Sebahagian daripada artikel ini telah diterbitkan dalam Ruangan Agama Akhbar Berita Harian bertarikh 18/4/2011 dengan tajuk "Lelaki, wanita cenderung tukar jantina dilaknat Rasulullah".
MANUSIA diciptakan berlainan jantina dan berpasang-pasangan dengan tujuan dan maksud tersendiri, iaitu untuk saling kenal-mengenali antara satu sama lain. Selain daripada itu penciptaan manusia dari pada kalangan lelaki dan wanita pula bertujuan untuk mengembang-biakkan generasi keturunan manusia agar terus berkekalan hingga ke Hari Kiamat.
Sehubungan dengan itu tindakan nekad segelintir lelaki yang merubah jantina ataupun berperawakan seperti wanita adalah perbuatan yang melanggar ketentuan agama dan tidak bersesuaian dengan nilai budaya masyarakat setempat. Apatah lagi jika ia melibatkan proses pembedahan dan penukaran alat kelamin yang berkemungkinan memudaratkan.
Menurut al-Syeikh Walid bin Rashid al-Su’aidan, pembedahan menukar jantina melibatkan perubahan ciptaan Allah, mensia-siakan kejadiannya, mengikut hawa nafsu dan memenuhi tuntutan syaitan. Malahan doktor yang melakukan pembedahan seumpama ini dikira berdosa, kerana membuang zakar dan dua testis lelaki dengan tujuan untuk menukar jantina lelaki menjadi wanita begitu juga membuang buah dada dan saluran peranakan untuk menukar jantina wanita menjadi lelaki.
Sedarlah juga bahawasanya golongan yang terlibat dengan perbuatan keji ini telah dipengaruhi oleh syaitan sehingga terdorong untuk mengikut hawa nafsu dan angan-angan kosong semata-mata. Firman Allah SWT dalam Surah al-Nisa’ ayat 119 yang bermaksud “Dan demi sesungguhnya, aku akan menyesatkan mereka (dari kebenaran) dan demi sesungguhnya aku akan memperdayakan mereka dengan angan-angan kosong dan demi sesungguhnya aku akan menyuruh mereka (mencacatkan binatang-binatang ternak), lalu mereka membelah telinga binatang-binatang itu dan aku akan menyuruh mereka mengubah ciptaan Allah dan (ingatlah) sesiapa yang mengambil Syaitan menjadi pemimpin yang ditaati selain dari Allah, maka sesungguhnya rugilah dia dengan kerugian yang terang nyata”.
Malahan perbuatan mereka juga mendedahkan diri kepada risiko kerosakan anggota badan sehingga boleh lumpuh dan menyebabkan kehilangan nyawa. Sudah semestinya amalan buruk sebegini dilarang agama kerana manusia ditegah daripada mendedahkan diri kepada jurang kebinasaan yang merosakkan.
Selain daripada itu terdapat banyak hadis yang diriwayatkan daripada Rasulullah SAW yang menegah manusia daripada mengubah ciptaan tuhan. Misalnya sebuah hadis riwayat Abdullah ibn Mas’ud RA. katanya “ Aku mendengar Rasulullah SAW melaknat wanita yang mencabut bulu keningnya dan yang mengikir giginya untuk kelihatan cantik, yang mengubah ciptaan Allah SWT. Lalu bagaimana pula perbuatan seseorang yang memakan ubat dengan tujuan untuk menukar suara daripada garau menjadi lembut, memakan hormon untuk membentuk fizikal seperti wanita dan lain-lain yang lebih berat daripada sekadar mencukur bulu kening.
Menurut Ibnu Abbas RA., Rasulullah SAW juga direkodkan pernah melaknat lelaki yang menyerupai kaum wanita dan wanita yang menyerupai kaum lelaki. (Riwayat Imam al-Bukhari).
Perbuatan keji seperti ini juga jika tidak dibanteras akan menimbulkan kecelaruan hukum syarak yang semuanya saling berkait antara satu sama lain. Ini kerana walaupun seseorang telah menukar jantina status jantina asal masih kekal di sisi syarak walaupun secara fizikal telah berubah. Ia juga bakal memporak perandakan sistem hidup bermasyarakat yang sedia ada. Bayangkan bagaimana sekiranya seorang lelaki yang bertukar jantina solat bersama jemaah lelaki ataupun jemaah wanita yang sudah pasti menimbulkan persepsi negatif di kedua-dua pihak.
Sehubungan dengan itu golongan yang berangan-angan untuk menukar jantina dinasihatkan berfikir seribu kali sebelum melakukan tindakan yang akan menyebabkan mereka merana seumur hidup. Syukurilah peluang hidup yang sementara dengan membuat kebajikan sebanyak-banyaknya agar beroleh rahmat dan keampunan daripadaNya. Tidak keterlaluan juga jika dikatakan golongan ini telah bertindak melampaui takdir ketentuan Tuhan yang telah menjadikan mereka daripada jenis lelaki dan wanita yang punya tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan.
Ingatlah juga bahawa syaitan sentiasa berjuang untuk memperdayakan manusia yang lemah iman dan menabur pelbagai janji-janji manis yang tak berkesudahan. Allah SWT berfirman yang maksudnya “Syaitan sentiasa menjanjikan mereka (dengan janji-janji indah) serta memperdayakan mereka dengan angan-angan kosong dan apa yang dijanjikan oleh Syaitan itu tidak lain hanyalah tipu daya semata-mata. Mereka itu, tempat akhirnya ialah Neraka Jahanam dan mereka pula tidak akan dapat melarikan diri daripadanya”. (Surah al-Nisa’, ayat 120-121)
Sejarah silam yang menimpa kaum Nabi Luth dan masyarakat Pompei di Itali juga seharusnya dijadikan sempadan dalam mengharungi liku-liku hidup yang penuh pancaroba ini. Krisis identiti yang membawa kepada amalan buruk homoseksual, pelacuran dan hubungan seksual di tempat terbuka telah mengundang padah sehingga akhirnya kaum tersebut lenyap ditelan bumi.
Allah SWT mentakdirkan penciptaan lelaki dan wanita, dengan tujuan dan hikmah yang tersendiri. Justeru itu sesiapa yang melanggar ketentuan itu ibarat telah menzalimi diri sendiri. Adalah disarankan agar golongan ini bertaubat dan kembali menjalani hidup dengan identity lelaki dan wanita sejati. Mereka yang terjebak dalam kancah ini juga dinasihat bertemu dengan pakar kauseling sebagai usaha memperbetulkan kesilapan supaya tidak berterusan.
Mereka yang terlibat dalam bidang seni juga diingatkan agar tidak hanya berusaha meraih populariti dengan menerbitkan karya-karya songsang yang jauh terpesong daripada landasan agama. Begitu juga pelakon yang melakon watak pondan walaupun dengan apa tujuan sekalipun dinasihat agar bertaubat kerana perbuatan itu termasuk dosa besar dan diharamkan.
Ini kerana Baginda Rasulullah SAW pernah melaknat lelaki yang mengenakan atau memakai pakaian perempuan dan perempuan yang mengenakan atau memakai pakaian lelaki. (Hadis riwayat Imam Abu Daud, Ahmad, al-Nasaiy dan al-Hakimiy)
Justeru redha dan akur atas segala ketetapan ilahi adalah jalan bahagia menuju kejayaan yang harus diusahakan oleh setiap insan yang mendambakan cinta agung, cinta sejati. Ini kerana dengan rahmat dan kasih-sayangNya manusia dikurniakan akal untuk berfikir sewaras-warasnya sehingga boleh membuat pertimbangan sebelum melakukan sesuatu perkara.
No comments:
Post a Comment