Artikel ini telah disiarkan dalam Ruangan Agama Akhbar Berita Harian bertarikh 16 Dis. 2010 bersamaan 10 Muharam 1432H dengan tajuk "Institusi Pemikir Muslim tangkis dakyah songsang".
TANGGAL sepuluh Muharram merupakan satu lagi hari yang dimuliakan dalam Islam. Umat Islam disunatkan berpuasa pada hari ke-9 dan 10 Muharram sebagai menunjukkan betapa syariat Islam yang suci jauh berbeza dengan amalan agama lain yang kemungkinan juga berpuasa menurut kepercayaan mereka.
Diriwayatkan Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud “Jika aku hidup lagi sehingga ke tahun hadapan nescaya aku akan berpuasa pada hari ke- 9 Muharram”. (Hadis riwayat Muslim). Ini berlaku kerana Baginda Nabi SAW mendapati orang Yahudi juga turut berpuasa pada hari ke-10 Muharram sebagaimana yang disunnahkan. Justeru bagi menunjukkan perbezaan dalam amalan beragama, Baginda Nabi SAW memerintahkan supaya para sahabatnya berpuasa pada hari ke-9 Muharram pada tahun yang berikutnya, walaupun Baginda sendiri tidak sempat berbuat demikian.
Begitu pula ada yang berpendapat disunnahkan berpuasa pada hari ke-9 dan 10 Muharram untuk berhati-hati kemungkinan berlaku kesilapan dalam menentukan awal Bulan Muharram sehingga umat Islam luput beroleh kelebihan berpuasa pada 10 Muharram yang diberi ganjaran pengampunan dosa setahun yang lalu. Justeru itu peluang dan kesempatan berharga sebegini tidak patut dibiarkan berlalu pergi begitu sahaja memandangkan tiada manusia biasa yang terhindar daripada kekurangan dan kesilapan. Inilah juga saat untuk umat Islam menambah amal dan mengurangkan tanggungan dosa yang tidak perlu di bawa mati.
Justeru itu detik 10 Muharram sewajarnya menjadi pemankin untuk umat Islam merubah kiblat pemikiran, budaya dan kehidupan daripada amalan songsang kepada pelaksanaan Islam dalam segenap lapangan kehidupan. Hanya dengan berpegang kepada agama yang benar sahaja cabaran dan mihnah kehidupan dapat diatasi dengan sempurna.
Kegagalan masyarakat Islam berubah mengamalkan ajaran agama dalam kehidupan telah menyebabkan kehidupan mereka tersasar daripada matlamat hidup yang sebenar. Ada yang bertuhankan nafsu sehingga sanggup membunuh bayi yang tidak berdosa, bersekedudukan tanpa mematuhi pantang larang agama, hidup suka berfoya-foya dan terlibat dengan budaya hedonisme yang melampau.
Akibatnya manusia yang merupakan makhluk paling istimewa yang dijadikan Allah SWT gagal memacu potensi diri bangkit menjadi khalifah di atas muka bumi ini. Begitu pula masih yang ada tersesat dalam mencari kebenaran lalu terpengaruh dengan ajaran menyeleweng dan menyimpang daripada landasan agama sebenar. Mereka kemudiannya terlibat pula mencetuskan perpecahan dalam masyarakat yang dikhuatiri akan melemahkan umat Islam setempat. Kesemua daripada gejala akidah, syariah dan akhlak yang membelenggu umat Islam dekad ini perlu diatasi dengan segara dan bijaksana.
Cadangan Duli Yang Maha Mulia Sultan Johor, Sultan Ibrahim ibni al-Marhum Sultan Iskandar al-Haj ketika merasmikan Multaqa Ulama di Johor Bahru baru-baru ini juga boleh dijadikan pencetus kepada perubahan yang diidam-idamkan. Cadangan supaya ditubuhkan sebuah institusi pemikir Muslim memang tepat pada masanya memandangkan sebilangan umat Islam hari ini mengenepikan agama dalam kehidupan mereka.
Dengan tertubuhnya institusi itu nanti golongan agama, ahli akademik, para cendikiawan dan pemimpin masyarakat boleh mengembeleng segenap usaha dan tenaga bagi mengatasi gejala moral dan sosial yang meruncing dikalangan umat Islam sendiri.
Institusi itu juga boleh berperanan sebagai pusat pemikiran Islam dan menyebarluaskan kefahaman Islam kepada masyarakat agar mereka memahami Islam berdasarkan sumber yang diterima dan disepakati bersama. Ia juga boleh berfungsi untuk menangkis sebarang dakyah dan serangan pemikiran yang disebarkan oleh pihak-pihak tertentu untuk merosakan akidah pemikiran umat Islam dengan kaedah yang difikirkan sesuai masa kini.
Disamping itu peristiwa-peristiwa penting yang dikatakan berlaku pada tanggal 10 Muharram seperti Nabi Nuh as. terselamat daripada banjir besar, Nabi Ibrahim terselamat daripada bakaran api Raja Namrud dan Nabi Yunus as. dikeluarkan daripada perut ikan patut dijadikan iktibar.
Pastinya bukan mudah untuk menjadi individu Muslim yang patuh dan taat pada semua ajaran agama. Ujian dan cabaran pasti terlebih dahulu dihadapi bagi mematangkan jiwa dan ketakwaan kepada Allah SWT. Untuk tujuan itu umat Islam boleh mengambil contoh para nabi-nabi as. yang sabar dan tabah dalam mengharungi segala ujian berat yang dibebankan ke atas mereka. Segala susah-payah dan kesabaran itu pasti akan dibalas dengan ganjaran setimpal sama ada berbentuk ganjaran duniawi mahupun ukhrawi.
Malah jika direnungkan-renungkan segala ujian dan cabaran yang dihadapi oleh sebahagian besar umat Islam hari ini jauh lebih ringan berbanding Nabi SAW dan para sahabat terdahulu yang mempertaruhkan nyawa dan kehormatan mereka demi mempertahankan kedaulatan Islam daripada diceroboh oleh orang-orang kafir. Ingatlah juga betapa manusia akan terus diuji oleh Allah SWT dengan ketakutan, kelaparan, dan kekurangan harta benda dan kehilangan nyawa sehingga mereka kembali menghadap Allah Yang Maha Esa.
Ini jelas dinyatakan oleh Allah SWT dalam firman-Nya yang bermaksud “Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar. (Iaitu) orang-orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali. Mereka itu ialah orang-orang yang dilimpahi dengan berbagai-bagai kebaikan dari Tuhan mereka serta rahmatNya dan mereka itulah orang-orang yang dapat petunjuk hidayatNya. (surah al-Baqarah:155-157).
No comments:
Post a Comment