Friday, June 15, 2012

Jemputan istimewa ke langit

Artikel ini telah diterbitkan dalam Ruangan Forum Akhbar Berita Harian bertarikh 16 Jun 2012

DISEBALIK kemeriahan EURO 2012 yang semakin hampir ke penghujungnya, umat Islam di seru tidak terleka menghayati tarikh mulia 27 Rejab sempena peristiwa Isra dan Mikraj Baginda Nabi Muhamad SAW. Ini kerana detik bersejarah perjalanan Nabi Muhamad SAW daripada Mekah ke Masjidil Aqsa kemudian ke petala langit ketujuh dan bertemu Allah SWT adalah peristiwa agung yang sangat menakjubkan. Malah perjalanan tersebut turut diwarnai dengan pelbagai pengajaran dan peristiwa aneh yang boleh dijadikan iktibar untuk semua kaum Muslimin.

Ini kerana perjalanan pada waktu malam bermula daripada Mekah melalui ruang udara Madinah, kemudian transit di Palestin sebelum dibawa Buraq hingga naik melepasi langit ketujuh bertemu Allah SWT adalah sesuatu yang di luar jangkauan logik akal manusia.

Perkara ini boleh diperhatikan kepada firman Nya yang bermaksud; “Maha Suci Allah yang telah menjalankan hambaNya (Muhammad) pada malam hari dari Masjidilharam (di Mekah) ke Masjid Al-Aqsa (di Palestin), yang Kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami. Sesungguhnya Allah jualah Yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui”.( Surah al-Isra”:1)

Selain daripada itu, Allah SWT turut menunjukkan bukti-bukti kebesaran Nya melalui peristiwa-peristiwa aneh yang menakjubkan. Antaranya diperlihatkan akan sekelompok manusia yang perut mereka besar seumpama sebuah rumah yang dipenuhi dengan cacing dan boleh dilihat dari luar perut. Lalu Malaikat Jibril yang menemaninya sepanjang perjalanan mengatakan itulah balasan kepada pemakan riba’ yang diharamkan.

Baginda juga dipertontonkan dengan segolongan manusia yang menanam tanaman dan menuai hasilnya pada hari yang sama. Dikatakan kepadanya itu adalah balasan baik bagi orang yang berjihad di jalan Allah SWT. Terdapat pula gelagat manusia yang dengan sendirinya menghantukkan kepala ke dinding lalu pecah dan bercantum semula kemudian dihantuknya lagi sehingga pecah dan bercantum semula sebagai azab Allah SWT terhadap orang yang malas dan meninggalkan fardu sembahyang.

Oleh itu sempena memperingati peristiwa agung ini umat Islam tidak terlalu leka dan terkesima dengan berbagai hiburan dan berjenaka sepanjang masa sehingga lalai melaksanakan ibadah yang difardukan. Sebagai contohnya kewajipan salat yang difardukan secara langsung kepada Nabi Muhammad SAW ketika bertemu Allah SWT pada malam Isra’dan Mikraj. Ini berbeza dengan ibadat lain seperti zakat dan haji yang diwahyukan menerusi perantaraan Malaikat Jibril AS.

Hal ini sekali gus menunjukkan betapa salat ibadah paling penting dan sama sekali tidak tidak patut diabaikan. Malah ia merupakan ibadat yang pertama kali akan dipersoalkan semasa di dalam kubur. Keengganan sesetengah masyarakat Islam untuk melaksanakan salat pada masa kini dikhuatiri bakal menyumbang kepada gejala sosial dan moral yang semakin meruncing kerana tiada benteng penampan yang dapat mengawal mereka daripada melakukan perkara-perkara tersebut.

Selain itu penglibatan umat Islam dalam transaksi kewangan dan perbankan yang berteraskan riba’ juga adalah wajib dihindari. Ini kerana ia diharamkan sama seperti meminum minuman keras dan memakan babi yang diharamkan. Malah dengan situasi masa kini yang mana di negara kita telah terdapat pelbagai produk pembiayaan dan kewangan yang patuh syariah hukum darurat bermuamalah dengan perbankan konvensional sepatutnya tidak lagi terpakai.

Begitu pula keterlibatan segelintir umat Islam yang kurang ilmu agama sehingga sanggup memperolok-olokkan produk-produk perbankan Islam yang bebas riba’ juga dilihat tidak selari dengan ketentuan syariat. Adalah lebih molek jika idea-idea yang bernas disalurkan kepada pihak berwajib sehingga urusan penambahbaikan dapat dilakukan demi manfaat bersama. Selari dengan itu juga penghayatan terhadap peristiwa Isra’ dan Mikraj perlu diterjemahkan dengan hanya memilih produk pembiayaan dan pelaburan yang patuh syariah dan bukan memburuk-burukkan sistem Islam sendiri.

Bagi menghayati peristiwa Isra’ dan Mikraj ini juga jihad dalam skop yang lebih luas boleh diterapkan kepada jihad melawan hawa nafsu dan jihad daripada belenggu kemiskinan. Ini kerana hampir setiap hari ada sahaja berita berkaitan jenayah pembunuhan, penindasan terhadap kanak-kanak dan warga emas, jenayah rogol, merompak, bersekedudukan dan berzina dibicarakan di sana sini. Ia seolah-olah seperti lahar dalam gunung berapi yang sedang menunggu masa untuk meletuskannya keluar dek kerana kroniknya masalah sosial dan moral yang berlaku.

Justeru itu umat Islam diseru mengambil iktibar daripada peritiwa Isra Mikraj yang disambut setiap tahun bukan hanya dengan menghabiskan cuti berehat bersama keluarga mahupun ke majlis ceramah agama dan pulang begitu sahaja. Ia perlu dihayati dan diterjemahkan dalama kehidupan seharian bagi membentuk ummah yang berkualiti dari sudut akidah, syariah dan akhlak.

In kerana peristiwa Isra’ dan Mikraj jelas membuktikan betapa kehebatan dan keagungan Allah SWT sama sekali tidak mampu ditandingi. Justeru itu setiap hamba harus tunduk dan taat mengabdikan diri kepada Nya. Malah Allah SWT sentiasa memantau setiap gerak-geri manusia dan kemudiannya mampu pula mengenakan azab dan siksa atas setiap inci kesalahan yang dilakukan semasa di dunia.Sedarlah juga betapa kehidupan di dunia hanya sementara. Oleh itu usahlah dihabiskan dengan hanya berseronok dan bersuka ria tanpa memikirkan apa yang telah dipersiapkan untuk bertemu hari pembalasan.

Lebih daripada itu sambutan hari kebesaran Islam yang silih berganti diraikan sepanjang tahun ini perlu dihayati dan diterjemahkan dalam realiti kehidupan seharian agar ia benar-benar mencapai matlamat yang diharap-harapkan.

Sunday, May 27, 2012

SURAT TERBUKA BUAT BELIA NEGARA



HIMPUNAN Jutaan Belia 2012 yang baharu sahaja melabuhkan tirainya jelas menunjukkan keprihatinan kerajaan dalam memenuhi aspirasi golongan muda dan belia negara. Menurut kenyataan Menteri Belia dan Sukan dianggarkan kira-kira 2 juta orang membanjiri Putra Jaya bagi memeriahkan perhimpunan tersebut yang juga turut disertai oleh pelbagai agensi kerajaan dan NGO. Yang mana dalam tempoh tersebut pelbagai acara dan aktiviti dilakukan bagi menarik minat orang ramai khususnya kalangan belia untuk membina potensi diri ke arah kemajuan dan keharmonian negara.

Namun begitu adalah diharapkan agar golongan belia dan beliawanis negara tidak hanya berseronok dan bergembira sepanjang masa. Ini kerana pelbagai gejala moral yang tidak sihat seperti bersekedudukan, minum arak, berfoya-foya dan menghabiskan masa muda tanpa aktiviti berfaedah seakan sinonim dengan kegiatan harian segelintir daripada kalangan mereka dewasa ini.

Aktiviti yang tidak sihat seperti ini jika tidak dibendung bakal merosakkan masa depan individu, negara dan masyarakat. Malah menjadi tanggungjawab semua untuk mencari jalan bagi mengatasi masalah ini dan berusaha menarik golongan terlibat kembali ke pangkal jalan. Kegiatan negatif yang seakan sudah menjadi asam garam kepada kehidupan segelintir golongan muda pada kini sebaiknya dikikis dan dibuang jauh-jauh supaya tidak menjadi barah yang membusuk dalam masyarakat.

Ingatlah betapa usia muda yang pergi meninggalkan seseorang tidak boleh dikembalikan semula, begitu pula masa yang dihabiskan dengan sia-sia juga tiada galang gantinya. Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud; "Rebutlah (pergunakanlah) lima waktu, sebelum datang lima waktu yang lain, iaitu masa muda sebelum tua, masa sihat sebelum sakit, masa lapang sebelum sibuk, masa kaya sebelum papa, dan masa hidup sebelum tiba masa mati”.

Selain itu kekuatan spritual dan rohani setiap individu perlu dipertingkatkan. Ini dapat dilakukan dengan sentiasa melaksanakan kegiatan ibadah yang difardukan seharian seperti solat lima waktu, menutup aurat dan menjaga batas-batas pergaulan. Ini kerana akhir-akhir ini amalan beragama kurang dititik beratkan. Ramai yang mengambil remeh akan kewajipan solat lima waktu. Bagi mereka solat atau tidak tiada bezanya dan terkadang ada yang langsung tidak mengendahkan laungan azan dan sibuk melayan keperluan dunia yang sementara berbanding berfikir dan merenung apa yang telah dipersiapkan untuk kembali bertemu Pencipta Nya .

Golongan belia juga diseru memperkemaskan diri dengan pengetahuan akidah dan syariat yang mantap bagi menghadapi peperangan bentuk baru iaitu serangan pemikiran atau ghazawatulfikri yang disasarkan kepada golongan muda Islam. Dewasa ini terdapat usaha pihak tertentu mempromosikan gejala seks bebas, LGBT dan pemikiran liberal yang menyimpang daripada tuntutan syariat yang sebenar. Terdapat juga yang menjadi mangsa penipuan siber sehingga berjaya diperdaya menjadi keldai dadah lalu menanggung derita merengkok di penjara luar negara. Ada pula yang tertipu dengan cinta seberang sehingga sanggup lari meninggalkan ibu bapa dan negara demi cinta yang belum tentu bahagia.

Sehubungan dengan itu juga kalangan remaja yang bakal menjejakkan kaki ke universiti sempena sesi pendaftaran pelajar baru di Institusi Pendidikan Tinggi Awam (IPTA) di nasihat bersedia dengan sepenuh jiwa, raga dan tenaga untuk memperdalami ilmu dan pengetahuan bukan sekadar berseronok dan berbangga terpilih mendapat tempat di universiti. Ini penting bagi menghadapi suasana kehidupan mendatang yang penuh pancaroba lagi dipenuhi pelbagai serangan pemikiran yang bukan calang-calang individu dapat menewaskannya. Ketinggian ilmu dan peribadi itulah juga bakal menjadi benteng penampan yang ampuh bagi menghadapi serangan bertubi-tubi yang datang daripada setiap penjuru.

Golongan belia yang bakal mewarisi kepimpinan negara turut diharap menggembleng usaha dan tenaga belajar daripada pengalaman kepimpinan sedia ada untuk memperkukuh survival agama, bangsa dan negara ke arah lebih cemerlang di masa mendatang. Usah terpedaya dengan dakyah pihak tertentu yang berkepentingan dan mempergunakan golongan belia untuk mencapai keinginan mereka. Dengan kebijaksanaan ilmu dan pengalaman sedia ada golongan belia sepatutnya bijak memilih antara berlian dan kaca, antara intan dan permata.

Para belia juga diharap bijak menilai potensi diri dan berusaha mencapai kecemerlangan diri dalam apa jua bidang yang diceburi. Bak kata pepatah usaha tangga kejayaan. Malah yang lebih membanggakan apabila ramai kalangan muda-mudi negara berjaya mengharumkan nama negara di persada antarabangsa. Ia sekali gus mampu menangkis tanggapan negatif dan pandangan serong kepada golongan belia. Komuniti mat rempit sebagai contohnya perlu diberi pendedahan signifikan akan minat dan kecenderungan mereka agar tidak hanya menang sorak di kampung sendiri. Malah aktiviti merempit yang dilakukan di jalan raya awam boleh sahaja mengundang padah dan malapetaka kepada diri sendiri dan pengguna jalan raya yang lain.

Dengan kepesatan pembangunan negara dan cita-cita murni untuk menjadi negara maju pada Tahun 2020, sumbangan golongan belia dan muda negara tidak patut dikesampingkan. Di tangan merekalah terletak amanah untuk membina sebuah negara bangsa yang aman damai, maju dan bebas daripada penjajahan bentuk baharu iaitu penjajahan minda dan pemikiran. Justeru itu menjadi tanggungjawab kepada kalangan belia untuk memperkukuh kekuatan dalaman dan luaran guna menempuh cabaran mendatang. Usahlah terlalu galak berfoya-foya dan bersuka ria di saat terdapat generasi muda pewaris negara longlai dan tertewas dek arus pemodenan dan globalisasi yang melanda negara dan dunia secara umumnya. Sebaiknya berusahalah untuk menghampirkan diri kepada Ilahi dengan melakukan kegiatan yang bermanfaat dan diredai supaya beroleh kekuatan bagi mengharungi kehidupan di dunia dan di akhirat nanti.

Thursday, April 19, 2012

IKTIBAR DARIPADA KETAKUTAN

GEMPA bumi yang berlaku di Acheh baru-baru ini pasti mengimbau kenangan pahit kejadian tsunami yang berlaku pada pagi 26 Disember 2004, kira-kira lapan tahun yang lalu. Peristiwa menyayat hati yang mengorbankan nyawa ratusan ribu penduduk setempat disifatkan sebagai detik yang sangat menakutkan terutama oleh mereka yang terselamat dan pernah mengharungi detik-detik mencemaskan itu.

Justeru tidak hairan apabila gempa bumi terbaharu berkekuatan lebih daripada lapan skala Richter di Perairan Acheh, menyebabkan ramai yang ketakutan dan bergegas mencari perlindungan di kawasan tinggi. Amaran tsunami yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa negara juga turut mencetuskan keadaan panik dan kelam-kabut sehingga orang ramai diperintah untuk menjauhi kawasan pantai yang berisiko tinggi jika berlaku tsunami.

Sesungguhnya perasaan takut dan cemas merupakan fitrah semula jadi manusia. Kehidupan manusia pula sentiasa diselubungi dengan pelbagai ketakutan yang akhirnya mengembalikan manusia kepada fitrah semula jadi keperluan untuk beragama. Fenomena ini sekali gus mencetuskan nilai kepercayaan serta keyakinan bahawasanya tiada Tuhan yang wajib disembah melainkan Allah dan bahawa sesungguhnya hanya Dia yang memiliki kuasa mutlak untuk menghindarkan segala
ketakutan itu.

Allah SWT berfirman yang bermaksud “Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar. (Iaitu) orang-orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali” (Al-Baqarah 155-156)

Sifat takut dan merasa tidak selamat daripada balasan Tuhan juga sepatutnya diadaptasikan dalam berbagai lapangan kehidupan Muslim. Dengan perasaan ini individu Muslim akan sentiasa berusaha mengelak diri daripada terus menerus melakukan kemungkaran yang menyebabkan pelakunya terdedah pula kepada balasan azab Tuhan yang menakutkan.

Ini kerana akhir-akhir ini pelbagai gejala sosial dan moral berlaku dalam masyarakat. Malah menurut laporan akhbar jenayah rasuah juga turut mengalami dimensi baharu apabila rasuah berbentuk habuan seks dan pelancongan telah menggantikan pemberian wang yang bersifat tradisi lagi mudah dikesan oleh pihak berwajib. Golongan lesbian, gay, bisekual dan transgender (LGBT) juga secara terang-terangan, tanpa rasa malu mendedahkan aktiviti mereka di laman sosial demi ikutan nafsu songsang yang memudaratkan. Kelab-kelab gay dan lesbian juga seolah-olah mendapat lesen rasmi untuk menjalankan aktiviti jijik lagi tidak bermoral.

Amalan keji yang bertentangan dengan fitrah asal kejadian manusia seperti ini seharusnya diperangi habis-habisan kerana ia mencemarkan nilai budaya ketimuran dan ajaran agama Islam yang suci. Malahan musibah dan bencana yang pernah menimpa kaum Nabi Luth AS dan masyarakat Pompei di Itali patut dijadikan pengajaran untuk tidak mengulangi lagi perbuatan terkutuk seperti itu. Kejadian menakutkan, negeri Kaum Nabi Luth AS diterbalikkan dan masyarakat Pompei ditimbus dengan lahar gunung berapi hidup-hidup membuktikan betapa Allah SWT Maha Berkuasa menimpakan balasannya kepada sesiapa yang ingkar dan sombong daripada mentaatinya.

Ekoran daripada pelbagai bencana alam yang sering berlaku dewasa ini juga umat Islam secara khususnya diseru untuk berusaha mendekatkan diri kepada Allah SWT melalui pelbagai kegiatan ibadat sama ada yang bersifat fardu ain mahupun fardu kifayah demi kebaikan bersama.

Ini kerana jika Allah SWT menghendaki untuk menurunkan azabnya akibat daripada keterlanjuran segelintir masyarakat maka semua akan terpalit dengan kesengsaraan akibat daripada musibah yang menimpa. Pada ketika itu tiada yang akan terselamat melainkan golongan Mukmin yang benar akidah, beramal dengan ajaran syariat dan berada pada landasan yang tidak menyimpang.

Di sudut pandang yang lain, sebagai manefestasi daripada perasaan takut seorang hamba kepada Penciptanya, umat Islam diseru mensyukuri segala nikmat pemberian Tuhan dengan bersungguh-sungguh mengabdikan diri kepada Nya. Pengumuman pembayaran gaji baharu dan tunggakan gaji oleh YAB Perdana Menteri kepada lebih daripada satu juta penjawat awam pada akhir bulan ini sebagai contohnya wajib disyukuri dan dimanfaatkan kepada tujuan yang diredai. Ini termasuklah membantu sesama manusia yang memerlukan sama ada dalam konteks individu mahupun kepada badan-badan kebajikan.

Sesungguhnya setiap kejadian yang berlaku memberi isyarat betapa Allah SWT Maha Berkuasa atas segala makhluknya. Segala peristiwa yang baik mahupun buruk mempunyai hikmah yang tersembunyi yang hanya difahami oleh golongan yang kuat iman dan kepercayaannya kepada Tuhan. Sebaliknya kalangan yang tidak beriman akan terus menodai kesucian agama dengan menurut runtunan nafsu tanpa sedar implikasi buruk perbuatan mereka.

Terdapat pula segelintir yang mempercayai bahawa musibah dan bencana yang berlaku adalah fenomena alam semula jadi yang tidak dapat dielakkan. Apapun sebelum tiba detik kemusnahan secara total ke atas alam semesta ini, para Muslimin diseru sentiasa memuhasabah diri sambil berbakti kepada Ilahi sebelum matahari terbit daripada sebelah Barat dan tenggelam di ufuk Timur.

Tuesday, April 3, 2012

Manusia Makhluk Istimewa

MANUSIA makhluk paling istimewa berbanding ciptaan Allah SWT yang lain. Keistimewaan dan kemuliaan itu jauh lebih tinggi berbanding para malaikat yang diciptakan daripada nur dan Iblis yang diciptakan daripada api walaupun masing-masing mempunyai tugas dan matlamat tersendiri yang ditetapkan oleh Yang Maha Mencipta.

Begitu pula manusia lebih mulia daripada segala ciptaan lain di muka bumi yang secara fizikalnya lebih gagah dan perkasa. Perkara ini diperjelaskan dalam firman Nya pada Surah Al-Ahzab ayat 72 yang mengisahkan kesanggupan manusia untuk memikul amanah, setelah ditolak oleh langit dan bumi serta gunung-ganang yang lebih menakjubkan dan mengagumkan.

Malah dalam peristiwa bersejarah pemindahan istana Ratu Balqis sebagaimana yang diperintahkan oleh Nabi Sulaiman AS, manusia dengan nilai intelektual yang tinggi berjaya melakukannya dalam sekelip mata berbanding jin Ifrit yang bersandarkan kekuatan fizikal yang dimiliki. Sebagaimana firman Nya yang bermaksud;

“Nabi Sulaiman berkata pula (kepada golongan bijak pandainya), Wahai pegawai-pegawaiku, siapakah di antara kamu yang dapat membawa kepadaku singgahsananya sebelum mereka datang mengadapku dalam keadaan berserah diri memeluk Islam? Berkatalah Ifrit dari golongan jin: Aku akan membawakannya kepadamu sebelum engkau bangun dari tempat dudukmu dan sesungguhnya aku amatlah kuat gagah untuk membawanya, lagi amanah. Berkata pula seorang yang mempunyai ilmu pengetahuan dari Kitab Allah: Aku akan membawakannya kepadamu dalam sekelip mata!” (Surah al-Naml:38-40)

Justeru dengan segala keistimewaan yang ada manusia tidak sepatutnya menjatuhkan kedudukan yang begitu mulia dengan bertindak melampau batas, nekad merubah ciptaan terbaik Allah SWT semata-mata mengikut naluri songsang. Perbuatan golongan pengkid sebagai contoh yang menggadai nyawa dan kehormatan diri semata-mata ingin berperwatakan seperti lelaki dan mempunyai teman wanita adalah perbuatan merubah ciptaan Tuhan yang menyebabkan dosa kaum Nabi Luth AS semakin mendapat tempat di hati segelintir masyarakat Timur.

Begitu pula golongan biseksual yang hanya berminat dengan pasangan sejenis juga menyalahi fitrah semula jadi manusia yang dicipta berpasang-pasangan dan berlainan jantina. Malah jika diteliti pada setiap daripada keunikan ciptaan Tuhan terdapat tanda-tanda kebesaran yang seharusnya mendorong manusia untuk hanya mengabdikan diri kepada Nya.

Terdapat pula segelintir kalangan wanita yang dengan sengaja menjadi bahan eksploitasi lalu sanggup memperagakan diri dengan pakaian menjolok mata, menjadi penari tiang dengan pelbagai aksi mengghairahkan dan menjadi pelacur murahan semata-mata inginkan habuan lumayan yang disediakan oleh pihak tertentu. Semua ini boleh dijadikan indikator bebas untuk menunjukkan nilai-nilai manusiawi mula luntur dan hilang ditelan arus modenasasi zaman.

Dalam situasi yang lain manusia dilantik pula sebagai khalifatulard yakni khalifah di muka bumi dengan segala sesuatu dijadikan oleh Allah SWT tunduk untuk memberi kemudahan dan kesenangan kepada manusia. Dengan erti kata lain manusia ialah ketua kepada segala makhluk yang memainkan peranan signifikan dalam melaksanakan tanggungjawab memakmurkan alam ini jauh daripada terlibat melakukan kerosakan yang pelbagai sama ada di darat, di laut mahupun di angkasa raya.

Manusia turut diberi keistimewaan oleh Allah SWT untuk memberi nama kepada setiap sesuatu yang tidak di perkenan untuk dilakukan oleh golongan malaikat mahupun iblis. Selain itu manusia dibekalkan dengan akal fikiran yang sempurna sehingga berupaya untuk berfikir dan menilai baik dan buruk sesuatu perkara dengan berteraskan wahyu Ilahi. Namun akibat tidak mampu menggunakan akal dengan sebaiknya manusia boleh sahaja terjerumus ke lembah kehinaan dengan menjadi penghuni neraka dan menjadi lebih rendah berbanding binatang ternakan sepertimana maksud firman Nya;

“Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk Neraka Jahanam banyak dari jin dan manusia yang mempunyai hati (tetapi) tidak mahu memahami dengannya (ayat-ayat Allah), dan yang mempunyai mata (tetapi) tidak mahu melihat dengannya (bukti keesaan Allah) dan yang mempunyai telinga (tetapi) tidak mahu mendengar dengannya (ajaran dan nasihat); mereka itu seperti binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi; mereka itulah orang-orang yang lalai.” (Surah al-‘Araaf:179)

Sedarlah betapa Islam mengangkat martabat manusia termasuk kalangan wanita ke tahap yang tertinggi berbanding makhluk ciptaan yang lain. Oleh itu usah dihinakan kedudukan manusia sehingga jadi lebih rendah martabatnya daripada binatang yang tidak punya akal tetapi masih kenal jantan dan betina.

Kebejatan gejala sosial yang terus menerus menghantui masyarakat turut memburukkan keadaan sedia ada. Bayi tidak berdosa dibunuh dan dibuang merata-rata. Gejala moral seperti bersekedudukan tanpa ikatan pernikahan juga menjadi perkara biasa dan tidak dianggap berdosa. Malah laporan akhbar yang menyebutkan betapa kegiatan menggugurkan kandungan secara haram semakin berleluasa turut menyumbang kepada dosa zina yang merosakkan generasi keturunan manusia.

Sehubungan dengan itu setiap manusia yang dikurniakan dengan pelbagai keistimewaan secara fitrah wajar kembali memanfaatkannya untuk meningkatkan potensi diri dan ummah secara kolektif. Di samping itu ia selayaknya digunakan untuk meningkatkan nilai peradaban manusia melalui pelbagai lapangan kerjaya dan bidang kehidupan yang meletakkan kedudukan manusia mulia pada tempatnya, seraya dilimpahi dengan berbagai kurnia lain dan kenikmatan tidak berbelah bahagi daripada Nya.

Tuesday, March 20, 2012

JOM TUNAI ZAKAT GAJI

Artikel ini telah disiarkan dalam ruangan E-Mail Anda Harian Metro bertarikh 2 April 2012.


MUNGKIN ramai yang tidak sedar bahawa pendapatan bulanan ataupun gaji yang diperoleh setiap bulan wajib dikeluarkan zakatnya jika memenuhi syarat wajib zakat yang ditetapkan. Ini kerana berdasarkan laporan oleh Majlis Agama Islam Negeri Johor hanya sejumlah 2,000 daripada keseluruhan 26,000 kakitangan awam di Negeri Johor yang menunaikan kewajipan membayar zakat gaji mereka.

Perangkaan ini sepatutnya menyedarkan umat Islam akan peri pentingnya menunaikan zakat difardukan. Ini kerana zakat pada dasarnya berperanan untuk menumbuhkan, menyuburkan dan mengembangkan harta seseorang. Ia sekali gus memberi isyarat kepada semua betapa sumbangan zakat yang difardukan tidak akan menyebabkan kerugian dan kekurangan harta malah semakin bertambah, berkembang lagi subur. Lebih menyeronokkan lagi apabila penerima agihan zakat kemudiannya mendoakan kebahagiaan dan kesenangan kepada sesiapa yang ikhlas melunaskan zakat hartanya.

Malah inisiatif oleh kerajaan melalui pihak Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) yang memberi pelepasan cukai kepada individu yang membayar zakat sepatutnya menjadi pendorong umat Islam untuk berzakat bagi membantu asnaf yang memerlukan.

Persoalan sama ada zakat ke atas gaji dan pendapatan bulanan wajib atau tidak dikenakan zakat sepatutnya tidak timbul. Ini kerana hukum hakam zakat banyak berhubung kait dengan persoalan ijitihady yang mana bergantung kepada kebijaksanaan pemerintah dan pihak berkuasa agama di sesuatu tempat untuk menentukan apa yang wajib dizakatkan mengikut keperluan dan situasi semasa.

Berikutan dengan ketetapan itu, Jawatankuasa Fatwa Negeri Johor yang bersidang pada 12 Muharam 1421 bersamaan 17 April 2000 telah membuat keputusan bahawa gaji dan pendapatan wajib dikeluarkan zakat bila mana cukup syarat-syaratnya. Kaedah pengiraannya pula adalah berdasarkan pengiraan pendapatan kasar tahunan yang ditolak dengan keperluan asas sebenar pada tahun semasa. Sekiranya sama atau melebihi nisbah yang ditetapkan, maka zakatnya 2.5% atau 1/40.

Adapun keperluan asas sebenar pada tahun semasa yang ditolak daripada pendapatan tahunan adalah keperluan sara hidup yang diperlukan untuk diri sendiri iaitu sebanyak RM8,000.00, tolakan untuk isteri RM3,000.00 x bilangan isteri, anak di bawah tanggungan RM1,000.00 x bilangan anak juga mereka yang di bawah tanggungan seperti ibu bapa dan lain-lain. Wang gajian yang telah digunakan untuk tujuan perubatan dan pendidikan juga boleh ditolak. Baki gaji setelah ditolak keperluan asas sebenar kemudiannya di darabkan dengan 2.5% untuk memperoleh amaun zakat gaji yang wajib dibayar kepada pihak Majlis Agama Islam Negeri (MAIN).

Perlu juga difahami bahawa zakat gaji perlu dibayar di negeri seseorang bekerja kerana di situ terdapat hak masyarakat setempat yang memerlukan . Kemudiannya jika terdapat lebihan agihan zakat baharulah pihak berkuasa agama menentukan untuk mengagihkannya ke negeri-negeri lain yang dikenal pasti memerlukan.

Untuk tujuan itu setiap individu Muslim yang mempunyai pendapatan bulanan perlulah bersegera menunaikan kewajipan ini supaya golongan yang memerlukan bantuan terbela. Malah wang hasil zakat yang telah dikutip oleh Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAIJ) sebagai contohnya telah dimanfaatkan untuk keperluan membina asrama untuk pelajar seperti Asrama Pelajar Johor di Mesir, membeli mesin homodialisis bagi membantu pesakit buah pinggang dan lain-lain demi kepentingan ummah setempat.

Untuk tujuan itu juga orang Islam turut diseru supaya tidak hanya terhad menginfaqkan harta yang wajib dizakatkan sahaja malah patut diperluaskan juga kepada sumbangan sunat yang juga diperlukan. Sebagai contohnya masjid dan surau memerlukan bantuan kewangan sepanjang tahun untuk menampung aktiviti mengimarahkan rumah Allah SWT yang menjadi tanggungjawab semua. Selain itu rumah orang tua, rumah anak-anak yatim dan berbagai keperluan lain yang mendesak tidak terkecuali daripada mengharap bantuan kewangan sepanjang masa.

Untuk memberikan sebahagian gaji yang diterima bukanlah suatu yang mudah. Apatah lagi dengan keadaan semasa di mana wang adalah segala-galanya bagi sesetengah orang. Setiap yang memberi pasti merasa kehilangan ditambah lagi harta dengan sifat semula jadi manusia yang cintakan harta dan kemewahan. Justeru untuk menghilangkan rasa kehilangan dan sukar untuk membayar zakat gaji yang diperoleh seseorang perlu melazimkan diri menginfaqkan hartanya ke fi sabilillah. Jika tidak pasti penyakit mazmumah seperti bakhil dan kedekut akan terus membelenggu diri sekali gus menghilangkan keberkatan daripada rezeki yang diperoleh.

Allah SWT berfirman yang bermaksud “Barangsiapa terselamat daripada kekikiran dirinya, maka mereka itulah orang yang berbahagia” (Surah al-Hasyr:9)
Selain daripada itu infaq ke jalan Allah SWT secara umumnya menunjukkan bagaimana individu Muslim bersyukur atas nikmat kurniaan harta dan rezeki kepadanya, sepertimana seseorang beribadah dengan sepenuh jiwa dan raga sebagai tanda bersyukur atas nikmat kesihatan dan kebahagiaan yang diperoleh. Adalah tidak molek jika segala pemberian itu yang diterima secara percuma tidak dibalas dengan mensyukurinya. Apatah lagi jika Allah SWT kemudian menjanjikan pula ganjaran syurga yang tidak ternilai harganya.

Lebih daripada itu keengganan individu Muslim untuk menunaikan zakat harta mendedahkan diri mereka kepada ancaman dan balasan buruk daripada Allah SWT. Sebagaimana firmannya yang bermaksud “Dan (ingatlah) orang-orang yang menyimpan emas dan perak serta tidak membelanjakannya pada jalan Allah, maka khabarkanlah kepada mereka dengan (balasan) azab seksa yang tidak terperi sakitnya. (Iaitu) pada hari dibakar emas perak (dan harta benda) itu dalam Neraka Jahanam, lalu diselar dengannya dahi mereka dan rusuk mereka, serta belakang mereka (sambil dikatakan kepada mereka): Inilah apa yang telah kamu simpan untuk diri kamu sendiri, oleh itu rasalah (azab dari) apa yang kamu simpan itu.” (Surah al-Tawbah:34-35)

Memang ada perbezaan pendapat ulama tentang hukum zakat gaji. Majlis Fatwa negeri-negeri di Malaysia juga tidak sepakat mewajibkan zakat gaji dan pendapatan. Apapun tepuk dada tanya iman. Adalah diharapkan bilangan umat Islam yang prihatin untuk menunaikan kewajipan zakat gaji dan seumpamanya semakin bertambah dari semasa ke semasa. Sebarang persoalan berkaitan zakat juga hendaklah diajukan kepada pihak yang arif seperti MAIN supaya segala kekusutan dapat di rungkai dengan harmoni. Semoga suatu hari nanti semua individu Muslim ikhlas menunaikan kewajipan zakat pendapatan mereka tanpa sebarang persoalan sebagaimana mereka ikhlas membayar cukai kepada pihak kerajaan sepanjang tempoh perkhidmatannya.

Thursday, March 1, 2012

KENAPA PERLU JADI KAYA

Sebahagian daripada artikel ini telah disiarkan dalam Ruangan e-Mail anda, Harian Metro 5 Mac 2012 dengan tajuk "Fahami Hakikat Zuhud Yang Sebenar"



SENARAI 40 orang individu terkaya di Malaysia bagi tahun 2012 yang dilaporkan oleh majalah kewangan dan perniagaan Forbes baru-baru ini sudahpun diketahui umum. Daripada 10 individu yang menduduki senarai teratas, Tan Sri Syed Mokhtar Albukhary berada di tempat ketujuh sekaligus merupakan satu-satunya individu Muslim yang tersenarai sebagai 10 orang terkaya di Malaysia. Kenyataan ini jelas menunjukan betapa umat Islam masih jauh ketinggalan daripada aspek pemilikan kekayaan harta duniawi. Walaupun ia bersifat sementara tetapi sebenarnya sangat signifikan dalam memelihara maruah agama dan peradaban Islam sejagat.

Justeru Islam sangat menggalakkan umatnya supaya bekerja bersungguh-sungguh untuk mencapai kebahagiaan juga kemewahan hidup di dunia, dalam masa yang sama perbuatan meminta-minta dan terlalu berharap kepada orang lain adalah ditegah lagi memalukan. Malah dengan penglibatan setiap Muslim dalam pelbagai profesion yang dihalalkan, umat Islam berupaya pula untuk keluar daripada kancah kemiskinan yang berkemungkinan merosakkan akidah dan kepercayaan mereka.

Dari Hakim bin Hizam r.a., katanya, Nabi Muhammad SAW bersabda: "Tangan yang di atas (tangan yang memberi) lebih baik dari tangan yang di bawah (tangan yang, menerima atau meminta). Maka kerana itu mulailah memberi kepada keluargamu. Sebaik-baik sedekah ialah ketika kaya. Siapa yang mohon dipelihara (agar dia tidak sampai minta-minta) Allah akan memeliharanya, dan siapa yang mohon ditetapkan (agar tidak ada bergantung selain kepada Allah) Allah akan mencukupkannya."

Oleh itu, setiap Muslim diseru untuk melipatgandakan usaha bagi mencapai status hidup mewah ataupun sekurang-kurangnya berada di atas paras kemiskinan bagi melaksanakan tuntutan agama yang berkaitan dengan aspek kewangan dan punca pendapatan yang kukuh.

Dengan memiliki harta yang melebihi paras nisab, umat Islam berupaya untuk menunaikan zakat yang diwajibkan. Ia sekaligus dapat dimanfaatkan oleh asnaf yang memerlukan dalam usaha untuk mengubah taraf hidup mereka. Golongan miskin misalnya boleh diberikan bantuan zakat untuk memulakan perniagaan yang akhirnya apabila beroleh keuntungan mereka pula berkewajipan membayar zakat harta yang difardukan. Kaedah seperti ini jika berjaya dilaksanakan dengan sistematik boleh menjadikan mekanisme terbaik untuk membasmi kemiskinan dikalangan masyarakat Islam.

Kewajipan menunaikan fardu haji juga turut tertakluk dengan syarat memiliki tambang perjalanan pergi dan balik juga sara hidup bagi orang di bawah tanggungan yang berada di tanahair. Tanpa sumber pendapatan yang kukuh pasti sukar untuk melaksanakannya. Ini di tambah lagi dengan situasi ekonomi semasa yang memungkinkan pertambahan kos bagi menunaikan fardu haji dari setahun ke setahun.

Selain itu daripada itu terdapat juga galakan agama yang berkaitan dengan harta seperti sedekah, hibah, wakaf dan lain-lain. Tanpa sumber kewangan yang mencukupi pasti sukar untuk melaksanakannya. Malah boleh jadi umat Islam terdedah pula kepada aktiviti pinjaman haram akibat tidak cukup pendapatan bagi menyara keluarga dan kehidupan seharian.

Untuk bergelar hartawan Muslim pastinya tidak mudah. Segala peraturan dan ketetapan syariat mesti dipatuhi agar segala aktiviti ekonomi dan pekerjaan yang dilakukan boleh dinilai sebagai ibadah dan beroleh keberkatan daripada Nya.

Antaranya niat kena benar, kegiatan yang dilakukan mestilah yang dibenarkan oleh syarak dan tidak memudaratkan. Setiap Muslim juga tidak sepatutnya menggabaikan tanggungjawab agama seperti solat dan menunaikan zakat dalam mengejar kemewahan. Begitu pula nilai-nilai akhlak Islam seperti jujur, amanah dan bertimbang rasa perlu sentiasa menjadi perhiasan diri. Sikap buruk seperti sombong dan mementingkan diri sendiri hendaklah dijauhi dalam usaha merapatkan jurang sosial antara golongan miskin dan kaya.

Kalangan hartawan Muslim turut diseru supaya tidak lokek membantu usaha-usaha kemasyarakatan seperti sumbangan untuk mengimarahkan surau dan masjid, juga rumah kebajikan dan anak-anak yatim. Dengan cara ini mudah-mudahan segala punca rezeki akan dibuka seluas-luasnya oleh Allah SWT malah jika diperkenankan boleh sahaja dikurniakan rezeki tanpa disangka-sangka.

Salah faham terhadap pemilikan harta dan kemewahan dunia juga perlu ditangkis. Ini kerana terdapat segelintir Muslim yang tidak memahami hakikat sebenar zuhud sehingga kelihatannya mereka seperti orang yang tidak punya apa-apa sedangkan mampu untuk mengadakannya. Perbuatan menolak dunia secara total seperti ini tidak bertepatan dengan kehendak Islam sebenar yang akhirnya mengundang pandangan serong terhadap Islam. Asas yang perlu dititiberatkan adalah memenuhi keperluan untuk diri sendiri dan orang yang di bawah tanggungan dengan niat ibadah tanpa menunjuk-nunjuk dan membazir.

Dari Abu Ishaq dari Abu Ahwash dari ayahnya berkisah: "Pada suatu hari aku datang kepada Rasulullah saw, ketika beliau melihatku memakai pakaian compang camping, maka beliau bertanya padaku: "Adakah kamu masih mempunyai harta?" Jawabku: "Ya, aku masih mempunyai semua jenis harta yang diberikan Allah padaku". Sabda beliau: "Bila kamu mempunyai harta, maka hendaklah kamu memperlihatkan nikmat-nikmat Allah itu dalam dirimu." (Hadis riwayat al-Nasai’e)

Perlu juga difahami skop kaya dalam Islam terlalu luas. Ia tidak hanya terhad kepada aspek materialistik dan kebendaan sahaja. Kaya ibadah, kaya budi pekerti dan kaya senyuman juga perlu diusahakan. Apalah gunanya harta dan kemewahan yang ada jika bersikap buruk seperti sombong dan membanggakan diri. Perangai buruk seperti ini pastinya merugikan memandangkan harta adalah milik mutlak Allah SWT yang Maha Berkuasa memberi kepada sesiapa yang dikehendaki dan Maha Berkuasa pula untuk mengambilnya pada bila-bila masa.

Monday, February 13, 2012

BERSATU MENCEGAH KEMUNGKARAN

Artikel ini telah disiarkan dalam Akhbar Berita Harian Ruangan Agama bertarikh 14 Feb 2012 dengan tajuk "Jaga Tepi Kain Orang" Cegah maksiat berleluasa.

STATISTIK tangkapan khalwat yang mencecah angka 2,473 orang di Negeri Johor seperti yang dilaporkan oleh akhbar baru-baru ini memberi isyarat betapa gejala tidak bermoral semakin berleluasa di sana sini. Segelintir muda-mudi Islam kini tidak lagi berasa segan silu berpelukan dan berciuman di tempat awam walaupun diperhatikan oleh orang ramai. Kewujudan hotel-hotel murah yang berkemungkinan menjadi pusat untuk golongan ini melampiaskan nafsu juga tumbuh bak cendawan selepas hujan.

Malahan golongan ini seakan bebas melakukan kegiatan haram di hotel tertentu tanpa halangan terutama dihujung minggu dan hari cuti umum. Akibatnya statisk kelahiran anak tak sah taraf juga turut bertambah dari tahun ke tahun kesan daripada persetubuhan haram yang dilakukan. Lebih memburukkan keadaan jika terdapat pasangan yang tidak bertanggungjawab lalu tergamak pula membuang bayi yang tidak berdosa.

Justeru siapa yang patut dipersalahkan dalam hal. Pengusaha hotel sudah pasti berlepas tangan kerana mereka berorentasikan perniagaan dan berharap kepada keuntungan yang lumayan. Kalangan penguatkuasa agama juga telah melaksanakan tugasan mereka berkerja siang dan malam walaupun dengan bilangan anggota yang terhad bagi mencegah aktiviti maksiat dan bersekedudukan.

Jawapannya tepuk dada tanya iman. Usah seronok menuding jari menyalahkan itu dan ini, sedangkan jika dilihat daripada aspek amalan beragama dan pergaulan seharian ramai yang berpotensi kecundang dikalahkan oleh tuntutan hawa nafsu sendiri. Pergaulan bebas tanpa ikatan pernikahan yang sah, berdua-duaan ke sana dan ke mari cukup membuktikan betapa diri sendiri yang patut dipersalahkan.

Sehubungan dengan itu setiap individu Muslim perlu bertanggungjawab terhadap segala kelakuan mereka sama ada baik mahupun buruk. Begitu pula di hari kemudian setiap jiwa secara peribadi akan dipersoalkan dan diberi hukuman setimpal terhadap apa yang telah mereka kerjakan semasa di dunia yang fana ini. Benar seperti kata pepatah siapa yang makan cili dialah yang kepedasan.

Baginda Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud; “Janganlah seorang lelaki dan seorang wanita berdua-duaan bersama melainkan jika ditemani oleh mahramnya.” (Riwayat Imam al-Bukhariy) Dalam sebuah riwayat yang lain pula dinyatakan “Janganlah seorang lelaki dan seorang wanita berdua-duaan bersama kerana Syaitan akan hadir sebagai orang ketiga.” (Riwayat Imam Ahmad dalam Musnadnya)

Oleh itu menjadi kewajipan setiap individu Muslim untuk membenteng diri dengan perisai akidah dan membatasi pergaulan terutama dengan pasangan yang bukan mahram. Syariat Islam juga tidak melarang secara total pergaulan antara lelaki dan wanita asalkan mengikut lunas-lunas yang ditetapkan.

Masyarakat setempat juga seharusnya memainkan peranan dalam usaha menegakkan amar makruf dan nahi mungkar. Setidak-tidaknya mereka perlu menjadi mata dan telinga kepada pihak berkuasa dengan melaporkan segala kejadian yang tidak bermoral yang berlaku di kawasan kejiranan mereka. Perlu difahami ia bukan isu menjaga tepi kain orang ataupun menyibukkan diri dengan kegiatan peribadi seseorang.

Lebih daripada itu ia merupakan kewajipan setiap individu Muslim untuk mencegah kemungkaran sama ada dengan tangan yakni kuasa yang dimiliki ataupun dengan lidah dan hati sepertimana maksud hadis Nabi Muhammad SAW. Malah jika Allah SWT murka dan menurunkan musibah atas kesalahan segelinitr umat manusia ia bersifat melata dan mengena kepada semua tidak kira yang berdosa mahupun yang beramal saleh.

Demi membendung jenayah khalwat dan penzinaan daripada terus menjadi barah yang membusuk kepada masyarakat Islam, dicadangkan agar pihak berkuasa meletakkan poster-poster supaya menjauhi zina dan keburukannya di semua hotel bagi menimbulkan keinsafan terutama kepada umat Islam. Hukuman akibat kesalahan khalwat dan persetubuhan haram mengikut enakmen kesalahan syariah yang telah diwartakan disetiap negeri juga boleh ditampal di lobi hotel sebagai peringatan untuk semua pengunjung.

Selain daripada itu isu-isu kemasyarakatan dan hukuman akibat dosa zina dan khalwat boleh juga dijadikan topik utama dalam ceramah-ceramah maulud Nabi Muhammad SAW yang sedang semarak di adakan terutama sekali di Negeri Johor dewasa ini.

Peranan oleh ibubapa juga tidak boleh diketepikan. Walaupun kemungkinan anak-anak telah dewasa dan bekerja boleh sahaja mereka menziarahi rumah sewa mereka bagi mengetahui di mana dan dengan siapa mereka tinggal. Begitu pula sesekali ibubapa hendaklah menziarahi anak-anak yang sedang melanjutkan pelajaran di pusat-pusat pengajian tinggi bagi memupuk hubungan kekeluargaan sekaligus mengelak terjebak melakukan perbuatan mungkar.

Ataupun sebaiknya selalulah berhubung dengan mereka agar mereka merasa selalu diperhatikan walaupun ketika berjauhan. Ini kerana Ibubapa masih bertanggungjawab terhadap anak-anak dan akan dipersoalkan terhadap segala tingkah laku mereka selagi mereka belum berumahtangga. Insya Allah apabila semua pihak bersatu dan memainkan peranannya bagi membenteras kemungkaran berbagai gejala sosial dan moral yang berlaku kepada masyarakat Islam berjaya dibendung suatu hari nanti.