Tuesday, September 17, 2013

Benarkah kehidupan bermula di usia 40 an



Ada yang terkesima sehingga benar-benar percaya betapa kehidupan bermula ketika usia menjejaki umur 40 tahun seperti yang diungkapkan oleh Helen Rowland seorang Jurnalis yang berasal dari Amerika Syarikat. Kepercayaan itu kemudiannya diterjemahkan dalam kehidupan seharian sehingga masa yang ada diperuntukkan untuk berhibur dan berseronok semata-mata. Ini terjadi kerana pada tahap ini, kemungkinan seseorang sudah punya kedudukan tertentu, mempunyai pendapatan lumayan dan bebas melakukan segala yang dikehendaki. Ia diburukkan lagi dengan kepercayaan songsang hidup hanya sekali lalu dihabiskan dengan mengikut runtunan hawa nafsu.

Di sudut pandang yang lain seseorang yang menjejaki usia ini sebenarnya berada pada satu tahap kematangan, nilai peribadi serta akhlak yang sempurna lalu mampu membuat keputusan dengan matang lagi bijaksana. Umur ini juga mereka permulaan umur dewasa yang selayaknya seseorang berfikiran lebih waras dan melakukan sesuatu berasaskan pertimbangan akal yang sempurna.

Yang lebih menarik al-Quran secara spesifik menyebut tentang umur 40 tahun agar menjadi peringatan supaya manusia mula memuhasabah dan memikirkan hala tuju kehidupan diri sendiri. Firman Nya yang bermaksud "Setelah dia besar sampai ke peringkat dewasa yang sempurna kekuatannya dan sampai ke peringkat umur empat puluh tahun, berdoalah dia dengan berkata: Wahai Tuhanku, ilhamkanlah daku supaya tetap bersyukur akan nikmat mu yang engkau kurniakan kepadaku dan kepada ibu bapaku dan supaya aku tetap mengerjakan amal saleh yang Engkau redai; dan jadikanlah sifat-sifat kebaikan meresap masuk ke dalam jiwa zuriat keturunanku. Sesungguhnya aku bertaubat kepadamu dan sesungguhnya aku dari kalangan orang Islam."( Surah al-Ahqaf: 15)

Malah persoalan yang lebih penting lagi untuk dibicarakan ialah apakah yang perlu dilakukan oleh golongan yang sudah menjejaki umur 40 tahun dan ke atas ini. Adakah ia suatu permulaan kepada kehidupan yang dipenuhi dengan keseronokan, kelalaian dan kealpaan semata-mata ataupun sebaiknya mula difokuskan untuk melipatgandakan usaha mendekatkan diri kepada Ilahi dengan melakukan segala kegiatan berfaedah sama ada untuk diri sendiri, keluarga dan masyarakat secara umumnya.

Untuk itu bagi yang jarang untuk solat berjemaah, boleh jadi inilah masa yang terbaik untuk mula berjinak-jinak ke masjid. Bagi yang selalu disibukkan dengan pelbagai aktiviti seharian cubalah untuk mencuri masa bagi membaca ayat-ayat suci al-Quran mahupun melakukan pelbagai aktiviti yang disunahkan. Jika ada yang belum berkesempatan untuk menunaikan fardu haji kemungkinan bolehlah menyediakan budget untuk menunaikan ibadah umrah dan menziarahi makam Nabi Muhammad SAW sambil menanti kuota haji. Atau setidak-tidaknya berusahalah untuk mempertautkan hubungan silaturahim antara sesama manusia bukan menimbun dosa menceritakan keburukan dan perihal orang lain seharian.

Golongan yang seronok menghabiskan masa berborak-borak di warung mamak, Kopitiam mahupun warung di kampung-kampung eloklah mula berubah kepada melakukan aktiviti yang lebih berfaedah. Apatah lagi jika ada golongan yang berusia 40 an tetapi masih seronok bertukar-tukar pasangan, berfoya-foya dari satu kelab malam ke satu kelab malam sambil meneguk arak yang diharamkan selayak mula berfikir untuk bertaubat dan menangisi kesilapan masa lalu.

Semua ini sepatutnya mula menjadi rutin harian golongan berusia 40 tahun dan ke atas sebagai persediaan menyahut panggilan Ilahi yang bakal kunjung tiba tanpa disedari. Benar, mati tak pernah mengenal usia akan tetapi kalau sudah mula dipanggil pakcik dan makcik tetapi masih berperangai buruk dan kebudak-budakan boleh jadi suatu petanda buruk buat individu berkenaan. Ibrahim al-Nakhai pernah menyebutkan bahawa seseorang yang sudah mencapai umur 40 tahun dan berada pada suatu perangai tertentu, maka ia tidak akan pernah berubah hingga datang kematiannya"
Umur 40 tahun turut mempunyai keistimewaan tersendiri kerana Allah SWT mengangkat kebanyakan para nabi dan Rasul-Nya termasuk Baginda Nabi Muhammad SAW sebagai Rasul dengan tugas untuk mengajak manusia kepada mengesakan Allah SWT dan mencegah perbuatan mungkar dilarang.
Rasulullah SAW juga bersabda maksudnya "Tidak akan berganjak kedua-dua kaki manusia pada hari kiamat sehingga ditanya tentang empat perkara, iaitu tentang umurnya kemana dihabiskan tentang usia mudanya ke mana dipergunakan, tentang hartanya dari mana diperoleh dan ke mana dibelanjakan dan tentang ilmunya apakah sudah diamalkan"(Riwayat al-Tirmiziy).
Dalam hal ini juga kematian seorang tokoh Ulama Muda Indonesia iaitu Habib Munzir al-Musawa merangkap ketua Majelis Rasullullah iaitu majlis zikir terbesar di Jakarta yang meninggal dunia pada usia 40 tahun sepatutnya dijadikan iktibar. Ia sememangnya suatu kehilangan yang besar buat umat Islam di Alam Melayu yang mengenali beliau sebagai ikon pemuda yang taat beribadah dan lidahnya sentiasa basah dengan berzikir mengingati Allah SWT dan Rasul Nya.

Seyogianya pemergian beliau bukan sekadar ditangisi tetapi dijadikan pengajaran betapa mati tak pernah mengenal usia tua mahupun muda. Apabila sampai detik dan ketika yang ditentukan ia tidak akan berganjak walaupun satu saat. Tiada seorang pun mampu meramal detik kematian apatah lagi mengetahui bagaimana dan di mana dia akan dicabut ruhnya oleh Malaikat Izrail.

Malahan yang lebih utama baik bagi golongan muda mahupun tua, berusahalah untuk membuat persiapan menemui mati dalam keadaan khusnul khatimah lalu diterima di sisi Nya sebagai hamba yang baik lagi di rahmati. Tinggalkan dunia ini dengan menabur jasa bakti dan nama yang baik sehingga dikenang-dikenang buat selama-lamanya. Bak kata pepatah manusia mati meninggalkan nama harimau mati meninggalkan belang.

No comments:

Post a Comment