Monday, January 10, 2011

Dunia diancam bencana

Artikel ini telah disiarkan dalam Ruangan Rencana Utusan Malaysia bertarikh 13 Januari 2011 dengan tajuk "Dunia kini diancam pelbagai bencana besar"

DI SAAT ada yang sibuk memperkatakan tentang kemusnahan kehidupan di dunia menjelang tahun 2012, dunia yang didiami hari inipun kelihatan tidak mampu lagi untuk bertahan lebih lama. Ini berikutan pelbagai musibah dan bencana yang acap kali berlaku mengingatkan semua betapa dunia sememangnya sudah uzur dan segala kehidupan di dalamnya akan musnah jua apabila tiba detik yang ditentukan.

Bibit-bibit ke arah kemusnahan itu sudah mula di rasai di sana sini. Fenomena bencana alam seperti banjir, gempa bumi dan ribut salji ekstrim telah menyebabkan kerosakan dan kemusnahan kepada bumi dan isinya. Malah kawasan-kawasan yang jarang dilanda banjir besar seperti di Queensland Australia, Pakistan dan Arab Saudi kini terdedah kepada ancaman banjir itu, yang turut mengorbankan nyawa dan kehilangan harta benda berskala besar.

Banjir terburuk dalam tempoh 50 tahun di Wilayah Queensland Australia sebagai contohnya telah mengubah landskap setempat sehingga menjadi seperti sebuah pulau yang dikelilingi lautan lumpur. Malah beberapa negeri di Pantai Timur Semenanjung juga turut mengalami nasib yang sama apabila hujan lebat dan berterusan menyebabkan paras air sungai meningkat dan melimpah ke kawasan yang rendah.

Jika diteliti lagi bencana keruntuhan akhlak dan moral dikalangan segelintir masyarakat turut menunjukkan peningkatan ketara. Berdasarkan laporan di akhbar terdapat kira-kira 10 kes pembuangan bayi berlaku di seluruh negara sejak bermulanya tahun baru 2011 yang lalu. Kes penderaan terhadap kanak-kanak juga membimbangkan. Terbaharu seorang kanak-kanak perempuan berusia 3 tahun meninggal dunia di Hospital Sultan Ismail Johor Bahru akibat didera oleh ibu tirinya. Dengan 73 kesan lebam dan luka di badan sehingga menyebabkan pendarahan dan kerosakan kepada organ dalaman menjadikan Nordiana Qistina Nurafizan mangsa terbaru jenayah yang tidak berperikemanusiaan itu.

Ketamakan sebilangan pemborong dan pengedar yang menyorokkan barangan keperluan orang ramai turut membebankan pengguna dan menambah lagi bencana kesusahan yang dialami kini. Perbuatan tidak beretika yang kemungkinan bertujuan untuk mendesak kerajaan supaya menaikkan harga barangan keperluan tertentu semacam menjadi trend yang tidak boleh dibiarkan lagi. Daripada krisis gula, tepung, beras dan kini isu kekurangan minyak masak pula hangat diperkatakan. Yang pasti golongan ini akan mengaut keuntungan tinggi dengan harga barangan keperluan harian yang semakin meningkat dan pengguna terutama golongan berpendapatan rendah akan terus terhimpit dan tertindas menjadi mangsa keadaan.


Mungkinkah semua ini berlaku kesan pemanasan global yang melanda dunia atau disebabkan oleh kerakusan tangan-tangan manusia menodai alam sehingga bumi seperti sudah tidak selamat lagi untuk dihuni. Ataukah mungkin ini terjadi akibat kemurkaan Allah SWT terhadap manusia yang terlibat mempersekutukannya lagi ingkar terhadap suruhan dan melanggar peraturannya sehingga perasaan belas kasihan dan malu lenyap dalam diri.

Walau apapun jawapannya, bencana dan huru-hara hari kiamat yang lebih dahsyat tidak boleh dipersendakan ataupun digambarkan melalui khayalan fikiran manusia dalam filem Armagedon ataupun 2012 adaptasi cerita dongeng kaum Mayan.

Lebih dari itu umat Islam diajak bersedia dengan segala kudrat yang ada menimbun amal kebaikan guna berhadapan dengan hari perhitungan itu. Ini kerana segala kejayaan dan anugerah yang dikecapi di dunia hanya sementara dan tidak bertahan lama. Malah yang kekal ialah amal baik yang dilakukan ikhlas semata-mata mencari reda Ilahi sebagai bekalan menuju alam akhirat yang kekal abadi.

Persoalan bilakah peristiwa dahsyat itu akan terjadi tidak penting untuk dibahaskan. Malah jika diteliti tiada satupun bencana dan musibah yang melanda dunia dapat diketahui secara tepat sekalipun dengan pelbagai teknologi dan peralatan canggih masa kini. Allah SWT berfirman yang bermaksud;
“Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad) tentang hari kiamat: Bilakah masa datangnya? Katakanlah: Sesungguhnya pengetahuan mengenainya hanyalah ada di sisi Tuhanku, tidak ada sesiapa pun yang dapat menerangkan kedatangannya pada waktunya melainkan Dia. (Huru-hara) hari kiamat itu amatlah berat (menggerunkan makhluk-makhluk yang ada) di langit dan di bumi; ia tidak datang kepada kamu melainkan secara mengejut. Mereka bertanya kepadamu seolah-olah engkau sedia mengetahuinya. Katakanlah: Sesungguhnya pengetahuan mengenai hari kiamat itu adalah di sisi Allah, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui”. (Surah al-‘Araf:187)

Justeru itu sebelum terlambat gunakanlah kesempatan yang ada untuk berbuat kebajikan ataupun setidak-tidaknya umur yang ada tidak dibazirkan dengan perbuatan noda dan nista yang menyumbang kepada pelbagai bencana yang tidak berkesudahan. Yang pasti apabila musibah dan malapetaka menimpa seluruh masyarakat akan terpalit sama tidak kira tua ataupun muda, ibarat seekor lembu berkubang lembu yang lain juga terkena lumpurnya.

No comments:

Post a Comment