Monday, August 22, 2011

HAYATI PEMERGIAN RAMADAN SYUKURI KETIBAAN SYAWAL


SETELAH hampir sebulan berpuasa kini umat Islam bergembira menanti detik tibanya hari raya. Manakala Ramadan al-Mubarak pula beransur melabuhkan tirai menandakan segala kelebihan beramal dan ganjaran berlipat kali ganda juga kembali seperti sedia kala.

Pemergian Ramadan sudah pasti ditangisi oleh individu Musllim yang sedar akan segala keistimewaan kurniaan Tuhan yang tidak terdapat pada bulan-bulan yang lain. Golongan ini juga pasti merindui keseronokan berpuasa di siang hari dan bermunajat kepada Tuhan di kala malam. Semoga segala kurnia tersebut yang berupa ganjaran rahmat, pengampunan dosa, pembebasan api neraka, perkenan doa dan kelebihan beribadah di malam lailatulqadar berhasil diraih dengan sempurna oleh para Mukminin terpilih.

Selain itu terlalu banyak pengajaran boleh diperoleh daripada pendidikan Ramadan. Umpamanya umat Islam dididik supaya sentiasa menepati masa melalui amalan berbuka dan bersahur. Kepentingan menghargai masa ini boleh diaplikasikan pula dengan berusaha untuk solat tepat pada waktunya. Ramadan turut mengajar tentang kepentingan ibadat dalam diari kehidupan Muslim. Justeru segala amal ibadah yang dipraktikan sepanjang Ramadan seharusnya diteruskan sebagai rutin harian sepanjang tahun. Dengan pelaksanaan itu ia berupaya pula menjadi kaffarah kepada dosa-dosa sehingga menjelang Ramadan yang akan datang.

Amalan berdoa yang sinonim dengan Ramadan dan merupakan senjata para Mukminin wajar dipergiatkan lagi. Terutama di sepertiga malam yang merupakan waktu mustajab berdoa. Begitu pula, perbuatan buruk yang merosakkan pahala puasa seperti mengumpat, mengeji orang, banyak makan, banyak tidur dan melakukan perkara tidak berfaedah elok dihentikan. Ini kerana jika setiap pengajaran Ramadan boleh diaplikasikan dalam kehidupan seharian bermakna individu terbabit telah beroleh sifat takwa sebagai balasan yang dijanjikan Tuhan.

Ini dijelaskan dalam firman-Nya yang bermaksud “ Wahai orang-orang yang beriman di fardukan keatas kamu berpuasa sebagaimana difardukan ke atas orang yang terdahulu, semoga kamu bertakwa”. (Surah Al-Baqarah:183)

Dengan berakhirnya Ramadan umat Islam kembali kepada fitrah semula jadi seperti sebelumnya. Kegembiraan jelas tergambar dengan persiapan kuih-muih, pakaian baharu dan perancangan untuk pulang berhari raya di kampung halaman.

Maha benar hadis Nabi Muhammad SAW yang menyatakan “Bagi orang yang berpuasa dikurniakan dua kegembiraan; kegembiraan ketika berhari raya dan kegembiraan ketika bertemu Tuhan Nya”.

Sehubungan itu, Syawal yang menjelang tiba wajib disambut dengan amalan berteraskan syariat, jauh daripada perlakuan dosa dan maksiat yang terlarang. Apatah lagi ketika itu, syaitan baharu sahaja bebas daripada dibelenggu. Tentunya ia kesempatan untuk kembali aktif, menggangu individu lemah iman dan gagal melalui Ramadan dengan cemerlang.

Bagi orang Mukmin, inilah masa untuk merealisasikan pendidikan Ramadan dalam realiti kehidupan sebenar. Perlu difahami, Syawal bukan kesempatan untuk menqada’ dosa yang berhenti dilakukan sebulan lalu. Malah perjuangan selepas ini, ternyata lebih sukar kerana berhadapan dua musuh dalam satu masa; iaitu Iblis dan nafsu diri sendiri. Menjelang 1 Syawal, pertolongan Allah SWT sangat diperlukan bagi membantu menjalani kehidupan dengan berpandukan syariat disamping berdoa dan memohon bantuan daripada Nya.

Aktiviti shopping sakan yang telah menjadi tradisi sehingga disaat-saat akhirpun masih ada yang mahu diborong berikutan banyaknya promosi jualan murah juga elok dikikis dengan berhemah ketika berbelanja. Beli yang patut dan perlu serta elakkan berhutang semata-mata untuk bergaya di hari raya. Ungkapan biar papa asal bergaya tidak patut menjadi amalan kerana bersalahan dengan prinsip Islam yang menganjurkan kesederhanaan dalam semua hal. Malah yang patut difikirkan ialah keperluan lain dipenghujung tahun seperti persiapan persekolahan anak-anak yang juga memerlukan perbelanjaan yang besar.

Setiap individu Muslim juga perlu mempastikan, pakaian hari raya yang dibeli dan diperagakan adalah yang patuh syariah, tidak terlalu ketat ataupun mendedahkan bahagian tubuh yang dilarang. Jangan alasan bergaya, kewajipan menutup aurat diabaikan. Hayatilah pengajaran Ramadan yang mendidik supaya sentiasa mengikut peraturan sepanjang masa. Ketahuilah, Syawal bukan bulan memperagakan berbagai fesyen pakaian, lalu mengundang sifat mazmumah seperti ego dan bangga diri. Tiada guna bersusah-payah melakukan ketaatan selama sebulan, kemudian dirosakan hanya dalam tempoh sehari.

Sempena I Syawal pula, masyarakat Islam diseru menyemarakkan lagi budaya kunjung mengunjung bagi mempertaut hubungan silaturrahim. Sifat mulia seperti saling memaafkan dan menerima kekurangan orang lain adalah intipati daripada luasnya pengampunan Allah SWT yang diadaptasi daripada pengajaran Ramadan. Walaupun demikian keseronokan berhari raya diharap tidak menyebabkan tanggungjawab utama seperti solat dilupakan. Ia tugas hakiki yang tidak boleh diabaikan dalam apa jua situasi.

Selain itu, amalan berpuasa sunat selama enam hari di bulan Syawal sangat digalakkan kepada individu Muslim. Mereka yang melaksanakannya bakal beroleh ganjaran pahala puasa setahun, sebagaimana dijelaskan oleh Nabi Muhammad SAW dalam sabdanya “Barangsiapa yang berpuasa di bulan Ramadan kemudian diikuti berpuasa enam hari di bulan Syawal adalah puasanya itu seperti puasa sepanjang setahun”. ( Hadis Riwayat Muslim).

Ketetapan ini berdasarkan perkiraan jika setiap amalan kebajikan dibalas dengan sepuluh kali ganda. Bermakna dengan berpuasa sebulan, sebanyak 300 kebajikan telah diperolehi kemudian ditambah lagi enam hari di bulan Syawal, maka genaplah seperti berpuasa 360 hari, iaitu kira-kira setahun.

Akhirnya, hayatilah pemergian Ramadan dengan ketakwaan dan sambutlah ketibaan Syawal dengan penuh kesyukuran. Semoga nikmat berpuasa di bulan Ramadan akan terus diraih tahun demi tahun sebagaimana yang dikehendaki oleh Allah SWT.


No comments:

Post a Comment