Sebahagian artikel ini telah disiarkan dalam ruangan email anda harian metro bertarikh 3 januari 2011 dengan tajuk perlu perubahan.
SUDAH agak lama rasanya pihak kerajaan tidak mengisytiharkan cuti umum bagi meraikan kejayaan pasukan bola sepak negara yang berjuang mengharumkan nama Malaysia di persada antarabangsa. Alhamdulillah, kemenangan Harimau Malaya dengan agregat 4-2 ke atas pasukan Indonesia di Stadium Gelora Bung Karno kini dapat dikongsi bersama oleh seluruh rakyat Malaysia apabila YAB Perdana Menteri mengumumkan cuti bersempena dengan kejayaan tersebut. Apatah lagi setelah 14 tahun peminat bola sepak negara kempunan untuk membawa pulang Piala AFF Suzuki ke bumi bertuah ini.
Kemenangan tersebut juga wajar dijadikan sumber inspirasi untuk seluruh lapisan masyarakat melangkah ke tahun baru 2011 dengan penuh keazaman untuk berubah. Kemenangan berganda yang diraih oleh pasukan negara membuktikan betapa slogan Malaysia Boleh mampu mengubah segala-galanya. Walaupun begitu adalah diharapkan agar perubahan yang berlaku menjurus kepada perubahan positif bagi meningkatkan potensi diri, keluarga, masyarakat dan negara.
Untuk mencapai hasrat dan cita-cita murni tersebut komuniti Islam terutamanya diseru agar tidak terikut-ikut dengan budaya asing meraikan ketibaan tahun baru 2011 dengan pesta arak, pesta seks dan berpeleseran ke sana ke mari tanpa arah tujuan. Kemungkinan juga ada yang mengambil kesempatan sempena cuti umum untuk melakukan perbuatan zina terlarang tanpa mempedulikan sensitivity agama dan masyarakat sekeliling. Perbuatan jijik sebegini dikhuatiri akan menyumbang kepada pertambahan kes mengandung anak luar nikah dan pembuangan bayi yang tiada henti. Tindakan pihak-pihak tertentu yang menganjurkan konsert hiburan sehingga lewat malam juga dibimbangi menyemarakkan lagi aktiviti tidak sihat dikalangan remaja dan muda mudi dengan kegiatan tidak bermoral seperti merempit dan sebagainya.
Kebiasaannya lagi menjelang tahun baru ramai yang berazam untuk melakukan itu dan ini. Perlu diingat jika seseorang tidak berusaha untuk merubah diri sendiri segala azam di tahun baru hanya tinggal angan-angan yang tidak kesampaian. Elakkan juga daripada suka melihat kecacatan dan keburukan orang lain sedangkan aib dan keburukan sendiri dibiarkan terus menghantui diri. Jangan jadi seperti kata pepatah semut di seberang laut nampak, gajah di depan mata tidak kelihatan. Justeru mulakan perubahan dengan diri sendiri.
Dalam hal ini Allah SWT berfirman yang bermaksud “Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum sehingga mereka mengubah keadaan yang ada pada diri mereka sendiri”. (Surah Ar-Ra’du :11)
Golongan pelajar sama ada yang masih di peringkat rendah, menengah dan di pusat pengajian tinggi juga perlu berazam untuk memulakan tahun baru dengan semangat yang berkobar-kobar untuk memperoleh kejayaan paling cemerlang di sesi persekolahan baru 2011 yang hampir bermula. Bagi yang akan menghadapi peperiksaan utama pula persediaan rapi hendaklah dilakukan sejak daripada hari pertama persekolahan lagi. Tabiat menunggu hingga ke saat-saat akhir untuk mengulangkaji pelajaran pasti membawa padah apabila gagal membuat persiapan yang secukupnya. Ingatlah betapa pengorbanan ibubapa yang bersusah-payah mengeluarkan belanja persekolahan yang semakin meningkat saban tahun perlu dibalas dengan kejayaan dalam pelajaran.
Para ibubapa pula diseru berazam untuk mengambil berat tentang tanggungjawab memberi asuhan dan pendidikan kepada anak-anak dengan sempurna. Walaupun kemungkinan sibuk dengan pelbagai tugasan di awal tahun amanah terhadap anak dan keluarga tidak patut dikesampingkan. Hanya dengan mengeluarkan wang untuk membeli segala kelengkapan persekolahan termasuk yuran dan buku-buku sahaja tidak mencukupi untuk membentuk sahsiah dan peribadi mereka. Ibubapa perlu meluangkan masa untuk mendidik, menasihati, menegur dan memberi hukuman jika perlu terhadap kesilapan yang dilakukan. Tindakan memberi sepenuh kepercayaan kepada pembantu rumah untuk menguruskan anak-anak juga tidak patut berlaku kerana mereka masih memerlukan kasih sayang dan belaian ibubapa.
Jika amanah dan tanggungjawab ini diabaikan maka lahirlah golongan remaja dan muda-mudi yang lalai dan asyik dengan hiburan sepanjang masa. Sementelah lagi apabila tiada didikan agama yang sempurna hingga terjebak pula dalam kancah dosa dan maksiat yang berleluasa di sana sini. Tahun 2010 yang sampai kepenghujungnya menyaksikan jenayah rogol, pembunuhan, pembuangan dan pembunuhan bayi, bersekedudukan tanpa ikatan pernikahan yang sah dan pelbagai gejala negatif lain ditahap yang membimbangkan.
Akhir-akhir ini terdapat pula kecenderungan pihak tertentu menganjurkan pertandingan ratu cantik dengan pelbagai nama untuk mengelabui mata masyarakat. Ada pula di kalangan muda-mudi Islam yang tanpa segan-silu memperagakan tubuh badan mereka demi memperoleh hadiah lumayan yang ditawarkan. Terdapat juga dikalangan artis beragama Islam yang memperagakan pakaian dan tubuh badan mereka demi populariti sedangkan semua itu dilarang agama. Tindakan segelintir umat Islam yang seronok bergaya ala Santa Klaus sempena sambutan Hari Natal lalu menunjukkan betapa parahnya penyakit sosial dan budaya yang melanda umat Islam masa kini.
Justeru itu ketibaan tahun baru 2011 hendaklah dimulakan dengan keazaman dan kesungguhan untuk berubah menjadi individu Muslim yang sentiasa menjaga peraturan dan pantang larang agama. Usah terpedaya dengan tipu helah dan kemewahan dunia hingga sanggup menggadaikan maruah diri, agama dan bangsa Melayu yang terkenal dengan sifat pemalu, sopan santun dan berakhlak mulia. Jadikanlah tahun baru ini juga sebagai titik tolak untuk meningkatkan ekonomi diri mahupun keluarga dengan berusaha mencari pekerjaan halal dan mulia sehingga memperoleh rezeki halal yang diberkati. Begitu pula segala kesilapan lalu hendaklah disesali dengan berhenti dan bertaubat daripada terus menimbun dosa yang mengundang kemurkaan Ilahi.
No comments:
Post a Comment