Sebahagian srtikel ini telah disiarkan dalam Ruangan Agama Berita Harian 9 Disember 2012.
JUMLAH kutipan zakat di seluruh Negara dijangka semakin meningkat terutama di penghujung tahun di mana sebilangan masyarakat Islam mengambil kesempatan menyelesaikan kewajipan membayar zakat pendapatan atau zakat gaji secara tahunan, zakat perniagaan, zakat wang simpanan dan tak kurang juga yang membayar zakat simpanan fizikal emas dan perak bagi tahun kewangan berakhir Disember setiap tahun. Hasilnya lebih daripada satu bilion ringgit wang kutipan zakat berjaya dikutip di seluruh negara pada tahun lalu dan Negeri Selangor sahaja berjaya mengumpul jumlah kutipan zakat tertinggi iaitu RM393,538,755.00.
Hal ini sekali gus menunjukkan betapa ramai Muslimin mula sedar dan sentiasa patuh kepada kewajipan agama yang mewajibkan zakat ke atas harta berkembang terutamanya daripada hasil perniagaan yang diusahakan. Ia juga suatu indikator yang menunjukkan bahawa taraf kehidupan masyarakat Islam di Malaysia terutamanya bertambah baik lagi diberkati hasil kepatuhan melaksanakan kewajipan syariat. Malah kenyataan ini selari dengan makna zakat dari segi bahasa iaitu tumbuh, bersih, suci, berkembang lagi diberkati. Justeru tidak hairan jika ada usaha perniagaan milik individu Muslim yang kurang berjaya, berubah menjadi semakin maju dan berkembang dengan mendapat laba keuntungan lumayan hasil kepatuhan membayar zakat perniagaan.
Natijahnya agihan zakat yang bakal dinikmati oleh asnaf penerima zakat juga bertambah, secara tidak langsung menyumbang kepada keharmonian dan kesejahteraan ummah sejagat. Namun golongan asnaf perlu menyedari bahawa bantuan zakat yang diterima bukanlah bantuan seumur hidup sehingga menjadikan golongan ini malas berusaha dan hanya mengharapkan bantuan orang lain. Lebih daripada itu selayaknya mereka berusaha untuk membebaskan diri daripada kepompong kemiskinan dengan bekerja mencari rezeki halal bagi menyara kehidupan. Apabila hal ini dapat dilakukan bantuan khusus secara berkala kepada golongan miskin tegar dapat diminimumkan dan hasil kutipan zakat boleh pula dimanfaatkan untuk keperluan menjana potensi pembangunan ummah secara kolektif misalnya dalam bidang pendidikan, kesihatan, keusahawanan dan lain-lain.
Dalam bidang pendidikan misalnya selain daripada wang zakat digunakan untuk memberi bantuan biasiswa pendidikan kepada anak asnaf yang tidak berkemampuan, ia juga boleh digunakan untuk menampung kos pendidikan di institusi pendidikan yang dibina khusus bagi asnaf menggunakan peruntukan wang zakat. Dalam konteks ini pusat pungutan zakat di setiap negeri boleh menyalurkan sebahagian peruntukan untuk membina pusat kecemerlangan pelajar di mana mereka didedahkan dengan kemahiran tertentu seperti pertukangan, jahitan, industri kecil dan sederhana serta bidang peruncitan. Pusat-pusat kecemerlangan akademik dalam bidang profesional seperti kedoktoran, guaman, perakaunan dan teknikal yang masih dikuasai oleh golongan tertentu juga boleh ditubuhkan dan anak asnaf yang terpilih boleh ditawarkan untuk mengikuti kursus-kursus profesional bagi meningkatkan bilangan umat Islam dalam bidang tersebut.
Dalam bidang kesihatan pula hospital atau klinik zakat boleh ditubuhkan bagi membantu asnaf untuk membiayai kos perubatan penyakit kritikal yang semakin meningkat dewasa ini secara percuma. Malah ia dapat membantu mempercepatkan proses rawatan dan pembedahan khususnya kepada golongan kurang berkemampuan yang terpaksa menunggu lama untuk mendapat rawatan di hospital awam. Golongan ini juga sudah pasti tidak mampu untuk membeli premium insurans perubatan yang melayakkan mereka mendapat rawatan perubatan pakar pada bila-bila masa apabila diperlukan. Asnaf zakat yang memerlukan bantuan seperti ini tidak wajar dibiarkan menanggung kesakitan sendirian tanpa pembelaan walhal menjadi tanggungjawab semua untuk membantu sesama saudara Muslim.
Justeru kewujudan pusat perubatan kelolaan institusi zakat ini mampu membuka sinar baharu dalam kehidupan Muslim yang ditimpa musibah penyakit secara tidak langsung dapat terus merealisasikan nilai ibadah yang menjadi tujuan utama kehidupan insan.
Dalam bidang keusahawanan dan peruncitan pula sebuah gedung perniagaan berasaskan mekanisme zakat dan wakaf boleh ditubuhkan di setiap negeri. Kalangan asnaf penerima bantuan modal perniagaan boleh ditawarkan untuk menjalankan aktiviti perniagaan di premis tersebut yang dipantau rapi oleh sebuah badan khas yang ditubuhkan. Selain daripada itu badan ini juga boleh bertindak sebagai pusat sehenti kawal selia perniagaan yang dijalankan malah bertindak sebagai amil zakat korporat bagi mengutip zakat perniagaan apabila melepasi syarat yang ditentukan oleh syarak. Dengan cara ini aktiviti pendidikan kepada peniaga melalui kursus keusahawanan, pengurusan kewangan, penyediaan budget tahunan dan laporan kewangan tahunan dapat dilakukan secara kolektif sekali gus menjimatkan masa dan mengurangkan kos yang perlu dikeluarkan. Bagi menjamin kejayaan ini pusat perniagaan itu mestilah ditempatkan di kawasan yang strategik, mempunyai kelengkapan serta kemudahan infrastruktur yang moden bagi menarik khalayak ke pusat membeli-belah tersebut. Tentunya penglibatan umat umat Islam dalam bidang perekonomian secara bersepadu seperti ini mampu melonjakkan lagi jumlah pungutan zakat setiap tahun dan secara tidak langsung berjaya menambah penyertaan umat Islam dalam aktiviti perniagaan yang masih boleh dibilang dengan jari.
Sehubungan dengan itu, semua pihak terutama pentadbir zakat, ulama dan ahli akademik seharusnya duduk semeja berbincang dengan lebih terperinci bagi menghasilkan suatu dimensi baharu agihan zakat di Malaysia. Dalam masa yang sama hak asnaf fakir miskin dan asnaf zakat lain yang diagihkan secara tradisi juga tidak dinafikan kerana ia jelas bertunjangkan perintah al-Quran dalam Surah al-Tawbah ayat 60 yang bermaksud "Sesungguhnya sedekah-sedekah (zakat) itu hanyalah untuk orang fakir, dan orang miskin dan amil-amil yang mengurusnya dan orang mualaf yang dijinakkan hatinya dan untuk hamba-hamba yang hendak memerdekakan dirinya, dan orang yang berhutang dan untuk (dibelanjakan pada) jalan Allah, dan orang musafir (yang keputusan) dalam perjalanan. (Ketetapan hukum yang demikian itu ialah) sebagai satu ketetapan (yang datangnya) dari Allah. Dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana".
Sempena Bulan Zakat Kebangsaan yang dirasmikan oleh Datuk Seri jami Khir Baharom baru-baru ini juga, umat Islam diseru untuk melipatgandakan usaha bekerja dan berusaha meraih pendapatan yang halal dengan penuh dedikasi sehingga menjadi pembayar zakat bukan berebut-rebut dan berseronok menjadi penerima agihan zakat.
Usaha-usaha ke arah memantapkan lagi pengurusan zakat dan agihannya perlu dilakukan dari semasa ke semasa bagi mengelak wang zakat diselewengkan atau tidak diagihkan kepada golongan sasar yang memerlukan. Ini penting bagi memelihara ketinggian institusi Islam daripada dipersalahkan sekali gus mencalarkan imej Islam di pandangan masyarakat berbilang bangsa dan agama di Malaysia.
Apa yang lebih penting era kegemilangan institusi zakat dan baitulmal zaman silam perlu terus dikaji, diteliti dan dicontohi bagi merealisasikan tema Bulan Zakat Kebangsaan kali keempat tahun ini iaitu "Agihan Tepat Zakat Berkat" lalu manfaatnya berhasil diraih oleh seramai mungkin asnaf zakat di seluruh negara.
No comments:
Post a Comment