Artikel ini telah disiarkan dalam Ruangan Agama Akhbar Berita Harian bertarikh 1 April 2011 dengan tajuk "Keberkatan Jumaat vs kejahilan April Fool"
SATU April setiap tahun disambut oleh sebahagian masyarakat dunia sambil menipu orang lain dengan alasan untuk berseronok-seronok. Kebiasaan membohongi rakan dan anggota keluarga ini, dikatakan bermula di Perancis, kemudian tersebar ke England dan Scotland, lalu ke Amerika ketika berlaku perpindahan orang Eropah ke sana. Sehingga kini terdapat pula segelintir daripada kalangan umat Islam yang jahil dan terpengaruh dengan budaya songsang turut mengamalkan budaya pelik ini.
Walau dari mana pun asal-usul budaya ini ia tidak begitu penting. Malah jika diperhalusi ia jauh menyimpang daripada ajaran syariat yang memerintahkan umatnya untuk saling menghormati dan berbuat baik kepada sesama manusia. Lebih-lebih lagi 1 April tahun ini jatuhnya pada Hari Jumaat yang merupakan penghulu segala hari. Pada hari Jumaat juga umat Islam disuruh untuk memperbanyak amalan kebajikan dengan berselawat ke atas Nabi Muhammad SAW, beristighfar, pergi awal ke Masjid untuk menunaikan solat Jumaat dan lain-lain bagi memperoleh rahmat dan keampunan daripada Nya.
Sedarlah betapa selama ini umat Islam sering diperbodohkan dengan pelbagai diayah dan penipuan yang ditujukan khususnya kepada golongan muda-mudi Islam. Pelbagai propaganda dan penipuan yang diimport daripada luar impak negatif era globalisasi seakan berhasil mengheret ramai remaja dan golongan muda Islam mempraktikkan amalan-amalan yang tidak sihat bahkan terkadang bercanggah dengan akidah dan syariat yang suci.
Golongan yang terikut-ikut dengan budaya tidak sihat seperti ini seolah-olah tidak punya nilai dan jati diri sendiri sehingga melihat dunia hanya tempat untuk berseronok-seronok tanpa mempedulikan tanggungjawab sebagai hamba Allah SWT, tanggungjawab sebagai pelajar dan tanggungjawab terhadap keluarga, masyarakat dan negara. Sikap yang sebegini bukan sahaja merosakkan individu terbabit, malah jika dibiarkan bakal mencalar imej Islam di mata masyarakat lain.
Menurut perspektif Islam, setiap bulan dalam Islam adalah bulan yang mulia, malah Allah SWT melebihkan bulan-bulan tertentu kerana keutamaannya. Sebagai contoh Bulan Muharram adalah bulan pertama dalam kalendar Hijrah. Bulan Ramadan dengan malam Lailatulqadar yang menyamai seribu bulan. Bulan Zulhijjah, bulan para tetamu Allah beramai-ramai mengunjungi Baitul al-Haram untuk menunaikan ibadah haji. Bulan Rabiulawwal, bulan Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW dilahirkan sebagai pembawa rahmat kepada sekelian alam. Justeru itu tiada hari atau bulan-bulan tertentu yang dikhususkan untuk memperbodoh-bodohkan orang lain apatah lagi kepada sesama sauadara se Islam.
Nabi SAW diriwayatkan pernah bersabda yang bermaksud “Kamu akan mengikuti perlakuan umat sebelum kamu sejengkal demi sejengkal, sehasta demi sehasta sehinggakan jika mereka memasuki lubang biawak sekalipun nescaya kamu akan mengikuti mereka. Sahabat bertanya: Adakah mereka itu kaum Yahudi dan Nasrani, wahai Rasulullah? Sabda Baginda SAW: Ya, siapa lagi kalau bukan mereka?” - [Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim]
Pernahkah ada yang terfikir bahawa Bulan April bukan bulan yang buruk seperti yang disangka malah sebenarnya golongan yang terlibat merayakannya merupakan individu yang dangkal apabila tidak mengerti adat budaya sendiri sehingga terikut-ikut dengan budaya asing tanpa mengetahui hujung pangkalnya. Terdapat pula kalangan umat Islam yang terpedaya lalu terlibat dalam aktiviti pembohongan yang ditegah oleh syariat. Sedangkan amalan berbohong adalah amalan buruk yang ditegah oleh syariat.
Dalam sebuah hadis Baginda Nabi Muhammad SAW diriwayatkan bersabda yang bermaksud “Barang siapa yang berbohong kepada kami bererti dia bukan daripada kalangan kami”. Islam dengan tegas, tidak pernah membenarkan pembohongan dilakukan oleh sesiapa dengan apa jua alasan. Lebih daripada itu perbuatan berbohong merupakan perkhabaran yang dibawa oleh orang fasik yang mesti diperhalusi sebelum diterima. Allah SWT menegaskan perkara ini dalam firman Nya yang bermaksud “ Wahai orang yang beriman apabila datang orang yang fasiq membawa berita kepada kamu, hendaklah kamu berhati-hati.
Nabi SAW juga diriwayatkan pernah bersabda "Kejujuran membawa kepada kebaikan dan kebaikan membawa ke syurga. Sesungguhnya sesorang sentiasa bersifat jujur sehingga ditulis di sisi Allah SWT sebagai orang yang jujur. Manakala pembohongan membawa kepada kemaksiatan, perbuatan maksiat pula membawa ke neraka. Sesungguhnya seseorang sentiasa berbohong lalu ditulis di sisi Allah SWT sebagai pembohong.
Oleh itu tidak wajar sesiapapun dari kalangan orang Islam terikut-ikut menyambut hari ini. Dibimbangi akan mengundang berlaku gejala lain yang lebih buruk dan tidak bermoral. Pepatah ada menyebutkan siakap senohong, gelama ikan duri bercakap bohong lama-lama mencuri.
Adalah lebih baik jika hari tersebut diganti dengan amalan mulia seperti menziarahi orang alim, menghadiri majlis-majlis ilmu, berzikir dan memperbanyak ibadah kepada Allah SWT. Sedarlah bahawa hari yang berlalu dengan perbuatan sia-sia dan tidak bermanfaat tidak akan datang lagi untuk diperbaiki semula. Hari yang pergi itu juga bererti hilang satu hari lagi daripada umur manusia di dunia yang juga tak akan dikembalikan lagi. Cukuplah selama ini kita sering diperbodoh-bodohkan sehingga ada yang menganggap perbuatan buruk seolah-olah baik kerana telah biasa dilakukan.
No comments:
Post a Comment