Sebahagian daripada artikel ini telah disiarkan dalam Ruangan Rencana Akhbar Berita Harian bertarikh 14 Jun 2011 dengan tajuk "Masjid Tempat Ibadah Bukan Medan Niaga"
SESUAI dengan jolokannya sebagai Rumah Allah, masjid menjadikan lambang keutuhan hubungan hamba dengan pencipta Nya. Ia sinonim dengan tempat umat Islam melakukan pelbagai kegiatan ibadah seperti solat berjamaah, beriktikaf, mengaji al-Quran dan lain-lain lagi. Malah di zaman awal Islam khususnya di zaman Baginda Nabi Muhammad SAW fungsinya sangat meluas sehingga masjid Nabi di Madinah menjadi pusat pentadbiran negara, pusat taktikal mengatur strategi peperangan dan pusat pendidikan yang terulung. Malah Masjidil Aqsa di Palestin pernah menjadi pusat transit Nabi Muhammad SAW sebelum di bawa dalam pengembaraan agung naik ke langit bertemu Allah SWT dalam peristiwa Isra’ dan Mikraj di bulan Rejab yang mulia.
Dengan kedudukan masjid yang begitu tinggi umat Islam dinasihat tidak terlibat mencemari kesuciannya dengan melakukan perkara-perkara yang ditegah ketika berada dalam masjid. Dewasa ini terdapat sesetengah pihak yang menjadikan masjid sebagai pusat untuk mempromosi barangan jualan dan perkhidmatan yang ditawarkan. Daripada promosi pakej haji dan umrah, ibadah korban sehinggalah kepada penjualan kitab-kitab agama. Tembok dan kawasan masjid juga mula dipenuhi dengan pamplet-pamplet dan bunting-bunting promosi perniagaan. Mereka yang terlibat pula terdiri daripada kalangan pengerusi dan ahli jawatankuasa masjid, ustaz dan ustazah juga daripada kalangan peniaga sendiri.
Perlu diketahui bahawa perbuatan ini sebenarnya ditegah untuk dilakukan di dalam masjid mahupun di kawasan persekitarannya. Perkara ini dapat diperhatikan daripada sabda Nabi Muhammad SAW yang bermaksud; Jika kamu melihat orang berjual beli di dalam masjid, maka katakanlah kepadanya; Moga-moga Allah tidak menguntungkan perniagaan kamu. Dan jika kamu melihat orang yang mencari barangan yang hilang di dalam masjid maka katakanlah padanya; Moga-moga Allah tidak menemukan barangan kamu yang hilang itu” (Hadis riwayat Imam al-Tirmiziy).
Walaupun terdapat sebilangan ulama yang mengharuskan jual beli dalam masjid namun al-Syeikh al-Mubarkapuri menegaskan bahawa beliau belum pernah menemui sebarang dalil yang mengharuskan perbuatan tersebut. Justeru itu larangan tersebut tetap berlaku sehingga ada dalil lain yang menunjukkan sebaliknya.
Selain daripada itu perbuatan merokok di dalam masjid dan persekitarannya juga adalah tidak mencerminkan nilai keagungan masjid. Ini kerana masjid termasuk syiar-syiar agama yang perlu diagungkan. Malah jika kawasan pelancongan dan tumpuan ramai boleh digazetkan sebagai kawasan larangan merokok dan boleh dikenakan kompaun mengapa tidak masjid yang mulia dan kawasan persekitarannya juga diistihar sebagai kawasan larangan merokok.
Mentaliti segelintir umat Islam yang sering menjadikan masjid dan surau sebagai tandas awam percuma juga hendaklah dibuang jauh-jauh. Walaupun sebenarnya tidak dilarang untuk menggunakan segala kemudahan yang ada apalah salahnya jika selesai qada’ hajat, sumbangkanlah sedikit wang ringgit untuk membiayai kos penggunaan air dan elektrik masjid yang diamanahkan kepada semua umat Islam. Apatah lagi jika masjid dan surau-surau tersebut hanya bergantung kepada sumbangan orang ramai sahaja.
Begitu pula terdapat adab-adab lain yang perlu diperhatikan. Sebagai contohnya sebelum masuk masjid hendaklah terlebih dahulu berwuduk, kemudian melangkah masuk dengan kaki kanan sambil membaca doa masuk masjid sambil berniat iktikaf. Setelah itu disunatkan pula untuk sembahyang sunat wuduk ataupun sunat tahiyatulmasjid. Ketika berada di dalam masjid para jamaah dilarang daripada berkata-kata tentang hal-ehwal duniawi, duduk dengan sopan, tawaduk dan kusyuk. Apabila berzikir atau mengaji elakkan daripada membaca terlalu kuat sehingga menggangu jamaah yang lain. Apabila ingin keluar pastikan semua lampu dan kipas telah dimatikan terutama jika tiada jamaah lain yang tinggal, melangkah keluar dengan kaki kiri sambil berdoa memohon limpah kurnia Ilahi.
Semua perkara ini tampak remeh dan tidak perlu diperbesar-besarkan. Namun kerana masih terdapat segelintir masyarakat Islam yang kurang memahami fungsi dan peranan masjid yang sebenar, penulis terpanggil untuk menyatakan kebenaran tentang perkara ini.
Semetelah lagi akhir-akhir ini institusi masjid sering dimanipulasi oleh pihak yang berkepentingan untuk tujuan yang pelbagai. Justeru menjadi tanggunjawab semua masayarakat Islam untuk mempertahankan kesucian masjid daripada anasir-anasir yang tidak sepatutnya.
Umat Islam juga diseru untuk berusaha mengimarahkah masjid dengan aktiviti solat berjamaah dan menghadiri kuliah-kuliah agama yang dianjurkan. Selain dapat menambah ilmu fardu ain secukupnya, amalan solat berjamaah mampu mengeratkan hubungan silaturrahim dikalangan umat Islam tanpa mengira latarbelakang pekerjaan dan status dalam masyarakat.
No comments:
Post a Comment