Mungkin ada yang
terperanjat apabila membaca topik ini. Bagaimana mungkin seorang yang
terpelajar dan kemungkinan sedang berada di Menara Gading boleh terpalit dengan
perlakuan luar tabi’. Bagaimana seorang mahasiswa institusi pengajian tinggi
boleh terjebak sedangkan saban hari mereka bergelumang dengan pelbagai ilmu dan
pengetahuan yang sepatutnya menjadi perisai diri. Benarkah gejala Lesbian, Gay,
Bisex dan Transgender (LGBT) bermula di
universiti. Persoalan-persoalan ini menarik untuk dikupas bagi menarik perhatian
khayalak pembaca terutama para ibubapa agar cakna terhadap kegiatan anak-anak
mereka.
Berdasarkan ceramah yang
disampaikan oleh seorang kaunselor yang terlibat secara langsung memulihkan
selera songsang golongan LGBT, ia dikatakan bermula ketika mereka menuntut di
universiti. Ini mengukuhkan kajian yang menyatakan hubungan songsang ini
bermula diusia remaja iaitu antara 13 hingga 21 tahun. Dengan tubuh badan “sado”,
bergaya “macho”, memiliki kerjaya dalam bidang professional, sukar untuk
masyarakat mencium kegiatan tidak bermoral seperti ini. Malah kemungkinan mereka
bukanlah terdiri daripada golongan lelaki lembut atau wanita pengkid yang
berlagak seperti lelaki sebagaimana persepsi masyarakat.
Sementelah lagi, apabila
diteliti bibit-bibit kearah mempromosikan kegiatan itu di universiti sebenarnya
sudah wujud. Portal Malaysia kini pernah melaporkan sebuah kumpulan yang
dikenali sebagai Celebrating Identities membantah sebuah forum anjuran Persatuan
Mahasiswa Islam Universiti Sains Malaysia (PMIUSM) yang bertujuan mengembalikan
golongan LGBT kepada fitrah. Lebih mengelirukan apabila terdapat yang menyifatkan
usaha tersebut mencetuskan homofobia dan transfobia selain suatu bentuk ugutan dan
gangguan terhadap kebebasan seksual dan identiti jantina. Turut dilaporkan suatu
kempen berkaitan LGBT di sebuah universiti swasta telah dibatalkan oleh pengurusan
universiti kerana tidak memenuhi garis panduan ditetapkan. Lebih membimbangkan
apabila sebuah pertubuhan bukan kerajaan dikenali Jaringan Melayu Malaysia
(JMM) mendapati sejumlah 21 laporan polis telah dibuat pada tahun 2011 mengenai
kegiatan pelajar sekolah rendah dan menengah dalam kegiatan seks luar tabii atau
atau seks sejenis.
Sungguhpun tiada statistik
terperinci untuk mengukuhkan kenyataan ini, kemungkinan wujudnya gejala LGBT di
kalangan pelajar perlu dipandang serius oleh pihak-pihak bertanggungjawab. Usah
apabila nasi sudah menjadi bubur baharu semua pihak membuka mata dan
kemungkinan terlewat untuk mengusahakan tindakan sewajarnya.
Kajian-kajian terdahulu
menunjukkan beberapa faktor menjadi penyumbang utama kepada gejala ini
dikalangan remaja. Kajian oleh Mohamad Irwan Ahmad dan rakan-rakan pada tahun
2015 mendedahkan kurangnya pendidikan agama, kelemahan institusi keluarga,
pengaruh rakan sebaya dan pasangan sejenis yang memahami keinginan satu sama
lain menyumbang kegiatan ini. Menurut Zusy Aryanti
dalam jurnal yang diterbitkan pada tahun 2016 mendapati faktor
genetik dan pola serta gaya asuhan orang tua menjadi faktor terpenting dalam
pembentukan peribadi dan tingkahlaku anak-anak. Ada juga yang berpendapat ia
berpunca daripada fahaman sekular yang memisahkan agama dengan kehidupan terutama setelah berakhirnya zaman
gelap di Barat yang menyaksikan wujud teori kebebasan mutlak dan humanisme.
Tidak dinafikan juga kegagalan
mengurus nafsu dengan bijak menjadi penyebab. Ini kerana bukan calang-calang
orang berjaya melawan runtunan nafsu sendiri yang dikategorikan sebagai jihad
akhbar atau jihad yang sukar untuk dilaksanakan. Ditambah lagi dengan musuh
hawa nafsu yang tidak kelihatan oleh pandangan mata kasar dan seseorang
terdedah untuk melakukannya di mana-mana tanpa mengira masa dan tempat.
Agama Islam memandang
serius perkara ini kerana termasuk dalam lima perkara darurat yang perlu dipelihara.
Secara sepesifik ia termasuk dalam kategori pemeliharaan terhadap keturunan dan
kehormatan diri dengan menetapkan beberapa hukuman pilihan kepada jenayah liwat
dan sihaq berdasarkan hadis Nabi SAW seperti dibunuh kedua-dua pelakunya, direjam
dengan batu, dihukum seperti pelaku zina sama ada direjam ataupun disebat
dengan rotan atau di takzir mengikut budi bicara mahkamah.
Sebagai langkah
membendung aktiviti yang dilarang oleh agama ini, golongan pelajar dinasihat membatasi
pergaulan seharian walaupun sesama rakan sejantina. Usah berlebih-lebihan
berpeluk-peluk, berciuman mahupun berpegangan tangan kerana dibimbangi akan membawa
kepada gejala LGBT tanpa disedari. Syariat Islam juga mengajarkan tentang tatacara berpakaian
dan menutup aurat ketika bersama dengan mahram, dengan rakan sebaya mahupun
dengan orang asing demi menjaga maruah dan kehormatan diri. Dalam sebuah hadis
yang diriwayatkan oleh Imam Muslim, Tirmiziy dan Abu Dawud disebutkan; “Janganlah
seorang laki-laki melihat aurat laki-laki lain, dan jangan pula seorang wanita
melihat aurat wanita lain. Dan janganlah seorang laki-laki memakai satu selimut
dengan laki-laki lain, dan jangan pula seorang wanita memakai satu selimut
dengan wanita lain”
Ibu bapa juga diharap tidak
membiarkan anak-anak yang sedang belajar di universiti dengan alasan mereka
sudah dewasa dan pandai mengurus diri. Membiarkan anak-anak remaja tanpa pengawasan
dan pemantauan ibu bapa adalah suatu kesilapan yang kemungkinan menyebabkan
mereka terkena kejutan budaya dan terlibat melakukan kegiatan tidak bermoral. Ibu
bapa sewajarnya mengetahui di mana anak mereka tinggal, siapa kawan-kawannya
dan tidak salah jika sesekali memerhati aktiviti seharian mereka kerana ibu
bapa akan dipertanggungjawabkan mengenai perlakuan baik dan buruk anak-anak.
Usah juga terlalu sibuk
dengan tugasan dan aktiviti seharian sehingga anak-anak terbiar dan kurang
mendapat kasih sayang dan perhatian ibu bapa. Akibatnya anak-anak lebih suka
bergaul dengan rakan-rakan di luar rumah sehingga kemungkinan terjebak dengan
gejala tidak bermoral. Selain itu aktiviti berunsurkan pendidikan dan kerohanian
perlu diperbanyakkan agar semua memahami betapa Allah menjadikan lelaki dan
wanita dengan peranan dan fungsi masing-masing khususnya dalam rangka
mengabdikan diri kepada Ilahi.
Tuntasnya marilah semua
mengambil iktibar daripada gempa bumi dan tsunami di Sulawesi yang mengorbankan
nyawa dan menyebabkan kerosakan harta benda yang jelas menunjukkan kebesaran
Tuhan ke atas makhluknya. Lebih daripada itu, sebagai seorang Muslim semua
perlu patuh dan taat melaksanakan suruhan dan meninggalkan larangan agama. Usah
terkesima dengan amalan negatif sehingga seronok bergelumang dengan dosa hingga
ke akhir hayat. Tidak ada gunanya memperjuangkan sesuatu yang salah atas alasan
kebebasan dan urusan peribadi kerana kelak mengudang padah kepada diri sendiri.
Malah orang lain yang tidak terlibat juga kemungkinan terkena musibah dan
malapetaka yang sama akibat kemurkaan Allah ke atas hambanya.
Ingatlah
betapa Allah Maha Berkuasa untuk mengenakan hukuman setimpal kepada pelaku dosa
dan maksiat sepertimana Kaum Nabi Luth di Negeri Sodom yang diterbalikkan kampung
halaman mereka kerana amalan liwat. Sejarah moden turut mengisahkan bagaimana
seluruh bandar Pompei di Itali yang begitu
maju pada zamannya dibinasakan dengan letupan gunung berapi kerana kegiatan
seks songsang yang berleluasa dalam masyarakat.