Artikel ini telah disiarkan dalam ruangan Rencana Akhbar Utusan Malaysia bersempena sambutan Maal Hijrah 1432H bersamaan 7 Dis. 2010 dengan tajuk Praktik 5 Asas Hijrah
BULAN Muharram merupakan detik permulaan kalendar baharu dalam Islam. Dengan ketibaan bulan yang mulia ini bermakna bertambah lagi umur dunia dan semakin berkurangan pula umur manusia. Ini juga menandakan betapa manusia semakin hampir dan dekat bertemu dengan Tuhan-Nya. Justeru itu ketibaan tarikh 1 Muharram setiap tahun semestinya menjadi titik tolak kepada permulaan yang baharu dalam kehidupan seorang Muslim. Ia juga boleh dijadikan kayu ukur untuk menilai pencapaian peribadi selama setahun yang lalu dalam konteks melaksanakan perintah Allah SWT dan meninggalkan larangan-Nya yang menjadi matlamat utama penciptaan manusia. Oleh itu beberapa asas hijrah wajar dipraktikkan bagi memenuhi tuntutan hijrah masa kini yang jauh berbeza dengan hijrah era Mekah dan Madinah di zaman baginda Nabi Muhammad SAW dan para sahabatnya.
Hijrah sikap dan perbuatan
Segelintir umat Islam masih terbelenggu dengan pelbagai sikap buruk seperti hasad dengki, dendam kesumat dan sikap suka menyalahkan orang lain. Sikap buruk sebegini jika tidak diubati dikhuatiri akan merosak individu dan masyarakat Islam keseluruhannya. Ia umpama api dalam sekam yang boleh membakar pada bila-bila masa. Malah jika diteliti sikap buruk seperti ini akan menyebabkan umat Islam semakin ketinggalan dalam arus globalisasi yang membadai dunia dewasa ini. Golongan seperti ini juga jauh daripada rahmat dan perlindungan Allah SWT yang sangat diperlukan bagi mengharungi liku-liku hidup di dunia yang beraneka ragam.
Terdapat juga di kalangan umat Islam yang boleh diibaratkan seperti cakap tak serupa bikin. Perbuatan buruk mereka jauh menyimpang daripada ajaran syariat yang sebenar. Perilaku dosa seperti meminum arak, berkhalwat dan berzina, merompak dan mencuri seterusnya membunuh nyawa yang tidak berdosa termasuk bayi kandungan sendiri seakan menjadi amalan biasa kepada sebilangan kecil individu Muslim. Yang mana kesemua daripada sikap buruk dan jenayah berat seperti ini memerlukan kesungguhan dan azam yang tinggi untuk berubah dan kembali ke jalan yang diredai oleh Ilahi.
Hijrah amal dan ketaatan
Bagi membendung perilaku buruk yang tidak bertepi umat Islam diseru kembali kepada ke pangkal jalan dengan memperbanyak amalan yang mampu mendekatkan diri kepada Tuhan Yang Maha Kuasa. Bagi yang tidak solat mahupun jarang-jarang melakukannya dinasihat supaya mula berjinak-jinak dan mendampingkan diri kepada-Nya. Umat Islam juga sewajarnya menilai segala perlakuan ibadah setahun yang lalu sambil berazam untuk mempertingkatkan amalan ke arah yang lebih sempurna dan berkualiti di tahun-tahun yang mendatang.
Ketibaan 1 Muharram yang mulia sangat baik dijadikan landasan untuk menggembeleng seluruh usaha dan tenaga berbakti kepada Ilahi. Permulaan yang baik seperti membaca doa akhir dan awal tahun secara beramai-ramai sama ada di rumah bersama seisi keluarga mahupun di masjid dan surau-surau mampu memberi impak yang baik kepada amalan sepanjang tahun. Seterusnya ia diikuti pula dengan amalan-amalan yang wajib dilakukan oleh setiap individu Muslim sepert berbakti kepada Allah SWT dengan berpuasa, menunaikan zakat dan mengerjakan fardu haji juga amalan berbentuk jama’iy dan kemasyarakatan seperti berbuat baik kepada jiran, menolong dan membantu sesama manusia terutama golongan miskin dan kurang berupaya. Dwi amalan yang diperintahkan ini akan mempertaut hubungan manusia dengan Allah SWT dan dalam masa yang sama mempererat hubungan sesama manusia.
Hijrah ilmu dan pencapaian
Secara umumnya umat Islam agak ketinggalan daripada aspek ilmu dan kemajuan teknologi jika dibandingkan dengan masyarakat lain di dunia ini. Malah terdapat negara-negara tertentu yang boleh dicontohi seperti Negara China dan Korea yang begitu drastik bangkit sebagai kuasa baharu dunia dalam pelbagai aspek termasuk kemajuan daripada sudut sains dan teknologi. Tanpa disedari sabda Baginda Nabi Muhammad SAW yang menyuruh umatnya menuntut ilmu sehingga ke Negeri China terbukti benar walaupun pernah di ucapkan kira-kira 1400 tahun yang lampau.
Sehubungan dengan itu pelbagai lapisan masyarakat Islam hendaklah menghayati tuntutan mencari ilmu dalam apa sahaja kegiatan seharian. Ini kerana ilmu boleh diperoleh di mana sahaja sama ada melalui kaedah pendidikan formal seperti di sekolah hingga ke peringkat pengajian tinggi mahupun ilmu sepanjang hayat yang ada dipersekitaran hidup manusia. Malah pengalaman manis dan pahit yang pernah dilalui oleh seseorang juga merupakan ilmu yang sangat berguna jika dapat dimanfaatkan dengan sempurna.
Hijrah dalam konteks ini juga dilihat mampu mengembalikan semula kegemilangan tamadun Islam terdahulu sehingga umat Islam hari ini disegani dan dihormati di mata dunia. Ia sekaligus berupaya menolak pelbagai fitnah dan tohmahan seperti agama ekstrim dan menaja keganasan yang biasa ditujukan kepada umat Islam sedunia.
Hijrah ekonomi dan pemilikan
Umat Islam di Malaysia secara khususnya dan di beberapa negara Islam amnya agak jauh ke belakang daripada aspek ekonomi dan pemilikan harta. Ini boleh jadi berlaku kerana sikap sebahagian umat Islam yang berhati-hati dan berwaspada daripada menjadi hamba duit dan harta sehingga menghalang usaha mendekatkan diri kepada Ilahi. Ia boleh juga terjadi kerana kekeliruan dalam memahami falsafah pemilikan harta yang telah digarap sempurna dalam syariat Islam. Akibatnya umat Islam terpinggir daripada arus pemodenan dunia yang sangat diperlukan dalam konteks membina semula ketamadunan manusia. Keadaan ini diburukkan lagi dengan salah faham segelintir umat Islam yang menolak dunia dan melalui kehidupan zuhud tanpa bersandarkan kepada realiti kehidupan masa kini yang berbeza daripada zaman awal Islam terdahulu.
Justeru itu penglibatan umat Islam dalam bidang ekonomi dan pemilikan harta juga penting untuk direalisasikan dalam dunia kini. Walau bagaimanapun ia wajib mematuhi garis panduan memperoleh, memanfaat dan mengagihkan harta menurut perspektif Islam. Penglibatan umat Islam dalam kegiatan ekonomi yang berteraskan riba’ demi mencari keuntungan berlipat kali ganda adalah diharamkan. Selanjutnya amalan buruk penipuan, berbuat zalim dan mengambil hak orang lain tanpa hak adalah tidak bersesuaian dengan amalan ekonomi Islam. Di samping itu juga konglomerat Islam perlu memahami ada hak zakat yang diwajibkan dan sedekah sunat daripada harta yang perlu dilunaskan. Ini bagi mengelak kerosakan yang lebih besar kesan daripada kegiatan ekonomi yang tidak berteraskan kehendak Islam sebenar.
Hijrah kepada Islam yang syumul
Akhirnya para Muslimin diseru menghayati ketibaan tanggal 1 Hijrah setiap tahun bukan dalam pengertian sambutan tahun baharu yang difahami oleh golongan yang tidak mengerti agama yang syumul. Sambutan tahun baharu juga bukanlah perayaan yang hanya diraikan di merata tempat. lebih daripada itu tuntutan melestarikan falsafah hijrah Baginda Nabi Muhammad SAW dan para sahabatnya yang sanggup bergadai nyawa dan harta demi untuk kepentingan Islam wajib dicontohi.
Untuk tujuan itu, umat Islam hendaklah kembali melaksanakan Islam dalam segala gerak-geri kehidupan. Maknanya seluruh kehidupan Muslim mesti berteraskan al-Quran dan al-Sunnah sebagai sumber rujukan hukum dalam menanggapi pelbagai persoalan hidup yang kompleks dan penuh cabaran dewasa ini. Syariat yang syumul sememangnya bersesuaian untuk direalisasikan dalam konteks kehidupan bernegara, bermasyarakat dan yang pasti untuk keperluan setiap individu. Hanya sahaja persoalannya adakah umat Islam masa kini berbangga menjadi individu Muslim lalu sanggup berhijrah melaksanakan segala peraturan agama dalam segala lapangan kehidupan.
No comments:
Post a Comment