Tuesday, December 18, 2012
USAH PERSOALKAN BILA HARI KIAMAT
PROPAGANDA hari kehancuran dunia yang jatuhnya pada 21 Disember 2012 berdasarkan kalendar Kaum Mayan adalah suatu retorik yang menyesatkan. Umat Islam sepatutnya tidak terikut-ikut dengan kepercayaan karut seperti itu yang boleh merosakkan akidah dan keimanan Muslim. Jelasnya detik sebenar Hari Kiamat tidak mampu diramal oleh logik akal manusia yang sifatnya limited edition dan sangat bergantung kepada kekuatan pancaindera untuk mengetahui hakikat sesuatu. Namun begitu ia sedikit sebanyak mampu menjadi peringatan kepada umat manusia terutama yang lalai dan leka betapa detik kehancuran sudah hampir dan pasti berakhir apabila tiba waktu yang ditentukan oleh Nya.
Malah gambaran al-Quran dan hadis Nabi Muhammad SAW tentang hari kiamat yang dahsyat dan sangat mengerikan itu selayaknya menjadi iktibar kepada semua untuk bersedia dengan segala kudrat yang ada. Setiap individu Muslim diseru mempersiapkan diri dengan amal bakti dan segala ketaatan untuk dipersembahkan kepada Allah SWT. Setiap Muslim perlu menyedari betapa semua manusia kini sedang bermusafir ke alam akhirat yang kekal lagi abadi. Untuk itu segala persiapan dan bekalan yang mencukupi perlu dibawa untuk menempuh perjalanan jauh yang penuh onak, ranjau dan duri ini. Perlu disedari bahawasanya dunia tempat beramal manakala hari akhirat tempat manusia akan dihisab lalu dibalas oleh Allah SWT dengan ganjaran yang setimpal.
Allah SWT berfirman maksudnya “Pada hari itu manusia akan keluar berselerak (dari kubur masing-masing) untuk diperlihatkan kepada mereka (balasan) amal-amal mereka. Maka sesiapa berbuat kebajikan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)!. Dan sesiapa berbuat kejahatan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)!”. (Surah al-Zalzalah:6-8).
Kepercayaan masyarakat tertentu yang melakukan persiapan bersifat materialistik seperti berebut-rebut membeli topeng gas dan peralatan berselindung di bawah tanah, mempersiapkan bahtera besar dan naik ke kawasan tinggi untuk menyelamatkan diri ternyata jauh menyimpang daripada ajaran Islam yang suci. Umat Islam perlu menyedari bahawa peristiwa hari kiamat termasuk dalam perkara sam’iyat dan perkara ghaib yang wajib diimani dengan sepenuh jiwa raga berdasarkan sumber primer daripada al-Quran dan hadis Nabi SAW. Hakikatnya gambaran sebenar akan hari itu tidak diketahui dengan terperinci kerana ia termasuk dalam hikmat penciptaan manusia untuk beribadah dan melakukan persiapan amal kebajikan secukupnya. Malahan apabila tiba hari itu semuanya akan hancur binasa dan menjadi seperti debu yang berterbangan.
Disebutkan dalam Kitab Hadis 40 oleh Imam al-Nawawiy ra., Baginda Nabi Muhammad SAW pernah ditanya oleh Malaikat Jibrail as. yang menemuinya dalam bentuk manusia tentang Islam, iman dan ihsan lalu di penghujung dialog Malaikat Jibrail berkata “Beritahukan aku tentang hari kiamat lalu dijawab oleh Baginda Nabi SAW orang yang bertanya lebih mengetahui daripada orang yang ditanya”. Kemudiannya ditanyakan pula tentang tanda-tanda hari kiamat dijawab oleh Nabi SAW “Apabila hamba perempuan melahirkan tuannya sendiri; Apabila engkau melihat orang yang berkaki ayam, tidak berpakaian, penggembala kambing ( berbangga ) membina bangunan yang tinggi-tinggi.
Selain daripada itu apabila saat hampir berlaku hari kiamat, dunia dalam keadaan huru-hara dan fitnah yang menakutkan. Ini dapat diperhatikan dalam beberapa hadis Nabi SAW yang menyatakan tentang berleluasanya pembunuhan, zina, terjadi banyak perselisihan, umat Islam ditimpa penyakit kaum terdahulu seperti leka dengan keseronokan dan kemewahan duniawi, tipu-menipu dan saling zalim menzalimi antara sesama manusia dan banyak lagi yang kelihatan jelas berlaku dewasa ini.
Terbaharu peristiwa pembunuhan kanak-kanak di sebuah sekolah di Connecticut, Amerika Syarikat cukup menggemparkan dunia. Mana tidaknya kanak-kanak yang sedang mengikuti sesi pembelajaran harian ditembak secara rambang tanpa diketahui motif sebenarnya, seolah-olah nyawa manusia seperti binatang buruan yang boleh ditembak sesuka hati. Akhir-akhir ini jenayah pembunuhan juga kelihatan suatu topik biasa yang menjadi bahan wajib untuk disiarkan dalam media massa negara. Kegiatan jenayah dan samun yang berakhir dengan pembunuhan, orang mengamuk sehingga mengakibatkan kematian dan tak kurang juga pembunuhan bayi yang tidak berdosa saban hari berlaku sekali gus memberi isyarat betapa dunia sudah semakin tua.
Justeru sempena ketibaan tanggal 1 Januari 2013 yang sudah tidak berapa lama lagi, umat Islam khususnya diseru memperkukuhkan keimanan dan keyakinan kepada Allah SWT dengan benar-benar beriman pada hari kiamat dalam erti kata yang sebenar. Ini hendaklah dilakukan dengan bertekad dan berazam untuk melipatgandakan usaha dan tenaga beramal bagi menghadapi hari yang menggemparkan itu. Perlu juga disedari ketibaan tahun baharu bermakna umur manusia juga meningkat dan semua semakin hampir menemui Tuhan Nya. Kalaupun tidak bertemu hari kiamat yang dijanjikan setiap yang bernyawa pasti akan binasa dan itulah hari kiamat baginya. Telah dipersiapkan juga segala kenikmatan hidup di alam barzakh bagi yang beruntung dan seksaan azab kubur termasuklah dihimpit oleh tanah hingga bertemu tulang rusuk sebagai balasan golongan yang sesat dan fasik melakukan pelbagai maksiat yang dilarang.
Perlu juga diingat dalam era dunia siber tanpa had ketika ini umat Islam terdedah dengan pelbagai diayah palsu yang bertujuan untuk merosakkan keimanan dan kepercayaan akidah penganutnya. Sebaran e-mail songsang, kenyataan dalam laman sembang sosial yang menyesatkan dan tak kurang juga edaran sms berantai perlu ditapis dengan tapisan iman dan ilmu yang benar. Boleh jadi ia senjata perang saraf terkini lagi ampuh untuk menyesatkan akidah umat Islam. Ini termasuklah ramalan tarikh hari kiamat yang seakan mengarahkan umat Islam untuk berhenti mencari penghidupan dunia lalu menumpukan sepenuhnya kepada persediaan menghadapi hari akhirat. Jika ini berlaku akhirnya umat Islam akan terus dihina, ditindas dan diperlakukan dengan buruk ibarat anjing kelaparan yang berebut-rebut mengerumuni habuan mereka.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment