Thursday, June 5, 2014

FAHAMI KONSEP HALAL SEBENAR

Artikel ini telah disiarkan dalam Ruangan Rencana Akhbar Utusan Malaysia bertarikh 5 Jun 2014.

Susulan pengesahan status halal bagi coklat berjenama Cadbury yang dihebahkan oleh JAKIM melalui media massa sedikit sebanyak melegakan umat Islam di negara ini. Ini berikutan isu coklat yang dicemari dengan DNA babi yang heboh di perkatakan di sana sini sudah dianggap selesai dan disahkan halal oleh JAKIM.

Sungguhpun begitu, umat Islam di seru lebih berwaspada dan berhati-hati pada masa hadapan dengan hanya memilih dan membeli produk yang diyakini halal serta mendapat pengesahan halal oleh JAKIM. Malah sebarang kekeliruan dan ketidakpastian terhadap sesuatu produk sepatutnya dirujuk kepada Bahagian halal JAKIM terlebih dahulu bagi mendapat kepastian bukannya dengan menyebarkan berita-berita palsu yang semakin mengelirukan.

Ini kerana persoalan berkaitan makanan halal termasuk isu agama yang sensitif dan tidak boleh dipermainkan. Malah umat Islam perlu membuat penelitian dan pertimbangan yang sewajarnya sebelum memakan sesuatu produk dan bukan sekadar untuk kenyang begitu sahaja. Apa yang lebih penting untuk dipertimbangkan ialah adakah ia halal di sisi syarak hingga seseorang terlepas daripada pertanggungjawaban pada hari kemudian.

Sehubungan dengan itu juga pihak berwajib dirayu agar lebih bertegas dalam menguatkuasakan perundangan berkaitan aspek halal di Malaysia khususnya bagi menunaikan tanggungjawab pemerintah terhadap rakyatnya. Penulis turut menyokong kenyataan oleh Datuk Nadzim Johan dari pada Persatuan Pengguna Islam Malaysia yang menyeru agar pihak kerajaan bersegera menguatkuasakan akta halal yang telah tertangguh sejak sekian lama. Hal ini penting untuk mengelak dari pada rakyat khususnya umat Islam dari terus ditipu oleh pengusaha yang tidak menghiraukan sensitiviti masyarakat Islam di negara ini.

Perkara ini selaras dengan Pelan Induk Perindustrian Ketiga 2006-2010, oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri Malaysia yang menyatakan skop industri halal di Malaysia sangat luas sehingga merangkumi makanan, produk bukan makanan termasuk farmaseutikal, produk kesihatan, peralatan perubatan, kosmetik dan produk dandanan diri dan perkhidmatan termasuklah segala aktiviti logistik, pembungkusan, penjenamaan dan pemasaran, media cetak dan elektronik serta perjalanan dan pelancongan.

Justeru itu, masyarakat Islam diseru memahami betapa skop halal dalam Islam sangat luas dan merangkumi pelbagai cabang kehidupan manusia. Pemahaman umat Islam dalam soal halal dan haram tidak patut disempitkan kepada produk makanan sahaja, malah hendaklah diperluaskan kepada pelbagai perkara yang diperintahkan oleh syariat.

Dalam hal ini juga tiada gunanya mengamuk menyalahkan pengeluar yang hanya bermotifkan perniagaan dan meraih keuntungan jika umat Islam sebagai pengguna akhir tidak prihatin tentang apa yang disuapkan ke dalam mulut mereka. Malah sebahagian besar dari pada pengeluar produk makanan di negara kita terdiri dari pada kalangan non Muslim yang langsung tidak mengerti soal halal dan haram apatah lagi mengambil berat tentang hukum hakam tersebut. Berkemungkinan terdapat sesetengah pengeluar yang sengaja meletakkan logo halal palsu demi melariskan produk keluaran mereka.

Bagi mengurangkan kebimbangan terhadap status halal sesuatu produk penulis mencadangkan supaya masyarakat Islam yang berkemahiran dan berkemampuan berusaha untuk menceburi bidang pengeluaran produk halal khususnya yang berasaskan makanan bagi memenuhi permintaan masa kini. Malah jika diteliti ia merupakan tuntutan fardu kifayah yang tidak boleh dikesampingkan jika tidak pasti semua akan terpalit dengan dosa.

Kalangan peniaga makanan milik orang Islam turut diseru agar lebih prihatin dan bertanggungjawab dengan hanya memilih barangan yang halal lagi suci dalam penyediaan makanan di premis mereka. Usah terlalu ghairah berniaga dan inginkan keuntungan berlipat kali ganda lalu aspek halal dan kebersihan di pertaruhkan. Malah boleh jadi peniaga terlibat mendapat saham dosa akibat tidak menghiraukan hukum halal dan haram dan menipu pelanggan yang menaruh kepercayaan yang tinggi terhadap mereka.

Kesedaran tentang peri pentingnya menggunakan barangan halal hendaklah diperluaskan juga kepada pada produk-produk kesihatan seperti ubat-ubatan dan vitamin, produk kebersihan diri seperti sabun mandi, sabun membasuh pakaian, syampu dan lain-lain yang kemungkinan dicemari dengan lemak haiwan yang diragui.

Selain itu bagi wanita Muslimah yang gemar mengenakan mekap dan produk kecantikan diri, mereka juga sepatutnya memilih yang halal lagi suci. Ini kerana dikhuatiri terdapat produk yang menggunakan lemak haiwan yang dilarang selain bahan-bahan pembuatan kosmetik yang diragui kesuciannya. Usah hanya ingin kelihatan cantik dan menawan tetapi berkemungkinan memudaratkan kesihatan diri sendiri.

Penglibatan umat Islam dalam sektor kewangan, perbankan dan insurans yang tidak mematuhi piawaian syariah juga adalah dilarang. Ini kerana amalan kewangan yang bersandarkan kepada riba adalah haram dan selayaknya dijauhi. Malah dengan meluasnya perkhidmatan kewangan dan perbankan Islam di Malaysia umat Islam diseru beralih dengan hanya menyokong perkhidmatan yang dihalalkan.

Selain itu segala bidang pekerjaan seperti pelacuran, menjadi GRO di kelab-kelab malam, bekerja di rumah urut termasuklah segala pekerjaan yang bersangkut paut dengan aktiviti penjualan arak adalah haram. Ini kerana selain mendapat kutukan Tuhan, hasil yang diperoleh dari pada pekerjaan seperti itu tiada keberkatannya apatah lagi jika digunakan untuk menyara kehidupan sekeluarga. Sebaliknya pilihlah pekerjaan yang mulia walaupun kemungkinan pendapatannya tidak seberapa tetapi hati tenang dan tenteram kerana sentiasa di bawah lembayung rahmat-Nya.

Sedarlah betapa setiap Muslimin tertakluk kepada hukum-hakam dan segala peraturan agama. Oleh itu penggunaan barangan halal dan penglibatan dalam pekerjaan yang dibenarkan oleh syariat hendaklah dititik beratkan. Jika tidak selamanya individu Muslim menanggung dosa akibat kesilapan dan keterlanjuran diri sendiri.

No comments:

Post a Comment