Sunday, July 21, 2013

Patuhi fatwa pengharaman shisa


SUSULAN pengharaman shisa oleh Muzakarah Khas Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia yang bersidang pada 17 Julai 2013 yang lalu masyarakat Islam yang terlibat diseru berhenti daripada terus membinasakan diri sendiri dan berdegil untuk tidak mengendahkan fatwa yang telah dikeluarkan. Usahlah terpedaya dengan keseronokan yang sementara sedangkan individu yang terlibat akan menanggung sengsara dan menderita dengan pelbagai penyakit kronik di kemudian hari.

Keputusan ini dibuat berdasarkan penjelasan pakar perubatan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia dan bersandarkan bukti-bukti perubatan dan saintifik yang dikemukakan dari dalam dan luar negara mengenai kesan dan kemudaratan shisha terhadap kesihatan, pembangunan ekonomi serta generasi akan datang. Malah larangan ini turut diperluaskan kepada penyedia perkhidmatan shisha yang turut menyumbang kepada berkembangnya amalan yang tidak bermanfaat ini.
Pengharaman ini dilihat amat bertepatan dengan prinsip maqasid syariah dalam memelihara kesucian agama, jiwa, akal, keturunan dan harta daripada sebarang bentuk pembaziran wang ringgit, masa dan usia selain jelas memudaratkan kesihatan serta dikategorikan sebagai satu perkara buruk atau keji.

Justeru masyarakat Islam yang terlibat diseru memuhasabah diri sambil merenung maksud firman Allah SWT yang berbunyi, “Dan belanjakanlah (apa yang ada pada kamu) kerana (menegakkan) agama Allah dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan (dengan bersikap bakhil) dan baikilah (dengan sebaik-baiknya segala usaha dan) perbuatan kamu kerana sesungguhnya Allah mengasihi orang yang berusaha memperbaiki amalannya”. (Surah al-Baqarah: 195).

Umat Islam diseru membelanjakan harta kurniaan Ilahi kepada jalan-jalan kebajikan yang dituntut oleh syarak bukan membazirkannya pada perkara yang tidak bermanfaat. Menurut sumber daripada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) Shisa mengandungi lebih daripada 100 bahan kimia berbahaya antaranya tar, nikotin dan karbon monoksida dalam kepekatan yang tinggi. Shisa juga dikatakan lebih berbahaya berbanding rokok kerana seseorang akan menyedut sebanyak 50 – 200 kali sedutan yang bersamaan dengan 0.15 – 1.0 liter asap selama 20 – 80 minit. Malah golongan ini turut terdedah menghisap nitrogen oksida dan plumbum daripada sisa asap kenderaan yang lalu lalang serta habuk berbahaya apatah lagi jika berada di premis terbuka dan berhampiran jalan raya.

Selain itu dengan tempoh menghisap shisa yang agak lama, pelakunya turut terdedah membazirkan masa kepada perkara yang tidak berfaedah yang dilarang di sisi agama. Malah jika difikirkan, masa yang ada untuk berbakti kepada agama, bangsa dan negara terlalu sedikit jika dibandingkan dengan umur dunia yang semakin tua dan hampir ke penghujungnya. Di sana-sana berlaku gempa-bumi, ribut taufan dan banjir besar yang mengorbankan banyak nyawa sebagai petanda dunia sudah terlalu tua dan hampir ke saat kemusnahannya.

Aktiviti penguatkuasaan daripada pihak berwajib juga diperlukan untuk membendung ia daripada terus merebak dalam masyarakat. Menghisap shisa seakan trend baharu yang begitu popular dan semakin diminati. Tanpa mengira jantina dan bangsa golongan ini seronok melepak berjam-jam lamanya sambil bertukar-tukar peralatan shisa sesama mereka yang dikhuatiri menyebabkan mereka terdedah pula kepada penyakit berjangkit seperti HIV yang tersebar melalui air liur penghidapnya. Kelihatan ia sangat menjijikkan namun bagi yang seronok dan ketagih menghisap pelbagai perisa shisa ia tidak diendahkan, dalam masa yang sama peniaga terlibat terus mengaut keuntungan daripada kealpaan orang lain.

Pihak kerajaan juga dicadangkan menyekat kemasukan peralatan shisa ke negara ini sambil mengkategorikannya sebagai barangan kawalan selari dengan fatwa yang telah dikeluarkan untuk membendung aktiviti negatif ini daripada terus berkembang. Namun pastinya ia bukan sesuatu yang mudah kerana mungkin ada yang berpendapat aktiviti pelancongan akan turut terjejas. Realitinya tanpa shisa pelancong asing tetap teruja bertandang ke sini bagi merasai sendiri pengalaman berada di sebuah negara Islam yang aman damai dengan penduduk berbilang bangsa sambil mempelajari budaya dan masyarakat setempat. Mereka juga terpaksa akur dengan jadual perjalanan yang ketat kerana terlalu banyak tempat menarik untuk dikunjungi sambil menikmati keindahan alam semula jadi yang pasti menggamit kenangan. Malahan implikasi daripada larangan itu, fatwa yang sama kemungkinan turut diamalkan di negara mereka kerana menyedari keburukannya kepada ummah sejagat walaupun ia suatu budaya yang sukar dipisahkan.

Di sudut yang lain, golongan perokok juga dinasihatkan mengambil kesempatan berpuasa di siang hari Ramadan untuk sedikit demi sedikit berusaha berhenti merokok buat selama-lamanya. Berbanding shisa fatwa pengharaman rokok sudah lama dikeluarkan di Malaysia namun ia kurang memberi kesan kepada golongan terlibat. Malah pihak berwajib juga dicadangkan memperluaskan fatwa tersebut kepada rokok elektrik yang mudah diperoleh di mana-mana. Kajian mengenai mudaratnya kepada kesihatan juga hendaklah dilakukan sebagai usaha berterusan memastikan rakyat Malaysia bebas daripada asap rokok.

Ia kelihatan semarak dilakukan di mana-mana, sehingga terdapat golongan yang tanpa segan silu merokok dalam bulan puasa yang mulia. Perokok wanita juga semakin ramai ibarat cendawan yang tumbuh selepas hujan walaupun sedar implikasinya yang buruk kepada diri sendiri, keluarga dan masyarakat sekeliling. Larangan merokok di tempat awam turut tidak diendahkan seolah-olah mereka khayal dek ketagihan merokok yang membelenggu diri. Lebih buruk lagi apabila ada umat Islam yang berbuka puasa dengan menghisap rokok berbanding memakan kurma yang disunahkan.

Sehubungan dengan itu, usah menegakkan benang yang basah kerana diri sendiri yang akan merana. Isteri dan anak-anak akan turut merasai keperitannya apabila suami sebagai ketua keluarga menghidap pelbagai penyakit kronik seperti bronkitis, kanser kerongkong dan penyakit jantung akibat tabiat buruk merokok yang berpanjangan. Kemungkinan juga keluarga akan hilang tempat bergantung ketika anak-anak masih di bangku sekolah jika tindakan berhenti merokok tidak diambil segera. Usah pula marahkan anak-anak jika turut merokok di usia muda kerana bak kata pepatah bapa borek anak rintik.

Bersempena bulan yang penuh keberkatan ini masyarakat Islam khususnya diseru berusaha bersungguh-sungguh untuk berhenti daripada segala perbuatan buruk yang membelenggu diri. Sesuatu perkara tidak diharamkan di sisi agama melainkan ia memberi implikasi yang negatif dan selayaknya dijauhi.

1 comment:

  1. Penguatkuasaan tu penting.. kalau keluar fatwa tanpa penguatkuasaan, tak guna juga. Kat tempat saya di Bdr Baru Bangi, restoren sekitar Galaxy Futsal, boleh dikatakan semuanya sediakan sisha ni, macam tak ada apa2. Yg dok layan tu semuanya budak2 muda, perempuan pun selamba je. Budak2 UKM dan sekitarnya pun sama2 dok melayan asap jin. Seronok sungguh sampai 3,4 pagi pun masih leka. So, pls kuatkuasakan segera. Jangan biar jadi parah baru nak cegah.

    ReplyDelete