Wednesday, August 25, 2010

PERISTIWA AGUNG 17 RAMADAN

Artikel ini telah disiarkan dalam Ruangan Rencana Akhbar Utusan Malaysia pada 28/8/2010 dengan tajuk Memupuk Kekuatan Akidah

SEKOLAH Ramadan telahpun memasuki fasa yang kedua. Keghairan segelintir umat Islam yang bersesak-sesak memenuhi masjid dan surau di awal Ramadan sudah mula berkurangan. Di satu sudut yang lain kelihatan umat Islam berpusu-pusu ke tapak Bazar Ramadan bagi mencari juadah berbuka dan tidak kurang juga ramai yang mula mengunjungi pusat membeli-belah bagi membuat persiapan menjelang hari lebaran. Ia sekaligus menjanjikan pulangan laba yang lumayan buat para peniaga namun jangan dilupa tanggungjawab agama dan sosial terhadap sesama manusia.

Apapun dalam kesibukan membuat pelbagai persiapan segala perintah dan larangan agama jangan dilalaikan. Untuk sampai kepada matlamat itu umat Islam diseru agar sentiasa memperkayakan diri dengan segala ilmu dan pengetahuan agar tidak terpesong daripada laluan yang sebenar. Malah suruhan ini adalah antara intipati wahyu pertama daripada Surah al-Alaq yang diturunkan oleh Allah SWT kepada Nabi Muhammad SAW pada malam 17 Ramadan.

Kemudian daripada itu peristiwa agung Nuzul al-Quran terus disambut oleh seluruh warga Islam di mana-mana sahaja setiap kali tibanya tarikh 17 Ramadan. Namun sepatutnya ia tidak sekadar disambut dengan sesi ceramah dan tazkirah begitu sahaja. Jauh daripada itu al-Quran perlu dibaca, difahami dan dihayati sebagai petunjuk sepanjang jalan. Ini kerana al-Quran sarat dengan pelbagai panduan hidup di dunia dan akhirat yang mesti dipatuhi oleh setiap individu Muslim.

Sehubungan dengan itu kebiasaan sesetengah masyarakat yang seronok mengadakan majlis khatam al-Quran di akhir Ramadan mahupun sebelum melangsungkan sesuatu pernikahan perlu diperelokkan lagi dengan berusaha membaca keseluruhan ayat al-Quran hingga tamat dan bukan sekadar khatam “juz amma” sahaja. Begitu pula amalan songsang membungkus al-Quran dalam kain kuning kemudian meletakkannya di atas pintu rumah dengan kepercayaan mampu mengusir syaitan adalah perbuatan khurafat yang perlu dibenteras bagi mengelak dosa syirik yang tidak diampunkan.

Masyarakat Islam juga disaran mencontohi Nabi Muhammad SAW yang sentiasa berakhlak dengan akhlak al-Quran. Lebih-lebih lagi dalam situasi cemas kerosakan akhlak ummah yang tidak bertepi dewasa ini. Gejala ketirisan akhlak ini boleh diperhatikan kepada segelintir individu Muslim yang tanpa segan-silu makan dikhayalak ramai di siang hari bulan Ramadan. Ada pula yang berbangga dan seronok bercerita tentang segala dosa dan maksiat yang dilakukan termasuk jika tidak berpuasa.

Seluruh masyarakat juga sudah muak dengan sajian muka depan akhbar yang sering memaparkan tindakan nekad membuang bayi kerana malu dengan perbuatan zina yang awalnya seronok dilakukan. Malahan berbagai kempen kesedaran juga nampaknya belum berupaya menyedarkan mereka. Disinilah wujudnya keperluan mengapa masyarakat Islam perlu kembali berpegang dengan al-Quran dan al-sunnah sebagai satu-satunya mukijzat Nabi SAW yang dapat ditatang hingga ke saat ini.

Perkara ini juga sangat bersesuaian dengan hadis Nabi Muhammad SAW yang bermaksud “Aku tinggalkan bagi kamu 2 perkara jika kamu berpegang dengannya kamu tidak akan sesat selama-lamanya iaitu Kitabullah dan Sunnahku”.

Bertepatan dengan tarikh 17 Ramadan juga berlaku satu lagi peristiwa agung yang sering menjadi bualan masyarakat Islam. Peristiwa Perang Badar yang berlaku pada hari Jumaat 17 Ramadan tahun ke-2 hijrah merupakan detik bersejarah kemenangan tentera Islam yang sedikit pimpinan Nabi Muhammad SAW bertemu kaum Musyrikin Mekah pimpinan Abu Jahal yang jauh lebih ramai bilangannya. Peristiwa ini menunjukkan betapa kekuasaan Allah SWT mengatasi segala perancangan manusia. Ia juga jelas memaparkan bagaimana akidah dan keimanan yang teguh merupakan senjata ampuh yang sukar ditewaskan.

Sehubungan dengan itu kekuatan akidah perlu dipupuk dan dibaja dengan sentiasa memperkukuh keimanan dan ketakwaan kepada Tuhan. Ini kerana kesatuan ummah atas dasar akidah yang satu sahaja mampu menyelamatkan manusia dan berupaya pula menangani pelbagai cabaran mendatang. Mungkin impak daripada ketiadaan satu ummah satu akidah itulah yang menyebabkan Maqam Nabi Ibrahim AS, Nabi Yaakub AS dan Nabi Yusuf AS yang terletak dalam kawasan suci Masjid Ibrahim di Hebron, Palestin tidak dapat diziarahi oleh umat Islam kerana turut terjajah hingga ke hari ini.

Perkembangan terbaharu politik tanahair juga wajar dijadikan sempadan bagi memelihara kelangsungan dan survival umat Melayu Islam di Malaysia. Jika ada pihak yang sanggup mengenepikan idealisme kepartian dalam memperjuangkan nasib bangsa sendiri, mengapa tidak umat Islam yang memiliki akidah tauhid yang sama bersatu demi agama, bangsa dan tanahairnya.

Peristiwa Perang Badar juga mengajar umat Islam betapa bilangan yang ramai belum menjanjikan apa-apa jika tidak disertai dengan perancangan yang sistematik dan tersusun. Malah jika umat Islam terus berbangga dengan kuantiti berbanding kualiti Islam akan terus dihina dan umatnya akan terus melarat di alam buana ini. Jika umat Islam terus mendabik dada berbangga dengan kegemilangan masa lalu tanpa berbuat apa-apa untuk mengembalikan ketamadunan itu juga kemungkinan Islam akan terus dilabel sebagai pengganas dan pencetus kerosakan kepada dunia.

Walau apapun ganjaran pengampunan dosa yang disediakan oleh Allah SWT di bahagian kedua daripada Ramadan ini tidak sewajarnya dipersiakan. Ironinya sebagai manusia biasa kita sering terdedah kepada melakukan gejala dosa dan maksiat yang terlarang. Maka peluang untuk diampunkan dosa terbuka luas bagi sesiapa yang menyedari rahmat dan kasih sayang Allah SWT disamping terus melakukan pelbagai bentuk ketaatan yang dapat menghapuskan dosa.

Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud “Bertakwalah kepada Allah SWT walau di mana sahaja, ikutilah kejahatan dengan melakukan kebaikan nescaya ia (kebaikan) dapat menghapuskannya dan berinteraksilah sesama manusia dengan akhlak yang mulia”.(Hadis riwayat Imam Ahmad)

No comments:

Post a Comment