Bersempena Pembentangan
Bajet 2018 oleh YAB Perdana Menteri Malaysia pada 27 Oktober yang lalu,
masyarakat Islam diajak menambah peruntukan bajet untuk beribadah pada tahun
hadapan. Ini selari dengan pelbagai insentif dan durian runtuh yang dicadangkan
oleh pihak kerajaan. Ia juga merupakan tanda bersyukur diatas segala nikmat rezeki
yang dikurniakan oleh Allah SWT sehingga menjadi sebab untuk ditambah dan
diberkati oleh Nya.
Untuk tujuan itu
masyarakat Islam digalak memperluaskan aktiviti sedekah dan berwakaf untuk
kepentingan seluruh umat. Misalnya menyumbang dana wakaf kepada Islamic Relief
Malaysia yang sedang melancarkan Projek Dana Wakaf Air Somalia. Atau menyumbang
kepada tabung untuk membantu masyarakat Islam yang tertindas di Rohingya,
pelarian perang Syria dan Palestine serta membantu masyarakat Islam minoriti seperti
di Kemboja dan Vietnam yang masih meraih simpati dan bantuan semua. Malah
peluang untuk melakukanya terbuka luas kerana terdapat banyak NGO yang boleh
dipercayai untuk membantu menyampaikan sumbangan masyarakat ke tempat-tempat
yang memerlukan. Tepuk dada tanya iman.
Sungguhpun begitu itu usah
dilupakan golongan yang memerlukan di kariah setempat yang kemungkinan turut
memerlukan bantuan kewangan dan bantuan lain yang diperlukan dari semasa ke
semasa. Dalam hal ini inisiatif yang dilakukan oleh pihak masjid dan surau yang
melancarkan tabung jiran prihatin boleh dicontohi supaya masyarakat cakna dan
mengambil tahu apa yang berlaku dikejiranan mereka. Selain itu madrasah,
sekolah-sekolah tahfiz, rumah kebajikan dan rumah kenangan di seluruh negara
turut memerlukan bantuan para dermawan yang budiman.
Nikmat beroleh rezeki
tambahan seperti bonus kepada penjawat awam, pesara, pegawai masjid dan ketua
kampung, selain pemberian BRIM bolehlah digazetkan sedikit untuk beribadah
dengan wang ringgit ketika Bulan Ramadan. Ini kerana ramai yang mengambil
kesempatan bulan Ramadan untuk melakukan kebajikan. Malah bagi golongan yang
sibuk dengan pekerjaan seharian kemungkinan jarang dapat berjemaah dan solat
tarawih bolehlah menyediakan peruntukan untuk memberi makan orang berbuka puasa
sehingga beroleh pahala berlipat kali ganda. Jika berkemampuan boleh juga
menyediakan juadah berbuka untuk masjid atau institusi berbeza sepanjang Ramadan
sehingga manfaatnya dirasai semua. Atau juga boleh memilih hari-hari terakhir
Ramadan yang kemungkinan terjadi lailatul qadar untuk beroleh ganjaran
kemuliaan beribadah lebih baik daripada seribu bulan.
Selain itu, jika ada lebihan
pendapatan kaum Muslimin yang belum menunaikan fardu haji digalakkan untuk menambah
jumlah tabungan di Tabung Haji. Ini penting bagi mengelak peluang ke Tanah Suci
tergendala akibat masalah kewangan yang sepatutnya boleh diatasi. Bagi yang
belum sampai kuota untuk menunaikan haji dalam waktu yang terdekat boleh juga
menabung untuk menunaikan ibadah umrah dan menziarahi junjungan Nabi Muhammad SAW
yang mulia. Atau juga boleh mengambil manfaat Bajet 2018 dengan mula menabung
sejak awal tahun untuk melakukan ibadah korban yang disyariatkan. Dengan cara
ini urusan ibadah yang melibatkan sumber kewangan seperti ibadah korban boleh
dilakukan setiap tahun secara konsisten. Untuk itu juga bagi yang sudah biasa
menyembelih satu bahagian lembu bolehlah meningkatkan kebajikan dengan menabung
lebih banyak untuk berkorban menyembelih seekor kambing mengikut sunnah Nabi
Muhammad SAW.
Dalam pada itu usah dilupakan
untuk menambah potongan zakat pendapatan dan zakat wang simpanan yang
kemungkinan bertambah dengan sebab bertambahnya sumber gaji dan pendapatan
tahunan. Ini penting supaya golongan asnaf turut merasa nikmat tambahan rezeki
golongan yang berkewajipan membayar zakat. Dengan bertambahnya jumlah kutipan
zakat jmanfaatnya juga dapat dirasai oleh lebih ramai golongan asnaf sehingga
berupaya melepaskan diri mereka daripada belenggu kemiskinan.
Masyarakat Islam turut
diingatkan supaya tidak kedekut dan bakhil dengan rezeki pemberian Ilahi.
Belanjakan dan infakkan harta ke jalan yang diredai Allah SWT kerana Allah suka
melihat rezeki pemberiannya digunakan sebagaimana hadis riwayat Imam al-Trimizi
tanpa melupakan golongan yang memerlukan. Ingatlah juga golongan bakhil akan
menyesal setelah mati sehingga memohon untuk dibangkitkan semula agar dapat
bersedekah dan beramal soleh.
Ini seperti Firman Allah
SWT yang bermaksud; Dan infakkanlah sebagian dari apa yang telah Kami
berikan kepadamu sebelum kematian datang kepada salah seorang di antara kamu;
lalu dia berkata (menyesali), "Ya Tuhanku, sekiranya Engkau berkenan menunda
(kematian)ku sedikit waktu lagi, maka aku dapat bersedekah dan aku akan
termasuk orang yang saleh. Dan Allah tidak akan menunda (kematian) seseorang
apabila waktu kematiannya telah datang. Dan Allah Maha teliti terhadap apa yang
kamu kerjakan" (Surah al-Munafikun,10-11).
Apapun yang penting segala
yang dilakukan tidak sampai menyusahkan diri sendiri dan membiarkan anak dan
keluarga terabai. Ibarat kata pepatah Kera di hutan disusukan anak di rumah
mati kelaparan. Kumungkinan terdapat yang gagal memahami konsep infak yang
sebenar sehingga beriya-iya menginfakkan hartanya untuk kepentingan jemaah dan
badan tertentu tetapi keluarga dan ibu bapa sendiri tidak dipedulikan. Untuk tujuan
itu juga kaum Muslimin bolehlah mengkhususkan pemberian dan sumbangan kewangan
kepada keluarga dan sanak saudara terdekat kerana mereka memiliki hak golongan
miskin yang perlu dibantu juga hak kerabat yang mempunyai pertalian darah.
Perlu juga diingatkan betapa
nikmat rezeki, gaji dan hasil pendapatan yang diusahakan bukanlah untuk
berbelanja melebihi keperluan sehingga boros dan berlebih-lebihan. Lebih buruk
lagi jika turut digunakan untuk tujuan dosa dan maksiat yang mengundang
kemurkaan Ilahi. Pendekatan wasatiyah dalam berbelanja adalah yang terbaik selain
segala sumbangan berbentuk kewangan yang disertai niat ikhlas sahaja yang akan diterima
oleh Nya.
No comments:
Post a Comment