Artikel ini telah diterbitkan oleh Akhbar Utusan Malaysia bertarikh 11 Julai 2013.
KEISTIMEWAAN Bulan Ramadan berbanding bulan yang lain tidak disangkal lagi. Saban tahun golongan Mukmin yang sedar akan kelebihannya sentiasa menanti dan mendambakan kedatangan Ramadan. Justeru peluang ini hendaklah dimanfaatkan seraya diisi dengan nilai kehambaan dan ketaatan yang sebanyak-banyak.
Di bulan ini segala amalan wajib dilipatgandakan pahalanya manakala ibadah sunat akan dinilai seperti melakukan ibadah yang difardukan. Baginda Nabi Muhammad SAW bersabda maksudnya;
“Barangsiapa mendekekatkan dirinya kepada Allah degan suatu kebajikan di dalamnya (Bulan Ramadan), samalah dia seperti orang yang menunaikan satu fardu di bulan yang lain. Dan barang siapa yang menunaikan satu fardu di Bulan Ramadan, samalah seperti orang yang mengerjakan tujuh puluh fardu di bulan yang lain”. (Riwayat Ibnu Khuzaimah)
Begitu pula ganjaran besar disediakan buat golongan yang ikhlas bersedekah dan menyediakan jamuan berbuka. Justeru elok juga sesekali beramal jariah dengan menyediakan juadah berbuka puasa untuk masyarakat setempat, sahabat handai malah anak yatim dan golongan memerlukan. Ataupun setidak-tidaknya hantarkanlah sedikit juadah yang dimasak ke rumah jiran demi meraih ganjaran yang disediakan. Baginda Nabi SAW pernah ditanya tentang sedekah yang paling afdal, lalu dijawab “Sedekah di Bulan Ramadan” (Riwayat al-Tirmiziy)
Keistimewaan Ramadan juga dibahagi-bahagikan kepada nikmat beroleh rahmat Allah SWT, ganjaran pengampunan dosa dan pembebasan daripada api neraka. Yang mana kesemua ini merupakan suatu lagi motivasi untuk Muslimin beramal ibadah sepanjang Ramadan.
Para Muslimin turut diseru untuk bertadarus al-Quran di masjid dan surau berhampiran. Amalan ini mampu memberi ketenangan dan menarik rahmat Allah SWT. Ini dinyatakan dalam riwayat yang bermaksud; “Tidaklah berkumpul sesuatu kaum di rumah Allah, mereka membaca al-Quran dan saling mempelajarinya kecuali akan turun kepada mereka ketenangan, diliputi rahmat Allah SWT, malaikat akan menyertai mereka dan Allah SWT membanggakan mereka di kalangan malaikat yang ada di sisinya”. (Riwayat Abu Daud)
Ramadan juga merupakan bulan pengampunan dosa. memohon keampunan daripada Nya disamping bertaubat dan tidak lagi mengulangi segala kesilapan lalu. Diriwayatkan Baginda Nabi SAW bersabda maksudnya; “Sembahyang lima waktu, sembahyang Jumaat hingga Jumaat yang berikutnya, Bulan Ramadan hingga Ramadan yang lain menjadi penebus dosa yang terjadi antara keduanya selagi seseorang itu menjauhi dosa-dosa besar”. (Riwayat Muslim).
Kelebihan yang tiada tolok bandingnya terdapat pula pada malam kemuliaan lailatulqadar yang diharapkan oleh Imam al-Syafi’y berlaku pada malam 21 atau 23 Ramadan. Oleh itu hendaklah setiap Muslimin berjihad bersungguh-sungguh mencari lailatulqadar sejak hari pertama Ramadan dengan bertarawih di setiap malam. Malah pahala beribadah yang lebih baik dari pada 1000 bulan itu bakal diraih oleh insan terpilih yang menumpukan sepenuh usaha dan tenaga untuk menemuinya.
Kemuncak daripada itu keistimewaan Ramadan terletak pada ibadah puasa itu sendiri. Ini kerana manusia sebagai hamba Allah sanggup menahan diri daripada makan dan minum serta tidak melakukan perkara yang merosakkan puasa semata-mata kerana mentaati perintah Nya Nabi SAW bersabda maksudnya; “Demi Allah yang jiwa ku berada dalam genggamannya, bahawa bau mulut seorang yang berpuasa lebih harum di sisi Allah SWT daripada bau minyak kasturi”. Allah SWT berfirman maksudnya “Sesungguhnya dia telah meninggalkan syahwatnya, meninggalkan makan dan minum kerana Aku. Puasa itu dilakukan kerana Aku, dan Akulah sendiri yang akan memberi balasannya”. (Riwayat Ahmad)
Tentu sahaja jika umat Islam benar-benar tahu segala kelebihan dan kemuliaan yang disediakan ketika Ramadan nescaya mereka pasti menginginkan agar Ramadan berlangsung sepanjang tahun. Oleh kerana itu jugalah tiada nikmat dan ganjaran yang paling berharga buat melainkan beroleh sifat takwa dan terpilih masuk Syurga Allah SWT melalui pintu al-Rayyan yang dikhususkan bagi orang yang berpuasa. Nabi Muhammad SAW bersabda maksudnya;
“Sesungguhnya pada Syurga itu ada sebuah pintu yang disebut al-Rayyan. Pada hari kiamat nanti yang akan masuk melaluinya ialah orang yang benar-benar berpuasa. Tidak ada golongan lain yang akan masuk melaluinya melainkan mereka. Akan dikatakan kepada mereka; Di manakah mereka yang benar-benar berpuasa (di dunia dahulu) ?. Maka mereka pun bangun. (Sekali lagi disebutkan) Tidak ada golongan lain yang akan masuk melaluinya melainkan mereka. Maka sesudah mereka memasukinya (pintu Syurga al-Rayyan), ia akan ditutup, maka seorang pun tidak dapat memasukinya setelah itu”. (Riwayat Bukhariy dan Muslim)
Andaikan Ramadan kali ini sebagai Ramadan terakhir buat kita semua lalu segala usaha, tenaga, masa dan wang ringgit dipergunakan semaksimumnya untuk berbakti dan meningkatkan kualiti puasa tiada lain, demi mengharap maghfirat Nya.
No comments:
Post a Comment