Sebahagian daripada artikel ini telah diterbitkan dalam ruangan Agama Akhbar Berita Harian bertarikh 7 April 2011 dengan tajuk "Islam tidak menetapkan fesyen asalkan tutup aurat"
Akhir-akhir ini pelbagai pihak tampil menganjurkan pertandingan ratu cantik dengan pelbagai nama yang dipromosikan. Ia nampaknya menarik perhatian segelintir gadis-gadis Melayu beragama Islam untuk menyertai pertandingan tersebut yang turut menawarkan habuan lumayan kepada pemenang. Di sudut pandang yang lain penampilan seksi segelintir selebriti tanah air juga semakin hangat diperkatakan. Begitu pula terdapat sesetengah filem yang seolah-olah cuba mengeksplotasi wanita dengan cara berpakaian yang tidak senonoh dan mencemarkan budaya dan adat ketimuran. Lebih memeranjatkan lagi apabila terdapat kalangan selebriti yang dinobatkan sebagai artis wanita paling seksi dan paling hangat di Malaysia berdasarkan undian yang dilakukan oleh peminatnya.
Semua ini mencerminkan betapa hukum dan peraturan agama khususnya berkaitan perintah menutup aurat sudah tidak dipedulikan. Kemungkinan ada yang menganggap bahawa isu ini tidak perlu diperbesar-besarkan memandangkan dunia sudah maju zaman juga sudah berubah. Boleh jadi juga ada yang mengatakan usah jaga tepi kain orang atau biarkan sahaja apa yang dilakukan oleh mereka sambil mendakwa tidak pernah menyusahkan orang lain.
Namun begitu, setiap orang yang beriman sewajarnya meyakini betapa syariat Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW merupakan syariat yang bersesuaian untuk setiap masa dan keadaan. Kalaupun berlaku perubahan ia lebih kepada amalan dan pelaksanaan sahaja, sedangkan asasnya tetap hingga ke akhir zaman. Selain daripada itu menjadi tugas dan tanggungjawab saudara se Islam untuk saling berpesan-pesan dengan kebenaran dan kesabaran.
Islam tidak pernah mensyaratkan hanya pakaian tertentu yang wajib dipakai sama ada oleh lelaki mahupun wanita. Malah syariat yang murni memberi kebebasan kepada pelbagai bangsa dan keturunan manusia untuk mengenakan apa sahaja pakaian yang sesuai dengan adat, budaya dan persekitaran mereka. Asasnya ialah menutup antara pusat dan lutut bagi lelaki dan menutup seluruh badan bagi wanita kecuali muka dan tapak tangan.
Allah SWT berfirman yang bermaksud “Wahai Nabi, suruhlah isteri-isterimu dan anak-anak perempuanmu serta perempuan-perempuan yang beriman, supaya melabuhkan pakaiannya bagi menutup seluruh tubuhnya (semasa mereka keluar); cara yang demikian lebih sesuai untuk mereka dikenal (sebagai perempuan yang baik-baik) maka dengan itu mereka tidak diganggu dan (ingatlah) Allah adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. ( Surah al-Ahzab, 59).
Dalam hal ini juga Baginda Nabi Muhammad SAW diriwayatkan pernah menegur Asma’ yang berpakaian nipis, sambil membelakanginya Nabi Muhammad SAW bersabda Wahai Asma’ Sesungguhnya seorang wanita apabila telah cukup umur (telah baligh), tidak boleh dilihat daripadanya, kecuali ini dan ini, seraya Baginda SAW menunjukkan kepada wajahnya dan kedua belah tapak tangannya.
Oleh kerana itu, jika dengan hanya berpakaian nipis sahaja sudah ditegah lalu bagaimana pula dengan realiti pakaian segelintir masyarakat Islam hari ini. Justeru itu setiap individu Muslim perlu menginsafi diri dan berbuat sesuatu berlandaskan peraturan agama. Elakkan daripada mengamalkan budaya ikut-ikutan dengan meniru gaya dan corak berpakaian masyarakat lain yang tidak berlandaskan kepada prinsip hidup beragama yang sebenar.
Lebih daripada itu, setiap wanita Muslimah wajib memiliki sifat malu sebagai pendinding untuk menangkis serangan bertubi-tubi musuh Islam daripada berbagai-bagai kaedah yang ditujukan terutamanya kepada golongan belia Islam agar mereka jauh daripada pegangan agama yang dituntut.
Penulis sendiri berasa malu apabila ada individu yang tidak faham tentang agama Islam tetapi tahu apa yang sepatutnya dilakukan oleh orang yang beragama. Malah dengan tegas beliau mengatakan seksi bukan penanda aras yang akan menentukan sesebuah filem sama ada bermutu ataupun tidak.
Masyarakat Islam secara umumnya juga perlu memahami bahawa perbuatan mendedahkan aurat di khalayak ramai adalah sesuatu yang diharamkan oleh syariat. Malah fatwa berkaitan perkara ini telah diwartakan di Wilayah Persekutuan pada 8hb. Feb. 1996 yang menyatakan adalah haram dan berdosa bagi orang Islam menyertai atau menganjurkan atau menyumbangkan apa-apa bentuk sumbangan untuk penganjuran apa-apa pertandingan ratu cantik. Fatwa yang sama juga turut diwartakan di Negeri Sabah dan Selangor.
Berbagai-bagai perkara sumbang yang berlaku dalam masyarakat Islam hari ini menunjukkan bahawasanya sifat malu mula diangkat oleh Allah SWT sedikit demi sedikit menjelang hari kiamat. Saban hari kita dihidangkan dengan kelakuan golongan yang dicabut perasaan malu dalam diri mereka. Pelbagai fesyen pakaian yang mendedahkan aurat diperagakan ketika ke pejabat mahupun bersiar-siar tak ubahnya seperti seorang model di pentas peragaan. Akibatnya banyak pula pelanggaran terhadap hak-hak Allah SWT yang dicabuli apabila mereka tidak malu dengan pemerhatian dan pengawasan Allah SWT yang tidak putus-putus.
Sehubungan dengan itu masyarakat Islam diajak menilai kecantikan bukan dengan fizikal dan gaya penampilan yang seksi lagi menggiurkan. Ia sesuatu yang tidak akan kekal lama dan sirna apabila tiba masanya. Adapun kecantikan akhlak dan budi pekerti mulia yang kekal tertanam dalam hati sanubari individu Muslim adalah sesuatu yang perlu diusahakan agar beroleh rahmat dan pengampunan daripada Nya.
Hal ini berlaku kerana org ramai menganggap tutup aurat adalah hak individu bukannya hak Allah. Apa yang ustaz syarahkan di sini tidak akan dapat memberi impak kepada masyarakat jika tiada pekililing kerajaan yang menyebut tentang pengharaman ini dan begitu juga penguatkuasaannnya. Islam itu mudah tetapi kita menyukarkannya dengan pelbagai alasan untuk tidak melakukannya. Adakah orang-orang begini (yang mengatakan tutup aurat adalah hak indivitu itu sendiri) boleh dianggap sebagai golongan yang tidak yakin pada agamanya?
ReplyDeleteHe..he.. betul tu tapi kalau individu itu sendiri tak mahu berubah, bagaimana peraturan syariah nak ditegakkan. Allah SWT tidak akan merubah nasib sesuatu kaum sehingga dia berubah dengan sendiri. Sekadar lontaran idea untuk difikir2kan..
ReplyDeleteMemang betul apa yang dikata. Namun peraturan syariah itu tertegak bukanlah atas individu semata-mata, malah ianya untuk kepentingan semua masyarakat, negara apatah lagi kepentingan agama. Wallahua'lam
ReplyDelete