Tuesday, January 4, 2011

Hasad dengki perosak kehidupan

Sebahagian daripada artikel ini telah disiarkan dalam Ruangan Rencana Utusan Malaysia bertarikh 7 Jan. 2011 dengan tajuk "Jauhi hasad dengki perosak silaturrahim".


KEINGINAN supaya nikmat atau kebahagiaan yang dimiliki seseorang lenyap sekalipun tidak berpindah kepada sesiapa adalah bibit-bibit kedengkian yang menjadi perosak dalam kehidupan. Mana tidaknya seseorang yang berkelakuan buruk seperti ini akan melakukan apa sahaja tindakan negatif untuk memuaskan nafsu serakah yang telah mendominasi diri. Berikutan dengan itu, setiap anggota dalam masyarakat hendaklah berusaha mengelak daripada terjerumus ke lembah hina dengan menghindar diri daripada perlakuan keji ini.

Implikasi daripada hasad dan dengki boleh menyebabkan amalan baik yang dilakukan sirna tanpa sebarang nilai yang diharap-harapkan. Baginda Nabi Muhammad SAW diriwayatkan bersabda dengan maksudnya “Kedengkian memakan kebaikan sebagaimana api memakan kayu bakar”. (Riwayat Abu Daud).

Sayugianya, amalan buruk seperti ini dijauhi kerana ia juga merosakkkan hubungan silaturrahim antara sahabat handai, jiran tetangga, dan rakan sekerja. Lebih membimbangkan apabila ia menyumbang pula kepada sifat buruk yang lain seperti dendam yang tidak berkesudahan dan saling berusaha untuk memburuk-burukkan dan memfitnah satu sama lain. Bayangkan pula bagaimana sekiranya penyakit ini menular kepada seluruh anggota masyarakat, yang sudah barang tentu akan memporak-perandakan kehidupan sejagat.

Pernah diriwayatkan sebuah kisah yang sangat menarik untuk dikongsi bersama. Saidina Anas berkata sedang kami bersama Rasulullah SAW Baginda bersabda dengan maksudnya “Daripada laluan ini muncul seorang lelaki penghuni syurga”. Anas berkata lagi, Tidak lama kemudian muncul seorang lelaki Ansar sambil mengusap sisa wuduk dijanggutnya dan memegang sandal di tangan kiri sambil memberi salam. Pada hari kedua dan ketiga Rasullullah SAW masih menyatakan perkara yang sama. Setelah Baginda beredar Abdullah bin Amir bin al-Ash mengikuti lelaki Ansar itu lalu berkata. “Sesungguhnya saya telah bertengkar dengan bapa saya dan bersumpah untuk tidak bertemu dengannya selama tiga hari, bolehkah saya bermalam di rumah tuan selama tempoh tersebut. Dijawab ya.

Selama menginap di rumah itu Abdullah tidak pernah melihat dia bangun malam hingga menjelang subuh kecuali jika tersedar dia menyebut nama Allah. Dia juga hanya berkata yang baik-baik sahaja. Setelah kecewa Abdullahpun menceritakan perkara yang sebenar dimana beliau berhasrat untuk menyelidiki amalan orang itu yang dipilih sebagai penghuni syurga. Lalu dijawab tidak ada apa yang kulakukan kecuali apa yang kamu lihat selain itu aku tidak punya rasa benci dan dengki kepada kaum muslimin yang dikurniakan kebaikan. (Riwayat Ahmad).

Sehubungan dengan itu, setiap individu sewajarnya tidak berasa iri hati dan dengki apabila ada dikalangan rakan sejawat yang dinaikkan pangkat ataupun beroleh laba lumayan hasil perniagaan yang diusahakan. Seharusnya ia menjadi motivasi kepada semua untuk berusaha dan bersungguh-sungguh dalam apa jua bidang yang diceburi tanpa berasa dengki dan cemburu atas nikmat yang diperoleh oleh orang lain. Sedarlah itu semua merupakan takdir Tuhan yang berkuasa memberi kepada sesiapa yang istimewa dan berkuasa mutlak pula untuk mengambil daripada sesiapa yang dikehendaki.

Sejarah silam jelas membuktikan betapa Qabil dan Habil saling berbunuh-bunuhan hanya kerana dengki dan cemburu terhadap saudaranya. Begitu juga Nabi Yusuf as. dibuang ke dalam perigi buta oleh adik-beradiknya hanya kerana dengki dan iri hati. Malah perkara ini jugalah yang pernah dibimbangi oleh Nabi Muhammad SAW sepertimana sebuah hadis yang bermaksud “Perkara yang paling aku takuti terjadi kepada umatku ialah banyaknya harta pada mereka lalu mereka saling mendengki dan berbunuh-bunuhan”. (Riwayat al-Tirmiziy)

Lalu apa yang patut dilakukan untuk menghilangkan perasaan hasad dengki yang sering menyelubungi jiwa makhluk bergelar manusia. Dalam konteks ini para ulama seperti al-Ghazali berpendapat ubat yang mujarab bagi menghilangkan penyakit ini ialah ilmu dan amal.

Dengan pengetahuan agama yang sempurna seseorang mampu menyedari betapa penyakit dengki merupakan penyakit yang sangat berbahaya kerana seseorang sebenarnya membenci takdir (qada’ dan qadar) yang telah ditetapkan oleh Allah SWT. Ini kerana pendengki buat pertama kalinya tidak suka nikmat yang telah dibahagi-bahagikan dan ditentukan oleh Allah SWT kepada para hambanya. Yang kedua, tidak mahu menerima keadilan dan kesaksamaan Allah yang Maha bijaksana mengatur segala sesuatu. Yang ketiga, terlibat menyakiti hati kaum Muslimin yang punya hak dan tanggungjawab yang perlu dilunaskan bersama. Yang keempat menyalahi para Rasul, Nabi dan Wali Allah yang sentiasa mendekatkan diri dengan amalan kebaikan. Yang kelima mengikut telunjuk Iblis dan golongan kafir yang punya perasaan hasad dengki dan selalu mengidamkan bencana dan kerosakan kepada kaum Muslimin dan yang terakhir pendengki akan sentiasa sakit dan tersiksa selagi mana nikmat yang dimiliki oleh seseorang tidak hilang ataupun bertukar tangan kepadanya.

Manakala amal yang bermanfaat untuk menghilangkan keburukan itu ialah dengan memuji dan menyanjung seseorang jika dengki menyebabkan dia mencela dan mencerca orang lain. Bersikaf tawaduk dan merendah diri pula sekiranya benci telah menyebabkan sombong dan meninggi diri.

Tidak dinafikan dalam dunia yang dipenuhi golongan bijak pandai kini masih terdapat golongan yang berpenyakit hasad dengki. Ia kemudiannya mengundang musibah ataupun bencana yang juga merupakan ketetapan Ilahi. Untuk itu setiap makhluk seharusnya bersabar dan sentiasa mengadukan hal kepada Allah SWT yang Maha Mengetahui. Lambat laun pelaku jenayah seperti ini akan kembali jua bertemu Allah SWT yang tidak alpa menilai segala perbuatan meskipun hanya sebesar zarrah daripada kebaikan dan keburukan yang dilakukan semasa di dunia.

No comments:

Post a Comment