Monday, February 10, 2014

Jadikan Februari Bulan Kasih Sayang


Insiden pergaduhan ketika perlawanan bola sepak tanah air dilihat sebagai sesuatu yang boleh mencalarkan imej pertandingan bola sepak negara. Beberapa kejadian yang tidak diingini yang melibatkan pemain mahupun penyokong fanatik akan menyebabkan hilangnya semangat persaudaraan dan nilai kasih sayang sesama anggota masyarakat. Hal yang seperti ini jika dibiarkan berpanjangan akan menyebabkan industri bola sepak tanah air sekali lagi mengalami era kemerosotan setelah mula menampakkan peningkatan hasil sokongan padu penyokong yang memenuhi setiap ruang stadium setiap kali pertandingan berlangsung.

Di sudut pandang yang lain alangkah moleknya jika pertandingan bola sepak negara dijadikan wadah untuk memupuk nilai kasih sayang dan persaudaraan setiap anggota masyarakat. Apatah lagi yang senegara dan sebangsa. Malahan jika diteliti majoriti yang berkunjung ke stadium merupakan rakan seagama, yang bertuhankan Allah Yang Maha Esa dan menghadap ke arah kiblat yang sama.

Adalah sesuatu yang amat memalukan apabila pergaduhan sesama bangsa dan agama menjadi tontonan orang lain yang langsung tidak mengambil peduli akan pertandingan ini. Bahkan mereka sibuk dengan hal ehwal sendiri mahupun perniagaan masing-masing hingga meraih keuntungan hasil perbalahan dan percakaran sesama sendiri. Lebih buruk lagi apabila terdapat pihak tertentu yang kemungkinan menaja judi bola sepak hingga terlibat dengan gejala rasuah yang merugikan.

Justeru itu, penyokong dan peminat yang sayangkan pasukan masing-masing dinasihatkan supaya tidak terlalu fanatik dengan mencetuskan provokasi melampau hingga mencetuskan pergaduhan. Usah berbuat dosa dengan mencaci maki dan memaki hamun saudara sendiri yang boleh jadi turut disaksikan oleh anak-anak kecil yang kemudian meniru perbuatan tidak senonoh lagi mencemarkan maruah diri sendiri.

Anggaplah kunjungan ke stadium bagi menyaksikan perlawanan bola sepak sebagai suatu dari pada bentuk hiburan dan aktiviti santai bersama keluarga dan menghilangkan penat bekerja seharian. Akhirnya setelah tamat perlawanan nilai ukhuwah yang sedia terjalin kembali erat dan bertaut sepanjang masa. Ingatlah juga betapa perintah agama seperti solat lima waktu tidak sepatutnya diabaikan hanya kerana bergegas ke stadium untuk mendapatkan tempat duduk yang selesa.

Di sudut yang lain pertandingan merebut kerusi Dewan Undangan Negeri Kajang yang akan berlangsung tidak lama lagi juga tidak kurang hebatnya. Realitinya setiap kali sesi pemilihan wakil rakyat yang baharu diadakan ada sahaja insiden-insiden buruk yang melibatkan penyokong-penyokong parti bertanding dilaporkan di media massa. Ada kemungkinan keghairahan untuk menang dan provokasi melampau antara satu sama lain menyumbang kepada berlakunya perkara-perkara yang tidak diingini.

Perkara yang seperti ini sekali lagi menyebabkan nilai kasih sayang dan semangat persaudaraan sesama anggota masyarakat hilang dek kerana tidak mengerti dan memahami tujuan pemilihan wakil rakyat yang diadakan.

Adalah lebih baik jika semua pihak bersabar dan bertenang hingga menjadi rasional dan lebih matang bagi memilih wakil rakyat yang sanggup berjuang bagi membawa suara rakyat dan keluhan mereka kepada pihak atasan. Usah terlalu taksub dalam membuat pilihan hingga pandangan mata hati tertutup dari pada melihat kebenaran. Malah umat Islam secara khususnya diseru menilai dengan neraca agama dan syariat bagi memilih pemimpin yang benar-benar layak mentadbir negara demi kepentingan agama dan survival umat Islam di negara sendiri. Apa yang pasti pergaduhan dan perselisihan tidak akan menyelesaikan apa-apa malah menyumbang kepada terjadinya masalah lain yang kemungkinan sukar diatasi.

Sempena Bulan Februari ini juga, umat Islam secara khususnya diingatkan supaya tidak terlibat merayakan sambutan hari Valentine yang tidak diketahui asal usulnya lagi tidak sesuai dengan kehendak syariat. Walaupun ia dianggap sebagai hari untuk berkasih sayang yang secara umumnya baik tetapi realitinya banyak gejala dosa dan maksiat berlaku kesan dari pada salah faham segelintir muda-mudi yang terlalu sukakan hiburan dan keseronokan melampaui batas.

Lebih membimbangkan apabila hari Valentine dijadikan hari untuk melakukan maksiat, berkhalwat dan bersekedudukan hingga sembilan bulan yang akan datang gemparlah negara sekali lagi dengan jenayah buang bayi yang terus berleluasa natijah dari pada perbuatan terkutuk yang dilaknat agama.

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-71 yang bersidang pada 22-24 Nov 2005 telah memfatwakan bahawa amalan merayakan Valentine’s Day tidak pernah dianjurkan oleh Islam. Perayaan tersebut dilihat mempunyai unsur-unsur agama Kristian dan amalannya yang bercampur aduk dengan perbuatan maksiat adalah bercanggah dan dilarang oleh Islam.

Oleh itu masyarakat Islam diseru untuk patuh kepada fatwa sedia ada tidak terlibat meraikan hari Valentine dengan apa cara sekalipun kerana tidak sesuai dengan ajaran Islam dan adat budaya ketimuran. Nabi Muhammad SAW diriwayatkan bersabda maksudnya; “Barang siapa yang menyerupai sesuatu kaum maka dia termasuk dari pada kalangan mereka”.

Sebaiknya nilai kasih sayang antara setiap anggota masyarakat, jiran tetangga, sahabat handai, keluarga mahupun rakan sebaya hendaklah didasari dengan peraturan agama agar tidak terlibat berbuat dosa dan kemungkaran yang mengundang kemurkaan Allah SWT.

Syariat Islam yang mulia juga tidak pernah mempromosikan kasih sayang untuk disambut pada hari-hari tertentu malah nilai kasih sayang adalah termasuk akhlak Islam yang mulia yang tertanam dalam hati sanubari para Muslimin.
Sungguhpun begitu adalah molek jika ketibaan Bulan Februari setiap tahun digunakan untuk mempererat hubungan persaudaraan, kekeluargaan dan rakan-taulan agar menjadi ummah yang kuat lagi bersatu padu bagi menggantikan amalan songsang menyambut hari Valentine. Yang lebih utama ialah bagaimana umat Islam mampu mencontohi akhlak dan nilai kasih sayang Nabi SAW yang bukan sahaja kepada manusia tetapi turut dirasai oleh haiwan seperti unta dan batang kurma yang tidak bernyawa.












1 comment:

  1. After looking at a handful of the articles on your website, I seriously appreciate your technique of writing a blog.
    I bookmarked it to my bookmark webpage list and will be checking back soon.

    Take a look at my web site too and tell me what you think.


    Look into my web page - HostGator coupons

    ReplyDelete