Monday, September 24, 2012

Tunai ibadat rezeki berkat

Artikel ini telah disiarkan dalam akhbar Berita Harian bertarikh 3 Oktober 2012

KETERLIBATAN individu Muslim dalam aktiviti judi dan nombor ekor merupakan perlakuan dosa yang bertentangan dengan ajaran agama. Ia bukanlah cara terbaik untuk meraih rezeki kurniaan mutlak Allah SWT. Setiap individu Muslim digalakkan untuk berusaha dengan titik peluh sendiri dengan melakukan apa sahaja kerja asalkan halal lagi mulia supaya rezeki yang diperoleh diberkati. Perlakuan terkutuk ini jika dibiarkan berterusan akan melahirkan Muslim yang jauh daripada hidayah Ilahi lalu terdedah melakukan aktiviti maksiat lain secara bertali arus.

Penglibatan umat Islam dalam aktiviti haram lagi berdosa besar seperti ini, turut memberi impak negatif kepada hubungan kekeluargaan dan tumbesaran anak-anak jika mereka disuapkan dengan sumber rezeki yang haram. Malah sebagai ketua keluarga, kalangan kaki judi dan nombor ekor telah gagal menunaikan tanggungjawab memelihara diri dan keluarga mereka daripada terjerumus ke dalam api neraka yang bahan bakarnya terdiri daripada batu dan manusia ingkar. Justeru itu, setiap Muslim diseru berusaha menyara diri dan keluarga dengan melakukan aktiviti yang berfaedah dan diharuskan oleh syariat walaupun kemungkinan gajinya sedikit dan memenatkan.

Dalam sebuah hadis Baginda Nabi Muhammad SAW bersabda maksudnya “Sebaik-baik pekerjaan ialah usaha seseorang dengan tangannya sendiri.” Begitu pula susah payah seseorang mencari kayu api kemudian dipikul dan dijual di pasar adalah lebih mulia daripada perbuatan meminta-minta yang belum tentu diberikan apa-apa. Jelasnya Islam sangat menggalakkan umatnya untuk bekerja bersungguh-sungguh dengan cara yang diredai demi meningkatkan potensi diri, keluarga dan masyarakat Islam umumnya.
Menurut perspektif yang lain kesungguhan Muslim melaksanakan kerja-kerja ibadat dengan ikhlas sambil mengharap maghfirat dan kurnia daripada Nya mampu memberi pulangan rezeki yang melimpah ruah lagi diberkati.

Solat sunat Duha sebagai contohnya jika dilakukan dengan konsisten sambil berharap sepenuhnya kepada kurnia Allah SWT mampu menjadikan individu Muslim kaya dengan rezeki dan kaya dengan rahmat Nya. Hal ini dizahirkan lagi dengan munajat hamba yang berharap agar jika rezekinya di langit diturunkan, jika di bumi dikeluarkan, jika di dasar laut ditimbulkan, jika jauh didekatkan dan jika sedikit diperbanyakkan.

Selain itu, dengan menunaikan zakat yang difardukan, sentiasa bersedekah dan membantu golongan daif yang memerlukan akan menambahkan lagi keberkatan rezeki yang diperoleh. Baginda Nabi SAW pernah menyatakan tidak akan menyesal individu yang beristikharah dan dan tidak akan jatuh miskin orang yang bersedekah. Lebih daripada itu segala infak fi sabilillah pasti akan dibalas oleh Nya dengan ganjaran yang setimpal di dunia dan akhirat.

Allah SWT berfirman maksudnya “Dan tidak pula mereka membelanjakan sesuatu perbelanjaan yang kecil atau yang besar dan tidak mereka melintas sesuatu lembah, melainkan ditulis pahala bagi mereka, supaya Allah membalas dengan balasan yang lebih baik dari apa yang mereka telah kerjakan”. (Surah al-Tawbah:121)

Begitu pula pengorbanan masa, tenaga dan wang ringgit oleh jutaan tetamu Allah SWT termasuk sejumlah 28 000 orang jemaah haji Malaysia yang sedang dalam perjalanan menyahut seruan dan panggilan haji pasti tidak akan dipersiakan berikutan pelbagai ganjaran berlipat kali ganda yang bakal dinikmati. Kesemua nikmat itu sama ada yang bersifat duniawi mahupun ukhrawi merupakan kurniaan yang tiada tolok bandingnya.
Ini kerana kelebihan dua buah tanah haram yang menjanjikan perkenan akan segala doa dan balasan berganda yang tidak dinikmati di kawasan lain. Malah ketika tawaf seseorang disunatkan membaca doa yang bermaksud; “Ya Allah jadikanlah diriku berpuas hati dengan pemberian Mu, berkati lah apa yang Engkau anugerahkan kepada ku dan gantikanlah apa yang hilang daripada ku dengan apa yang baik-baik”.

Justeru setiap tetamu Allah perlu mengambil kesempatan berharga di Tanah Suci untuk mempertingkat usaha melakukan pelbagai aktiviti ibadah disamping tidak lupa bermunajat dan bermohon kepada Nya akan segala hajat termasuklah dibukakan segala pintu rezeki, diampunkan dosa dan diterima segala amalan kebajikan yang pernah dilakukan.

Para Muslimin juga perlu memahami betapa harta dan kemewahan dunia boleh jadi satu indikator untuk menguji tahap keimanan dan ketakwaan seseorang hamba. Untuk itu juga golongan berada selalunya diuji dengan sifat bakhil dan kedekut yang menyebabkan mereka jauh daripada rahmat dan petunjuk Ilahi. Dalam masa yang sama kekurangan dan kemiskinan juga satu daripada bentuk ujian Allah SWT untuk menilai keikhlasan hamba dalam mengabdikan diri kepada Nya.

Allah SWT berfirman maksudnya “Katakanlah (wahai Muhammad): Jika kamu memiliki perbendaharaan rahmat Tuhanku pada ketika itu tentulah kamu akan berlaku bakhil kedekut kerana takut kehabisan; dan sememangnya manusia itu bertabiat bakhil kedekut”. (Surah al-Isra”:100)

Sesungguhnya yang pipih tak akan terbang melayang dan yang bulat tak akan datang bergolek. Setiap Muslim diseru untuk berusaha mencari rezeki yang halal lagi diberkati. Berharap keuntungan sementara dengan berjudi dan tikam nombor pasti menyebabkan individu Muslim terhindar daripada petunjuk Ilahi dan bakal mengundang kemurkaan Nya.

Begitu pula ketekunan umat Islam dalam melaksanakan tanggungjawab ibadah bukan sahaja dapat meraih keberkatan dan nikmat rezeki yang melimpah ruah, akan tetapi ia juga mampu menguatkan kesatuan ummah agar teguh berpegang dengan tali Allah dan sunnah Rasul Nya. Diharapkan dengan kekuatan hubungan makhluk dan khalik ini, di samping kekuatan ekonomi hasil kerja keras mencari yang halal, mampu menangkis sebarang fitnah dan provokasi terhadap Islam dan umatnya yang sering kedengaran akhir-akhir ini.








1 comment: