Sunday, July 1, 2012

PERSIAPAN MENYAMBUT 1 RAMADAN


TEKA-TEKI siapa yang bakal menjulang Piala EURO 2012, telah pun diketahui umum. Kemenangan pasukan Spanyol dengan mengalahkan pasukan Itali 4-0, dalam perlawanan akhir EURO 2012 yang disaksikan oleh jutaan peminat bola sepak di seluruh dunia ternyata berbaloi walaupun peminat di beberapa Negara Asia termasuk Malaysia terpaksa berjaga sepanjang malam demi kerana bola.

Semoga kemeriahan pesta bola sepak EURO 2012 dapat menyuntik semangat bukan sahaja kepada pemain bola sepak tempatan tetapi kepada seluruh peminat bola sepak negara supaya berusaha dengan gigih untuk turut menyumbang sesuatu yang bernilai demi kemajuan agama, bangsa dan negara. Dengan berakhirnya pertandingan bola sepak yang penuh berprestij itu juga segenap lapisan masyarakat diseru untuk kembali menumpukan usaha dan tenaga, bekerja dengan penuh dedikasi demi keharmonian dan kesejahteraan hidup bersama.

Di sudut pandang yang lain, Bulan Syaaban yang tiba semakin laju memecut menghampiri penghujungnya. Ini bermakna tidak berapa lama lagi umat Islam di seluruh dunia akan mula berpuasa di Bulan Ramadan al-Mubarak. Justeru itu segala persiapan bagi menemui Ramadan wajar dilakukan bagi merealisasikan nilai puasa tingkatan tinggi seperti yang diharap-harapkan oleh semua. Adalah tidak molek jika bertahun-tahun mendapat nikmat bertemu Ramadan sedangkan kualiti puasanya tetap tidak berbeza. Akhirnya tiada nilai takwa berjaya diraih walaupun setelah sebulan melalui ibadah puasa yang difardukan.

Justeru itu, umat Islam diseru untuk mempersiap diri dengan membersihkan jiwa dan raga untuk mula berpuasa dalam erti kata yang sebenar. Ini dapat dilakukan dengan memelihara seluruh anggota daripada melakukan perkara keji dan mungkar selain menanam azam dan tekad untuk memenuhkan Ramadan dengan amalan kebajikan. Usah hanya bersusah payah menahan lapar dan dahaga tetapi mulut tidak berhenti daripada mengumpat dan mengeji orang lain. Begitu pula pekerjaan yang wajib seperti solat dan menunaikan zakat fitrah diabaikan. Termasuk juga tuntutan wajib menutup aurat yang dipandang remeh dan semuanya dianggap tidak ada kaitan dengan perintah berpuasa.

Umat Islam juga diperingatkan supaya segera mengqada puasa wajib yang tidak dikerjakan setahun yang lalu sebelum berakhirnya Bulan Syaaban. Kegagalan berbuat demikian akan mendedahkan pelakunya kepada dosa yang dimurkai oleh Allah SWT. Malah mereka tetap dipertanggungjawabkan untuk mengganti puasa dan membayar fidyah jika telah menjangkaui Bulan Ramadan tahun yang baru. Kewajipan untuk menqadakan puasa ini juga umpama hutang dengan Allah SWT yang akan dibawa mati dan dipertanggungjawabkan jika tidak diganti semasa hidup. Malah ia tidak patut dilengah-lengahkan apatah lagi diabaikan begitu sahaja kerana bimbang tidak berkesempatan untuk melangsaikannya.

Kejadian ribut taufan, gempa bumi, tanah runtuh serta banjir yang mengorbankan banyak nyawa dan harta benda di sesetengah tempat, sepatutnya menimbulkan keinsafan kepada semua. Malapetaka dan musibah yang menimpa ini memberi isyarat yang jelas betapa dunia semakin tua dan akan sampai ke detik kebinasaannya. Sedangkan manusia yang tinggal di dalamnya terus leka berfoya-foya dengan pelbagai kenikmatan dunia tanpa berbuat amal sebagai persediaan menghadapi hari kebangkitan yang dijanjikan. Untuk tujuan itu jua umat Islam di Malaysia secara khususnya diseru untuk sentiasa bersyukur atas nikmat kesihatan, keamanan dan keharmonian yang dikecapi selama ini dengan bersyukur sambil beramal dan berbuat bakti kepada Ilahi.

Selain daripada mengqada puasa yang pernah ditinggalkan kesempatan yang ada juga turut boleh digunakan untuk melaksanakan ibadah puasa sunat yang besar ganjarannya di Bulan Syaaban. Nabi Muhammad SAW sendiri paling banyak berpuasa sunat di Bulan Syaaban berbanding bulan-bulan yang lain. Ia juga sebagai latihan awal untuk mempersiapkan diri berpuasa sepanjang Ramadan.

Selain daripada membuat persiapan mental dan fizikal untuk bertemu Ramadan, umat Islam turut digalakkan untuk membersihkan kawasan luar rumah yang kemungkinan dipenuhi lalang dan sampah sarap yang berteraburan di sana sini. Kawasan dalam rumah juga elok dihias dan dibersihkan. Pada masa inilah juga sepatutnya langsir yang lama ditukar dengan yang baharu. Begitu pula pakaian yang cantik-cantik dan serba baharu disediakan dan dipakai menjelang ketibaan satu Ramadan. Amalan seperti ini sangat bertepatan dengan perintah Allah SWT supaya pintu-pintu Syurga dibuka luas dan bahagian dalamannya dihias rapi dan cantik bagi menyambut ketibaan Ramadan.

Selain itu amalan keji berupa perbuatan dosa dan maksiat juga hendaklah dihindari sebagai persediaan mendidik jiwa dan rohani supaya sentiasa bertakwa kepada Allah SWT. Ia juga selari dengan pendidikan Ramadan yang terfokus kepada melawan runtunan hawa nafsu yang sentiasa berusaha merosakkan manusia dengan perlakuan negatif.
Ini kerana kebelakangan ini jenayah jijik membuang dan membunuh bayi kandungan sendiri seolah-olah mula hangat dibicarakan. Minggu lalu sahaja tidak kurang daripada 4 kes pembuangan bayi dilaporkan di akhbar tempatan termasuk seorang bayi yang ditinggalkan di dalam but sebuah kereta di Johor. Kejadian ini jelas menunjukkan betapa masih ada segelintir masyarakat yang tidak bertamadun dan tergamak membunuh anak sendiri.

Selain itu tindakan muda-mudi Islam yang terlibat dengan aktiviti pelacuran juga penari pusat hiburan dengan aksi mengghairahkan turut menyumbang kepada gejala tidak bermoral yang terus membelenggu segelintir umat Islam. Ia pasti mencemarkan kesucian Ramadan jika di biar berterusan malah sesuatu yang tidak manis untuk diperkatakan di saat ramai yang sudah mula bercakap tentang ibadah puasa dan persiapan untuk menemuinya.

Sehubungan dengan itu juga ketibaan Malam Nisfu Syaaban yang jatuhnya pada Hari Khamis ini diharap menjadi titik tolak kepada usaha bersungguh-sungguh untuk merubah tingkah laku dan perangai kepada yang lebih baik sebelum mula berpuasa. Masyarakat Islam secara umumnya diseru untuk hadir beramai-ramai ke masjid dan surau bagi melaksanakan amalan membaca Surah Yasin dan berdoa agar beroleh keberkatan dan rahmat di Bulan Syaaban seterusnya beroleh nikmat panjang umur untuk bertemu Ramadan.

Semoga Syaaban yang pergi dan Ramadan yang bakal menjelang tiba mampu menjadi batu loncatan untuk umat Islam bertaubat daripada berbuat dosa dan menghimpun seberapa banyak kurnia dan anugerah yang khusus disediakan pada bulan yang mubarak itu. Ini kerana peluang yang ada belum tentu lagi dapat dinikmati pada tahun-tahun yang berikutnya. Justeru bersedialah untuk bertemu Ramadan lagi.

No comments:

Post a Comment