Sunday, September 5, 2010

Muhasabah sambut Aidilfitri

AIDILFITRI yang bakal disambut tidak lama lagi jelas menampakkan seribu kegembiraan kepada umat Islam di serata pelusuk dunia. Apa tidaknya segala susah payah menahan lapar dan dahaga di kala siang serta tidak melakukan perkara yang dilarang kini dibalas oleh Allah SWT dengan ganjaran takwa sepertimana yang dijanjikan oleh-Nya. Selain daripada itu ganjaran pengampunan dosa manefestasi daripada pelaksanaan puasa dengan penuh keimanan dan keinsafan juga turut menjadi anugerah tidak ternilai untuk para Muslimin yang sanggup menghidupkan malam-malam Ramadan dengan pelbagai ketaatan yang disyariatkan.

Malah yang pastinya menjadi dambaan setiap orang yang berpuasa adalah kegembiraan ketika diberi nikmat menghadap Tuhan Yang Maha Esa. Sebagaimana sabda Nabi Muhammad SAW yang bermaksud “Bagi orang yang berpuasa diberikan 2 kegembiraan; kegembiraan ketika berbuka (berhari raya) dan kegembiraan ketika bertemu Tuhan-Nya”.

Justeru kejayaan memperoleh pelbagai ganjaran itu diharap menjadi titik tolak kepada perubahan tahap keimanan dan ketakwaan setiap orang Islam bagi mengharungi cabaran hidup menjelang tibanya Syawal yang mulia. Ini kerana Syawal dan bulan-bulan yang berikutnya merupakan medan perjuangan sebenar yang menagih komitmen umat Islam untuk merealisasikan pendidikan Tuhan ketika Ramadan.

Ia juga bakal menjadi penanda aras kepada tahap penerimaan ibadah puasa oleh Allah SWT yang sebilangan besar tidak memperoleh apa-apa daripada puasanya selain rasa lapar dan dahaga. Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud “Ramai orang yang berpuasa tetapi tidak memperoleh apa-apa daripada puasanya kecuali rasa lapar dan dahaga”

Untuk tujuan itu juga masyarakat Islam diseru memuhasabah dan mempersiap diri bagi menghadapi perjuangan sebenar pasca Ramadan dengan melestarikan tarbiyah Ramadan sedapat mungkin. Malah usaha untuk mempergiat amalan salat berjamaah, qiamullail dan banyak bersedekah hendaklah dimulakan segera tanpa berlengah seusai Ramadan. Begitu pula amalan solat sunat Hari Raya Aidilfitri dan berpuasa sunat 6 hari di bulan Syawal merupakan amalan sunat muakkad yang tidak sepatutnya diabaikan.

Nabi Muhammad SAW diriwayatkan bersabda yang bermaksud “Barangsiapa yang berpuasa di bulan Ramadan kemudian diikuti dengan berpuasa 6 hari di bulan Syawal maka sama seperti dia berpuasa setahun lamanya”. (Hadis Riwayat Muslim)

Masyarakat Islam juga diingatkan betapa Syawal bukan kesempatan untuk mengada’ segala perbuatan dosa yang “KIV” dilakukan sebulan yang lalu. Adalah tidak manis jika Aidilfitri yang tiba disambut dengan perlakuan dosa dan maksiat yang mencemari kesucian hari lebaran. Malah umat Islam digalak untuk memperbanyak ucapan zikir mengingat Allah SWT dan bertahmid memuji kebesaran Tuhan yang telah memberi berbagai nikmat yang tidak terhitung banyaknya.

Cukuplah perilaku buruk segelintir manusia yang tergamak mencemari kesucian 10 hari terakhir Ramadan dengan berhibur di kelab malam yang dikelilingi oleh pelayan wanita dan minuman keras yang memabukkan. Inilah antara realiti perilaku durjana sebilangan kecil umat Islam yang telah menjadi hamba syaitan lalu sama sekali tidak mengerti perkara halal dan haram. Kegiatan keji ini jika tidak dibendung dikhuatiri mengundang bencana kemurkaan Ilahi yang bersifat menyeluruh bukan hanya kepada pelaku maksiat sahaja.

Selain daripada itu kesempatan cuti panjang sempena hari raya hendaklah dimanfaatkan dengan mengunjungi orang tua dan sanak-saudara yang dekat mahupun jauh. Malah inilah masa untuk mempertaut hubungan silaturrahim dengan saling kunjung mengunjungi dan bermaaf-maafan antara satu sama lain yang selama ini seolah terpisah dengan kesibukan masing-masing. Perkara ini juga bertepatan dengan sabda Baginda SAW yang bermaksud “Bukanlah daripada kalangan kami orang yang tidak menghormati golongan tua dan mengasihani yang muda”.

Malah yang lebih utama untuk diziarahi ialah kedua ibubapa yang tentunya merindui anak-anak dan hilai tawa cucunda terutama di hari lebaran. Keengganan segelinitir umat Islam yang seperti tidak pernah dilahirkan di dunia ini untuk kembali menjenguk kedua ibubapa dikampung adalah sesuatu yang jauh daripada landasan syariat yang sebenar. Janganlah kerana kesibukan mengejar dunia segala jasa dan pengorbanan ibubapa dilupakan begitu sahaja. Ingatlah juga betapa keredaan Allah SWT terletak pada keredaan kedua ibubapa dan kemurkaan Allah SWT juga tertakluk kepada kemurkaan kedua ibubapa.

Para ibubapa juga disaran membawa anak-anak bersama ketika berkunjung ke rumah sanak saudara kerana mereka adalah generasi yang akan mewarisi budaya mulia ini di masa hadapan. Peluang keemasan ini juga boleh digunakan untuk saling kenal-mengenali sesama kerabat. Elakkan daripada terlalu asyik menonton pelbagai rancangan menarik di televisyen sehingga budaya ziarah-menziarahi adat tinggalan bangsa dilupakan oleh golongan muda. Begitu pula keghairahan sesetengah muda-mudi yang berpusu-pusu mengunjungi pusat membeli belah dan pawagam pada 1 Syawal merupakan bibit-bibit ke arah pupusnya amalan baik ini jika tidak dipupuk sejak daripada kecil lagi.

Walau bagaimanapun dalam keseronokan berziarah ke sana dan ke mari segala adab dan peraturan ziarah hendaklah dipatuhi. Ini termasuklah tidak berkunjung ketika waktu tengahari dan lewat malam. Begitu pula elakkan terlalu lama bertandang ke rumah jiran tetangga dan handai taulan kerana mungkin ada tugasan yang perlu diselesaikan oleh tuan rumah. Yang lebih penting sebelum masuk ke rumah seseorang hendaklah terlebih dahulu meminta izin dengan memberi salam sehingga 3 kali ulangan. Jika setelah itu pintu tidak dibuka atau tiada tanda-tanda yang menunjukkan kesediaan untuk menerima tetamu, orang yang berziarah hendaklah mula beredar. Ini bagi mengelak gangguan terhadap privasi seseorang yang juga dilarang dalam Islam.

Apapun dalam kesibukan berhari raya para Muslimin dinasihat supaya tidak melalaikan tanggungjawab salat yang difardukan. Begitu juga segala bentuk fesyen pakaian yang diperagakan sempena hari raya wajib melepasi garis panduan menutup aurat yang ditetapkan syariat. Ini kerana syaitan dan kuncu-kuncunya yang turut bergembira dibebaskan semula di hari raya sentiasa berusaha memasukkan jarum-jarum halus demi untuk menyesatkan akidah, syariah dan akhlak manusia agar terpesong daripada jalan yang lurus. Ini ditambah lagi dengan musuh nafsu sendiri yang membuak-buak mengajak kepada kesesatan dosa dan noda yang terkutuk.

Justeru itu berhati-hatilah dalam melakukan apa jua aktiviti agar kita sentiasa di bawah lembayung petunjuk dan rahmat-Nya. Semoga Ramadan yang baharu berlalu menjadi kaffarah penghapus daripada dosa-dosa sehingga Ramadan yang akan datang. Akhirnya penulis ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan Selamat menyambut Hari Raya Aidilfitri maaf zahir dan batin kepada semua rakan blogger yang budiman.

No comments:

Post a Comment