Sunday, August 14, 2011

Perjuangan yang belum selesai


KEMENANGAN tentera Islam bagi menegakkan yang hak seterusnya menghancurkan kebatilan dalam Peperangan Badar al-Kubra adalah perjuangan yang sangat signifikan bagi umat Islam pada kini. Pagi Jumaat bersamaan 17 Ramadan tahun ke-dua hijrah merupakan detik bersejarah dalam sirah perjuangan Nabi Muhammad SAW dan sahabatnya kerana telah berjaya mengalahkan tentera musuh yang jauh lebih lengkap dalam bidang persenjataan dan bilangan anggota tentera.

Sungguhpun begitu dalam konteks hari ini perjuangan dengan mengangkat senjata dan kekerasan bukanlah satu-satunya jalan untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh umat Islam. Hanya golongan tertentu yang ditindas dan dizalimi seperti saudara Islam di Palestin wajib berjuang habis-habisan bagi mempertahankan agama, nyawa dan tanahair mereka daripada diceroboh oleh musuh Yahudi yang dilaknat oleh Allah SWT. Dalam masa yang sama umat Islam diseluruh dunia diseru turut berjihad membantu dengan apa cara sekalipun bagi menyokong perjuangan mereka. Ini termasuklah bantuan kewangan dan ubat-ubatan juga buah fikiran yang bernas bagi membebaskan bumi Palestin daripada terus dijajah.

Disudut pandang yang lain umat Islam secara umumnya sedang berhadapan dengan perjuangan melawan hawa nafsu sendiri yang sering menjurus kepada perlakuan noda dan dosa sekalipun di bulan Ramadan al-Mubarak. Perbuatan mencemari kesucian Ramadan dengan perlakuan jijik seperti bersekedudukan, berkhalwat dan berpelukan di kawasan awam menunjukkan betapa ramai yang gagal mengawal nafsu sendiri. Ini ditambah lagi dengan perbuatan makan serta menghisap rokok dikhayalak ramai tanpa rasa malu serta tidak menghormati kesucian Ramadan. Lihatlah bagaimana jika nafsu serakah telah menguasai diri jenayah rogol dan pembunuhan juga turut menghiasi hari-hari Ramadan yang semakin pantas berlalu pergi.

Sebahagian yang lain pula terikut-ikut nafsu makan sehingga semua ingin dibeli walaupun hanya sedikit yang mampu dimakan ketika berbuka. Ada juga yang terpedaya dengan nafsu berbelanja lalu menjelang hari lebaran semuanya mesti nampak baharu dan bergaya. Kata-kata biar papa asal bergaya seperti sinonim dengan tindakan segelintir masyarakat sehingga ada yang sanggup berhutang demi untuk kepuasan nafsu yang tidak terbatas. Malah yang lebih membimbangkan apabila ada pihak yang sanggup menggadaikan akidah demi mengharap sesuap nasi yang sebenarnya racun yang bakal memurtadkan mereka.

Benarlah sabda Nabi Muhammad SAW kepada sekumpulan sahabat yang baru pulang daripada satu peperangan; “Kamu pulang dari jihad kecil kepada jihad yang lebih besar iaitu mujahadah seseorang hamba terhadap nafsunya”. (Hadis riwayat al-Dailami).

Justeru itu jihad melawan hawa nafsu yang juga dikenali sebagai jihad al-Akbar perlu dilaksanakan dalam setiap gerak geri kehidupan pada masa kini. Apatah lagi dalam keadaan musuh nafsu yang tidak kelihatan lagi sukar dikawal. Perjuangannya juga tidak terbatas sama ada ketika bersendirian mahupun di khayalak ramai. Masanya juga tidak terhad, siang ataupun malam dan berlanjutan hingga seseorang menemui ajalnya. Malah dengan medan perjuangan melawan hawa nafsu yang luas dan tidak bertepi bukan calang-calang manusia yang mampu menjadi wira dalam perjuangan ini.

Allah SWT berfirman yang bermaksud "Dihiaskan (dan dijadikan indah) kepada manusia: Kesukaan kepada benda-benda yang diingini nafsu, iaitu perempuan-perempuan dan anak-pinak; harta benda yang banyak bertimbun-timbun, dari emas dan perak; kuda peliharaan yang bertanda lagi terlatih dan binatang-binatang ternak serta kebun-kebun tanaman. Semuanya itu ialah kesenangan hidup di dunia dan (ingatlah), pada sisi Allah ada tempat kembali yang sebaik-baiknya (iaitu Syurga) ". (Surah ali-Imran:14).

Justeru itu kaum Muslimim diseru mengerahkan segenap usaha dan tenaga bagi mengharungi perjuangan menentang hawa nafsu sendiri dalam erti kata perjuangan yang belum selesai dan belum berakhir selagi hayat dikandung badan. Realitinya ia sesuatu yang sukar dan payah untuk dilestarikan. Walau bagaimanapun kemenangan tentera Islam dalam persitiwa Badar al-Kubra boleh dijadikan iktibar untuk mengharungi onak dan ranjau perjuangan mencari reda Ilahi.

Sayogia diketahui betapa manusia adalah hamba Allah yang lemah lagi tidak berdaya. Namun begitu pengharapan dan sandaran yang tidak berbelah bahagi kepada Allah SWT mampu memberi kekuatan yang diperlukan. Perhatikan bagaimana dengan bilangan tentera Islam yang berjumlah 313 orang beserta 70 ekor unta dan 2 atau 3 ekor kuda berjaya menewaskan tentera musuh yang berjumlah 1300 orang serta dilengkapi dengan 600 baju berantai, 100 ekor kuda dan unta yang tidak diketahui bilangannya.

Selain daripada itu dengan munajat Rasulullah SAW yang bersungguh-sungguh disertai kecekalan dan keimanan para sahabat Allah SWT menurunkan bantuan bala tentera malaikat yang membantu kaum Muslimin di saat getir menentang golongan kuffar. Menurut riwayat Ibnu Saad dan Ikrimah ada kepala dan tangan tentera musuh yang terputus tanpa kelihatan sesiapa yang memancungnya. Menurut riwayat Ibnu Abbas pula ada seorang tentera Muslimin mengejar musuh tiba-tiba terdengar pukulan cemeti dari atas dan terdengar pula suara pahlawan berkuda. Malah Iblis yang turut menyertai peperangan itu lari bertempiran apabila melihat kemaraan tentera malaikat dalam peperangan tersebut sebagaimana yang diceritakan dalam Kitab Sirah Ibnu Hisyam.

Justeru itu sebelum berakhirnya Ramadan dan manusia terpaksa bertarung dengan dua musuh;hawa nafsu sendiri dan Iblis yang kembali bebas menyesatkan manusia, berusahalah untuk mendidik jiwa dengan amalan ketaatan yang bersungguh-sungguh disamping bermunajat kepada Allah SWT. Berusahalah untuk beroleh perisai takwa yang merupakan hadiah paling berharga atas susah payah mengharungi Ramadan sebagai persediaan untuk berjuang mati-matian demi memerdekakan diri daripada belenggu nafsu dan kejahilan yang merosakkan.

Masyarakat Islam juga diseru untuk berjihad mempertahankan kesucian akidah dan keimanan daripada dipengaruhi oleh anasir-anasir jahat yang cuba untuk memesongkan ajaran Islam yang suci. Apalah ertinya pangkat, kedudukan dan kemewahan yang dimiliki jika tidak sanggup menyumbang untuk memelihara akidah saudara sendiri yang dibelenggu oleh kemiskinan sehingga terpaksa melutut dan menadah tangan kepada mereka yang belum tentu ikhlas memberi.

No comments:

Post a Comment