Monday, July 15, 2013

RUTIN IBADAH SEPANJANG RAMADAN

Sebahagian artikel ini telah disiarkan dalam Ruangan Rencana Akhbar Utusan Malaysia bertarikh 16 Jun 2013.

RAMADAN ialah waktu paling sesuai untuk beramal. Masyarakat Islam diseru untuk melipatgandakan amal demi kebaikan diri sendiri. Apatah lagi sewaktu Iblis dibelenggu oleh Allah SWT dan waktu makan yang berkurangan daripada kebiasaan.
Untuk tujuan itu juga setiap individu Muslim perlu memenuhkan jadual harian Ramadan dengan pelbagai aktiviti ibadah sambil mengharap keredaan Nya. Ini boleh dimulakan dengan memasang niat untuk berpuasa pada setiap malam dan hendaklah dilafazkan sekurang-kurangnya sebelum terbit waktu fajar. Ini kerana puasa ketika Ramadan dikira sebagai ibadah yang berasingan dan berulang-ulang. Nabi SAW bersabda maksudnya, “Barang siapa yang tidak memasang niat pada waktu malam sebelum terbit fajar maka tiadalah puasa baginya”. (Riwayat al-DaruQutniy)

Ini kemudiannya diikuti dengan bersahur yang sunat muakkad untuk dilakukan. Amalan bersahur mampu memberi kekuatan dan tenaga kepada orang yang berpuasa hinggalah waktu berbuka. Oleh itu ia sunat dilambatkan berdasarkan riwayat yang bermaksud, “Dan bantulah puasa pada waktu siang hari dengan makanan ketika bersahur” (Riwayat al-Hakim dalam al-Mustadrak). “Senantiasa umat ku dalam kebaikan selagi mereka mempercepatkan berbuka dan melambatkan bersahur” (Riwayat Ahmad dalam Musnadnya).

Dengan melambatkan bersahur juga individu Muslim boleh mengambil kesempatan untuk dapat solat subuh berjemaah di surau dan masjid berdekatan yang kemungkinan jarang dapat dilakukan pada hari-hari biasa. Justeru waktu terluang sebelum azan berkumandang dapat digunakan untuk bersuci, berwuduk dan hadir awal beriktikaf di Rumah Allah. Yang mana beriktikaf di masjid turut merupakan perkara yang dituntut untuk diamalkan. Amalan tidur semula setelah bersahur adalah sesuatu yang tidak elok malah kemungkinan menyebabkan seseorang luput waktu solat subuh dan terlewat sampai ke tempat kerja.

Apabila mula bekerja berusahalah untuk bekerja dengan seikhlas hati, bersungguh-sungguh dan tidak curi tulang, kerana pekerjaan seharian apatah lagi mencari nafkah yang halal adalah sesuatu yang dituntut dalam agama dan boleh dinilai sebagai ibadah. Usah jadikan puasa sebagai alasan untuk tidak menunaikan tanggungjawab yang diamanahkan, kerana puasa sepatutnya menjadikan individu Muslim lebih produktif dan berdaya maju. Ketika berehat aktiviti mengumpat, memburukkan orang lain atau bersembang perkara yang laghah dan tidak bermanfaat hendaklah dijauhi kerana ia bakal menjejaskan pahala puasa sejak awal pagi lagi. Begitulah seterusnya hingga masuk waktu Zuhur dan waktu Asar, jika berkesempatan untuk solat berjemaah eloklah diusahakan jika tidak sembahyanglah secara bersendirian.

Setelah tamat bekerja pasti ramai yang berkunjung ke Bazar Ramadan bagi membeli juadah berbuka. Mereka dinasihatkan agar tidak berlebih-lebihan dalam berbelanja kerana dikhuatiri lebih banyak yang dibuang berbanding yang dimakan. almaklum ketika perut lapar segala yang dilihat berselera untuk dibeli. Tetapi apabila masuk waktu berbuka sedikit sahaja yang mampu ditelan sedangkan yang lain menjadi habuan tong sampah. Selain itu setiap Muslim harus menjaga pandangan dan segala pancaindera daripada berbuat dosa yang bakal mengurangkan pahala puasa.

Apabila masuk waktu berbuka hendaklah segera berbuka dengan membaca doa, dan sunat berbuka dengan tamar ataupun sesuatu yang manis-manis ataupun dengan segelas air. Baginda Nabi SAW bersabda maksudnya, “Bahawa Nabi SAW berbuka dengan beberapa biji kurma basah sebelum solat, jika tiada dengan beberapa biji kurma kering jika tiada juga Baginda meminum air..” (Riwayat Tirmiziy dan Abu Daud)

Setelah selesai berbuka, bersegeralah untuk menunaikan solat fardu Maghrib. Dewasa ini ramai yang seronok berbuka di luar, namun diingatkan agar tidak lengah untuk bersolat kerana apalah ertinya berpuasa jika ibadah solat wajib terabai. Usah terlalu banyak makan kerana perbuatan ini akan menyebabkan kita malas dan terlepas kesempatan untuk solat tarawih dan ibadat yang lain.

Seusai solat Maghrib eloklah seisi keluarga bersiap sedia untuk mengikuti jadual Ramadan yang seterusnya iaitu Solat Isyak dan kemudian diikuti dengan Solat Tarawih dan Witir secara berjemaah. Bagi yang tiada aktiviti lain seusai bertarawih bolehlah mengambil kesempatan untuk bertadarus al-Quran. Malah inilah antara amalan mudah yang dilipatgandakan pahalanya di sisi Allah SWT.

Bagi yang ingin melipatgandakan lagi amal kebajikan bangunlah pula untuk bertahajud disepertiga malam, sambil berdoa dan berharap agar diampunkan segala dosa dan diperkenankan segala hajat.
Begitulah uniknya Ramadan yang tanpa disedari mempunyai jadual tersendiri yang telah diatur oleh Allah SWT. Persoalannya adakah setiap daripada kita mampu dan ingin berusaha untuk mengikuti jadual tersebut ataupun termasuk dalam golongan yang suka melanggar segala peraturan yang telah ditentukan oleh Nya. Pilihan terletak di tangan kita semua.

No comments:

Post a Comment