Monday, August 5, 2019

Bersegera Rebut Keutamaan Bulan Zulhijjah



Sedar atau tidak kita sudah berada di penghujung tahun 1440 Hijrah. Ini kerana Bulan Zulhijah merupakan bulan terakhir dalam takwim hijrah. Lalu bagaimana dengan azam ibadat sepanjang tahun, adakah sudah dapat dilakukan atau masih banyak yang gagal dilaksanakan. Eloklah sempena bulan yang mulia ini umat Islam bersegera mempertingkatkan amalan ibadat dan kebajikan semampu mungkin agar buku catatan setahun ditutup dengan baik dan diangkat ke langit dengan sempurna.
Keutamaan Bulan Zulhijah dapat dilihat dengan terkumpulnya beberapa ibadah utama seperti solat, haji, puasa dan ibadat korban dalam satu masa. Malah Allah SWT bersumpah dengan sepuluh hari pertama Zulhijah dengan firman Nya bermaksud “Dan malam yang sepuluh (yang mempunyai kelebihan di sisi Allah)” (Surah al-Fajr,2). Terdapat juga riwayat yang menyebutkan betapa tiada mana-mana hari yang mana amalan baik lebih dicintai di sisi Allah berbanding hari sepuluh pertama Zulhijah.

Umat Islam diajak segera merebut kelebihan yang terhidang di depan mata sebelum berlalu begitu sahaja. Ini boleh dimulakan dengan berpuasa sunat pada Hari Arafah yang bersamaan Hari Sabtu, 10 Ogos 2019. Umat Islam disunatkan berpuasa pada 9 Zulhijah sambil berharap ganjaran penghapusan dosa dua tahun iaitu tahun sebelum dan tahun sesudahnya sebagaimana hadis diriwayatkan Imam Muslim.

Hari Arafah turut mempunyai keistimewaan yang tersendiri sepertimana riwayat menyebutkan tiada hari yang paling baik di sisi Allah melainkan Hari Arafah. Allah turun ke langit dunia dan bermegah-megah dengan amalan penghuni dunia kepada penghuni langit sambil dikatakan bahawa tiada hari yang lebih banyak diberikan pelepasan daripada api neraka melainkan pada Hari Arafah. Syaitan sendiri diriwayatkan merasa kerdil, hina dan paling marah pada hari Arafah apabila melihat Allah menurunkan rahmat dan mengampunkan dosa para hamba sebagaimana diriwayatkan oleh Imam Malik dalam Kitab al-Muwatta.

Pada Hari Raya Aidil Adha pula seluruh kaum Muslimin diajak beramai-ramai menunaikan solat sunat hari raya dan mendengar khutbah yang disampaikan oleh khatib bertugas. Jangan terlalu berseronok pulang ke kampung dan bercuti panjang sehingga amalan sunat ini diabaikan. Usah pula kerana sambutannya tidak semeriah Hari Raya Puasa sehingga ada yang tidak peduli untuk melaksanakan ibadah sunat yang sangat dituntut ini.

Selain solat, banyakkan ucapan takbir yang boleh dimulai pada subuh Hari Arafah hingga waktu Asar Hari Tasyrik iaitu Hari ketiga bekas Zulhijah. Moga-moga dengan banyak bertakbir, bertahmid dan memuji-muji kebesaran Allah akan semakin dekat dengan rahmat dan petunjuk Ilahi.
Keutamaan Bulan Zulhijah dapat dihayati menerusi pengorbanan agung Nabi Ibrahim yang diperintahkan menyembelih anaknya Nabi Ismail yang kemudian digantikan dengan kibas. Sejak itu ia menjadi amalan sunah yang dilaksanakan dengan menyembelih binatang seperti unta, lembu dan kambing pada Hari Nahar bertujuan mendekatkan diri kepada Nya.

Disebutkan dalam riwayat “Tidak ada amalan yang dikerjakan anak Adam ketika hari (raya) korban yang lebih dicintai oleh Allah kecuali mengalirkan darah (menyembelih binatang), sesungguhnya pada hari kiamat ia akan datang dengan tanduk-tanduknya, kuku-kukunya dan bulu-bulunya. Dan sesungguhnya darah tersebut akan sampai kepada Allah sebelum jatuh ke tanah, maka perelokkanlah jiwa kalian dengannya (Riwayat Ibnu Majah).

Selain itu ibadah korban merupakan syiar agama Islam yang wajib dipertahankan sampai bila-bila. Ia juga sebagai tanda bersyukur atas nikmat rezeki dan gaji yang diperoleh sepanjang tahun.
Bagi yang tidak berkemampuan untuk melaksanakan ibadat korban, ringankanlah tulang untuk menghadiri gotong-royong dan membantu pengurusan korban serta pengagihannya kepada masyarakat setempat. Malah golongan muda belia diajak datang beramai-ramai bagi membantu mana yang termampu sebagai persiapan untuk menyambung kerja yang dianggap sebagai “kerja orang tua-tua” satu masa nanti. Bak kata pepatah yang berat sama dipikul yang ringan sama dijinjing.

Suka juga diingatkan agar semua pihak sentiasa berhati dan berwaspada agar tidak terjadi sebarang musibah dan kecelakaan dalam pengurusan ibadat korban kali ini. Lembu dan kambing yang ditambat awal elok diberi makanan dan minuman secukupnya sebelum disembelih dengan penuh sifat ihsan kepada binatang. Pengagihan daging korban juga molek dilakukan dengan sistematik agar tidak timbul isu berbangkit. Jangan berlaku rumah sudah siap tetapi tukul dan pahat masih berbunyi. Apa yang penting daging korban sampai kepada golongan sasaran yang memerlukan.

Lebih daripada itu bermula 8 Zulhijah atau Hari Tarwiyah, tetamu Allah di Makkah mula bersiap sedia untuk melaksanakan segala kerja haji seperti wukuf di Arafah, mabit di Muzdalifah dan Mina, melontar jamrah seterusnya tawaf dan saie haji. 

Justeru itu, dengan segala keutamaan dan ganjaran yang terdapat di Bulan Zulhijah ini, kaum Muslimin diseru untuk tidak melepaskan peluang beribadah mengikut kemampuan masing-masing. Kesempatan masa yang masih terluang menjelang akhir tahun 1440 Hijrah eloklah dipenuhi dengan memperbanyak ucapan istighfar, taubat dan zikir demi mengharap hidayah dan maghfirah Nya. Usah pula ada yang terlepas dan rugi daripada beroleh ganjaran yang dijanjikan kerana belum tentu berpeluang untuk meraihnya lagi.

Monday, October 1, 2018

AWAS LGBT DIKALANGAN PELAJAR



Mungkin ada yang terperanjat apabila membaca topik ini. Bagaimana mungkin seorang yang terpelajar dan kemungkinan sedang berada di Menara Gading boleh terpalit dengan perlakuan luar tabi’. Bagaimana seorang mahasiswa institusi pengajian tinggi boleh terjebak sedangkan saban hari mereka bergelumang dengan pelbagai ilmu dan pengetahuan yang sepatutnya menjadi perisai diri. Benarkah gejala Lesbian, Gay, Bisex dan Transgender  (LGBT) bermula di universiti. Persoalan-persoalan ini menarik untuk dikupas bagi menarik perhatian khayalak pembaca terutama para ibubapa agar cakna terhadap kegiatan anak-anak mereka.

Berdasarkan ceramah yang disampaikan oleh seorang kaunselor yang terlibat secara langsung memulihkan selera songsang golongan LGBT, ia dikatakan bermula ketika mereka menuntut di universiti. Ini mengukuhkan kajian yang menyatakan hubungan songsang ini bermula diusia remaja iaitu antara 13 hingga 21 tahun. Dengan tubuh badan “sado”, bergaya “macho”, memiliki kerjaya dalam bidang professional, sukar untuk masyarakat mencium kegiatan tidak bermoral seperti ini. Malah kemungkinan mereka bukanlah terdiri daripada golongan lelaki lembut atau wanita pengkid yang berlagak seperti lelaki sebagaimana persepsi masyarakat.

Sementelah lagi, apabila diteliti bibit-bibit kearah mempromosikan kegiatan itu di universiti sebenarnya sudah wujud. Portal Malaysia kini pernah melaporkan sebuah kumpulan yang dikenali sebagai Celebrating Identities membantah sebuah forum anjuran Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Sains Malaysia (PMIUSM) yang bertujuan mengembalikan golongan LGBT kepada fitrah. Lebih mengelirukan apabila terdapat yang menyifatkan usaha tersebut mencetuskan homofobia dan transfobia selain suatu bentuk ugutan dan gangguan terhadap kebebasan seksual dan identiti jantina. Turut dilaporkan suatu kempen berkaitan LGBT di sebuah universiti swasta telah dibatalkan oleh pengurusan universiti kerana tidak memenuhi garis panduan ditetapkan. Lebih membimbangkan apabila sebuah pertubuhan bukan kerajaan dikenali Jaringan Melayu Malaysia (JMM) mendapati sejumlah 21 laporan polis telah dibuat pada tahun 2011 mengenai kegiatan pelajar sekolah rendah dan menengah dalam kegiatan seks luar tabii atau atau seks sejenis.

Sungguhpun tiada statistik terperinci untuk mengukuhkan kenyataan ini, kemungkinan wujudnya gejala LGBT di kalangan pelajar perlu dipandang serius oleh pihak-pihak bertanggungjawab. Usah apabila nasi sudah menjadi bubur baharu semua pihak membuka mata dan kemungkinan terlewat untuk mengusahakan tindakan sewajarnya.

Kajian-kajian terdahulu menunjukkan beberapa faktor menjadi penyumbang utama kepada gejala ini dikalangan remaja. Kajian oleh Mohamad Irwan Ahmad dan rakan-rakan pada tahun 2015 mendedahkan kurangnya pendidikan agama, kelemahan institusi keluarga, pengaruh rakan sebaya dan pasangan sejenis yang memahami keinginan satu sama lain menyumbang kegiatan ini. Menurut Zusy Aryanti dalam jurnal yang diterbitkan pada tahun 2016 mendapati faktor genetik dan pola serta gaya asuhan orang tua menjadi faktor terpenting dalam pembentukan peribadi dan tingkahlaku anak-anak. Ada juga yang berpendapat ia berpunca daripada fahaman sekular yang memisahkan agama dengan kehidupan terutama setelah berakhirnya zaman gelap di Barat yang menyaksikan wujud teori kebebasan mutlak dan humanisme.

Tidak dinafikan juga kegagalan mengurus nafsu dengan bijak menjadi penyebab. Ini kerana bukan calang-calang orang berjaya melawan runtunan nafsu sendiri yang dikategorikan sebagai jihad akhbar atau jihad yang sukar untuk dilaksanakan. Ditambah lagi dengan musuh hawa nafsu yang tidak kelihatan oleh pandangan mata kasar dan seseorang terdedah untuk melakukannya di mana-mana tanpa mengira masa dan tempat.

Agama Islam memandang serius perkara ini kerana termasuk dalam lima perkara darurat yang perlu dipelihara. Secara sepesifik ia termasuk dalam kategori pemeliharaan terhadap keturunan dan kehormatan diri dengan menetapkan beberapa hukuman pilihan kepada jenayah liwat dan sihaq berdasarkan hadis Nabi SAW seperti dibunuh kedua-dua pelakunya, direjam dengan batu, dihukum seperti pelaku zina sama ada direjam ataupun disebat dengan rotan atau di takzir mengikut budi bicara mahkamah.

Sebagai langkah membendung aktiviti yang dilarang oleh agama ini, golongan pelajar dinasihat membatasi pergaulan seharian walaupun sesama rakan sejantina. Usah berlebih-lebihan berpeluk-peluk, berciuman mahupun berpegangan tangan kerana dibimbangi akan membawa kepada gejala LGBT tanpa disedari. Syariat Islam  juga mengajarkan tentang tatacara berpakaian dan menutup aurat ketika bersama dengan mahram, dengan rakan sebaya mahupun dengan orang asing demi menjaga maruah dan kehormatan diri. Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim, Tirmiziy dan Abu Dawud disebutkan; “Janganlah seorang laki-laki melihat aurat laki-laki lain, dan jangan pula seorang wanita melihat aurat wanita lain. Dan janganlah seorang laki-laki memakai satu selimut dengan laki-laki lain, dan jangan pula seorang wanita memakai satu selimut dengan wanita lain”

Ibu bapa juga diharap tidak membiarkan anak-anak yang sedang belajar di universiti dengan alasan mereka sudah dewasa dan pandai mengurus diri. Membiarkan anak-anak remaja tanpa pengawasan dan pemantauan ibu bapa adalah suatu kesilapan yang kemungkinan menyebabkan mereka terkena kejutan budaya dan terlibat melakukan kegiatan tidak bermoral. Ibu bapa sewajarnya mengetahui di mana anak mereka tinggal, siapa kawan-kawannya dan tidak salah jika sesekali memerhati aktiviti seharian mereka kerana ibu bapa akan dipertanggungjawabkan mengenai perlakuan baik dan buruk anak-anak.

Usah juga terlalu sibuk dengan tugasan dan aktiviti seharian sehingga anak-anak terbiar dan kurang mendapat kasih sayang dan perhatian ibu bapa. Akibatnya anak-anak lebih suka bergaul dengan rakan-rakan di luar rumah sehingga kemungkinan terjebak dengan gejala tidak bermoral. Selain itu aktiviti berunsurkan pendidikan dan kerohanian perlu diperbanyakkan agar semua memahami betapa Allah menjadikan lelaki dan wanita dengan peranan dan fungsi masing-masing khususnya dalam rangka mengabdikan diri kepada Ilahi.

Tuntasnya marilah semua mengambil iktibar daripada gempa bumi dan tsunami di Sulawesi yang mengorbankan nyawa dan menyebabkan kerosakan harta benda yang jelas menunjukkan kebesaran Tuhan ke atas makhluknya. Lebih daripada itu, sebagai seorang Muslim semua perlu patuh dan taat melaksanakan suruhan dan meninggalkan larangan agama. Usah terkesima dengan amalan negatif sehingga seronok bergelumang dengan dosa hingga ke akhir hayat. Tidak ada gunanya memperjuangkan sesuatu yang salah atas alasan kebebasan dan urusan peribadi kerana kelak mengudang padah kepada diri sendiri. Malah orang lain yang tidak terlibat juga kemungkinan terkena musibah dan malapetaka yang sama akibat kemurkaan Allah ke atas hambanya.

Ingatlah betapa Allah Maha Berkuasa untuk mengenakan hukuman setimpal kepada pelaku dosa dan maksiat sepertimana Kaum Nabi Luth di Negeri Sodom yang diterbalikkan kampung halaman mereka kerana amalan liwat. Sejarah moden turut mengisahkan bagaimana seluruh bandar Pompei di Itali yang  begitu maju pada zamannya dibinasakan dengan letupan gunung berapi kerana kegiatan seks songsang yang berleluasa dalam masyarakat.

Tuesday, February 13, 2018

Semaikan nilai berkasih sayang di musim perayaan



Seluruh anggota masyarakat diajak menyemai nilai kasih sayang terutama di musim cuti perayaan. Ini kerana nilai murni berkasih sayang antara sesama makhluk merentasi sempadan agama, bangsa dan negara. Malah jika dikaitkan dengan pengajaran agama sekalipun tidak ada agama yang menyeru umatnya untuk saling benci membenci dan berkelahi sesama sendiri.

Misalnya menurut ajaran Buddha kasih sayang atau cinta kasih disebut sebagai metta yang bersifat universal meliputi kasih sayang kepada semua makhluk termasuklah kepada sesama manusia, haiwan, serangga, tumbuhan, kasih sayang kepada orang tua, saudara, kawan, bahkan disuruh berkasih sayang terhadap musuh.

Perkara ini juga dapat diperhatikan kepada adat makan besar sempena sambutan Tahun Baharu Cina bagi masyarakat Tionghoa yang jelas menggambarkan nilai kasih sayang yang perlu dikekalkan dari semasa ke semasa. Pada malam tahun baharu seluruh keluarga yang kaya dan miskin berkumpul di rumah mahupun di restoran-restoran untuk sama-sama menikmati makanan yang disaji bagi mempererat hubungan kekeluargaan disamping menyemai nilai hormat menghormati antara yang muda dan tua.

Malah makanan yang disajikan juga mempunyai makna dan maksud yang tersendiri. Ikan dan ayam yang disajikan dikatakan membawa tuah, kemewahan dan rezeki yang banyak sepanjang tahun. Hidangan berasaskan udang dipercayai boleh membawa keriangan seisi keluarga. Selain itu limau mandarin yang diletakkan dirumah mahupun diberikan sebagai hadiah melambangkan kemewahan dan kesejahteraan yang berpanjangan.

Seyogianya nilai-nilai murni seperti ini diterjemahkan dan diperluaskan dalam segenap lapangan kehidupan. Misalnya ketika di jalanraya, kalangan pemandu dinasihat sentiasa bersabar dan berhemah. Terapkan nilai kasih sayang dan hormat-menghormati agar semua pengguna jalanraya sampai ke tempat yang dituju dengan selamat.

Sempena sambutan Tahun Baru Cina kali ini dianggarkan kira-kira 1.7 juta kenderaan akan berada dijalan raya untuk pulang ke kampung halaman mahupun bercuti ke destinai tertentu. Dengan jumlah kenderaan yang banyak di tambah dengan pelbagai ragam dan perangai pemandu nilai toleransi dan saling bertimbang rasa amat-amat diperlukan. Para pemandu dinasihat sentiasa bersabar dan mematuhi peraturan jalanraya kerana jalan raya bukan tempat untuk berlumba. Patuhilah juga cadangan jadual perjalanan ke Utara dan Selatan seperti yang dicadangkan oleh pihak PLUS agar semua sampai ke tempat yang dituju dalam keadaan selamat dan terpelihara daripada sebarang musibah.

Malahan sifat-sifat yang mulia seperti ini termasuk nilai mahmudah yang dianjurkan dalam Islam. Ia hendaklah sentiasa disematkan dalam jiwa sanubari setiap Muslimin walau dimanapun mereka berada. Semetelah lagi, tahap keimanan seorang Muslim sebahagiannya diukur berdasarkan nilai kecintaan antara sesama manusia. Ini berdasarkan sabda Nabi SAW yang bermaksud; tidak beriman seorang di antara kamu hingga dia mencintai untuk saudaranya apa yang dia cintai untuk dirinya sendiri. (Hadis riwayat Bukhari).

Namun begitu ia hendaklah diterjemahkan dalam bentuk yang positif bukan seperti yang difahami oleh segelintir muda-mudi dan pasangan yang asyik bercinta sehingga sanggup menggadai maruah dan kehormatan diri. Ini seperti menyambut Hari Valentine yang tidak diketahui asal-usulnya. Malah lebih buruk daripada itu ada yang mengambil kesempatan menzahirkan kasih sayang dengan berdua-dua di hotel bajet dan terjebak melakukan perbuatan keji seperti zina yang diharamkan. Salah faham seperti ini jika tidak dibendung akan menyebabkan berlakunya pelbagai jenayah lain seperti peningkatan statistik kelahiran anak luar nikah dan pembuangan bayi yang tidak berdosa tanpa henti.

Perlu difahami betapa kasih sayang bukanlah disambut pada hari-hari tertentu. Ia sifat mulia yag perlu ada dalam diri setiap Muslim sehingga mencorakkan sahsiah dan peribadi. Ini kerana tanpa kasih sayang terdapat anak yang sanggup meninggalkan ibunya di bilik hotel berhari-hari tanpa diketahui niat dan tujuannya. Terdapat juga yang sanggup melacurkan anak sendiri, memukul dan mendera anak hingga menyebabkan kematian. Tak cukup dengan itu ada yang sanggup memukul dan memotong anggota badan binatang seperti kucing kerana marah dan sebagainya.

Dalam konteks yang lebih luas terdapat segelintir masyarakat yang tidak senang dengan golongan minoriti yang tinggal bersama mereka seperti di Rohingya sehingga mereka di bakar, dihalau daripada kampung halaman, wanita dirogol dan dibunuh. Malah disebabkan keinginan untuk berkuasa dan menguasai politik negara, rakyat jelata menjadi mangsa, ramai yang terkorban, kehilangan tempat tinggal dan terpaksa merempat dinegara asing.

Menjelang tarikh piliharaya umum ke-14 ini juga, semua pihak sama ada parti-parti bertanding, penyokong-penyokong parti dan seluruh masyarakat diseru supaya sentiasa menerapkan nilai kasih sayang ketika berkempen. Perbuatan mengeji, memfitnah dan menyebarluaskan berita palsu adalah jauh menyimpang daripada ajaran Islam yang suci.  Perkara ini jika tidak dibendung kemungkinan menyebabkan perasaan tidak puas hati dan permusuhan sesama saudara se Islam.

Ingatlah betapa kita semua bersaudara dan tujuan utama piliharaya untuk membentuk sebuah kerajaan yang menjamin keutuhan agama, bangsa dan negara tercinta bukan ruang untuk membuat dosa dan maksiat yang dilarang oleh Allah SWT. Perlu juga difahami betapa politik dalam Islam didirikan atas prinsip rabbaniyah (ketuhanan), amanah, ukhuwah (persaudaraan), musawah (persamaan) dan keadilan yang menyerlahkan keunikan sistem Islam berbanding sistem politik garapan pemikiran dan ikutan terhadap hawa nafsu manusia.

Sehubungan dengan itu, masyarakat diseru mengamalkan nilai kasih sayang dalam segenap lapangan kehidupan agar kehidupan harmoni dan aman damai dapat terus dikecapi dari semasa ke semasa. Ambillah kesempatan sempena cuti Tahun Baharu Cina untuk menziarahi rakan taulan bagi mengenali budaya dan adat resam masyarakat majmuk di Malaysia agar negara terus aman dan damai sepanjang masa.


Rujukan
https://fatimachitra.wordpress.com/2013/04/17/manusia-dan-cinta-kasih-buddhis/
http://www.sinarharian.com.my/mobile/hiburan/tahun-baru-cina-disambut-dalam-suasana-meriah-harmoni-1.129997


Tuesday, January 23, 2018

KEBAIKAN SOLAT BAGI KESIHATAN MANUSIA


Dewasa ini terdapat segelintir individu Muslim yang langsung tidak peduli tentang kewajipan melakukan solat fardu. Mereka terkesima dengan tipu daya kehidupan dunia yang sementara sehingga terlalu sibuk berkerjaya dan melakukan aktiviti seharian tanpa mempedulikan solat. Sedangkan apabila diteliti solat adalah tiang agama dan antara persoalan utama yang dipertanggungjawabkan pada hari akhirat. Dalam sebuah riwayat disebutkan; Sesungguhnya antara yang pertama ditanya pada hari akhirat ialah solat, jika baik solatnya maka berjaya dan beruntung, jika rosak solatnya maka gagal dan kerugian (Riwayat Ahmad dan Ashab al-Sunan).

Inidividu Muslim yang menjaga solat apatah lagi dilakukan secara berjemaah juga dijanjikan ganjaran dan pahala berlipatkali ganda. Ini kerana ketika solat seseorang dalam keadaan bermunajat kepada Allah SWT sekali gus mempertaut hubungan antara makhluk dan khalik yakni pencipta. Selanjutnya apabila diteliti solat bukan sahaja semata-mata ibadat yang difardukan tetapi mengandungi manfaat yang besar untuk kesihatan tubuh badan manusia.

Dalam sebuah seminar, Prof. Ir Dr. Fatimah Ibrahim daripada Universiti Malaya membentangkan hasil kajian mengenai kesan pergerakan solat terhadap kesihatan manusia yang dilakukan sejak beberapa tahun yang lalu. 

Menurut beliau ketika mengangkat tangan dalam takbiratulihram kuantiti oksigen bertambah dengan banyak masuk ke dalam paru-paru dan kuantiti darah beroksigen  mengandungi nutrien yang di bawa oleh sel sel badan turut bertambah. Ini kerana ketika mengangkat tangan ke paras bahu, bidang dada diluaskan dan tulang belakang diseimbangkan. Dengan cara ini kapasiti udara dalam paru-paru akan bertambah secara semula jadi.

Ketika meletakkan tangan di antara pusat dan dada setelah takbiratulihram menjadikan individu yang solat di kedudukan paling stabil dan tenang. Ini kerana pada ketika itu sendi siku, pergelangan tangan dan otot dalam kaedaan rehat sepenuhnya. Dalam kedudukan itu darah mampu mengalir dengan lancar, cecair dalam sendi bertambah bahkan boleh mengelak risiko diserang penyakit sendi reumatik atau kekakuan sendi.

Melalui pergerakan rukuk secara sempurna 900 pula, pergerakan bendalir dalam badan akan mengalir dengan sempurna. Otot dibahagian depan tubuh mengalami pengecutan dan otot di bahagian belakang akan mengalami proses pengenduran. Kedudukan tangan di atas lutut semasa rukuk mampu menetapkan tulang tempurung pada posisi yang sebenar. Disebutkan juga, kegagalan melakukan rukuk dengan sempurna menyebabkan kandungan kolestrol meningkat, berisiko sakit pinggang dan menggangu sistem kardiovaskular atau jantung.

Selain itu melalui kaedah sujud dan duduk untuk tahiyat dengan membengkokkan jari kaki menghadap ke arah kiblat mampu menurunkan kandungan kolesterol badan serta meningkatkan jisim sel badan kepada paras lebih tinggi. Berdasarkan kajiannya juga seseorang yang tidak membengkokkan jari kaki ke arah kiblat berisiko mendapat penyakit jantung, strok dan kegemukan akibat pengecutan tisu otot yang kemudiannya dipenuhi oleh gumpalan lemak badan.

Posisi sujud juga dapat menguatkan otot leher, tengkuk, lengan dan otot bahu. Ini kerana semasa sujud keseimbangan posisi tulang belakang berlaku dan pengaliran darah beroksigen ke otak bertambah. Hasilnya keupayaan otak untuk berfikir juga bertambah dan melambatkan proses keletihan otak.

Dalam pembentangannya juga Prof. Fatimah turut membentangkan hasil kajian mengenai solat yang berupaya menurunkan berat badan, merawat masalah mati pucuk, mencegah penyakit jantung dan merupakan senaman regangan yang paling efektif dan berkesan.

Sehubungan dengan itu tidak ada alasan bagi kaum Muslimin untuk meninggalkan sembahyang. Malah kesanggupan segelintir yang sanggup berbelanja besar membeli peralatan senaman mahupun berjam-jam beraerobik dan bersenam di gymnasium boleh digantikan dengan melazimi solat fardu lima waktu dan ditambah dengan banyak melakukan solat-solat sunat yang kini terbukti bermanfaat untuk kesihatan tubuh badan manusia.

Untuk tujuan itu juga umat Islam diajak mempelajari kaedah solat yang sempurna sebagaimana diajarkan oleh Baginda Nabi Muhammad SAW sehingga diterima dengan sempurna dan beroleh kebaikan dunia dan akhirat. Ini dapat dilakukan dengan menghadiri kuliah-kuliah fardu ain yang banyak dianjurkan oleh pihak masjid dan surau di seluruh negara.

Tanpa ilmu dan pengetahuan solat yang sempurna boleh jadi seseorang tidak beroleh apa-apa daripada solatnya. Lebih buruk apabila dihumbankan ke dalam neraka akibat tidak bersungguh-sungguh dan lalai melakukan solat pada waktu yang ditetapkan.

Melalui kajian-kajian seperti ini terbukti betapa solat mempunyai hikmah yang tersurat dan tersirat yang membuka peluang penyelidikan dan kajian lebih mendalam. Ia juga jelas menunjukkan kebesaran dan keagungan Allah SWT kepada makhluknya dengan mewajibkan solat lima waktu sehari semalam berserta manfaat untuk kelangsungan kehidupan manusia. Justeru itu, umat Islam diajak untuk meningkatkan keimanan dan ketakwaan kepada Allah SWT dengan melakukan solat dan ibadah wajib yang lain dengan bersungguh-sungguh agar diterima dengan sempurna serta termasuk dalam golongan yang berjaya dunia dan akhirat.



Tuesday, December 26, 2017

Pesanan Buat Ibu Bapa, Pelajar Dan Guru


Musim cuti persekolahan kini sudah sampai kepenghujungnya. Setelah puas bercuti dan melancong ke dalam dan luar negara bersama anak-anak, kini tumpuan ibu bapa pastinya terarah kepada menyediakan keperluan persekolahan. Apapun buatlah persiapan mengikut kemampuan usah membazir dan berlebih-lebihan kerana banyak keperluan seperti buku dan keperluan persekolahan lain perlu disediakan. Apatah lagi jika ramai anak yang masih bersekolah tentu pendapatan yang ada tidak mencukupi. Anak-anak juga diharap tidak membebankan ibu bapa dengan meminta semua kelengkapan sekolah yang baharu. Mana-mana yang masih boleh digunakan eloklah digunakan sementara bagi menampung kekurangan yang ada.

Dalam pada itu masyarakat yang berkemampuan diajak untuk membantu golongan memerlukan bagi menyediakan bantuan persekolahan. Dengan cara ini penyumbang juga mendapat ganjaran daripada amalan bersedekah yang digalakkan oleh agama. Usaha NGO dan pihak-pihak persendirian yang mengusahakan bantuan persekolahan untuk anak-anak golongan fakir miskin adalah suatu usaha mulia. Ia sewajarnya dicontohi oleh semua sekali gus menunjukkan betapa masih terdapat golongan masyarakat yang prihatin dan mengambil berat kesusahan golongan marahein. Malah pihak kerajaan juga turut prihatin dengan menyediakan bantuan persekolahan sebanyak RM100 kepada 3.2 juta murid sekolah di seluruh negara menerusi peruntukan bajet 2018 yang lalu.

Semoga dengan cara ini anak-anak golongan kurang berkemampuan tidak terbiar tanpa memperoleh pendidikan asas yang diwajibkan. Malah tiada alasan untuk tidak menghantar anak-anak bersekolah kerana pihak sekolah melalui Persatuan Ibu bapa dan Guru (PIBG) biasanya boleh mengusahakan bantuan dan pertolongan yang sewajarnya.

Dengan segala kemudahan yang ada para pelajar diharap dapat memulakan sesi persekolahan yang baharu dengan bersemangat dan bercita-cita tinggi untuk berjaya dalam pelajaran. Ini sekali gus dapat membalas jasa dan pengorbanan ibu bapa dan para guru yang bersusah payah menyediakan segala kelengkapan persekolahan dan mendidik hingga berjaya ke menara gading.

Sempena pembukaan sesi persekolahan yang baharu ini juga para pelajar diajak memperbaharui azam dan tekad untuk bersungguh-sungguh menuntut ilmu dan pengetahuan. Tetapkan niat dan tujuan belajar semata-mata kerana Allah SWT selain sentiasa berdoa memohon bantuan dan pertolongan Nya. Dalam kesibukan belajar para pelajar dinasihat tidak mengabaikan kewajipan solat yang difardukan dan memelihara diri daripada melakukan kegiatan dosa dan maksiat. Ini penting bagi melahirkan golongan pelajar yang bukan sahaja cemerlang dalam pelajaran tetapi berjaya sebagai individu Muslim yang taat dan patuh perintah Ilahi. Bagi yang akan menduduki peperiksaan utama pada tahun ini dinasihat supaya bersedia sejak hari pertama persekolahan. Usah menunggu disaat-saat akhir kerana pastinya menyusahkan dan berkemungkinan gagal meraih kejayaan cemerlang yang diharap-harapkan.

Selain daripada itu para ibu bapa diingatkan supaya tidak membebankan guru dengan tugas mendidik anak mereka sepenuhnya. Kerana ketika di rumah ibu bapa umpama guru yang bertanggungjawab untuk mendidik dan menasihati anak agar menjadi insan berguna. Malah para ibu bapa memikul amanah untuk memberi pendidikan agama yang secukupnya selain memastikan anak-anak taat kepada perintah Allah dan Rasul Nya. Ibu bapa hendaklah sentiasa memastikan anak mengerjakan solat lima waktu, berpuasa di bulan Ramadan selain mendidik anak supaya sentiasa menghormati ibu bapa dan guru yang mendidik mereka. Kegagalan berbuat demikian menyebabkan ibu bapa pula dipertanggungjawabkan di hadapan Allah SWT di hari kemudian.

Kesibukan tugasan seharian tidak boleh dijadikan alasan untuk membiarkan anak berkeliaran dan berpeleseran ke sana kemari tak kira siang ataupun malam. Dikhuatiri mereka bergaul dengan rakan yang tidak bermoral dan kenakalan tersebut terbawa-bawa hingga ke sekolah. Akhirnya pihak sekolah terpaksa mengambil tindakan demi menjaga kemaslahatan pelajar lain dan kemungkinan ibu bapa pula tidak dapat menerimanya. Untuk tujuan itu juga ibu bapa diajak menjadi contoh dan teladan yang baik kepada anak. Agar tidak jadi seperti ketam yang mengajar anaknya berjalan lurus sedangkan diri sendiri gagal berbuat demikan. Sebagai contohnya ketika di sekolah anak-anak berpakaian seragam yang menutup aurat dan dididik untuk solat sebelum pulang tetapi apabila di rumah ayah ibu tidak mempedulikan kewajipan menutup aurat dan tidak menjaga hubungan dengan Allah SWT.
Di sisi pandang yang lain, golongan guru dan pendidik diharap tidak menjadikan kerenah dan kenakalan pelajar masa kini sebagai alasan untuk sekadar mengajar dan melaksanakan kerja kerja pentadbiran disekolah. Anggaplah ia sebagai suatu jihad dalam menyampaikan ilmu pengetahuan dan mendidik anak bangsa. Ini kerana guru seperti individu Muslim yang lain memikul amanah Allah SWT untuk melaksanakan kerja menyeru kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran sebagaimana firman Nya yang bermaksud;

 “Dan hendaklah ada di antara kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh kepada yang makruf (kebajikan) dan mencegah dari yang mungkar, merekalah orang yang beruntung” (Terjemahan Surah Ali Imran, 104)

Malah jika para guru dan masyarakat menghentikan usaha mengajak kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran sehingga maksiat dan kemungkaran terus berleluasa dikhuatiri akan mengundang musibah dan malapetaka yang melata serta mengena kepada semua. Sebagaimana firman Nya bermaksud;

 “Peliharalah diri kamu dari siksaan yang tidak khusus menimpa orang yang zalim sahaja di antara kamu. Ketahuilah bahwa Allah amat keras siksaan-Nya”. (Terjemahan Surah al-Anfal 25).

Sungguhpun begitu para guru diajak sentiasa mematuhi etika dan profesionalisme perguruan bagi mengelak fitnah kepada diri sendiri. Misalnya ketika terpaksa memberi hukuman kepada pelajar bermasalah segala garis panduan dan peraturan mendenda pelajar yang melakukan kesalahan di sekolah hendaklah dipatuhi. Pendekatan agama seperti menghukum dengan bijaksana, melalui kaedah nasihat yang baik dan perbincangan dua hala antara ibu bapa dan pihak sekolah juga elok dilaksanakan bagi menyelesaikan masalah disiplin pelajar. Ini bagi mengelak para guru dicemuh dan dicela walaupun niat dan tujuannya murni untuk mendidik anak bangsa.

Apapun para ibu bapa, pelajar dan guru diajak memainkan peranan masing-masing bagi melahirkan genarasi Muslim yang cemerlang dunia dan akhirat. Malah ibu bapa sewajarnya berterima kasih kepada pihak sekolah dan para guru yang bersusah-payah memberi pendidikan sehingga anak mereka berjaya dalam kehidupan. Akhirnya ibu bapa juga yang bakal menikmati kesenangan hidup hasil kejayaan yang dikecapi oleh anak-anak sedangkan guru kekal sebagai guru dengan pelajar baharu silih berganti saban tahun selian turut memikul tanggungjawab dan  amanah terhadap anak dan keluarga masing-masing. 

Monday, October 30, 2017

TAMBAH BAJET IBADAH TAHUNAN

Bersempena Pembentangan Bajet 2018 oleh YAB Perdana Menteri Malaysia pada 27 Oktober yang lalu, masyarakat Islam diajak menambah peruntukan bajet untuk beribadah pada tahun hadapan. Ini selari dengan pelbagai insentif dan durian runtuh yang dicadangkan oleh pihak kerajaan. Ia juga merupakan tanda bersyukur diatas segala nikmat rezeki yang dikurniakan oleh Allah SWT sehingga menjadi sebab untuk ditambah dan diberkati oleh Nya.

Untuk tujuan itu masyarakat Islam digalak memperluaskan aktiviti sedekah dan berwakaf untuk kepentingan seluruh umat. Misalnya menyumbang dana wakaf kepada Islamic Relief Malaysia yang sedang melancarkan Projek Dana Wakaf Air Somalia. Atau menyumbang kepada tabung untuk membantu masyarakat Islam yang tertindas di Rohingya, pelarian perang Syria dan Palestine serta membantu masyarakat Islam minoriti seperti di Kemboja dan Vietnam yang masih meraih simpati dan bantuan semua. Malah peluang untuk melakukanya terbuka luas kerana terdapat banyak NGO yang boleh dipercayai untuk membantu menyampaikan sumbangan masyarakat ke tempat-tempat yang memerlukan. Tepuk dada tanya iman.

Sungguhpun begitu itu usah dilupakan golongan yang memerlukan di kariah setempat yang kemungkinan turut memerlukan bantuan kewangan dan bantuan lain yang diperlukan dari semasa ke semasa. Dalam hal ini inisiatif yang dilakukan oleh pihak masjid dan surau yang melancarkan tabung jiran prihatin boleh dicontohi supaya masyarakat cakna dan mengambil tahu apa yang berlaku dikejiranan mereka. Selain itu madrasah, sekolah-sekolah tahfiz, rumah kebajikan dan rumah kenangan di seluruh negara turut memerlukan bantuan para dermawan yang budiman.

Nikmat beroleh rezeki tambahan seperti bonus kepada penjawat awam, pesara, pegawai masjid dan ketua kampung, selain pemberian BRIM bolehlah digazetkan sedikit untuk beribadah dengan wang ringgit ketika Bulan Ramadan. Ini kerana ramai yang mengambil kesempatan bulan Ramadan untuk melakukan kebajikan. Malah bagi golongan yang sibuk dengan pekerjaan seharian kemungkinan jarang dapat berjemaah dan solat tarawih bolehlah menyediakan peruntukan untuk memberi makan orang berbuka puasa sehingga beroleh pahala berlipat kali ganda. Jika berkemampuan boleh juga menyediakan juadah berbuka untuk masjid atau institusi berbeza sepanjang Ramadan sehingga manfaatnya dirasai semua. Atau juga boleh memilih hari-hari terakhir Ramadan yang kemungkinan terjadi lailatul qadar untuk beroleh ganjaran kemuliaan beribadah lebih baik daripada seribu bulan.

Selain itu, jika ada lebihan pendapatan kaum Muslimin yang belum menunaikan fardu haji digalakkan untuk menambah jumlah tabungan di Tabung Haji. Ini penting bagi mengelak peluang ke Tanah Suci tergendala akibat masalah kewangan yang sepatutnya boleh diatasi. Bagi yang belum sampai kuota untuk menunaikan haji dalam waktu yang terdekat boleh juga menabung untuk menunaikan ibadah umrah dan menziarahi junjungan Nabi Muhammad SAW yang mulia. Atau juga boleh mengambil manfaat Bajet 2018 dengan mula menabung sejak awal tahun untuk melakukan ibadah korban yang disyariatkan. Dengan cara ini urusan ibadah yang melibatkan sumber kewangan seperti ibadah korban boleh dilakukan setiap tahun secara konsisten. Untuk itu juga bagi yang sudah biasa menyembelih satu bahagian lembu bolehlah meningkatkan kebajikan dengan menabung lebih banyak untuk berkorban menyembelih seekor kambing mengikut sunnah Nabi Muhammad SAW.

Dalam pada itu usah dilupakan untuk menambah potongan zakat pendapatan dan zakat wang simpanan yang kemungkinan bertambah dengan sebab bertambahnya sumber gaji dan pendapatan tahunan. Ini penting supaya golongan asnaf turut merasa nikmat tambahan rezeki golongan yang berkewajipan membayar zakat. Dengan bertambahnya jumlah kutipan zakat jmanfaatnya juga dapat dirasai oleh lebih ramai golongan asnaf sehingga berupaya melepaskan diri mereka daripada belenggu kemiskinan.

Masyarakat Islam turut diingatkan supaya tidak kedekut dan bakhil dengan rezeki pemberian Ilahi. Belanjakan dan infakkan harta ke jalan yang diredai Allah SWT kerana Allah suka melihat rezeki pemberiannya digunakan sebagaimana hadis riwayat Imam al-Trimizi tanpa melupakan golongan yang memerlukan. Ingatlah juga golongan bakhil akan menyesal setelah mati sehingga memohon untuk dibangkitkan semula agar dapat bersedekah dan beramal soleh.

Ini seperti Firman Allah SWT yang bermaksud; Dan infakkanlah sebagian dari apa yang telah Kami berikan kepadamu sebelum kematian datang kepada salah seorang di antara kamu; lalu dia berkata (menyesali), "Ya Tuhanku, sekiranya Engkau berkenan menunda (kematian)ku sedikit waktu lagi, maka aku dapat bersedekah dan aku akan termasuk orang yang saleh. Dan Allah tidak akan menunda (kematian) seseorang apabila waktu kematiannya telah datang. Dan Allah Maha teliti terhadap apa yang kamu kerjakan" (Surah al-Munafikun,10-11).

Apapun yang penting segala yang dilakukan tidak sampai menyusahkan diri sendiri dan membiarkan anak dan keluarga terabai. Ibarat kata pepatah Kera di hutan disusukan anak di rumah mati kelaparan. Kumungkinan terdapat yang gagal memahami konsep infak yang sebenar sehingga beriya-iya menginfakkan hartanya untuk kepentingan jemaah dan badan tertentu tetapi keluarga dan ibu bapa sendiri tidak dipedulikan. Untuk tujuan itu juga kaum Muslimin bolehlah mengkhususkan pemberian dan sumbangan kewangan kepada keluarga dan sanak saudara terdekat kerana mereka memiliki hak golongan miskin yang perlu dibantu juga hak kerabat yang mempunyai pertalian darah.


Perlu juga diingatkan betapa nikmat rezeki, gaji dan hasil pendapatan yang diusahakan bukanlah untuk berbelanja melebihi keperluan sehingga boros dan berlebih-lebihan. Lebih buruk lagi jika turut digunakan untuk tujuan dosa dan maksiat yang mengundang kemurkaan Ilahi. Pendekatan wasatiyah dalam berbelanja adalah yang terbaik selain segala sumbangan berbentuk kewangan yang disertai niat ikhlas sahaja yang akan diterima oleh Nya. 

Saturday, September 16, 2017

IKTIBAR KEBAKARAN PUSAT TAHFIZ

Seluruh negara bersedih dan berduka cita dengan kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran al-Ittifaqiyah, Keramat yang meragut nyawa 23 orang pelajar tahfiz dan gurunya baru-baru ini. Lebih menyedihkan apabila ia di lakukan oleh anak-anak remaja yang sebangsa dan seagama. Sama-samalah kita menanti keputusan siasatan pihak berkuasa tanpa menimbulkan polimik dan cakap-cakap belakang yang kemungkinan menambahkan lagi kesedihan ibu bapa mangsa yang terkorban.

Masyarakat turut diajak mendoakan kebaikan kepada anak-anak dan guru yang terkorban agar termasuk dalam kalangan orang beriman lagi mendapat kemuliaan mati syahid. Di doakan juga semoga ibu bapa yang terlibat sentiasa tabah dan sabar menerima ketentuan Ilahi. Firman Allah SWT bermaksud
 “Tidak ada sesuatu musibah pun yang menimpa seseorang kecuali dengan izin Allah. Dan barang siapa yang beriman kepada Allah, niscaya Dia akan memberi petunjuk kepada hatinya. Dan Allah Maha Mengetahui segala sesuatu”(Terjemahan Surah al-Taghabun:11).

Lebih daripada itu Allah SWT tidak menjadi sesuatu sia-sia. Pasti terdapat hikmah dan sama ada yang tersirat dan tersurat yang boleh dijadikan iktibar dan pengajaran kepada manusia. Kejadian menyayat hati yang menimpa pelajar tahfiz ini misalnya mengajak semua untuk benar-benar menjaga amanah Allah terhadap anak-anak. Antara lain menjadi tanggungjawab kepada ibu bapa untuk memberi nama yang baik, menyediakan makan minum dan tempat tinggal selain mendidik dan mengasuh. Ayah ibu juga wajib menyediakan pendidikan agama secukupnya sehingga mereka mengenal Allah SWT sebagai pencipta dan mengetahui tatacara untuk solat, berpuasa dan ibadah-ibadah yang lain. Selain itu ibu bapa perlu menunjukkan contoh tauladan yang baik kepada anak-anak dan mengajarkan kepada mereka nilai akhlak yang mulia. Lebih daripada itu para ibu bapa diseru sentiasa memantau dan mengawasi anak-anak di bawah jagaan mereka.

Anak-anak yang masih muda remaja tidak sewajarnya dibiarkan merayau ke sana dan ke mari terutama di waktu malam dikhuatiri terlibat melakukan perkara negatif yang merugikan. Malah jika hal ini dipandang remeh dikhuatiri akan menyumbang pula kepada gejala sosial di kalangan muda-mudi yang tidak berkesudahan. Hal ini kemungkinan menyumbang pula kepada peningkatan jenayah di kalangan remaja bawah umur seperti penyalahgunaan dadah, mencuri dan lain-lain. Lebih membimbangkan lagi apabila di hari akhirat anak-anak pula akan mempersoalkan amanah yang gagal ditunaikan dengan sempurna sehingga mengagalkan cita-cita ibu bapa untuk ke syurga.

Kedua, kejadian ini juga menunjukkan betapa nilai kasih sayang sesama manusia mula sirna dalam hati sanubari segelinitir kaum Muslimin. Akibatnya kezaliman dan penganiayaan berleluasa. Malah menurut kenyataan Ketua Polis Kuala Lumpur kebakaran di Keramat tersebut berpunca daripada dendam dan ejek mengejek sehingga ada yang sanggup melakukan perbuatan khianat dan memulakan kebakaran sehingga menyebabkan kematian. Perbuatan seperti ini tentunya jauh daripada nilai kasih sayang dan sikap mulia saling berlapang dada. Nabi Muhammad SAW bersabda maksudnya; “Perumpamaan orang beriman dalam hal saling mencintai, mengasihi, dan saling berempati diibaratkan seperti satu tubuh. Jika satu daripada anggotanya ditimpa sakit maka seluruh tubuh turut merasakannya dengan berjaga malam dan demam.”(Riwayat Muslim)

Dalam hal ini juga kesengsaraan yang ditanggung oleh saudara Islam di Rohingya sewajarnya mendapat perhatian semua. Setelah lama ditindas dan dinafikan hak untuk hidup di negara sendiri sudah sampai masanya mereka mendapat pembelaan dan perhatian dunia. Perbuatan tidak bertamadun seperti membunuh dan menyembelih orang tidak berdosa, wanita dan anak gadis dirogol dan membakar kampung dan merosakkan harta benda adalah jenayah tidak berperikemanusiaan. Untuk itu juga umat Islam diajak saling mempererat hubungan sesama Muslim dengan menunaikan hak Muslim dengan Muslim yang lain. Antaranya dengan memberi ucapan salam ketika bertemu, membantu ketika disaat saudara yang lain memerlukan, menjengok ketika sakit dan memberi penghormatan terakhir kepada mereka setelah meninggal dunia.

Ketiga, musibah ini membuka mata masyarakat betapa sekolah tahfiz, madrasah dan sekolah-sekolah agama perlukan bantuan dan sokongan semua. Ini kerana tempat mulia anak-anak belajar agama, menghafaz al-Quran dan mendidik diri menjadi individu Muslim yang sejati menggambarkan keseriusan semua untuk meninggikan syiar agama Allah. Malah keadaan sesetengah sekolah agama yang daif, kurang kemudahan hendaklah dibantu dengan apa sahaja cara termampu. Bukan mencemuh dan mengeji institusi pendidikan agama yang akhirnya kembali keburukkannya kepada umat Islam sendiri. Usahlah lagi dibiarkan pihak pengurusan tahfiz dan anak-anak muridnya membawa tabung ke sana kemari, menebalkan muka meminta simpati kemungkinan menggangu proses pembelajaran mereka.

Dalam hal ini, langkah kerajaan melalui YAB Perdana Menteri mengumumkan bantuan sebanyak RM 30 juta kepada sekolah tahfiz di seluruh negara mencerminkan keprihatinan kerajaan dan memang tepat pada masanya. Titah Sultan Johor DYMM Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar, agar Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia mengambil tindakan mengenal pasti madrasah, pusat tuisyen, sekolah berasrama penuh, sekolah rendah dan menengah yang berisiko tinggi berlaku kebakaran di seluruh Johor juga elok diperluaskan ke negeri lain agar kejadian sama tidak berulang lagi.

Pihak pengurusan tahfiz dan madrasah di seluruh negara juga dicadangkan sentiasa mengambil langkah-langkah yang perlu misalnya mengadakan latihan kebakaran dan kecemasan dengan kerjasama pihak Bomba mahupun NGO setempat agar musibah dapat dielakkan.


Ini penting bagi memastikan memastikan kelangsungan generasi hafaz al-Quran dan berpendidikan agama yang menjadi benteng hadapan untuk memelihara kesucian dan kemurniaan agama Islam. Ia juga bagi menangkis serangan penyelewengan akidah oleh golongan liberal dan ekstrimis yang mula mendapat perhatian dikalangan generasi muda yang cetek pengetahuan agama.