Artikel ini telah disiarkan dalam ruangan rencana Akhbar Utusan Malaysia bertarikh 12 Ogos 2011.
JIKA pemberian bonus oleh kerajaan kepada warga peneroka Felda seluruh negara disambut dengan penuh kegembiraan, begitu pula pengumuman bonus setengah bulan gaji atau minimum RM500 kepada pekerja sektor awam melegakan menjelang hari lebaran, ganjaran pahala berbakti dan mengabdikan diri kepada Allah SWT di bulan Ramadan juga seharusnya diraih dengan komitmen bersungguh-sungguh oleh individu Muslim.
Kurniaan pahala yang berlipat kali ganda itu juga tak ubah seperti bonus tahunan anugerah Allah SWT kepada hamba-hamba-Nya yang sanggup mengorbankan masa, tenaga malah wang ringgit semata-mata mengharap keampunan daripada-Nya.
Justeru, kesempatan masa yang masih berbaki, umat Islam diseru untuk memanfaatkannya dengan semaksimum mungkin. Selain berusaha untuk mempertingkat ibadah puasa ke tahap yang tertinggi, amalan yang lain juga boleh dilakukan.
Apalah salahnya jika waktu makan tengahari di bulan Ramadan diganti dengan berkunjung ke masjid dan surau terdekat untuk menunaikan solat fardu secara berjamaah.
Elakkan daripada banyak tidur dan bersantai-santai kerana Ramadan yang datang semakin pantas pergi meninggalkan kita. Cakap-cakap seperti nantilah dan sibuklah seharusnya diganti dengan semangat berkobar-kobar untuk beribadah sebagai tanda syukur bertemu Ramadan lagi.
Diriiwayatkan oleh Ibn Khuzaimah dari Salman r.a. bahawa Rasulullah SAW berkhutbah di hari terakhir bulan Syaaban dengan maksudnya: "Wahai manusia, sesungguhnya telah datang kepada kamu bulan yang agung, bulan yang penuh keberkatan; iaitu bulan yang di dalamnya ada suatu malam yang lebih baik daripada seribu bulan; bulan yang Allah telah menjadikan puasanya suatu kefarduan dan qiyam di malam harinya suatu galakkan.
"Barang siapa mendekatkan diri kepada Allah dengan ibadah sunat, samalah seperti orang yang menunaikan suatu fardu di bulan yang lain. Barang siapa menunaikan suatu fardu di dalam bulan Ramadan, samalah seperti mengerjakan tujuh puluh fardu di bulan yang lain.
"Ramadan itu adalah bulan sabar sedangkan sabar itu ganjarannya syurga. Ramadan itu adalah bulan kemurahan dan bulan Allah menambah rezeki kepada orang Mukmin.
"Barang siapa memberi makanan berbuka kepada orang yang berpuasa, akan beroleh pengampunan daripada dosa dan pembebasan daripada api neraka. Dan ia akan mendapat pahala seperti mana orang yang berpuasa itu tanpa berkurang sedikit pun".
Kesemua ganjaran ini tidak akan datang bergolek tanpa usaha bersungguh-sungguh untuk mendapatkannya. Begitu pula ia tidak semudah menuturkan kata-kata. Ia perlukan pengorbanan dan semangat jihad yang tinggi kerana ganjaran syurga sebagai balasannya juga sesuatu yang tidak ternilai.
Setiap individu Muslim boleh merebut peluang ini dengan berusaha untuk melipatgandakan ibadah dengan berpuasa di siang hari dan bertarawih serta qiamullail di waktu malam. Apatah lagi menjelang 10 hari terakhir Ramadan yang menjanjikan pengampunan dan pembebasan daripada api neraka Allah SWT.
Malah masjid dan surau-surau yang meriah di awal Ramadan kini mula lengang jelas menunjukkan betapa hanya golongan terpilih sahaja yang bakal dianugerahkan oleh Allah SWT dengan bonus Ramadan.
Amalan bersedekah dan infaq fi sabilillah juga turut boleh dipergiatkan lagi. Selain itu perintah wajib mengeluarkan zakat fitrah janganlah pula diabaikan.
Usah menunggu hingga ke saat akhir bagi memudahkan urusan agihan zakat fitrah kepada golongan memerlukan dapat diselesaikan seawal yang mungkin.
Dalam pada itu tindakan sesetengah pihak yang memperalatkan anak yatim, orang buta dan komuniti OKU untuk meraih pendapatan lumayan khususnya di bulan Ramadan adalah sesuatu yang amat dikesali. Mereka sepatutnya dikasihi dan dibantu bukan dipergunakan untuk meminta sedekah, menjual madu dan kitab-kitab agama.
Ramadan kini mula memasuki 10 hari kedua dengan dijanjikan ganjaran pembebasan daripada api neraka khusus bagi yang sanggup bersengkang mata dan berkorban apa sahaja demi kerana Allah SWT.
Justeru umat Islam diseru untuk bersedia memecut laju melipatgandakan usaha dan tenaga untuk beroleh nikmat beribadah di malam lalilatulqadar yang menyamai pahala beribadah seribu bulan ataupun 83 tahun.
ass.wr.wb, ustad mohon dijelaskan tentang lailatulqodar dan tanda-tandanya, upaya apa supaya mendapatkan lailatul qodar, terima kasih, wass wr wb
ReplyDeleteSalam & terima kasih..Bukan mudah untuk bertemu Lailatulqadar. Hanya individu terpilih yg taat kepada Allah,ikhlas beribadah dan suci jiwa raga yg berpeluang menikmati ganjaran mulia tersebut. Bertemu atau tidak bukan persoalan pokok. Yang lebih penting ialah bagaimana kita memanfaatkan Ramadan dengan ketaatan dan keluar daripadanya dengan takwa sebagai bekalan. Banyakkan berdoa semoga terpilih dikalangan hambanya yang teristimewa utk bertemu lailatulqadar. Tandanya bermacam;ada yg menemui pokok sujud dll. Namun bagi yg bertemu lailatulqadar ditegah daripada menceritakannya kpd yg lain bimbang dicemari dengan sifat riak & ujub yg merosakkan..Wallahu'alam
ReplyDelete