kemeriahan Ramadan.

Di sisi lain, bagi sebilangan masyarakat Islam, ketibaan Ramadan kali ini turut diwarnai dengan episod perang saudara, pergaduhan dan pertumpahan darah. Malah di Malaysia agama Islam yang suci juga turut menjadi mangsa penghinaan pihak tertentu yang kurang memahami nilai toleransi dan kebebasan beragama.
Hal ini dapat diperhatikan kepada saudara se Islam di Syria yang kini sudah lebih dua tahun dibelenggu dengan konflik untuk menjatuhkan pemerintahan Presiden Basyar al-Asad yang belum bersedia untuk melepaskan jawatannya. Kesannya umat Islam melarat dan merempat di Bulan Ramadan, dibunuh tanpa dosa, diperkosa dan diseksa tanpa belas kasihan. Situasi buruk ini seakan melarat pula ke Negara Mesir, apabila penyokong Presiden Mohamed Morsi dan Ikhwanul Muslimin Mesir terus berdemonstrasi walaupun dalam Bulan Ramadan bagi membantah penggulingannya oleh pihak tentera. Akibatnya ada yang ditembak ketika sedang bersolat dan ditembak dengan peluru hidup bagi menyuraikan demonstrasi jalanan. Ramai pula yang berbuka puasa di Dataran Tahrir sambil berharap pemerintahan Morsi dikembalikan. Terdapat juga umat Islam Rohingya yang terpaksa melalui Ramadan sebagai pelarian seperti di Thailand tanpa nikmat kebebasan yang sebenar.

Di negara kita pula isu penggunaan kalimah Allah yang suci masih lagi hangat dibicarakan. Terbaharu menurut laporan akhbar, Duta Vatican City, bertindak mencampuri urusan agama dan dalaman negara ini apabila menyokong penggunaan kalimah Allah oleh komuniti Kristian setempat. Malah terdapat pula individu yang mempersendakan umat Islam dan mencemari kesucian Ramadan dengan mempromosikan sup tulang babi sebagai menu berbuka puasa di laman media sosial dan turut mendapat kecaman pelbagai lapisan masyarakat termasuk komuniti bukan Islam yang tidak senang dengan perlakuan tersebut.

Justeru itu, bilangan rakaat tarawih bukanlah suatu isu yang perlu diperdebatkan. Apa yang lebih penting ialah bagaimana untuk memenuhi Ramadan dengan amal ibadah dan aktiviti berfaedah. Masyarakat Islam di negara ini juga sepatutnya bersyukur dengan nikmat keamanan yang ada kerana dengan nikmat tersebut kita dapat menjalani ibadah puasa dalam suasana aman dan harmoni berbanding di tempat yang lain. Nikmat yang begitu bernilai ini eloklah dipelihara agar generasi masa depan turut merasai nikmat Ramadan yang sama. Malahan kesempatan bebas beribadah termasuk bertarawih eloklah juga ditambah dengan memperbanyak doa agar masalah dalaman dan luaran yang membelenggu umat Islam masa kini diselesaikan oleh Nya lebih-lebih lagi dengan berkat Ramadan sebagai bulan dimakbulkan doa.


No comments:

Post a Comment