Monday, May 23, 2011

Reda Takdir Tuhan Tanda Kukuh Iman

Sebahagian artikel ini telah disiarkan dalam Akhbar Berita Harian bertarikh 24hb/5/2011,dengan tajuk "Manusia wajar ikhtiar elak musibah, usah persalah takdir"

SATU daripada asas keimanan yang mesti ada ialah keyakinan bahawa setiap yang terjadi dengan izin dan perkenan Allah SWT jua. Dalam hal ini manusia boleh berusaha untuk menolak kejadian yang tidak diingini dengan melakukan sesuatu sesuai menurut peraturan ditetapkan. Kemudiannya jika masih berlaku juga perkara yang buruk dan tidak diingini seseorang wajib kembali kepada kepercayaan qada dan qadar ketentuan Ilahi yang langsung tidak boleh dipertikaikan.

Kebiasaannya apabila berlaku sesuatu yang baik lagi menggembirakan jarang ada manusia yang berduka, malah ia disambut dengan penuh kegembiraan sehingga terkadang lupa untuk bersyukur kepada Allah SWT. Sebaliknya jika terjadi perkara buruk, ternyata sukar untuk segelintir manusia terutama yang lemah iman untuk menerima takdir ketentuan Tuhan. Malah jika diperhalusi disinilah letaknya ketinggian nilai seorang hamba disisi Allah SWT, apatah lagi jika gagah mengharungi ujian dan dugaan yang diterima. Terlebih mulia lagi jika segala ujian yang diterima diharungi dengan reda demi mempertahankan kesucian akidah Islamiyah.

Diriwayatkan bahawa ada sebilangan sahabat yang teruk disiksa kerana mempertahankan agama mereka mengadu hal kepada Nabi Muhammad SAW sambil bertanya mengapa Nabi tidak memohon pertolongan kepada Allah SWT bagi membantu mereka yang teraniaya. Lalu Baginda Nabi SAW bersabda yang bermaksud; Sesungguhnya ada dikalangan orang terdahulu yang dikorekkan lubang untuk mereka lalu ditimbus di dalamnya. Kemudian ada yang digergaji kepalanya sehingga terbelah dua, ada pula yang disiat tubuhnya menggunakan sesikat besi sehingga mengoyakkan daging dan menampakkan tulang-temulang. Namun tidak sedikitpun yang demikian itu meleburkan pegangan agama mereka. Demi Allah sesungguhnya urusan agama ini pasti disempurnakan sehingga orang yang bermusafir daripada San’aa ke Hadramaut tidak lagi merasa takut kepada Allah dan bimbangkan ancaman serigala terhadap kambingnya. Akan tetapi kamu terlalu gopoh. (Hadis riwayat Bukhari)

Justeru itu dapat difahami bahawa ujian dan rintangan adalah asam garam kehidupan. Sebagai hamba Allah kita wajib menerima segala ketentuan baik dan buruk dengan lapang dada. Selain itu kita wajib percaya bahawa Allah SWT Maha Mengetahui lagi Maha adil terhadap hamba-hamba Nya. Sungguhpun demikian manusia disuruh untuk berikhtiar dan berusaha mengelak daripada terkena musibah dan kejadian buruk yang tidak diingini. Malah dalam sesetengah situasi ketentuan Tuhan boleh dielakkan melalui senjata doa tulus yang dipanjatkan ke Hadrat Ilahi.

Kejadian tanah runtuh yang meragut nyawa 16 penghuni Rumah Anak-anak Yatim dan Anak-anak Kebajikan Madrasah Al-Taqwa, Felcra Semungkis, Batu 14 Hulu Langat, Selangor patut dijadikan iktibar. Elakkan daripada menyalahkan takdir atau menerima takdir bulat-bulat tanpa berusaha. Sehubungan dengan itu juga pembinaan kawasan penempatan yang berpotensi mengundang kejadian tanah runtuh hendaklah dielakkan. Dengan keadaan cuaca yang tidak menentu akhir-akhir ini kemungkinan untuk berlaku tanah runtuh, banjir kilat dan lain-lain musibah sukar dijangkakan. Adalah menjadi tanggungjawab semua untuk berhati-hati dan berwaspada tanpa bersikap prejudis menuduh sesama sendiri setiap kali peristiwa buruk berlaku.

Kali terakhir negara menyaksikan kejadian tanah runtuh yang meragut nyawa ialah pada 6 Disember 2008. Kejadian tersebut berlaku di Taman Bukit Mewah, Bukit Antarabangsa, Ampang yang mengorabnkan nyawa lima penghuni rumah banglo di kawasan tersebut selain menimbus 14 buah rumah banglo yang lain. Persoalannya adakah peristiwa-peristiwa yang menyayat hati seperti ini sememangnya tidak dapat dielakkan sama sekali, ataukah ia berpunca daripada ketamakan dan kerakusan manusia menodai alam sekitar sehingga bumi seolah-olah tidak selamat lagi untuk diduduki.

Lebih daripada itu umat Islam secara khususnya diseru mendekatkan diri kepada Ilahi sebagai sumber kekuatan jiwa dalam menangani sebarang ujian mendatang. Berbagai-bagai ujian daripada kematian, kekurangan makanan dan harta benda akan mewarnai kehidupan hinggalah ke akhirnya. Allah SWT berfirman yang bermaksud “Dan Kami menguji kamu dengan kesusahan dan kesenangan sebagai cubaan, dan kepada Kamilah kamu semua akan dikembalikan . (Surah al-Anbia’ ayat 35)

Fenomena kenaikan harga barangan keperluan yang terjadi dewasa ini juga boleh dianggap sebagai satu daripada ujian yang perlu ditangani dengan perbelanjaan berhemah. Jika tidak ia bakal mengundang padah dan keburukan pada semua. Apatah lagi jika ada yang sanggup mencuri dan merompak atau melakukan penipuan demi untuk hidup mewah dengan cara yang tidak bermaruah. Umat Islam juga diseru mengamalkan cara hidup bersederhana yang menjadi intipati ajaran syariah. Selain itu setiap orang hendaklah berusaha dengan jalan yang halal bagi mencari nafkah diri dan orang yang di bawah tanggungan mereka.

Akhirnya reda terhadap segala ketentuan Tuhan merupakan asas keimanan individu Muslim. Tiada guna amal ibadat yang dilakukan jika tidak sanggup pula untuk menerima qada dan qadar yang terkandung dalam rukun iman yang enam perkara. Walau bagaimanapun bukan mudah untuk seseorang menerima takdir begitu sahaja. Tanpa keyakinan dan kepercayaan yang teguh kepada Allah SWT ia mungkin tidak mampu direalisasikan oleh sesiapapun. Berusahalah untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT bagi mengharungi ujian dan pancoroba hidup di dunia yang beraneka ragam.

2 comments:

  1. Assalamualaikum, hidup sederhana, ajaran nabi kita yang Agung, Muhammad SAW, ini blog yang bagus..saya suka

    ReplyDelete
  2. sedih la ustaz tgk kejdian tnh runuh 2..dekat sgt dgn rumh..

    ReplyDelete