Artikel ini telah diterbitkan dalam Ruangan Rencana Akhbar Utusan Malaysia bertarikh 14 September 2010
RAMAI yang sanggup berbaris panjang dan bergerak dari satu bank ke satu bank semata-mata untuk menukar duit raya yang kebiasaannya daripada wang kertas yang baharu. Budaya sebegini telah menjadi tradisi turun-temurun masyarakat Islam di Malaysia. Ia amalan mulia yang menjurus kepada galakan untuk bersedekah dan saling bantu-membantu terutama kepada golongan daif dan kurang berkemampuan. Sedikit ataupun banyak pemberian itu tidak menjadi persoalan yang penting ia diberikan dengan rasa penuh keikhlasan sambil mengharap ganjaran daripada-Nya.
Dengan pemberian itu juga sudah pasti kanak-kanak antara yang paling gembira kerana berpeluang mengumpul sebanyak mungkin duit raya walaupun terpaksa berjalan jauh dan bertandang dari satu rumah ke satu rumah. Malah kadang-kadang terpaksa pulang dengan tangan kosong kerana hanya disajikan dengan air sirap dan kuih muih sahaja.
Namun sedarkah kita jutaan ringgit dibelanjakan setiap tahun untuk pemberian duit raya. Mengikut perangkaan oleh Unit Perancang Ekonomi (EPU) pada tahun 2010 sahaja terdapat kira-kira 4.9 juta kanak-kanak dan remaja Melayu yang berumur di antara 1-14 tahun. (sumber http://www.epu.gov.my/html/themes/epu/images/common/pdf/eco_stat/pdf/1.2.5.pdf) Bayangkan jika purata setiap kanak-kanak menerima RM1 duit raya bermakna sebanyak hampir RM5 juta digunakan untuk tujuan itu setiap kali hari raya. Malah jumlah tersebut semakin bertambah apabila nilai wang yang diberikan juga semakin besar.
Persoalannya ke mana wang sebanyak itu dibelanjakan. Adakah dihabiskan untuk berseronok dengan permainan video di cybercafé, membeli rokok, mercun, bunga api dan lain-lain yang tidak bermanfaat atau digunakan untuk keperluan sekolah dan tabungan masa hadapan.
Justeru itu ibubapa sewajarnya mengambil langkah proaktif menguruskan duit raya anak-anak dengan berhemah. Mungkin sebahagiannya boleh disimpan dalam akaun bank atau bagi orang Islam disimpan dalam akaun Tabung Haji bagi menunaikan kewajipan haji apabila besar nanti. Bagi yang bijak mengurus wang ia juga boleh dilaburkan dalam akaun amanah saham untuk mendapat pulangan yang lebih menguntungkan.
Bagi golongan remaja pula yang kemungkinan menerima jumlah duit raya yang lebih banyak dinasihat berusaha untuk menggunakan wang tersebut sebaik mungkin. Jika masih bersekolah misalnya duit raya yang diperoleh boleh digunakan untuk perbelanjaan sekolah mahupun membeli buku-buku rujukan untuk keperluan menghadapi peperiksaan yang menjelang tiba. Ia sekaligus dapat meringankan beban tanggungan ibubapa apatah lagi jika ramai anak yang masih bersekolah.
Kegagalan menguruskan duit raya dengan bijaksana menyebabkan matlamat untuk membantu golongan kanak-kanak yang kurang berkemampuan tidak tercapai. Malah bantuan yang diperolehi terhad hanya untuk jangkamasa tertentu sahaja kerana telah dihabiskan sebaik wang diterima oleh kanak-kanak tersebut.
Tindakan sesetengah ibubapa yang mempergunakan duit raya anak-anak untuk tujuan lain seperti membayar hutang kad kredit yang telah digunakan untuk perbelanjaan hari raya juga boleh dipersoalkan kerana telah mengkhianati amanah yang dipertanggungjawabkan.
Oleh itu ibubapa sewajarnya tidak mengambil kesempatan daripada budaya pemberian duit raya dengan menghabiskan wang itu bukan untuk keperluan anak-anak. Sebaliknya golongan ibubapa diseru untuk belajar menguruskan wang dengan baik tanpa terlalu boros berbelanja dan membazir melebihi kemampuan yang ada.
Para penyumbang duit raya juga diingatkan supaya mengelak daripada sifat menunjuk-nunjuk yang boleh menghilangkan pahala bersedekah. Pemberian duit raya juga hendaklah mengikut kemampuan yang ada. Disamping itu budaya pemberian duit raya boleh juga diperluaskan kepada fakir-miskin, ibu tunggal dan orang tua yang lebih memerlukan berbanding kanak-kanak yang masih di bawah tanggungan ibubapa mereka.
Malah adalah baik jika amalan mulia ini dilakukan secara berterusan demi manfaat ummah secara kolektif. Badan-badan kebajikan, rumah anak yatim dan rumah orang tua misalnya memerlukan bantuan sepanjang tahun demi untuk meneruskan suvival kehidupan mereka.
Begitu pula masjid dan surau juga sentiasa mengharapkan sumbangan orang ramai dalam menjalankan aktiviti ibadah dan kemasyarakatan. Amalan marhaban daripada rumah ke rumah dilihat sebagai contoh terbaik pelaksanaan amalan ini. Disamping menghulurkan infaq untuk mengimarahkan rumah Allah masyarakat setempat dapat mempererat hubungan silaturrahim antara sesama mereka.
Sehubungan dengan itu umat Islam seharusnya lebih peka dengan keperluan-keperluan ini agar golongan yang memerlukan tidak ketinggalan merasai kegembiraan berhari raya sama seperti insan yang lain. Lebih daripada itu masyarakat Islam diharap tidak lokek untuk memberi sedikit sumbangan duit raya kepada kanak-kanak mengikut kemampuan yang ada. Dengan bersifat pemurah juga seseorang dapat menunjukkan kesyukuran terhadap segala rezeki pemberian Tuhan yang mudah-mudahan akan ditambah dan diberkati lagi.
Perkara ini dapat diperhatikan kepada sebuah hadis Nabi Muhammad SAW yang bermaksud “Tidak akan menyesal orang yang beristikharah dan tidak akan papa orang yang bersedekah”
No comments:
Post a Comment