Wednesday, September 30, 2015

Muhasabah Ketika Diuji


Setelah melalui pelbagai ujian dan musibah yang silih berganti ketika menunaikan fardu haji baru-baru ini, golongan baharu bergelar haji dan hajah tentunya amat bersyukur apabila menjejakkan kaki ke tanah air. Kegembiraan jelas terpancar di wajah mereka apabila dipertemukan semula dengan kaum keluarga dan sahabat handai dalam keadaan selamat.

Bagi jemaah dan keluarga yang ditimpa musibah dalam tragedi kren tumbang dan rempuhan di Mina usah terlalu berduka dan mendoakan semoga yang terlibat dikurniakan ganjaran syahid dan nikmat Syurga. Ini kerana bukan calang-calang orang terpilih mati dalam husnul khatimah apatah lagi ketika asyik beribadah.

Allah SWT berfirman maksudnya; “Dan janganlah kamu mengatakan (bahawa) siapa yang terbunuh dalam perjuangan membela agama Allah itu, orang-orang mati. Bahkan mereka itu orang yang hidup (dengan keadaan hidup yang istimewa) tetapi kamu tidak dapat menyedarinya”. (Terjemahan Surah al-Baqarah:154)

Di sebalik kegembiraan itu, golongan haji dan hajah selayaknya mensyukuri nikmat dapat menyelesaikan kerja-kerja haji dengan berusaha mempraktikkan segala pengajaran dan pengalaman yang ditimba ketika di Tanah Suci. Keseronokan berulang alik ke Masjidilharam contohnya eloklah diganti dengan sering berjemaah dan menghadiri majlis-majlis ilmu di kariah masing-masing. Kehidupan selama lebih sebulan di bumi Mekah dan Madinah dengan segala aktiviti ibadah siang dan malam selayaknya diteruskan dengan memperbanyak berbuat kebajikan sambil mempererat hubungan silaturahim. 

Segala ujian dan cabaran yang dilalui sebagai tetamu Allah SWT hendaklah dijadikan pedoman dalam mengharungi realiti kehidupan sebenar setelah kembali ke tanah air. Ini kerana proses tarbiyah di Tanah Suci merupakan pelajaran paling berharga khusus buat insan-insan terpilih yang dijemput ke sana.

Selain itu, segala ujian dan dugaan selayaknya diterima dengan reda dan bersangka baik kepada Nya. Ini kerana tidak meningkat tahap keimanan seseorang kecuali setelah diuji oleh Allah SWT. Ingatlah juga betapa Allah SWT menguji hamba-hambanya pada kadar tertentu sesuai tingkatan keimanan masing-masing.

Firman Allah SWT yang bermaksud; “Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar. (Iaitu) orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: “Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali.” Mereka itu ialah orang yang dilimpahi dengan berbagai-bagai kebaikan dari Tuhan mereka serta rahmatNya; dan mereka itulah orang yang dapat petunjuk hidayahNya. (Terjemahan Surah al-Baqarah:155-157).

Manakala bagi yang akan ke Tanah Suci pada musim-musim haji mendatang ambillah iktibar daripada segala kejadian yang berlaku untuk mempersiapkan diri bagi menyelesaikan rukun haji. Usah takut dan bimbang untuk ke sana sebaliknya sentiasa bersangka baik kerana Allah SWT menjanjikan ganjaran berlipat kali ganda dan nikmat Syurga kepada para tetamunya.

Malah masa dan kesempatan yang ada elok digunakan untuk memperbaiki diri, bertaubat dan memohon pertolongannya, mendalami ilmu haji, selain mencukupkan perbelanjaan dengan rezeki yang halal sebelum dijemput ke Tanah Suci. 

Di sisi pandang yang lain, musibah jerebu yang melanda negara jelas menunjukkan sikap tamak dan pentingkan diri sendiri segelintir manusia walaupun orang lain menderita. Akibatnya lagi sekolah-sekolah terpaksa ditutup, kewajipan menuntut ilmu tergendala dan ramai yang menderita pelbagai penyakit disebabkan alahan kepada asap jerebu. Lebih membimbangkan apabila mereka yang terlibat seolah-olah tidak merasa bersalah dan berdosa kerana menyusahkan orang lain.

Dalam hal ini tindakan menghentikan kontrak syarikat yang terlibat dengan tragedi kren runtuh di Masjidilharam serta mengenakan hukuman berat kepada petugas haji di Mina oleh Pemerintah Arab Saudi patut dicontohi bagi mengenakan hukuman yang berat kepada mereka yang mengambil jalan mudah dan murah membakar hutan untuk mengusahakan pertanian.

Lebih daripada itu perubahan cuaca yang tidak menentu, kegawatan ekonomi semasa, masalah moral dan akhlak yang semakin meruncing mengajak masyarakat Islam untuk memuhasabah diri dengan kembali mempraktikkan tuntutan agama dalam kehidupan seharian. Ini kerana ujian dan musibah menjelang tibanya hari kiamat lebih dahsyat lagi mengerikan.