Monday, January 9, 2017

SYUKURI ANUGERAH ILAHI


Keunikan sepakan percuma Faiz Subri ketika Pulau Pinang menewaskan Pahang 4- 1 telah menobatkan beliau sebagai penerima anugerah berprestij FIFA Puskas 2016 di Zurich mengalahkan dua calon lain iaitu Marlone daripada Brazil dan pemain Venezuala Daniuska Rodriguez. Ternyata anak Malaysia juga mempunyai bakat dan kemahiran yang setanding dengan pemain bola sepak ternama dunia. Ini menunjukkan betapa bakat dan kemahiran yang ada jika dimanfaatkan untuk hal-hal yang positif boleh mengharumkan nama negara di persada dunia. Bak kata pepatah Melayu belakang parangpun kalau diasah lagi kan tajam. Terdahulu Harith Iskander dinobatkan sebagai individu paling lawak di dunia mengalahkan Alex Calleja dari Filipina, Katerina Vrana dari Greece, Mino van Nassau dari India dan David Kilimnick dari Israel dalam pertandingan yang diadakan di Levi, Finland.

Kejayaan demi kejayaan yang diraih oleh anak Malaysia diperingkat antarabangsa selayaknya menjadi inspirasi kepada golongan muda untuk berusaha meningkatkan potensi diri dalam pelbagai bidang yang diceburi. Ia pastinya bermula dengan kesungguhan yang tidak mengenal erti penat lelah selain kesabaran dan pengorbanan yang terpaksa di lalui. Tanpa semua itu yang pipih tak akan datang melayang yang bulat tak akan datang bergolek. Yang lebih penting biarlah apa sahaja aktiviti yang dilakukan tidak melanggar syariat apatah lagi memburukkan nama keluarga dan negara.

Dalam bidang akademik misalnya golongan muda diajak mengambil peluang untuk belajar bersungguh-sungguh dan bukan setakat mengejar pointer tertinggi ataupun profesion yang baik-baik. Lebih daripada itu matlamat belajar seharusnya difokuskan kepada mengenal hakikat Allah SWT sebagai pencipta lagi Maha Mengetahui. Ini kerana semakin tinggi pengetahuan seseorang semakin banyak perkara yang tidak ia ketahui. Dalam hal ini Nabi Muhammad SAW berpesan maksudnya; Barangsiapa yang bertambah ilmu tetapi tidak bertambah hidayah dia semakin jauh daripada petunjuk Allah SWT. (Riwayat Ibnu Hibban).

Dalam masa yang sama muda mudi dinasihat tidak melibatkan diri dengan gejala negatif yang boleh jadi menyusahkan diri sendiri, keluarga dan negara. Ataupun jika ingin menceburi sesuatu bidang biarlah mengikut saluran yang betul agar mendapat latihan dan bimbingan yang sepatutnya. Keinginan remaja untuk melakukan aktiviti lasak dan ekstrim misalnya elok lah bersandarkan ilmu pengetahuan disamping mengambil kira langkah-langkah keselamatan untuk mengelak berlakunya tragedi dan musibah. Malah sukan ekstrim seperti terjunan daripada bangunan tinggi, berbasikal di tanah tinggi ataupun paragliding masih asing bagi remaja di Malaysia. Tidak mustahil jika kemahiran seperti ini diasah lebih ramai rakyat Malaysia mampu mengharumkan nama negara di persada dunia. Selain itu, penyertaan remaja dalam aktiviti lasak dapat meningkatkan keyakinan dan motivasi diri dalam persaingan sihat mencipta kecemerlangan.

Secara tidak langsung golongan muda-mudi boleh memanfaatkan masa muda dengan kerja-kerja yang berfaedah. Jika tidak akibat daripada pergaulan bebas tanpa sempadan angka kelahiran anak luar nikah mungkin semakin bertambah. Malah menyumbang pula kepada jenayah buang bayi yang tidak berdosa. Begitu pula aktiviti melepak dan membuang masa boleh jadi menyumbang kepada aktiviti vandalisme dan tidak sihat yang mengundang masalah kepada masyarakat dan negara.

Begitulah juga dalam kehidupan di dunia fana’ ini, kaum Muslimin perlu terlebih dahulu bersusah payah dan berpenat lelah untuk menanam pelbagai jenis tanaman yang hasilnya di tuai di hari akhirat. Untuk itu apa sahaja kerja yang niat kerana Allah, pelaksanaan menepati syariat dan tidak mengabaikan tanggungjawab ibadah wajib, dinilai sebagai ibadah dan diberi ganjaran pahala di hari kemudian. Malah jika diperhalusi selagi nyawa dikandung badan setiap individu Muslim perlu berusaha untuk meraih reda Ilahi sepanjang masa. Dalam erti kata lain dunia ini ialah ladang akhirat dan setiap hamba bekerja dengan Allah SWT sehingga pencen yakni meninggal dunia. Setelah itu baharulah ditunjukkan kepada mereka akan apa yang telah diusahakan semasa di dunia untuk di balas dengan upah dan ganjaran setimpal.

Allah SWT berfirman ertinya “Maka sesiapa berbuat kebajikan seberat zarrah nescaya akan dilihatnya (dalam suratan amalannya). Dan barangsiapa berbuat kejahatan sebesar zarrah nescaya akan dilihatnya (dalam suratan amalannya)” (Terjemahan Surah al-Zalzalah: 7-8)

Selain daripada itu masyarakat Islam diingatkan supaya tidak membuang dunia dalam mengejar akhirat. Sebagaimana disebutkan dunia ialah ladang akhirat maka mahu atau tidak seseorang terpaksa mengusahakan sesuatu di dunia dalam keadaan tidak melampaui batas mahupun melanggar ketentuan Nya. Malah pelbagai bidang kehidupan di dunia boleh diusahakan untuk beribadah. Kerana syariat Allah SWT tidak hanya terhad kepada aspek ibadah khusus semata-mata.

Jika terlibat dalam aktiviti perniagaan maka berusahalah menjadi peniaga yang jujur, amanah dan tidak mengurangkan timbangan. Malah terdapat nilai kemanusian, ukuhuwah dan persaudaraan berbanding hanya memikirkan tentang keuntungan atau laba yang bakal diraih. Sebagi seorang pekerja di jabatan kerajaan mahupun swasta bertanggungjawab untuk menunaikan tugasan yang ditetapkan selain tidak menipu, menzalimi orang lain dan terlibat rasuah yang juga merugikan negara. Individu Muslim digalak bekerja bersungguh-sungguh meningkatkan ekonomi keluarga dan negara secara kolektif sehingga dapat pula melaksanakan ibadah wajib dengan berzakat dan infak sunat.

Dalam bidang sukan dan beriadah umat Islam sangat digalakkan untuk sentiasa menjaga kesihatan sebagai modal beribadah kepada Nya. Malah disebutkan Orang Mukmin yang kuat lebih baik dan lebih disukai oleh Allah SWT berbanding orang Mukmin yang lemah. Dengan kesihatan yang baik juga hamba Mukmin dapat terus beribadah dengan sempurna, panjang umur dan dapat berusaha untuk meraih segala nikmat kurniaan di dunia sebagai bekalan menuju akhirat.

Seyogianya masyarakat Islam diajak sentiasa bersyukur dengan segala kelebihan dan keistimewaan dianugerahkan Ilahi. Ini dilakukan dengan sentiasa mentaati perintah Allah SWT dan berusaha sedaya upaya menjauhi segenap larangannya. Selain itu segala kepandaian dan kepakaran yang ada hendaklah menjadikan seseorang lebih tawaduk dan tidak meninggi diri kerana akhirnya Yang Maha Tinggi lagi memiliki segala sesuatu di alam buana ini ialah Allah SWT. Malah sifat menyombong diri dan merasa memiliki kehebatan tersendiri tidak layak bagi bagi seorang hamba. Umat Islam diingat supaya selalu mengikut resmi padi semakin berisi semakin tunduk dan menjauhi resmi lalang semakin tinggi semakin tegak berdiri.