Saturday, August 23, 2014

BILA LAGI NAK BERGELAR HAJI DAN HAJJAH


Kini para tetamu Allah SWT dari seluruh pelosok dunia sedang mula membuat persiapan akhir bagi memulakan perjalanan menyahut seruan dan panggilan Ilahi, menunaikan fardu haji iaitu Rukun Islam yang ke-5. Sudah pasti perasaan gembira menyelubungi sanubari setiap jemaah haji kerana terpilih untuk menunaikan ibadah haji dan menziarahi makam Nabi Muhammad SAW. Walaupun tidak dinafikan terdapat yang merasa sedih kerana terpaksa meninggalkan kampung halaman dan anak-anak yang masih kecil demi menggalas tanggungjawab ibadah yang difardukan kepada Muslimin yang berkemampuan. Apa pun ia peluang keemasan yang sewajarnya tidak ditangguhkan memandangkan tempoh menunggu untuk kuota haji bagi jemaah Malaysia yang menjangkau puluhan tahun untuk dinanti.

Dalam pada itu kalangan Muslimin yang lain diharap tidak menjadikan kuota haji sebagai alasan untuk tidak mendaftarkan diri sebagai bakal haji di mana-mana pejabat Tabung Haji berhampiran. Malah doa dan munajat yang berterusan boleh dipohonkan ke hadrat Ilahi agar suatu hari nanti bakal terpilih menunaikan fardu haji. Semoga dengan usaha mendaftarkan diri sebagai bakal haji seseorang terlepas dari pada pertanggungjawaban jika ajal lebih awal mendahuluinya.

Para Muslimin turut diingatkan agar tidak berterus terusan menjadi pemerhati dan pendengar setia sepanjang masa tanpa berbuat sesuatu untuk melayakkan diri bagi memperoleh nikmat bertandang ke Tanah Suci Mekah dan Madinah yang penuh keberkatan.

Ini kerana terdapat segelintir yang menghadiri majlis bacaan doa selamat pemergian sahabat handai ke Tanah Suci tidak menjadikan ia sebagai motivasi dan penggerak untuk menabung bagi menyahut seruan ke Tanah Suci. Apabila pulang ke rumah masing-masing fikiran dan ingatan ke Tanah Suci kembali sirna di telan masa sehinggalah tibanya musim haji yang akan datang.

Apabila para tetamu Allah SWT selesai menunaikan fardu haji dan kembali ke tanah air terdapat pula yang seronok dan teruja mendengar kisah dan keseronokan berada di Tanah Suci tanpa sedikit pun memikirkan bagaimana untuk merasai sendiri pengalaman berada di Tanah Suci yang sering di khabar-khabarkan.

Oleh sebab itu, para Muslimin yang belum berstatus haji dan hajah perlu mencurahkan sepenuh usaha dan tenaga untuk melaksanakan ibadah ini. Usah leka berbelanja itu dan ini dan dalam masa yang sama sering beralasan belum berkemampuan untuk menunaikan fardu haji. Ada yang sering bertukar motosikal dan kereta baharu tetapi beralasan tidak mampu untuk menunaikan fardu haji. Apa yang lebih penting adalah kesungguhan para Muslimin untuk menunaikan kewajipan ini bukan dengan sengaja mencari alasan mengelak dari melaksanakannya.

Ingatlah bahawa Nabi Muhammad SAW pernah bersabda yang maksudnya; Dari pada Sayidina Ali ra., bahawa Rasulullah SAW bersabda, Barang siapa yang mempunyai bekalan dan kenderaan yang boleh menyampaikannya ke Baitullah, tetapi ia tidak menunaikan haji (hingga ia mati tanpa sebarang keuzuran) maka tidak ada halangan baginya mati sebagai Yahudi atau Nasrani (dari segi seksanya) kerana Allah SWT berfirman maksudnya; Dan Allah mewajibkan manusia mengerjakan ibadah haji. (dengan) mengunjungi Baitullah iaitu sesiapa yang mampu dan berkuasa sampai kepadanya. (Riwayat Tirmiziy dan al-Baihaqiy)
Peringatan Nabi SAW ini juga sesuai buat masyarakat Islam yang seronok melancong ke sana dan ke mari sehingga banyak tempat menarik di dunia ini sudah dilawati tetapi gagal melaksanakan kewajipan haji yang hanya sekali seumur hidup. Malah jika mampu melancong ke luar negara dengan perbelanjaan berpuluh-puluh ribu ringgit mengapa tidak ke Tanah Suci melalui syarikat yang dilantik oleh Tabung Haji sehingga kuota haji muasassah yang bersubsidi dinikmati oleh golongan yang benar-benar berkelayakan.

Justeru itu umat Islam diseru untuk mencurahkan segala komitmen dan kesungguhan demi menunaikan kewajipan ini. Malah banyak sekali kelebihan dan ganjaran yang disediakan buat tetamu Allah SWT yang sanggup berkorban masa, tenaga dan wang ringgit demi kerana Nya.

Antaranya dijanjikan dengan ganjaran pengampunan dosa sehingga kembali ke tanah air dalam keadaan putih bersih seperti hari dilahirkan oleh ibunya. Oleh itu bagi yang sedar banyak kelemahan dan kekurangan serta sering berbuat dosa dan kesilapan inilah peluang untuk bertaubat dan memohon pengampunan Nya. Jika tidak boleh sahaja seseorang kembali ke alam baqa dengan membawa dosa dan kesilapan lalu yang bertimbun-timbun.

Selain itu, Tanah Haram Mekah dan Madinah adalah daerah yang mustajab doa. Malah terdapat tempat-tempat tertentu seperti di Multazam, Hijir Ismail, Makam Ibrahim, di Arafah dan kawasan sekitarnya serta Raudah di Madinah menjanjikan peluang istimewa untuk berdoa dan bermunajat sehingga diperkenankan oleh Allah SWT. Bukankah ramai yang punya hajat dan keinginan duniawi yang belum kesampaian. Begitu pula ramai yang berharap kebahagiaan dan kesenangan hidup hari akhirat sehingga Allah SWT bersedia untuk memberikannya.

Lebih mulia lagi apabila para tetamu Allah SWT yang ikhlas berbakti dan beribadah dijanjikan oleh Allah SWT dengan balasan Syurga yang dipenuhi dengan segala kenikmatan dan kelazatan yang kekal abadi.

Dari pada Abu Hurairah ra. Sabda Rasulullah SAW, Dosa yang berlaku antara dua umrah adalah dihapuskan dan tidak ada balasan bagi haji yang mabrur (haji yang diterima) melainkan Syurga. (Riwayat Bukhariy dan Muslim).

Seyogianya umat Islam mengambil iktibar dan pengajaran dari pada setiap perkara yang berlaku. Malahan segala peristiwa dan kejadian yang berlaku dibaratkan seperti roda yang berputar sepanjang tahun. Kita akan berterus-terusan melalui pelbagai hari dan peristiwa yang berlaku selagi diizinkan oleh Allah SWT. Namun rugilah bagi sesiapa yang leka dari pada mengambil iktibar dan pengajaran untuk mematangkan diri menjadi hamba kepada Allah SWT.

No comments:

Post a Comment