Tuesday, February 12, 2013

Februari Bulan Memupuk Kasih Sayang


BULAN Februari selayaknya dijadikan bulan untuk memupuk nilai kasih sayang kerana ia sinonim dengan sambutan Valentine's Day oleh sesetengah masyarakat di dunia. Malah ini juga dapat mengelak umat Islam daripada terus terikut-ikut dengan budaya songsang menyambut hari tersebut, yang dikatakan ada kaitan dengan ritual agama Kristian. Ia sekali gus dapat mengelak daripada gejala ketirisan akidah yang membelenggu segelintir Muslimin pada masa kini. Oleh itu sebarang penglibatan individu Muslim dalam memperingati hari ini adalah dilarang sama sekali bersandarkan fatwa yang telah dikeluarkan.

Perkara ini dapat dirujuk kepada keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-71 yang bersidang pada 22-24 Nov 2005 yang mana telah membincangkan Hukum Orang Islam Menyambut Perayaan Valentine's Day. Jawatan kuasa fatwa tersebut berpendapat bahawa ajaran Islam sememangnya amat mengutamakan kasih sayang walau bagaimanapun tidak ada hari tertentu di dalam Islam bagi meraikannya.
Muzakarah juga bersetuju memutuskan bahawa amalan merayakan Valentine’s Day tidak pernah dianjurkan oleh Islam. Roh perayaan tersebut mempunyai unsur-unsur Kristian dan amalannya yang bercampur dengan perbuatan maksiat adalah bercanggah dan dilarang dalam Islam.

Sehubungan dengan itu masyarakat Islam diseru lebih memahami konsep kasih sayang sebenar yang digarap oleh syariat Islam. Ini kerana tanpa kefahaman yang jelas tentang kasih sayang banyak perkara buruk boleh berlaku sehingga menghilangkan nilai jati diri umat Islam yang wajib dipelihara dan dipupuk setiap masa.
Jenayah buang bayi yang tiada kesudahan merupakan gambaran betapa nilai kasih sayang seorang ibu terhadap bayi darah dagingnya sendiri sudah sirna sehingga tergamak ditinggalkan sendirian sambil mengharap ada yang akan menyelamatkannya. Malah hari ini ia bukan lagi suatu isu yang menggemparkan dek kerana masyarakat sudah terbiasa dengan paparan media massa berkaitan pembuangan bayi.

Di sudut yang lain terdapat pula segelintir anak yang sanggup membiarkan ibu atau bapa kandungnya berkeliaran sebagai gelandangan jalanan tanpa belaian kasih sayang anak sendiri. Segala pengorbanan masa, tenaga dan wang ringgit yang pernah dicurahkan bagi membesarkan anak-anak sedikit pun tidak dihargai. Akhirnya golongan ini menghabiskan sisa hidup dalam kesedihan tanpa rumah, pakaian yang selesa dan makanan yang mencukupi. Lebih dari itu keinginan mereka untuk mengabdikan diri kepada Ilahi dengan memperbanyak ibadat di penghujung usianya juga tidak kesampaian akibat diabaikan oleh anak-anak yang kemungkinan telah berjaya dalam kehidupannya.

Terdapat pula anak yang menderhaka kepada orang tuanya dengan menghadiahkan sepak terajang dan maki hamun terhadap segala pengorbanan membesarkan mereka tanpa rasa bersalah. Yang mana perlu diketahui betapa perbuatan ini terlalu menyimpang daripada ajaran agama yang memerintahkan anak supaya berbuat baik dan berlaku ihsan kepada ibu bapa terutama ketika mereka menginjak usia tua. Dalam hal ini anak yang saleh juga pasti tidak lupa untuk sentiasa menghadiahkan bacaan al-fatihah kepada kedua orang tuanya yang sudah meninggal dunia sebagai doa anak yang sampai kepada si mati.

Allah SWT berfirman maksud Nya; “Dan Kami telah menasihati manusia supaya berlaku baik kepada kedua-dua orang tuanya ketika mana ibunya telah mengandungkannya dalam keadaan yang teramat berat keperitannya dan (mengarahnya) untuk memutuskan penyusuan setelah (bayi) berumur dua tahun, maka syukurlah kamu kepada-Ku dan seterusnya kepada kedua-dua ibu bapamu dan kepada-Ku kamu akan kembali.” (Surah Luqman, ayat 14) Dalam ayat yang lain Allah SWT berfirman maksudnya: “Janganlah kamu berkata kepada keduanya (ibu bapa) dengan perkataan ‘ah’ dan janganlah pula kamu mengherdik mereka. Bercakaplah kepada mereka dengan perkataan yang mulia.” (Surah al-Isra’, ayat 23)

Nilai kasih sayang dalam masyarakat yang bersifat materialistik dewasa ini juga semakin hari semakin luntur. Suami dan isteri sering bergaduh sesama sendiri, hingga bercerai berai dan anak-anak terbiar tanpa kasih sayang. Antara jiran tetangga juga hilang semangat kejiranan yang bertitik tolak daripada nilai kasih sayang dan saling menghormati hingga ada yang bermasam muka dan langsung tidak bertegur sapa.

Dalam konteks kehidupan bermasyarakat dan bernegara pula nilai persefahaman dan toleransi juga mula pudar. Malah terdapat segelintir yang mengambil kesempatan menangguk di air yang keruh dengan mencampuri urusan agama lain yang tidak diketahui motif sebenarnya. Yang mana jika diteliti masyarakat pelbagai kaum dan agama di Tanah Melayu suatu ketika dahulu hidup harmoni dalam keadaan aman dan damai tanpa mencampuri hal ehwal agama lain.
Ketiadaan nilai kasih sayang dalam kehidupan kini mencapai kemuncaknya apabila haiwan juga turut menerima akibatnya. Ini dapat diperhatikan kepada sekumpulan 13 ekor gajah Pigmy di Borneo yang mati bergelimpangan akibat keracunan. Apa pun alasannya manusia sepatutnya lebih bertoleransi dengan alam sekeliling agar semua makhluk dapat hidup harmoni dan saling melengkapi antara satu sama lain.

Justeru itu nilai kasih sayang perlu dipupuk dan dibaja setiap hari. Boleh jadi ketibaan Bulan Februari setiap tahun boleh dijadikan asas untuk memperbaharui dan menterjemahkan kasih sayang dalam erti kata yang sebenar. Eloklah juga kiranya jika seluruh anggota masyarakat mengambil kesempatan terbaik sempena cuti Sambutan Tahun Baru Cina yang masih meriah disambut di sana sini, untuk memupuk nilai kasih sayang antara seluruh anggota keluarga, jiran tetangga dan masyarakat umumnya. Budaya baik saling menziarahi antara kerabat dan sanak saudara hendaklah diteruskan terutama oleh generasi muda supaya nilai kasih sayang sebenar dapat difahami dengan sempurna. Kesempatan cuti ini juga boleh diisi dengan berkunjung dan menzairahi ibu bapa di kampung yang pastinya merindui kepulangan anak dan cucu-cicit.

Malah dalam rangka memperingati sirah perjuangan Baginda Nabi Muhammad SAW masyarakat Islam secara umumnya diseru untuk mencintai dan mengenali dengan lebih mendalam akan peribadi dan akhlak insan agung ini sebagai pedoman untuk melalui liku liku kehidupan yang penuh pancaroba. Yang mana perkara ini juga terkandung dalam sabdanya yang bermaksud; “Tidak sempurna iman seseorang kamu sehinggalah aku menjadi orang yang paling dia cintai melebihi ibu bapanya, anaknya, dan seluruh manusia yang lainnya”. (Riwayat al-Bukhari)