Sunday, May 27, 2012

SURAT TERBUKA BUAT BELIA NEGARA



HIMPUNAN Jutaan Belia 2012 yang baharu sahaja melabuhkan tirainya jelas menunjukkan keprihatinan kerajaan dalam memenuhi aspirasi golongan muda dan belia negara. Menurut kenyataan Menteri Belia dan Sukan dianggarkan kira-kira 2 juta orang membanjiri Putra Jaya bagi memeriahkan perhimpunan tersebut yang juga turut disertai oleh pelbagai agensi kerajaan dan NGO. Yang mana dalam tempoh tersebut pelbagai acara dan aktiviti dilakukan bagi menarik minat orang ramai khususnya kalangan belia untuk membina potensi diri ke arah kemajuan dan keharmonian negara.

Namun begitu adalah diharapkan agar golongan belia dan beliawanis negara tidak hanya berseronok dan bergembira sepanjang masa. Ini kerana pelbagai gejala moral yang tidak sihat seperti bersekedudukan, minum arak, berfoya-foya dan menghabiskan masa muda tanpa aktiviti berfaedah seakan sinonim dengan kegiatan harian segelintir daripada kalangan mereka dewasa ini.

Aktiviti yang tidak sihat seperti ini jika tidak dibendung bakal merosakkan masa depan individu, negara dan masyarakat. Malah menjadi tanggungjawab semua untuk mencari jalan bagi mengatasi masalah ini dan berusaha menarik golongan terlibat kembali ke pangkal jalan. Kegiatan negatif yang seakan sudah menjadi asam garam kepada kehidupan segelintir golongan muda pada kini sebaiknya dikikis dan dibuang jauh-jauh supaya tidak menjadi barah yang membusuk dalam masyarakat.

Ingatlah betapa usia muda yang pergi meninggalkan seseorang tidak boleh dikembalikan semula, begitu pula masa yang dihabiskan dengan sia-sia juga tiada galang gantinya. Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud; "Rebutlah (pergunakanlah) lima waktu, sebelum datang lima waktu yang lain, iaitu masa muda sebelum tua, masa sihat sebelum sakit, masa lapang sebelum sibuk, masa kaya sebelum papa, dan masa hidup sebelum tiba masa mati”.

Selain itu kekuatan spritual dan rohani setiap individu perlu dipertingkatkan. Ini dapat dilakukan dengan sentiasa melaksanakan kegiatan ibadah yang difardukan seharian seperti solat lima waktu, menutup aurat dan menjaga batas-batas pergaulan. Ini kerana akhir-akhir ini amalan beragama kurang dititik beratkan. Ramai yang mengambil remeh akan kewajipan solat lima waktu. Bagi mereka solat atau tidak tiada bezanya dan terkadang ada yang langsung tidak mengendahkan laungan azan dan sibuk melayan keperluan dunia yang sementara berbanding berfikir dan merenung apa yang telah dipersiapkan untuk kembali bertemu Pencipta Nya .

Golongan belia juga diseru memperkemaskan diri dengan pengetahuan akidah dan syariat yang mantap bagi menghadapi peperangan bentuk baru iaitu serangan pemikiran atau ghazawatulfikri yang disasarkan kepada golongan muda Islam. Dewasa ini terdapat usaha pihak tertentu mempromosikan gejala seks bebas, LGBT dan pemikiran liberal yang menyimpang daripada tuntutan syariat yang sebenar. Terdapat juga yang menjadi mangsa penipuan siber sehingga berjaya diperdaya menjadi keldai dadah lalu menanggung derita merengkok di penjara luar negara. Ada pula yang tertipu dengan cinta seberang sehingga sanggup lari meninggalkan ibu bapa dan negara demi cinta yang belum tentu bahagia.

Sehubungan dengan itu juga kalangan remaja yang bakal menjejakkan kaki ke universiti sempena sesi pendaftaran pelajar baru di Institusi Pendidikan Tinggi Awam (IPTA) di nasihat bersedia dengan sepenuh jiwa, raga dan tenaga untuk memperdalami ilmu dan pengetahuan bukan sekadar berseronok dan berbangga terpilih mendapat tempat di universiti. Ini penting bagi menghadapi suasana kehidupan mendatang yang penuh pancaroba lagi dipenuhi pelbagai serangan pemikiran yang bukan calang-calang individu dapat menewaskannya. Ketinggian ilmu dan peribadi itulah juga bakal menjadi benteng penampan yang ampuh bagi menghadapi serangan bertubi-tubi yang datang daripada setiap penjuru.

Golongan belia yang bakal mewarisi kepimpinan negara turut diharap menggembleng usaha dan tenaga belajar daripada pengalaman kepimpinan sedia ada untuk memperkukuh survival agama, bangsa dan negara ke arah lebih cemerlang di masa mendatang. Usah terpedaya dengan dakyah pihak tertentu yang berkepentingan dan mempergunakan golongan belia untuk mencapai keinginan mereka. Dengan kebijaksanaan ilmu dan pengalaman sedia ada golongan belia sepatutnya bijak memilih antara berlian dan kaca, antara intan dan permata.

Para belia juga diharap bijak menilai potensi diri dan berusaha mencapai kecemerlangan diri dalam apa jua bidang yang diceburi. Bak kata pepatah usaha tangga kejayaan. Malah yang lebih membanggakan apabila ramai kalangan muda-mudi negara berjaya mengharumkan nama negara di persada antarabangsa. Ia sekali gus mampu menangkis tanggapan negatif dan pandangan serong kepada golongan belia. Komuniti mat rempit sebagai contohnya perlu diberi pendedahan signifikan akan minat dan kecenderungan mereka agar tidak hanya menang sorak di kampung sendiri. Malah aktiviti merempit yang dilakukan di jalan raya awam boleh sahaja mengundang padah dan malapetaka kepada diri sendiri dan pengguna jalan raya yang lain.

Dengan kepesatan pembangunan negara dan cita-cita murni untuk menjadi negara maju pada Tahun 2020, sumbangan golongan belia dan muda negara tidak patut dikesampingkan. Di tangan merekalah terletak amanah untuk membina sebuah negara bangsa yang aman damai, maju dan bebas daripada penjajahan bentuk baharu iaitu penjajahan minda dan pemikiran. Justeru itu menjadi tanggungjawab kepada kalangan belia untuk memperkukuh kekuatan dalaman dan luaran guna menempuh cabaran mendatang. Usahlah terlalu galak berfoya-foya dan bersuka ria di saat terdapat generasi muda pewaris negara longlai dan tertewas dek arus pemodenan dan globalisasi yang melanda negara dan dunia secara umumnya. Sebaiknya berusahalah untuk menghampirkan diri kepada Ilahi dengan melakukan kegiatan yang bermanfaat dan diredai supaya beroleh kekuatan bagi mengharungi kehidupan di dunia dan di akhirat nanti.