Tuesday, July 27, 2010

HALAL BUKAN SAHAJA PADA MAKANAN





KEPRIHATINAN umat Islam terhadap aspek kesucian makanan dan minuman yang disuap ke dalam mulut menunjukkan betapa ramai telah mula sedar akan kewajipan berbuat demikian demi mengelak sesuatu yang haram menjadi darah daging. Soal halal dan haram ini juga jika tidak diberi perhatian akan turut memberi kesan kepada aspek pelaksanaan ibadah apatah lagi menjelang bulan Ramadan al-Mubarak dimana umat Islam berlumba-lumba untuk melakukan amal ibadat.

Atas keperluan itu bukan sahaja pengusaha Kopitiam perlu mendapatkan pengesahan sijil halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) akan tetapi semua kedai makan yang biasa dikunjungi umat Islam termasuk kedai-kedai mamak dan restoran di hotel-hotel di seluruh negara perlu memohon sijil halal.

Pengesahan status halal ini semakin signifikan menjelang tibanya bulan puasa berikutan trend berbuka puasa di luar rumah yang semakin diminati oleh masyarakat Islam dewasa ini. Ia sekaligus menarik perhatian pengusaha kedai makanan melakukan promosi gila-gila bagi menarik pelanggan ke premis mereka dengan menyediakan aneka juadah berbuka puasa.

Namun jika mereka enggan, pelanggan Muslim pula harus lebih sensitif untuk memilih dan menentukan hanya yang halal dan suci sahaja boleh menjadi hidangan mereka. Kegagalan mengikut garis panduan pemakanan yang telah ditetapkan syariat tersebut kemungkinan menyebabkan seseorang hanya menanggung beban berpuasa di siang hari tetapi tidak beroleh sebarang ganjaran berpuasa sebagaimana yang dicita-citakan.

Diriwayatkan bahawa Baginda Nabi Muhammad SAW bersabda yangbermaksud “Ramai orang yang berpuasa tetapi mereka tidak memperoleh apa-apa daripada puasanya kecuali rasa lapar dan dahaga sahaja”.

Disamping itu budaya makan di luar sebegini sedikit sebanyak menyebabkan segelintir masyarakat Islam terlepas peluang keemasan untuk meraih ganjaran berlipat kali ganda dengan bersolat tarawih secara berjamaah yang hanya datang setahun sekali. Malah terdapat pula yang terpaksa menggabaikan solat fardu Maghrib kerana asyik menjamu selera.

Selain daripada itu umat Islam juga perlu memahami aspek halal bukan sahaja tertumpu kepada soal makan dan minum tetapi sebenarnya mencakupi segala muamalah yang dilakukan oleh manusia. Ini termasuklah penglibatan masyarakat Islam dalam transaksi kewangan dan perbankan yang berteraskan riba’yang diharamkan.

Allah SWT berfirman yang bermaksud; “Orang-orang yang memakan (mengambil) riba itu tidak dapat berdiri betul melainkan seperti berdirinya orang yang dirasuk Syaitan dengan terhuyung-hayang kerana sentuhan (Syaitan) itu. Yang demikian ialah disebabkan mereka mengatakan: Bahawa sesungguhnya berniaga itu sama sahaja seperti riba. Padahal Allah telah menghalalkan berjual beli (berniaga) dan mengharamkan riba. Oleh itu sesiapa yang telah sampai kepadanya peringatan (larangan) dari Tuhannya lalu dia berhenti (dari mengambil riba), maka apa yang telah diambilnya dahulu (sebelum pengharaman itu) adalah menjadi haknya dan perkaranya terserahlah kepada Allah dan sesiapa yang mengulangi lagi (perbuatan mengambil riba itu) maka mereka itulah ahli Neraka, mereka kekal di dalamnya. Allah susutkan (kebaikan harta yang dijalankan dengan mengambil) riba dan Dia pula mengembangkan (berkat harta yang dikeluarkan) sedekah-sedekah dan zakatnya. Dan Allah tidak suka kepada tiap-tiap orang yang kekal terus dalam kekufuran dan selalu melakukan dosa”.(Surah al-Baqarah:275-276).

Malah hukum bermuamalat dengan bank-bank perdagangan yang berorentasikan riba’ juga pernah diputuskan oleh Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-32 yang telah bersidang pada 10-11 Jun 1993. Muzakarah tersebut telah memutuskan bahawa; i) Bekerja di bank atau institusi kewangan hukumnya harus, ii) Pinjaman bank atau institusi kewangan adalah haram hukumnya kecuali kerana terpaksa bagi memenuhi keperluan asas yang mendesak. iii) Menyimpan di bank dengan tidak mengambil faedah hukumnya harus. iv) Wang faedah yang diperolehi dari bank atau institusi kewangan adalah haram digunakan untuk diri sendiri tetapi hendaklah diserahkan kepada Baitulmal. v) Menerima berbagai bentuk hadiah dan pemberian dari bank dan institusi kewangan seperti biasiswa adalah harus hukumnya. vi) Menyewa bangunan kepada bank adalah haram. vii) Memegang saham bank yang mengamalkan riba adalah haram.

Sehubungan dengan itu, umat Islam dinasihat supaya menyokong sistem kewangan dan perbankan berteraskan Islam bagi mengelak dalam kancah dosa yang memudaratkan. Lagipun jika difikir secara logik siapa lagi yang diharap untuk menyokong peraturan syariah yang ditetapkan oleh Allah SWT melainkan ia merupakan amanah yang wajib dipikul oleh semua umat Islam. Tindakan sesetengah umat Islam yang mempersoalkan pelaksanaan sistem tersebut juga amat dikesali kerana ia ibarat menghina agama sendiri.

Tidak dinafikan terdapat kepincangan dan kekurangan kepada pelaksanaan sistem ekonomi Islam secara menyeluruh kerana bukan mudah untuk menggantikan sistem ekonomi konvensional yang telah berakar umbi dalam diri umat Islam. Namun sebaiknya golongan cerdik pandai Islam menyumbang idea dan saranan ke arah penambahbaikan sistem sedia ada supaya benar-benar berteraskan syariah Islam daripada memburuk-burukkan usaha murni yang sedang dilakukan.

Untuk tujuan itu juga semua pihak boleh memainkan peranan dengan hanya meminjam daripada institusi kewangan Islam yang patuh syariah, menggunakan kaedah pembiayaan rumah, kenderaan dan insuran berteraskan syariah Islam. Manakala bagi golongan yang berkemampuan dan meminati aktiviti pelaburan produk unit saham amanah patuh syariah yang lebih diyakini sudah banyak tersedia untuk dilanggan. Pokok pangkalnya tepuk dada tanya iman.

Kemungkinan ada yang mendakwa keuntungan yang akan diperoleh tidak seberapa tetapi percayalah keberuntungan hidup di hari akhirat adalah lebih bermakna kepada individu Muslim berbanding keuntungan dunia yang sementara.Malah konsep jihad dan pengorbanan dikalangan umat Islam sangat dituntut bagi melonjakkan lagi kecemerlangan tamadun Islam yang pernah gemilang suatu ketika dahulu.

Monday, July 19, 2010

SUNGAI ADALAH NADI KEHIDUPAN

Sebahagian daripada artikel ini telah diterbitkan di ruangan Agama Berita Harian bertarikh 2/7/2010

KEWUJUDAN beberapa tamadun awal dunia di sepanjang sungai Tigris di Mesopotamia, Sungai Nil di Mesir, Sungai Indus di India dan Sungai Kuning di Cina menyaksikan betapa sungai sangat signifikan dengan perkembangan peradaban manusia. Tanpa air sungai sebagai punca air minuman dan sungai sebagai jalan perhubungan daripada satu tempat ke satu tempat nescaya tamadun manusia tidak akan berkembang selama-lamanya. Malah fakta sejarah jelas membuktikan betapa Sungai Melaka di Tanah Melayu pernah menjadi hab perhubungan dunia antara Timur dan Barat sehingga menyumbang kepada pembentukan Negara Malaysia yang disegani sehingga ke hari ini.

Maha benar firman Allah SWT yang bermaksud; “Dan tidakkah orang-orang kafir itu memikirkan dan mempercayai bahawa sesungguhnya langit dan bumi itu pada asal mulanya bercantum (sebagai benda yang satu), lalu Kami pisahkan antara keduanya? Dan Kami jadikan dari air, tiap-tiap benda yang hidup? Maka mengapa mereka tidak mahu beriman?” (Surah al-Anbiya’:30)

Namun akibat kerakusan segelintir masyarakat merosakkan sumber anugerah Tuhan yang sangat bernilai dengan membuang sejumlah 2000 tan sampah ke sungai setiap bulan telah menyebabkan sungai gagal berfungsi dengan sempurna. Malah ia mengundang malapetaka dan bencana lain seperti banjir lumpur dan limpahan air sungai ke kawasan penempatan rendah lalu menyebabkan korban nyawa dan kerugian harta benda. Begitu pula sistem marin dan ekologi sungai akan turut mengalami kerosakan apabila sisa industri dan kumbahan yang tidak terurus dialirkan ke sungai dengan sewenang-wenangnya.

Pernyataan ini dikuatkan lagi menerusi kajian yang dijalankan oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) yang mendapati air sungai di Malaysia telah tercemar dengan logam berat seperti arsenik, raksa,kadmium, kromium, plumbum dan zink. Sesuatu yang perlu dipandang serius oleh semua pihak, kerana sungai adalah sumber utama air minuman di Malaysia.

Malah tindakan pihak tertentu mengambil jalan mudah meraih keuntungan lumayan dengan membuang sisa industri dan lain-lain ke sungai patut dikenakan tindakan yang setimpal supaya tidak berulang kembali. Ini ditambah lagi dengan kegiatan pertanian, penternakan, penempatan dan perindustrian di kawasan berhampiran sungai yang tidak terkawal sehingga menambahkan lagi pencemaran yang sedia berlaku.

Sebagai umat Islam kita memang sentiasa digalakkan untuk bersih dan suci. Sementelah lagi kebersihan adalah sebahagian daripada iman. Justeru itu umat Islam yang terlibat mencemarkan sungai dan alam sekitar disaran supaya bertaubat dan berhenti daripada terus merosakkan alam ciptaan Tuhan yang tiada galang-gantinya. Malah jika diteliti fitrah semulajadi manusia cenderung kepada kebersihan dan secara semulajadi pasti menjauhkan diri daripada kejijikan dan kekotoran.

Diriwayatkan bahawa Nabi Muhammad SAW pernah bersabda yang bermaksud Dari Abu Hurairah r.a. berkata; Saya mendengar Rasulullah SAW bersabda; “Bagaimana pandanganmu seandainya pada pintu salah seorang di antara kamu sekalian ada sebuah sungai di mana ia mandi setiap hari lima kali di sungai itu; apakah masih tertinggal sesuatu kekotorannya?” Para sahabat menjawab; “Tidak”. Beliau bersabda lagi; “Demikianlah perumpamaan solat yang lima di mana Allah SWT menghapus dosa-dosa dengannya”. (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Begitu pula pihak yang terlibat dengan industri dicadang supaya menyumbang kepada Corporate Social Responsibility (CSR) dengan menyediakan takungan khusus untuk sisa buangan industri ataupun pembuangan secara berjadual sisa cecair atau pepejal dengan menggunakan khidmat kontraktor yang dilantik. Elakkan terlalu berkira dalam usaha untuk mewujudkan persekitaran yang bersih dan sihat demi kebaikan bersama.

Bersyukurlah dengan nikmat air sungai yang banyak mengalir di negara kita dengan tidak mencemarkan kejernihan dan kebersihan airnya. Malahan tindakan pihak tidak bertanggungjawab membuang sampah dan mengalirkan sisa penternakan dan industri ke sungai akan menyebabkan rakyat Malaysia kehilangan sumber alam yang sangat bernilai suatu hari nanti. Ingatlah ada negara yang terpaksa berbelanja besar untuk menyuling air laut bagi mendapatkan sumber air minuman. Terdapat pula negara tertentu yang terpaksa mengitar semula sisa air buangan untuk keperluan masyarakat setempat.

Siapa kata kita tak lalu makan daging kerbau...

Daging import India adalah daging kerbau,
Petikan daripada Akhbar Utusan Malaysia bertarikh 19/7/2010

ALOR SETAR 18 Julai – Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani menjelaskan daging import dari India yang berada di pasaran ialah daging kerbau dan bukannya daging lembu seperti yang mungkin difikirkan oleh ramai pengguna.

Menterinya, Datuk Seri Noh Omar berkata, sehubungan itu pengguna dinasihatkan agar tidak terkeliru dengan istilah daging import atau Indian Beef dari negara berkenaan.

“Saya nak buat perisytiharan supaya rakyat tidak terkeliru. Daging import dari India atau dikenali sebagai daging kotak sebenarnya ialah daging kerbau dan bukannya lembu,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Perhimpunan Bulanan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) di sini hari ini.

Dalam kolum Bisik-Bisik Mingguan bertajuk Kisah daging kerbau semalam, Awang Selamat menulis mengenai kekecewaan seorang pensyarah yang membuat kajian berkaitan daging import kerana hampir 80 peratus daripadanya adalah dari India.

Pensyarah itu memberitahu Awang Selamat bahawa beliau kecewa kerana rakyat kita disajikan dengan daging kelas ketiga. Lebih menyedihkan, selama ini kita tidak dimaklumkan bersungguh-sungguh bahawa daging yang diimport dari India adalah kerbau.

Menurut Awang Selamat, berdasarkan kajian pensyarah itu juga, ramai pengguna tidak mengetahui tentang perkara tersebut.

Noh berkata, dianggarkan 80,000 tan daging import India dibawa masuk setiap tahun dan kebanyakannya bergred utiliti.

“Rakyat boleh buat pilihan, hanya kita mahu mereka tidak terkeliru,” katanya.

Beliau menambah, pegawai-pegawai bertauliah daripada Kementerian Kesihatan, Jabatan Perkhidmatan Veterinar dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dihantar ke India bagi memastikan daging yang diimport ke Malaysia adalah halal.

Noh berkata, pemeriksaan meliputi ciri-ciri kebersihan serta cara penyembelihan mengikut prosedur dan hukum syarak yang betul supaya menepati piawaian yang ditetapkan.

“Mengikut peraturan yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan dan persatuan pengguna, daging kotak ini haruslah dilabelkan sebagai daging kerbau supaya tidak mengelirukan.

“Masalah yang timbul adalah kemungkinan wujud sesetengah pihak yang tidak mematuhi garis panduan ini dan enggan melabelkan kotak tersebut,” katanya.

Beliau berkata, terdapat juga peniaga yang menyahbekukan daging itu dan menjualnya ke pasaran sebagai daging lembu.

Sementara itu, beliau memberi jaminan bekalan ayam dan daging bagi keperluan musim perayaan ini adalah mencukupi.

Noh berkata, kementeriannya menubuhkan jawatankuasa khas bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) untuk perancangan berterusan dan teliti berhubung perkara itu.

Selain menjalankan pemantauan mengenai bekalan di pasaran, katanya, keutamaan akan diberikan kepada pengeluar dan penternak tempatan jika ia tidak mencukupi.

“Kalau belum mencukupi, kita akan keluarkan kuota untuk permit import,” katanya.

Sunday, July 11, 2010

PIALA DUNIA LAWAN PIALA AKHIRAT

Kemeriahan pesta bola sepak Piala Dunia FIFA 2010 kali ke-19 di Afrika Selatan telah melabuhkan sauhnya. Setelah 31 hari berpesta dengan kesemua 64 perlawanan berjaya dilangsungkan dengan jayanya pasukan Spanyol menempa sejarah apabila buat pertama kali menjulang trofi Piala Dunia setelah menang menentang Belanda dengan agregat 1-0

Manakala pasukan Belanda yang berpengalaman 3 kali beraksi di perlawanan akhir Piala Dunia terpaksa berputih mata dan menerima kekalahan yang tidak disangka-sangka. Namun kejayaan menempatkan diri di perlawanan akhir dalam perlawanan bola sepak paling berpengaruh di dunia merupakan detik yang patut dibanggakan kerana ia pasti bermula dengan laluan sukar dan penuh mencabar.

Begitulah adat perlawanan ada yang menang dan ada yang tewas. Seluruh warga bola sepak tempatan sebaiknya mengambil pelajaran daripada semangat 32 buah negara di dunia yang telah beraksi di pentas bola sepak antarabangsa dan tidak hanya berbangga dengan kejayaan yang di raih di padang sendiri. Akibatnya peminat bola sepak di tanahair hanya ghairah bersorak dan menyokong negara lain di hadapan skrin besar di kedai-kedai mamak sedangkan pasukan negara belum mampu sampai ke tahap yang dicita-citakan.

Walau apapun tahniah diucapkan kepada pegawai-pegawai yang telah mengharumkan nama negara di persada antarabangsa kerana terpilih menyumbang tenaga dalam menjayakan penganjuran Piala Dunia kali ini termasuk saudara Subkhiddin Mohd Salleh yang diturunkan sebanyak 8 kali sebagai pengadil ke-4 mengadili sesi perlawanan pusingan akhir Piala Dunia 2010.

Namun bagi umat Islam persiapan menjulang piala akhirat terutama menjelang tibanya bulan Ramadan al-Mubarak seharusnya menjadi agenda utama bagi meraih kejayaan hakiki beroleh rida Ilahi yang kekal abadi. Peluang keemasan yang bakal tiba itu tidak patut dipersiakan memandangkan hanya insan istimewa dan terpilih sahaja bakal mendapat kurniaan yang lebih bernilai daripada wang 500,000 pound sterling seperti habuan yang dijanjikan kepada setiap pemain pasukan Spanyol.

Ini kerana setiap amalan sunat akan dinilai seperti amalan fardu di bulan Ramadan manakala amalan fardu akan dilipat gandakan sama seperti melaksanakan 70 kali ganda amalan seumpamanya sebagai bonus tahunan pemberian Tuhan. Lebih daripada itu ganjaran pahala sehingga 700 kali ganda menanti setiap hamba yang sanggup berjuang habis-habisan untuk melakukan ketaatan kepada Allah SWTdi bulan-bulan yang lain.

Untuk tujuan itu juga persiapan rapi perlu dilakukan. Setiap individu Muslim perlu membetulkan niat dan melipat gandakan amal kebajikan di bulan Syaaban yang menjelang tiba. Oleh yang demikian bagi yang sudah lama tidak berpuasa kesempatan ini bolehlah dimanfaatkan untuk berjinak-jinak berpuasa kerana diriwayatkan bahawa Baginda Nabi Muhammad SAW kerap berpuasa sunat di bulan Syaaban. Baginda juga aktif melaksanakan amal kebajikan sehingga diibaratkan seperti angin yang bertiup kencang.

Dalam konteks ini juga Allah SWT berfirman yang bermaksud “Sesungguhnya orang yang bertakwa, disediakan Syurga tempat mereka beroleh apa yang mereka ingini. (Mereka akan beroleh) taman-taman bunga dan kebun-kebun buah-buahan, terutama anggur; dan perawan-perawan yang sebaya umurnya; serta piala atau gelas yang penuh dengan minuman; mereka tidak mendengar di dalam Syurga itu perkataan yang sia-sia dan tiada pula perkataan yang dusta; Sebagai balasan dari Tuhanmu, iaitu satu limpah kurnia yang dikira cukup (menurut yang dijanjikanNya)”. (Surah al-Naba’:32-36)

Selain daripada itu setiap individu Muslim disaran mengelak daripada menimbun dosa dan melakukan pelbagai maksiat yang merugikan diri sendiri. Malah, jika ada yang sanggup berjaga malam ataupun bangun awal pagi sebulan yang lalu semata-mata untuk menonton perlawanan bola sepak kegemaran mengapa tidak ia terus dipraktikkan dalam usaha memburu piala akhirat yang menjadi idaman orang beriman. Ini kerana ramai yang tewas melaksanakan solat subuh setelah tamat menonton perlawanan bola sepak di televisyen walaupun sanggup menahan ngantuk berjam-jam lamanya.

Semangat perpaduan yang berhasil digarap daripada penganjuran Piala Dunia oleh FIFA sehingga berupaya mengenepikan sempadan kepercayaan beragama, kedudukan geografi negara dan kelainan tutur bahasa lalu menyebabkan seluruh dunia berbicara tentang bola sepak juga boleh diperluaskan kepada usaha membantu sesama manusia. Misalnya usaha membebaskan tanahair Palestin daripada cengkaman zionis sejak sekian lama boleh dipelopori oleh kuasa-kuasa besar dunia sehingga bekalan makanan, ubat-ubatan dan misi kemanusiaan sampai ke Gaza tanpa sebarang sekatan.

Semangat Rachel Corrie dan Mavi Marmara serta 9 aktivis Turki yang terkorban juga selayaknya diambil oleh umat Islam dalam usaha menyokong dan menghulurkan bantuan kewangan kepada saudara se Islam di Palestin. Apa tidaknya kekuatan memiliki akidah yang sama, melaksanakan ibadah yang sama jika boleh disatukan mampu menentang kezaliman Israel di bumi Palestin tanah wakaf milik umat Islam sepanjang zaman.

Setelah tamat pesta bola sepak Piala Dunia masyarakat Islam diharap dapat kembali berpijak di bumi nyata dengan menoleh kepada kesengsaraan yang dialami oleh rakyat Palestin yang sekian lama dinafikan hak untuk mendapat pembelaan antarabangsa. Kini setelah lebih 60 tahun berlalu, Masjidil Aqsa tempat transit Nabi Muhammad SAW sebelum di bawa dalam kembara agung ke langit dalam peristiwa Isra dan Mikraj masih terkepung di tangan penjajah Yahudi yang tidak berperikemanusiaan.

Dalam masa yang sama kita di Malaysia masih tercari-cari formula ampuh untuk menangani gejala sosial dan moral dikalangan umat yang membimbangkan.Suara tangisan bayi hasil kandungan yang tidak dirancang kelihatan semakin sering kedengaran tak ubah meriahnya tiupan vuvuzela di stadium soccer city Afrika Selatan.

Perlawanan bola sepak Piala Dunia kali ini juga turut diwarnai oleh ramalan Paul Si sotong kurita yang betul meramal Spanyol sebagai juara. Sehubungan dengan itu umat Islam diingat tidak terpengaruh dengan ramalan dan kepercayaan yang karut sehingga terlibat melakukan perbuatan syirik yang dimurkai Tuhan. Ini kerana tiada yang berkuasa memberi mudarat mahupun manfaat kecuali Allah SWT. Malah kegagalan pasukan favourite seperti Itali, Brazil, Francis dan lain-lain beraksi di perlawanan akhir sebenarnya merupakan takdir ilahi yang tidak boleh dipersoalkan.

Akhirnya apabila berlaku perlawanan bagi merebut piala dunia dan piala akhirat, setiap individu Muslim perlu menetapkan tekad untuk memilih bagi mendapatkan piala akhirat. Kerana itulah saringan muktamad yang menjadi pilihan Nabi Muhammad SAW untuk umatnya di malam Isra’ dan Mikraj ketika diperlihatkan dengan gambaran dunia ibarat wanita yang dipenuhi segala perhiasan namun Baginda tidak menoleh ke arahnya.

Lebih daripada itu ingatan terhadap Allah SWT yang akan mengadili setiap gerakan yang dilakukan oleh manusia dalam usaha memburu piala dunia mahupun piala akhirat tanpa pilih kasih atau menyebelahi mana-mana pihak wajar menjadi iktibar. Ini kerana di saat itu tiada lagi kad kuning mahupun kad merah yang akan dilayangkan oleh pengadil perlawanan yang tinggal hanya balasan nikmat syurga mahupun azab api neraka sebagai balasan yang dijanjikan.

Monday, June 21, 2010

Nasihat sebelum melangkah ke universiti

Artikel ini telah disiarkan di ruangan rencana Akhbar Utusan Malaysia bertarikh 22 Jun 2010

SEKALUNG tahniah ditujukan kepada semua bakal mahasiswa dan mahasiswi yang akan menjejakkan kaki memulakan pengajian di institusi pengajian tinggi awam [IPTA] dan swasta, pada sesi perkuliahan yang baharu sesi Julai 2010 yang akan datang.

Tawaran dapat menyambung pelajaran di IPT tentunya berita yang sangat menggembirakan buat pelajar dan seluruh kaum keluarga. Justeru tak hairan jika ada yang sanggup berhabis menyediakan bas rombongan untuk mengangkut jiran sekampung semata-mata untuk menghantar anak masuk ke universiti. Kegembiraan itu ditambah lagi dengan majlis kenduri kesyukuran hingga menyebabkan kambing dan lembu tak selera makan kerana kemungkinan di sembelih dan di masak untuk jamuan.

Namun lebih daripada itu setiap pelajar selayaknya mengucapkan syukur yang tidak terhingga atas kurnia ilahi kerana terpilih masuk ke universiti. Mana tidaknya antara ratusan ribu pelajar yang mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia yang lalu, hanya sebilangan kecil sahaja berjaya ditawarkan ke IPT yang sememangnya menyediakan tempat terhad kepada yang benar-benar memiliki kelayakan yang ditetapkan.

ٍSeterusnya kejayaan ini hendaklah dibuktikan pula dengan semangat untuk belajar bersungguh-sungguh demi agama, bangsa dan negara tercinta. Sedia difahami bahawa kejayaan yang bakal dikecapi tidak akan datang bergolek begitu sahaja tanpa disertai usaha dan komitmen yang jitu oleh setiap pelajar.

Jangan hanya bersikap hangat-hangat tahi ayam, di awal semester tetapi setelah tahu selok-belok berada di universiti mereka mula lalai tidak hadir ke kuliah, terlibat dengan aktiviti yang tidak berfaedah, asyik dilamun cinta yang kesemuanya bakal memusnahkan harapan keluarga dan negara. Apatah lagi setelah berjaya mendapat pinjaman daripada Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional [PTPTN] yang jika tidak diurus dengan baik pasti akan digunakan untuk tujuan yang tidak betul.

Golongan mahasisiwa juga perlu mengikhlaskan niat sejak daripada hari pertama melangkahkan kaki ke universiti, untuk menuntut ilmu semata-mata kerana Allah SWT dan tidak hanya berharap akan segulung sijil dan gaji lumayan apabila bergraduat nanti.

Dewasa ini terdapat golongan terpelajar yang terjebak melakukan aktiviti jenayah kolar putih seperti rasuah, penipuan dan pecah amanah kemungkinan disebabkan tiada keberkatan ilmu akibat niat yang tidak ikhlas

Tiada kesepaduan antara ilmu dan amal juga boleh menyumbang kepada gejala buruk ini. Nabi Muhammad SAW diriwayatkan pernah bersabda “Ilmu tanpa amal ibarat pokok tanpa buah”.

Selain daripada itu para pelajar juga diingatkan agar sentiasa bergantung harap kepada Allah SWT. Amalan berdoa dan memohon pertolonganNya adalah jalan terbaik untuk cemerlang. Kerana walau genius mana sekalipun seseorang itu, tanpa hubungan erat dengan PenciptaNya seseorang tidak akan berjaya dalam erti kata kejayaan holistik, dunia dan akhirat.

Golongan pelajar Muslim juga dinasihatkan agar tidak mengabaikan tanggungjawab utama, melaksanakan ibadat wajib yang diperintahkan Allah SWT. seperti sembahyang lima waktu dan berpuasa di bulan Ramadan. Alasan kesuntukan masa, sibuk dengan kuliah, banyak assignment dan tugasan untuk diselesaikan bukan hujah untuk tidak mengerjakan perintah itu. Kerana sebagai individu muslim ibadah kepada Allah SWT wajib diutamakan sebelum yang lain-lain. Menurut Waqi, guru kepada Imam al-Shafi’y ilmu itu cahaya dan cahaya Allah tidak dikurniakan kepada pelaku maksiat.

Pelajar juga diingatkan agar sentiasa taat dan patuh kepada segala perintah Allah SWT terutama dari aspek pemakaian yang menutup aurat, menjaga batasan pergaulan lelaki dan perempuan serta jangan terlibat dengan perkara-perkara yang melanggar peraturan agama mahupun universiti seperti menganggotai pergerakan Jemaah Islamiyah [JI] yang boleh menimbulkan huru-hara dalam negara.

Ini bertepatan dengan status sebagai pelajar universiti yang matang dan boleh mempertimbangkan sesuatu dengan baik berasaskan akal yang sihat dan landasan agama yang benar. Justeru sebelum melakukan sesuatu berfikirlah dengan matang dan bijaksana.

Golongan pelajar juga perlu perlu bersedia untuk berkorban sepenuh masa dan sekuat tenaga untuk berjaya mengharungi liku-liku perjalanan sebagai pelajar universiti. Ia tak ubah seperti tentera yang bersabung nyawa berjihad di jalan Allah SWT. Malahan jika diperhalusi ia adalah perjuangan untuk menaikkan kembali maruah dan ketinggian Islam melalui peradaban dan ketamadun ilmu yang dikuasai oleh umatnya. Nama-nama tersohor seperti Abu Muhammad al-Khawarizmi, al-Biruni, al-Farabi, Ibnu Khaldun dan ramai lagi adalah bukti kegemilangan tamadun Islam terdahulu yang berpaksikan kepada ilmu pengetahuan sebagai teras kegemilangan.

Nabi Muhammad SAW direkodkan pernah bersabda “Barangsiapa yang inginkan dunia dan kemewahannya hendaklah dengan ilmu, barangsiapa yang inginkan akhirat dan kenikmatannya hendaklah dengan ilmu dan barangsiapa yang ingin kedua-duanya; [dunia dan akhirat] juga hendaklah dengan ilmu.

Justeru peluang keemasan, mendapat tempat di universiti perlu dimanfaatkan dengan sebaiknya oleh golongan pelajar agar menjadi insan berguna satu masa nanti. Begitu pula diingatkan agar tidak ada yang menjadikan segulung ijazah untuk mendabik dada dan menyombong diri sehingga merasa dialah yang terbaik daripada segala-galanya. Ikutlah resmi padi makin berisi makin tunduk dan jauhi resmi lalang makin tinggi makin tegak berdiri.

Wednesday, June 2, 2010

DEMAM PIALA DUNIA DAN KEBIADAPAN ISRAEL

Artikel ini telah diterbitkan dalam ruangan rencana Utusan Malaysia bertarikh 4 Jun 2010 dengan tajuk Kebiadapan Israel tiada kesudahan

Disebalik keghairahan peminat bola sepak menantikan perlawanan pembukaan Piala Dunia 2010 antara South Afrika dan Mexico pada 11 Jun yang akan datang, dunia dikejutkan dengan pembantaian dan tindakan tidak berperi kemanusiaan rejim zionis yang menyerang kapal dan menghalang misi bantuan kemanusiaan ke Gaza, Palestin.

Ibarat semut dengan gajah seramai hampir 700 anggota sukarelawan Life Line For Gaza (LL4G) di keroyok oleh tentera komando zionis yang bertindak menyerang kapal yang dinaiki sukarelawan di perairan antarabangsa, sebelum memaksa mereka ke Israel untuk di dakwa atas kesalahan yang sengaja diada-adakan.

Itulah hakikat yang perlu dihadapi oleh sesiapa sahaja yang cuba untuk menggugat pencerobohan haram Yahudi di Palestin, tanah wakaf milik umat Islam sepanjang zaman. Apa sahaja usaha yang dilakukan untuk mengenakan tindakan antarabangsa terhadap perbuatan biadap itu tak ubah seperti anjing menyalak bukit jika tidak disertai oleh kuasa besar dunia seperti Amerika Syarikat yang merupakan sekutu kuat Israel. Malah tindakan kuasa besar yang selama ini melaungkan slogan keadilan, demokrasi dan hak asasi manusia juga diselar kerana berdiam diri terhadap keganasan Israel.

Tindakan segelintir negara Islam yang menjalin hubungan diplomatik dengan rejim zionis juga sangat dikesali memandangkan saudara seIslam di Palestin terus dinafikan hak untuk mendapat pembelaan antarabangsa. Akibatnya mereka akan terus disembelih dan dipenjara di tanahair sendiri tanpa bantuan dan sokongan dunia luar.

Apa yang menimpa misi kemanusiaan yang membawa bekalan makanan, pakaian dan ubat-ubatan ke Gaza adalah kesinambungan daripada siri-siri kekejaman zionis yang tidak berkesudahan. Dunia sepatutnya tidak lupa dengan penyembelihan terancang Sabra dan Shatila pada tahun 1982 yang telah mengorbankan seramai 3000-3500 nyawa wanita, kanak-kanak dan orang dewasa yang tidak berdosa. Namun sehingga hari ini tidak seorangpun yang bertanggungjawab ke atas penyembelihan tersebut dibawa ke muka pengadilan, jauh sekali daripada dihukum dengan hukuman yang setimpal. Malah Ariel Sharon yang terlibat secara langsung dalam penyembelihan itu telah dilantik pula menjadi Perdana Menteri Israel.

Tinta sejarah kekejaman Yahudi juga turut merakamkan detik pembantaian habis-habisan ke atas Genting Gaza dan Lubnan pada 12 Julai 2006 sejurus tamatnya kemeriahan pesta bola sepak Piala Dunia 2006 di Jerman. Hanya untuk membela 2 orang anggota tenteranya yang didakwa diculik oleh Hamas tentera zionis melancarkan serangan bertubi-tubi ke atas Gaza dan Lubnan walaupun akhirnya terpaksa mengaku kalah dengan kekuasaan Allah SWT dan semangat jihad yang kental oleh tentera Hamas dan Hizbullah.

Dunia juga menyaksikan tindakan sendiri dilakukan oleh ajen perisikan Israel iaitu Mossad yang terlibat membunuh pemimpin kanan Hamas di Dubai. Walaupun dengan sengaja memalsukan dokumen perjalanan rasmi milik beberapa negara tetapi sehingga kini belum ada muka-muka pengganas Yahudi yang berjaya dihadapkan ke mahkamah sebagai usaha pembelaan antarabangsa terhadap kematian al-syahid Mahmoud al-Mabhuh yang dibunuh di hotel penginapannya di Dubai pada 20 Januari lalu.

Sehubungan dengan itu tindakan sukarelawan daripada pelbagai negara termasuk Malaysia menggadai nyawa, melakukan apa sahaja untuk membantu rakyat Palestin adalah pekerjaan mulia yang perlu dicontohi dan disokong dengan doa dan harapan agar sentiasa beroleh pertolongan daripada Allah SWT. Demi membela nasib sesama manusia mereka sanggup meninggalkan keluarga dan tanahair tercinta walaupun mengetahui akan berdepan dengan pelbagai halangan dan rintangan akibat provokasi Yahudi.

Umat Islam juga diharap tidak terkesima dengan perlawanan akhir bola sepak Piala Dunia yang akan berlangsung di Afrika Selatan bermula 11 Jun yang akan datang. Demam bola yang mula melanda seluruh tidak sepatutnya menjadikan umat Islam alpa dengan nasib saudara seIslam di Palestin. Begitu juga umat Islam disaran membina jatidiri Muslim dengan tidak melalaikan tanggungjawab ibadat dan tugasan hakiki hanya kerana asyik menonton aksi bola sepak di televisyen. Diperingatkan juga apa sahaja bentuk keterlibatan umat Islam dalam aktiviti judi ataupun taruhan atas kemenangan pasukan yang disokong adalah haram dan wajib dihindari. Jika kealpaan dan kelalaian ini berjaya mendominasi gaya kehidupan masyarakat masa kini, sudah pasti Islam dan umatnya akan diterus dipijak dan dihina sepanjang zaman.

Lakukanlah apa sahaja yang termampu untuk membantu saudara seIslam terutama di Palestin. Jika terdapat dikalangan anggota sukarelawan Life Line For Gaza yang sanggup mengenepikan persoalan agama, sempadan negara dan bangsa untuk membantu meringankan kesengsaraan rakyat Palestin, mengapa tidak seluruh dunia Islam bersatu menentang keangkuhan zionis yang merupakan tunjang kekuatan untuk membebaskan al-Aqsa dan mewujudkan Negara Islam Palestin yang merdeka.

Perkara ini bersesuaian dengan Firman Allah SWT yang bermaksud;
Dan sediakanlah untuk menentang mereka (musuh yang menceroboh) segala jenis kekuatan yang dapat kamu sediakan dan dari pasukan-pasukan berkuda yang lengkap sedia, untuk menggerunkan dengan persediaan itu musuh Allah dan musuh kamu serta musuh-musuh yang lain dari mereka yang kamu tidak mengetahuinya; sedang Allah mengetahuinya. Dan apa sahaja yang kamu belanjakan pada jalan Allah akan disempurnakan balasannya kepada kamu, dan kamu tidak akan dianiaya. (Surah al-Anfal ayat 60)

Jangan mudah lupa bahawa Israel sanggup melakukan apa sahaja asalkan cita-cita untuk mewujudkan The Great Israel tercapai. lalu Haikal Sulaiman dibina di atas runtuhan batu-batan Masjid al-Aqsa, tempat transit Nabi Muhammad SAW sebelum di Mikrajkan ke langit, Lautan darah manusia pula menjadi hamparan merah untuk merayakan kejayaan penubuhan negara haram Israel di Palestin. Semua ini tidak mustahil berlaku jika umat Islam terus enak dilamun mimpi indah dalam lena yang panjang.

Tuesday, May 18, 2010

Sejarah hitam Jahiliyah berdarah kembali

SEJARAH hitam perlakuan keji masyarakat Arab jahiliyah yang tergamak menanam anak sendiri kini berulang lagi. Walaupun perbuatan sebegitu dianggap tidak berperikemanusiaan, mereka punya alasan tersendiri ketika melakukannya. Hanya kerana malu dikurniakan zuriat perempuan, bayi yang tidak berdosa dibunuh hidup-hidup. Masyarakat Arab jahiliyah juga terkenal dengan kegemaran berperang dan bergaduh sesama sendiri. Malah dikatakan jika tiada sebab untuk berperang mereka akan mencari sebarang alasan untuk mencetuskan peperangan. Untuk tujuan itu semangat juang dan keperwiraan yang ada pada lelaki sangat diperlukan berbanding wanita.

Amalan pelik dan keji ini dirakamkan oleh Allah SWT dalam firmannya yang bermaksud “Dan apabila dikhabarkan kepada seseorang dari mereka bahawa dia beroleh anak perempuan, muramlah mukanya sepanjang hari (kerana menanggung dukacita), sedang dia menahan perasaan marahnya dalam hati. Dia bersembunyi dari orang ramai kerana (merasa malu disebabkan) berita buruk yang disampaikan kepadanya (tentang dia beroleh anak perempuan; sambil dia berfikir): Adakah dia akan memelihara anak itu dalam keadaan yang hina atau dia akan menanamnya hidup-hidup dalam tanah? Ketahuilah! Sungguh jahat apa yang mereka hukumkan itu”. (Surah al-Nahl:58-59)

Malangnya kini, setelah lebih 1400 tahun pengutusan Nabi Muhammad SAW dengan misi membenteras amalan bersifat kebinatangan dan memperelok budi pekerti manusia, masih ada yang berkelakuan keji seperti dirasuk oleh Iblis sehingga rela menanam bayi darah daging sendiri. Lebih memeranjatkan lagi, apabila ia dilakukan oleh pasangan remaja berusia 15 dan 19 tahun yang masih di bangku sekolah. Bayangkan betapa luluhnya hati ibubapa menangisi perbuatan terkutuk anak sendiri yang menjadi mangsa nafsu serakah yang tidak terkawal.

Dimanakah silapnya sehingga episod buang bayi dan penderaan kepada kanak-kanak terus menghiasi dada-dada akhbar hampir setiap minggu. Walaupun setelah berbagai kempen kesedaran dilakukan nampaknya ia belum mampu meredakan situasi gawat yang berlaku.

Tidak keterlaluan juga jika dikatakan, gejala keruntuhan akhlak dan moral segelintir masyarakat hari ini berpunca daripada rapuhnya institusi kekeluargaan. Ditambah lagi dengan kesibukan ibubapa bekerja sehingga ada yang jarang bersemuka dengan anak sehingga mereka lebih seronok bersosial bersama rakan-rakan. Begitu pula sikap sesetengah ibubapa yang kurang mengambil tahu aktiviti anak sedikit sebanyak menambah statistik pembuangan bayi yang membimbangkan.

Ingatlah anak umpama kain putih yang perlu dicorakkan dengan tunjuk ajar, didikan asuhan berdasarkan pedoman agama supaya tidak terpesong daripada jalan yang lurus. Jika amanah ini tidak dilaksanakan oleh ibubapa kemungkinan mereka tersesat dan sukar untuk kembali ke pangkal jalan. Malah ada pula yang menyerahkan bulat-bulat urusan anak kepada pembantu rumah yang sudah tentu lebih mementingkan kerjaya daripada terlibat menjadi pengasuh dan pendidik anak majikan.

Selain itu, amalan yang dianggap biasa bagi sesetengah muda-mudi seperti saling berpegangan tangan, keluar berdating, dan bercumbu-cumbuan merupakan budaya yang dicedok daripada Barat dan tidak ada kaitan langsung dengan ajaran Islam dan adat budaya ketimuran. Walaupun kelihatan biasa ia sebenarnya perkara yang diharamkan agama kerana menjurus kepada perbuatan zina dan bersekedudukan yang juga diharamkan. Akhirnya akibat terlanjur melakukan zina yang terkutuk,tidak sanggup pula menanggung malu mengandung anak hasil persetubuhan haram, bayi tersebut dibunuh ataupun dibuang dan dibiarkan di merata tempat.

Untuk membendung krisis moral dan akhlak yang semakin meruncing ini setiap individu Muslim wajib kembali mengamalkan Islam sebagai cara hidup dengan melaksanakan segala yang diperintahkan oleh Allah SWT dan meninggalkan apa sahaja yang dilarang olehNya. Muda-mudi Islam juga dinasihatkan supaya sentiasa melaksanakan solat yang boleh menjadi perisai ampuh untuk menangkis serangan Iblis dan hawa nafsu sendiri yang selalu mengajak untuk melakukan kejahatan.

Kempen-kempen kesedaran berkaitan keburukan zina, pembuangan bayi dan penderaan kanak-kanak perlu diperluaskan lagi ke sekolah-sekolah kerana boleh jadi di sana terdapat golongan sasar yang memerlukan bantuan. Begitu juga sesi ceramah dan kaunseling berkenaan keburukan pergaulan bebas, seks liar, pengkid juga boleh dipergiatkan dari semasa ke semasa.

Keterlibatan semua lapisan masyarakat dalam membendung gejala negatif ini juga amat-amat diperlukan. Ia boleh bermula di rumah dengan ibubapa bertindak mendidik, menegur dan menghukum kesilapan anak jika perlu, diikuti di sekolah oleh para guru dengan penerapan nilai-nilai murni dalam setiap sesi pengajaran dan pembelajaran, begitu juga di surau dan masjid melalui sesi kuliah dan ceramah-ceramah agama. Malah ketua-ketua jabatan juga boleh memainkan peranan melaksanakan kerja amar makruf nahi mungkar, kepada staf bawahannya.

Langkah Kerajaan Negeri Johor misalnya mengadakan Program Membudayakan al-Quran dan al-Sunnah di jabatan-jabatan kerajaan patut dicontohi kerana berupaya menjadi medium penyampaian dakwah yang berkesan. Ini kerana terdapat juga segelintir golongan dewasa yang kebudak-budakan sehingga masih terikut-ikut cara hidup yang melalaikan. Boleh jadi mereka terkesima dengan trend hidup untuk berseronok dan berfoya-foya lalu lupa tanggungjawab kepada diri, keluarga, masyarakat dan agama.

Dicadangkan juga agar pihak berkuasa tempatan meletakkan papan tanda iklan mengandungi ayat-ayat al-Quran yang melarang perbuatan zina dan maksiat. Begitu pula penerangan tentang implikasi buruk akibat daripada kelahiran tanpa pengawasan pakar perbidanan yang boleh membawa maut, hukuman berat atas kesalahan membuang bayi dan penderaan kanak-kanak.

Papan tanda ini hendaklah diletakkan ditempat yang strategik dan kawasan tumpuan awam seperti pusat membeli-belah, pusat-pusat peranginan dan perkelahan juga di taman-taman rekreasi bagi membendung gejala tidak bermoral yang boleh merencatkan pembangunan negara. Hal ini bersesuaian dengan konsep negara maju yang menepati kehendak al-Quran iaitu negara yang aman damai dan mendapat keredaan Tuhan.