Monday, June 27, 2011

Isra’ Mikraj sirah agung bukti kebesaran Tuhan

Artikel ini telah disiarkan dalam ruangan Rencana Akhbar Utusan Malaysia bertarikh 29hb Jun 2011 dengan tajuk "Sirah Agung Bukti Kebesaran Tuhan"

SETIAP tahun apabila tiba tarikh 27 Rejab, umat Islam di Malaysia secara khususnya akan meraikan peristiwa kembara agung perjalanan Isra’ dan Mikraj Baginda Nabi Muhammad SAW. Walaupun terdapat perbezaan pendapat tentang tarikh sebenar kejadian menakjubkan itu ia tidak perlu diperbesarkan. Apa yang lebih penting ialah bagaimana umat Islam dapat menghayati peristiwa tersebut lalu berusaha untuk menterjemahkannya dalam kehidupan seharian.

Malah jika diperhalusi ia bukti keagungan dan kekuasaan Allah SWT yang telah menjalankan hambanya pada malam hari bermula di Mekah lalu singgah di Masjidil Aqsa di Palestin dan dibawa naik merentasi tujuh petala langit sehingga sampai bertemu Allah SWT. Berpagi-pagi lagi pada keesokan harinya Baginda Nabi SAW sedia bersama penduduk Mekah untuk menceritakan peristiwa kembara agung itu, walaupun ramai yang menolak untuk mempercayainya.

Sememangnya jika manusia berfikir dengan panduan akal semata-mata, tiada sebarang teknologi yang boleh membawa manusia naik ke angkasa raya sepantas itu. Pesawat Soyuz TMA-11 yang pernah membawa angkasawan pertama negara, Dr. Sheikh Muszaphar Shukor dan dua krew lain perlu berada di orbit selama 47 jam dan mengelilingi bumi sebanyak 700 kali sebelum berjaya untuk bercantum dengan Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) walaupun ia hanya terletak 350 kilometer dari ruang angkasa rantau Asia Tengah.

Namun begitu apabila ia dikaitkan dengan kebesaran dan keagungan Allah SWT yang Maha Berkuasa mencipta segala sesuatu ia bukanlah perkara yang mustahil. Baginda Nabi Muhammad SAW sendiri di bawa dengan kenderaan khusus yang dikenali sebagai buraq untuk naik mengadap Allah SWT bukannya dengan kudrat sendiri. Perkara ini boleh diperhatikan kepada firmanNya yang bermaksud; “Maha Suci Allah yang telah menjalankan hambaNya (Muhammad) pada malam hari dari Masjidilharam (di Mekah) ke Masjid Al-Aqsa (di Palestin), yang Kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami. Sesungguhnya Allah jualah Yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui”.( Surah al-Isra”:1)

Selain daripada itu, Allah SWT turut memaparkan bukti kekuasaanNya dengan menunjukkan kepada Baginda Nabi SAW dan umat Islam secara umumnya tentang beberapa peristiwa menakjubkan. Antaranya diperlihatkan akan sekelompok manusia yang perut mereka besar seperti rumah, di dalamnya ada cacing yang boleh dilihat daripada luar perut. Lalu Malaikat Jibril yang menemaninya sepanjang perjalanan mengatakan itulah siksaan kepada pemakan riba’ yang diharamkan.

Nabi juga diperlihatkan dengan sekumpulan manusia yang menanam tanaman dan menuai hasilnya pada hari yang sama. Dikatakan kepadanya itu adalah balasan baik bagi orang yang berjihad di jalan Allah SWT. Ada pula sekelompok manusia yang menghantukkan kepala ke dinding lalu pecah dan bercantum semula kemudian dihantuknya lagi sehingga pecah dan bercantum semula sebagai balasan azab Allah SWT terhadap orang yang malas dan meninggalkan fardu sembahyang.

Sayogianya sempena memperingati peristiwa agung ini umat Islam tidak terlalu leka dan terkesima dengan berbagai habuan dunia sehingga lalai melaksanakan tanggungjawab yang difardukan. Ibadah salat yang difardukan secara langsung kepada Nabi Muhammad SAW pada malam Isra’dan Mikraj jelas menunjukkan betapa ia tidak boleh dipandang ringan. Ini berbeza dengan ibadat yang lain seperti zakat dan haji yang diwahyukan menerusi perantaraan Malaikat Jibril AS. Oleh itu dalam apa jua kegiatan seharian yang dilakukan solat sama sekali tidak patut diabaikan. Malah pelaksanaan ibadat solat merupakan antara kriteria sesuatu pekerjaan dinilai sebagai ibadat dan diberi ganjaran pahala disisi Allah SWT.

Selain itu penglibatan umat Islam dalam transaksi kewangan dan perbankan yang berteraskan riba’ juga adalah diharamkan. Malah pengharamannya sama dengan dosa meminum minuman keras dan makan makanan yang diharamkan seperti babi dan lain-lain. Malah dengan situasi masa kini yang mana negara kita terkehadapan dalam mengamalkan sistem ekonomi dan kewangan berteraskan syariat Islam hukum darurat tidak lagi terpakai. Institusi perbankan dan kewangan Islam yang ada juga turut berkembang pesat dengan sokongan dan insentif daripada pihak kerajaan.

Justeru itu adalah tidak patut jika masih terdapat dikalangan orang Islam yang memperlekehkan pelaksanaan ini tanpa menyokong dan memberi idea pembaikan terhadap kepincangan yang berlaku. Lebih buruk lagi jika masih ada yang rela makan riba’ walaupun tahu kesan dan keburukannya. Selari dengan itu juga penghayatan terhadap peristiwa Isra’ dan Mikraj perlu diterjemahkan dengan hanya memilih produk pembiayaan dan pelaburan yang patuh syariah yang banyak di pasaran masa kini. Sebagai contohnya mengamalkan fatwa tentang pengharaman ASB dan ASN yang telah dikeluarkan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor Darul Ehsan.

Di sudut pandang yang lain, kesanggupan umat Islam untuk berjihad melawan hawa nafsu, berjihad memerdekakan diri daripada belenggu kemiskinan dan berjihad usaha dan tenaga untuk membantu sesama Islam masih di takuk lama. Buktinya saban hari ada sahaja berita berkaitan jenayah rasuah, buang bayi, bersekedudukan dan berzina yang menghiasi dada-dada akhbar tempatan. Ia sekaligus menampakkan bagaimana segelintir umat Islam tidak berdaya walaupun untuk melawan nafsu serakah sendiri yang merupakan musuh paling utama. Mereka seolah-olah sudah tidak mempercayai keujudan Allah SWT sehingga tanpa segan silu berbuat maksiat sesuka hati.

Peristiwa kembara agung junjungan besar Nabi Muhammad SAW jelas membuktikan betapa Allah SWT tidak pernah alpa dan lalai daripada memperhati setiap gerak gerak perlakuan hambanya, malah berkuasa pula untuk mengenakan azab dan hukuman setimpal atas kesalahan yang dilakukan.

Justeru itu, usah hanya bergelak ketawa dengan lawak jenaka yang disampaikan oleh penceramah jemputan ataupun kenyang perut dengan pelbagai juadah berat yang disediakan. Lebih daripada itu sambutan hari kebesaran Islam yang silih berganti sepanjang tahun ini perlu dihayati dan diterjemahkan dalam realiti kehidupan seharian agar ia benar-benar mencapai matlamat yang diharap-harapkan.

1 comment:

  1. You have a nice blog. Try to visit my blog too www.claire-fernandez.blogspot.com... Thanks

    ReplyDelete