Monday, October 22, 2012

Realisasikan Nilai Pengorbanan Sempurna

Artikel ini telah disiarkan dalam Ruaangan Rencana Akhbar Utusan Malaysia bertarikh 25 Ok. 2012.



JUTAAN tetamu Allah SWT, termasuk jemaah haji dari tanah air kini sedang bersiap sedia untuk melaksanakan kemuncak ibadah haji iaitu wuquf di Padang Arafah bermula daripada gelincir matahari hari ke-9 Zulhijah hingga terbit fajar hari ke-10 Zulhijah. Kegagalan untuk berada di kawasan Arafah bagi jemaah haji yang mukallaf akan memberi impak kepada kesahan ibadah haji yang dilakukan sekali gus gagal meraih peluang beribadat, berdoa dan bermunajat di tempat suci yang sangat mustajab doa itu.

Sementara itu di tanah air, umat Islam juga turut tidak melepaskan kesempatan istimewa untuk berkorban wang ringgit, masa dan tenaga dengan menyembelih ternakan sebagai menghayati falsafah agung pengorbanan Nabi Ibrahim as. yang menyembelih anaknya Nabi Ismail as. semata-mata mentaati perintah Allah SWT. Di sana sini kelihatan pelbagai ternakan seperti unta, lembu, kerbau dan kambing yang terikat dan bersedia untuk dikorbankan setelah selesai solat sunat Hari Raya Idil Adha dan berlanjutan hingga hari ke-13 Zulhijah.

Apa pun yang lebih utama bukanlah banyak atau sedikit ternakan yang dikorbankan. Akan tetapi niat yang suci dan benar-benar ikhlas melakukan ibadah kerana Allah SWT yang bakal diterima sebagai ibadah yang sempurna dan beroleh ganjaran takwa.
Allah SWT berfirman maksudnya "Daging dan darah binatang korban atau hadiah itu tidak sekali-kali akan sampai kepada Allah, tetapi yang sampai kepada Nya ialah amal yang ikhlas yang berdasarkan takwa dari kamu. Demikianlah Dia memudahkan binatang-binatang itu bagi kamu supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat nikmat petunjuk Nya. Dan sampaikanlah berita gembira (dengan balasan yang sebaik-baiknya) kepada orang-orang yang berusaha supaya baik amalnya" (Surah Al-Hajj: 37).

Hal ini juga bertepatan dengan sabda Nabi SAW yang bermaksud "Tiadalah Bani Adam, pada hari Nahr, mengamalkan suatu perbuatan yang lebih disenangi oleh Allah Azza Wa Jalla, dibanding amalan menyembelih korban. Sesungguhnya binatang korban itu akan datang pada hari kiamat kelak dengan tanduknya, kukunya dan bulu-bulunya. Sesungguhnya darah korban akan jatuh dari Allah di suatu tempat, sebelum darah tersebut jatuh ke bumi. Maka kerana itu, baguskanlah oleh mu sekalian jiwa mu dengan berkorban". (Riwayat Ibnu Majah)

Selain itu beberapa kriteria ternakan dan sunah dalam penyembelihan binatang turut memberi impak kepada penerimaan ibadah korban yang sempurna. Binatang yang paling afdal untuk dikorbankan ialah unta di kedudukan teratas, lalu diikuti dengan lembu, kerbau dan kambing. Ini dinilai berasaskan jumlah daging yang paling banyak sehingga manfaatnya dirasai oleh sebilangan besar masyarakat setempat. Manakala dari segi warnanya pula yang paling afdal ialah ternakan yang berwarna putih, diikuti, kuning, kelabu, merah, belang putih dan terakhir hitam. Disyaratkan juga ternakan yang dipilih adalah yang paling gemuk, sempurna daripada sebarang kecacatan dan cukup umur, iaitu bagi lembu dan kerbau hendaklah berumur genap dua tahun.

Individu Muslim yang berniat hendak berkorban juga disunatkan untuk tidak mencukur sebarang rambut dan bulu di badan, termasuk memotong kuku selama 10 hari pertama Bulan Zulhijah. Bagi mereka disediakan ganjaran pengampunan dosa dan pembebasan daripada api neraka Allah SWT bagi setiap cukurannya selepas menjalani ibadah korban tersebut.

Selain itu daging korban yang sudah dilapah dan ditimbang hendaklah diagih-agihkan kepada penduduk setempat. Daging itu kemudiannya boleh dibahagikan kepada tuan punya bahagian korban, golongan fakir miskin dan orang kaya sebagai hadiah. Dalam hal pengagihan daging juga ini penduduk setempat hendaklah diutamakan berbanding yang tinggal di kawasan yang jauh. Malah ada pendapat yang mengatakan haram memindahkan daging korban ke tempat yang lain kerana di situ ada hak fakir miskin setempat.

Adapun trend melaksanakan ibadah korban di luar negara yang banyak dilakukan hari ini berkemungkinan disebabkan pandangan yang memikirkan ada Muslimin lain yang lebih memerlukan daging korban berbanding masyarakat Islam di Malaysia yang mewah dan selalu makan daging. Ini ditambah lagi dengan pelbagai promosi oleh pihak tertentu yang turut menawarkan harga murah pada setiap bahagian binatang yang dikorbankan. Dalam hal ini umat Islam diseru berhati-hati supaya tidak ditipu dalam beribadat. Malah yang afdal ternakan yang dipilih ialah yang paling mahal, paling sempurna dan tiada tawar menawar dalam proses membeli binatang korban.

Sebagai menghayati falsafah ibadah korban ini, para Muslimin secara umumnya diseru untuk berkorban mempertahankan akidah dan keyakinan kepada Allah SWT dengan tidak melakukan perbuatan syirik dan khurafat. Amalan nikah batin untuk hajat tertentu sebagai contohnya adalah menyimpang daripada ajaran yang sebenar. Begitu juga berubat dengan pawang dan bomoh yang menggunakan anasir jin dan makhluk halus dikhuatiri akan merosak akidah dan jauh daripada rahmat Allah SWT.

Dalam usaha untuk melaksanakan segala tuntutan perkara fardu dan sunat dalam ibadah setiap individu Muslim diseru bersedia untuk berkorban masa, usaha dan tenaga bagi melakukan yang terbaik. Ibadat solat lima waktu hendaklah sentiasa dipelihara dan diperkemas segala rukun dan syarat-syaratnya hingga diterima dengan sempurna. Kesibukan tugasan harian sepatutnya tidak menjadi alasan untuk mengorbankan solat lima waktu yang difardukan. Bagi yang belum berkesempatan untuk menunaikan fardu haji mereka di seru pula berkorban dengan bersungguh-sungguh menabung sikit demi sedikit hingga dapat ke Tanah Suci bagi menyelesaikan tuntutan fardu haji, jika tidak sampai bila pun niat yang suci itu tidak akan kesampaian.

Golongan yang seronok dan leka melakukan pelbagai dosa dan maksiat yang saban hari menjadi paparan akhbar tempatan juga diseru bersedia untuk berkorban dan bertaubat daripada terus bergelumang dalam kancah dosa dan maksiat sepanjang masa. Ambillah kesempatan sempena hari raya korban ini untuk memulakan gaya hidup baharu tanpa perilaku dosa dan songsang supaya dirahmati dan diberi petunjuk oleh Allah SWT. Rebutlah peluang masa muda sebelum sampai masa tua dan rebutlah peluang beramal semasa hayat di kandung badan agar tidak menyesal di kemudian hari.

1 comment: