Tuesday, July 12, 2011

BERSIH kan diri daripada sifat mazmumah

TIDAK berapa lama lagi umat Islam di seluruh dunia akan mula berpuasa sempena kedatangan Bulan Ramadan al-Mubarak. Realitinya ramai yang lebih bersedia untuk menyambut hari raya dengan pelbagai persiapan seperti tempahan baju dan langsir baru, tempahan kuih-muih, jadual marhaban dari rumah ke rumah dan lain-lain lagi. Jarang didengar ada yang menempah baju sebagai persiapan untuk bertemu Ramadan ataupun setidak-tidaknya berusaha memperbetulkan niat dan membersihkan diri daripada pelbagai perangai mazmumah yang tercela. Malah kemungkinan ada yang sudah mula berkira-kira bagaimana untuk mengelak daripada berpuasa dengan alasan yang tidak syarie yang direka-reka sendiri.

Untuk itu, setiap individu Muslim perlu membersihkan hati dengan memahami betapa ibadat puasa di bulan Ramadan merupakan suatu kewajipan yang tidak boleh sama sekali diabaikan. Ia termasuk rukun Islam yang fardu dilakukan oleh setiap individu Muslim yang memenuhi syarat-syarat wajib berpuasa iaitu Islam, baligh, berakal dan tidak dalam keadaan haid dan nifas bagi wanita.

Sayogia juga difahami barangsiapa yang enggan berpuasa dengan mengingkari kewajipan berpuasa di bulan Ramadan termasuk golongan murtad yang kena disuruh untuk bertaubat jika tidak, boleh dikenakan hukuman bunuh seperti yang disyariatkan. Adapun keengganan berpuasa kerana malas dan tanpa sebab-sebab yang dibenarkan oleh syarak termasuk pula dikalangan orang fasik yang berdosa besar. Pemerintah Islam boleh bertindak menangkap dan memenjarakan golongan ini serta diperintah untuk berpuasa di siang hari sebagaimana yang sepatutnya dilakukan.

Selain itu, umat Islam diseru memuhasabah diri dengan bersiap sedia sama ada dari aspek mental, fizikal dan punca kewangan bagi menyambut ketibaan Ramadan al-Mubarak. Ia peluang sekali setahun khusus bagi individu yang terpilih yang tidak patut dipersiakan. Ramadan juga bulan ibadat yang memerlukan kekuatan mental untuk melawan musuh hawa nafsu yang bermaharajalela ketika Iblis dibelenggu oleh Allah SWT. Selain itu kesihatan tubuh badan dan kekuatan fizikal juga sangat diperlukan untuk melakukan pelbagai ibadat sama ada yang difardukan mahupun yang disunnahkan seperti solat tarawih dan qiamullail. Sumber kewangan turut dapat membantu merealisasikan tuntutan ibadat dengan bersedekah, menyediakan juadah berbuka puasa dan membayar zakat fitrah yang diwajibkan.

Sikap buruk seperti suka melepak dan membuang masa hendaklah mula diganti dengan banyak beritikaf di masjid dan mengaji al-Quran. Perbuatan suka mengumpat, mengeji dan memburukkan orang lain hendaklah dielakkan. Malah adalah lebih mulia jika ia diganti dengan berzikir mengingat Allah SWT ataupun diam jika tiada yang hendak diperkatakan. Pelbagai gejala dosa dan maksiat termasuklah perangai mazmumah seperti sombong, tidak mahu ditegur, sukar menerima nasihat hendaklah dijauhi sebagai persediaan memperoleh sebesar-besar kurniaan di bulan Ramadan.

Selain itu golongan peniaga diseru membersihkan jiwa daripada hanya memikirkan keuntungan berlipat kali ganda yang bakal diraih menjelang Ramadan dan musim perayaan yang mendatang. Ini kerana selain berniaga mereka juga berpeluang memperoleh pahala dengan menyediakan juadah berbuka puasa yang enak lagi berkhasiat juga dengan harga yang berpatutan. Para peniaga Bazar Ramadan pula dinasihat agar tidak terlalu awal memulakan perniagaan kerana dikhuatiri menyumbang kepada gejala tidak berpuasa dikalangan umat Islam. Alasan juadah dijual untuk orang bukan Islam tidak boleh diterima kerana berapa keratlah sangat golongan tersebut yang bertandang ke gerai mereka. Malah lebih membimbangkan apabila amalan puasa yang dilakukan kurang sempurna dek kerana terpalit dosa golongan yang sengaja tidak berpuasa.

Isu makanan halal yang disuapkan ke mulut juga perlu diberi perhatian serius. In kerana menjelang Ramadan pelbagai promosi dilakukan oleh hotel tertentu untuk berbuka puasa. Ia semarak di bulan Ramadan berikutan kegemaran segelintir masyarakat Islam yang mengadakan majlis berbuka puasa di hotel-hotel ataupun berbuka sambil bersantai bersama keluarga. Malah penyelidikan sama ada terdapat sijil halal daripada JAKIM ataupun tidak perlu dilakukan sebelum memilih untuk berbuka di hotel tertentu. Ini penting bagi mengelak memakan makanan yang tidak halal seterusnya memberi kesan kepada puasa yang dilakukan sepanjang hari. Umat Islam juga perlu membersihkan jiwa daripada keinginan untuk makan dan berseronok-seronok di bulan Ramadan berbanding usaha bersungguh-sungguh melakukan seberapa banyak ibadah termampu.

Sempena dengan ketibaan Ramadan kali ini juga umat Islam diseru merangka dan menyedia jadual terperinci akan amal ketaatan yang akan dilakukan. Misalnya berapa muka surat al-Quran yang hendak dibaca setiap hari hingga berjaya khatam di penghujung Ramadan. Semua ini penting bagi melonjakkan diri ke tangga puasa khusus yang lebih berkualiti dan diterima dengan sempurna.

Apapun pelbagai persiapan yang dilakukan menjelang tibanya hari raya tidaklah dianggap sebagai satu kesalahan yang mengurangkan pahala berpuasa. Akan tetapi janganlah ia dijadikan tujuan dan matlamat puasa yang sebenar sehingga persiapan berbentuk spritual untuk bertemu Ramadan diketepikan. Malah tanda aras kepada kejayaan sebenar yang bakal diraih daripada Ramadan ditentukan dengan kejayaan membersihkan diri daripada ikutan hawa nafsu ataupun sebaliknya.

Akhirnya ingatlah pesan Baginda Nabi Muhammad SAW yang bermaksud “Ramai orang yang berpuasa tetapi mereka tidak memperoleh apa-apa kecuali rasa lapar dan dahaga”. Ada kemungkinan ia akibat daripada kurang memahami hakikat puasa yang sebenar kesan daripada hati sanubari yang kotor lagi dicemari oleh pelbagai sikap buruk yang tercela. Justeru itu, berusahalah untuk mencapai kualiti puasa sebenar dengan membersihkan seluruh pancaindera daripada perangai mazmumah yang merosakkan pahala berpuasa.

1 comment:

  1. Salam mohon share ye. Utk tatapan sendiri & inshaa Allah utk perkongsian umum di masa hadapan. Semoga tuan dirahmati Allah. Syukran

    ReplyDelete