Tuesday, June 7, 2011

Lambat kahwin undang dosa

TREND lambat kahwin yang agak membimbangkan di kalangan muda-mudi terutama yang beragama Islam dikhuatiri mengundang kepada dosa. Apatah lagi dalam dunia serba canggih pada masa kini di mana segala informasi baik mahupun buruk dengan mudah boleh ditelusuri melalui pelbagai lelaman sesawang yang wujud.

Kaum wanita secara khususnya boleh sahaja terdedah kepada penipuan internet yang menyebabkan kerugian wang ringgit, membazir masa dan kemungkinan maruah dan kehormatan diri juga tergadai. Perkara ini boleh diperhatikan kepada laporan akhbar tempatan yang sering menyiarkan berita berkenaan salah laku di internet. Ini termasuk juga kesanggupan individu tertentu tanpa segan silu mempamerkan susuk tubuh yang menggairahkan untuk tontonan seluruh dunia.

Dengan segera berkahwin ia sedikit sebanyak boleh dielakkan. Apatah lagi dengan kesibukan suami berusaha mencari nafkah yang halal dan isteri pula membantu mengurus rumahtangga dan mendidik serta mengasuh anak-anak. Pendek kata, perkahwinan akan menjadikan pasangan suami-isteri lebih matang dan komited untuk menempuh suka-duka hidup berumahtangga, sekaligus terhindar daripada perlakuan dosa dan maksiat.

Trend ini juga boleh jadi menyebabkan seseorang langsung tidak mahu berkahwin dengan alasan yang pelbagai seperti mahu memberi sepenuh tumpuan kepada kerjaya, khuatir tidak mampu menunaikan tanggunjawab dan ada pula yang seakan seronok menguruskan diri sendiri tanpa bebanan tanggungjawab kepada suami dan anak-anak.

Sayogia difahami bahawa perkahwinan dalam Islam adalah sunnah yang sangat digalakkan oleh Baginda Nabi Muhammad SAW. Pernah suatu ketika beberapa orang sahabat Nabi SAW bertandang ke rumah isteri Nabi SAW sambil bertanyakan tentang ibadat yang dilakukan. Setelah diberitahukan didapati Ibadat Nabi tidak seperti yang disangkakan, namun mereka akur bahawa Nabi maksum lagi terpelihara. Lalu ada yang berkata aku tidak tidur kerana beribadat sepanjang malam, ada pula yang berpuasa sepanjang tahun dan ada yang tidak mahu berkahwin.

Kemudian Nabi SAW bersabda yang bermaksud ”Adakah kamu yang mengatakan begini, begini. Sesungguhnya aku adalah orang yang paling takut dan paling bertakwa kepada Allah SWT. Akan tetapi aku berpuasa dan aku berbuka, aku sembahyang malam dan tidur, dan aku juga mengahwini wanita-wanita. Barang siapa yang tidak melaksanakan sunnahku maka dai bukan daripada kalanganku. (Riwayat Bukhariy)

Alasan tidak bertemu jodoh atau sukar mencari yang sesuai juga tidak relevan untuk diperbesar-besarkan. Ini kerana Islam telah meletakkan garis panduan yang jelas tentang kriteria suami dan isteri yang sesuai untuk dijadikan pasangan hidup. Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud “Dinikahi wanita itu kerana empat perkara; kerana kecantikannya, keturunannya, hartanya dan kerana agamanya. Pilihlah yang beragama nescaya akan selamat segala-galanya”

Para ibu bapa juga diharap tidak membebankan anak-anak kerana terlalu memilih tentang jodoh. Mungkin ada yang beranggapan bahawa kekayaan, kerjaya yang tinggi, status dan keturunan yang terhormat sahaja yang mampu membahagiakan anak yang baharu melangkah ke alam rumahtangga. Dari satu segi mungkin ada kebenarannya. Namun syariah Islam telah meletakkan kriteria baik agama dan akhlak sebagai asas untuk menentukan jodoh anak-anak. Boleh jadi akibat terlalu memilih akhirnya tertipu dengan kemewahan yang direka-reka walaupun sebenarnya semua itu adalah palsu belaka.

Dewasa ini banyak gejala negatif seperti bersekedudukan, berkhalwat, suka sama suka melakukan perbuatan zina terkutuk berpunca daripada keengganan pasangan yang bercinta untuk segera melangsungkan pernikahan. Malah kelahiran kandungan yang tidak dirancang dan jenayah pembuangan bayi yang tiada kesudahan juga berpunca daripada tiada ikatan perkahwinan yang sah sehingga pasangan lelaki mengelak untuk bertanggungjawab terhadap perbuatan terkutuk mereka.

Statistik yang pernah dikeluarkan oleh Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) menunjukkan 30 peratus wanita di antara umur 25 dan 29 tahun belum berkahwin berbanding 25 peratus untuk lelaki di antara umur 30 dan 34 tahun yang masih bujang. Keadaan ini jika dibiar berterusan akan menyebabkan golongan muda pewaris negara akan berkurangan.

Negara-negara seperti Singapura dan China misalnya kini berhadapan dengan bilangan golongan muda yang berkurangan berbanding peningkatan golongan tua antara lain disebabkan oleh keengganan golongan muda untuk berkahwin. Malah mereka lebih seronok hidup berfoya-foya tanpa sebarang ikatan dan halangan.

Sehubungan dengan itu galakan Nabi Muhammad supaya pemuda dan pemudi yang berkemampuan untuk berkahwin supaya segera berkahwin patut dipandang serius. Malah ikatan perkahwinan yang sah mampu menjaga pandangan dan kehormatan Muslim daripada terjebak melakukan dosa.

Sungguhpun demikian ia tertakluk kepada garis panduan dan syarat-syarat pernikahan yang telah disyariatkan. Perkahwinan di usia terlalu muda misalnya adalah tidak digalakkan kerana boleh jadi tidak mencapai matlamat dan tujuan sebenar pensyariatan nikah-kahwin dalam Islam. Begitu pula pernikahan tanpa kebenaran atau dilangsungkan diluar kariah seperti di Thailand juga hendaklah dielakkan kerana boleh menyebabkan kesahan pernikahan tersebut dipertikaikan dari sudut perundangan syarak yang telah dikanunkan di Malaysia.

3 comments:

  1. Berkahwin pada usia muda dapat melahirkan warganegara yang kuat dan dinamik

    ReplyDelete
  2. Kalau dalam agama, digalakkan berkahwin, lain pula dari keluarga. Sesetengah muda-mudi tidak digalakkan keluarga berkahwin sehingga habis pengajian Ijazah sarjana muda sekurang-kurangnya. Ada juga yang tidak digalakkan berkahwin hingga tamat pengajian sarjana, malah juga sarjana kedoktoran.

    Harapan keluarga untuk anak mereka focus dalam pengajian mengetepikan fitrah anak itu sendiri dan yang lebih penting lagi, mengetepikan riwayat Al Bukhary tentang sunnah Rasulullah utk berkahwin.

    ReplyDelete
  3. Memang benar perkahwinan suatu tuntutan agama. Sungguhpun demikian ada beberapa pertimbangan lain yang perlu dititikberatkan. Misalnya umur perkahwinan menurut kebiasaan masyarakat setempat, kemampuan untuk menyara kehidupan dan lain-lain lagi. Ini penting bagi mengelak institusi perkahwinan Islam yang suci ditohmah dan dikeji sehingga akhirnya mencalarkan maruah Islam yang suci

    Bagi yang sudah melepasi tahap pendidikan wajib, berkemampuan dan punya calon yang sesuai dari sudut agama dan akhlak serta ingin berkahwin bolehlah berbincang atau menggunakan khidmat orang tengah untuk mendapatkan restu ibubapa. Beristikharah dan berdoalah kepada Ilahi semoga makbul cita-cita dihati.

    ReplyDelete