SELURUH negara gempar lagi. Kini dengan pembunuhan seorang pelajar tingkatan 3 di Kota Samarahan, Sarawak. Hanya kerana bimbang rahsia jenayah dibocorkan, geng curi motosikal dan pecah rumah terbabit sanggup melakukan pembunuhan kejam yang tidak boleh diampunkan. Lebih menyayat hati apabila mangsa ditemui ditanam di dalam sebuah lubang yang digali oleh salah seorang suspek yang berjaya ditahan oleh pihak Polis.
Dimanakah hilangnya nilai perikemanusiaan dan sifat kasih-sayang antara sesama manusia, sehingga jenayah bunuh sering menghiasi dada akhbar tempatan dewasa ini. Ataukah mungkin terdapat segelintir manusia yang sudah hilang arah tujuan dan matlamat hidup sehingga terlibat melakukan pelbagai jenayah kejam mengikut runtunan nafsu sendiri. Apakah perasaan malu dan sabar benar-benar telah diangkat ke langit sehingga manusia begitu rakus menghirup darah sesama manusia yang tidak berdosa.
Sayugia difahami, Allah SWT menjadikan manusia dengan tujuan utama untuk mengabdikan diri kepadanya. Tuntutan itu dapat direalisasikan dengan berusaha untuk melakukan pelbagai kegiatan ibadah sama ada yang bersifat khusus seperti solat, puasa dan lain-lain ataupun bersifat umum seperti bekerja bersungguh-sungguh dan saling bantu membantu mewujudkan keamanan dan kesejahteraan dalam masyarakat. Selain itu manusia juga bertanggungjawab untuk mengimarahkan muka bumi ini dan tidak melakukan sebarang kerosakan padanya.
Jika diperhalusi lagi tugasan itu merupakan amanah berat yang tidak sanggup dipikul oleh langit bumi dan gunung-ganang ketika pertama kali ditawarkan kepada mereka. Namun manusia yang lemah dan hina serta sering melakukan kerosakan sanggup pula memikul bebanan itu demi untuk merealisasikan hasrat dan tujuan murni penciptaan manusia.
Perkara ini dijelaskan oleh Allah SWT dalam firman-Nya yang bermaksud “Sesungguhnya Kami telah kemukakan tanggungjawab amanah (Kami) kepada langit dan bumi serta gunung-ganang (untuk memikulnya), maka mereka enggan memikulnya dan bimbang tidak dapat menyempurnakannya (kerana tidak ada pada mereka persediaan untuk memikulnya) dan (pada ketika itu) manusia (dengan persediaan yang ada padanya) sanggup memikulnya. (Ingatlah) sesungguhnya tabiat kebanyakan manusia adalah suka melakukan kezaliman dan suka pula membuat perkara-perkara yang tidak patut dikerjakan ”. (Surah al-Ahzab:72)
Bagi mencapai matlamat kebahagiaan hidup di dunia pula manusia diseru untuk bekerja dan berusaha bersungguh-sungguh dengan jalan halal dan dibenarkan oleh syariat. Walaupun boleh jadi kerja yang dilakukan nampak selekeh dan kotor ia lebih mulia kerana hasil usaha daripada titik peluh sendiri. Malah jika gaji sebanyak mana sekalipun yang diambil daripada sumber yang tidak halal pasti akan menghilangkan keberkatan rezeki dan tidak mencukupi.
Baginda Nabi Muhammad SAW diriwayatkan bersabda dengan maksudnya sebaik-baik pekerjaan ialah usaha seseorang dengan tangannya sendiri.
Justeru itu penglibatan segelintir individu Muslim dalam pekerjaan haram dan tidak dibenarkan syariat seperti terlibat dengan arak, perjudian, loteri dan pelacuran pasti mengundang padah. Terdapat pula golongan wanita yang menggadaikan maruah diri dan agama menerusi aktiviti peragaan, model dan pertandingan ratu cantik dengan mendedahkan aurat yang kesemuanya diharamkan oleh syariat.
Perolehan harta daripada sumber yang haram juga boleh jadi memberi kesan kepada kelakuan buruk anak-anak yang dibesarkan dan disekolahkan dengan sesuap nasi hasil kegiatan yang dilarang agama. Akibatnya ada yang terlibat dengan jenayah bunuh, rogol, mencuri dan pelbagai kegiatan negatif dan tidak bermoral yang lain. Walaupun tidak dinafikan ada sebab lain seperti kurangnya perhatian ibubapa dan didikan agama yang menyumbang kepada peningkatan jenayah itu.
Sedia diketahui segala tugasan yang dilakukan di dunia akan nanti dipersoalkan di hadapan Tuhan Yang Maha Kuasa. Segala yang baik dan buruk akan diberi ganjaran dan balasan yang setimpal. Kemungkinan juga ada yang telah dihukum sejak di dunia lagi akibat kedegilan dan kesombongan tidak mentaati syariat Ilahi. Sejarah kehancuran umat terdahulu seperti kaum Aad, Tsamud dan individu seperti Firauan, Qarun dan Haman membuktikan betapa hukuman Allah SWT boleh berlaku kepada sesiapa dan bila-bila masa sahaja.
Sehubungan dengan itu, masyarakat Islam terutamanya wajib memahami matlamat dan tujuan utama penciptaan manusia yang pasti bukan atas dasar suka-suka. Berlakunya banyak pelanggaran terhadap hak Allah SWT dan hak sesama manusia ketika ini merupakan kesan daripada ketirisan memahami tujuan hidup yang sebenar. Seolah-olah ada yang lupa bahawa suatu hari yang ditakdirkan setiap jiwa akan pergi meninggalkan dunia buat selama-lamanya. Sebelum terlambat, berusahalah untuk menyelesaikan tugasan besar yang menjadi amanah untuk direalisasikan oleh semua manusia.
No comments:
Post a Comment