Wednesday, August 29, 2012

FORMULA KEKALKAN KEMERDEKAAN NEGARA


Artikel ini telah disiarkan dalam AKhbar Berita Harian pada 31 Ogos 2012 dan Akhbar Utusan Malaysia pada 6 Sept. 2012.

KEMERIAHAN Syawal masih lagi terasa. Namun begitu seluruh masyarakat diseru tidak lupa betapa nikmat kemerdekaan yang di kecapi hari inilah yang membolehkan kita melakukan segala-galanya termasuklah bebas berhari raya ke sana ke mari dalam suasana muhibah semangat 1 Malaysia. Sementara itu, amalan rumah terbuka yang meriah dilakukan di merata tempat turut dikongsi bersama oleh masyarakat majmuk yang berkongsi budaya sungguhpun berlatarbelakangkan kepercayaan yang berbeza. Nikmat kemerdekaan dan kebebasan ini hendaklah dipelihara agar ia berkekalan sepanjang masa hingga ke akhir zaman. Sehubungan dengan itu juga beberapa formula untuk mengekalkan nikmat kemerdekaan negara perlu dilestarikan bagi keharmonian hidup bersama; antaranya;

Merdekakan diri daripada puing penjajahan
Era penjajahan di Tanah Melayu sudah lama berkubur, namun begitu puing-puing penjajahan budaya dan pemikiran yang membelenggu masyarakat kelihatan sukar untuk dikikis. Akibatnya satu demi satu nilai jati diri Melayu secara khususnya tidak lagi mendapat tempat di hati segelintir masyarakat. Pemakaian baju Melayu, bersongkok dan bersamping sebagai contohnya mula dilupakan terutama ketika menyambut hari raya. Begitu pula terdapat di kalangan generasi muda yang lebih gemar memperagakan pelbagai fesyen terkini berbanding baju kurung yang melambangkan kesopanan dan nilai Nusantara. Malah ada yang lebih selesa mengenakan fesyen pakaian yang menjolok mata dan keterlaluan demi ikutan nafsu sendiri.

Corak pemikiran yang tidak berteraskan nilai-nilai ketimuran juga mula dipraktikkan. Akibatnya gejala seks songsang seperti gay dan lesbian menarik perhatian golongan yang menyimpang daripada ajaran agama suci. Kelab-kelab hiburan yang mempromosikan amalan seks songsang tumbuh bagai cendawan selepas hujan. Muda-mudi Islam tanpa segan silu memuat naik perlakuan jijik mereka di laman sosial sehingga seluruh dunia menyaksikan betapa kita masih dijajah walaupun setelah 55 tahun merdeka. Justeru apa erti kemerdekaan jika hakikatnya masyarakat masih terjajah tanpa disedari.

Meraikan hak kebebasan beragama
Nikmat kebebasan beragama yang sebati dengan masyarakat Malaysia juga hendaklah terus dipupuk dan dipelihara. Malah nilai yang dikongsi bersama ini merupakan teras keharmonian dan kesejahteraan negara yang telah dinikmati sejak zaman berzaman. Oleh itu sebarang anasir jahat yang cuba diseludup masuk ke negara ini seperti usaha buruk menyebarkan ajaran menyeleweng kepada golongan gelandangan dan umat Islam yang dalam kesempitan hendaklah ditentang habis-habisan. Begitu pula usaha pihak tertentu sama ada dari dalam mahupun luar yang ingin mencetuskan huru-hara dengan gerakan memurtadkan orang Islam secara terancang eloklah dihentikan bagi mengelak perbalahan agama yang merugikan semua.

Ini kerana berteraskan kepada Perlembagaan Negara, Agama Islam merupakan agama rasmi negara yang telah dipersetujui oleh semua kaum sejak negara mencapai kemerdekaan. Sungguhpun begitu agama-agama lain bebas dianuti dan diamalkan oleh penganutnya, sehingga tiada sekatan untuk membina rumah ibadat secara sah dan melaksanakan ritual agama masing-masing. Walau bagaimanapun kebebasan ini tertakluk kepada larangan untuk mempengaruhi dan menyebarkan agama lain kepada umat Islam.

Malah uniknya lagi perayaan kaum yang berlatar belakangkan agama berbeza juga turut diraikan bersama oleh seluruh masyarakat Malaysia. Justeru diingatkan agar tiada pihak yang cuba menangguk di air yang keruh dalam situasi yang aman harmoni ini. Oleh itu, fahaman menyimpang seperti fanatisme, cauvanisme dan taksub yang melampau eloklah dijauhi dan dihindari. Jika tidak nikmat keamanan sedia ada serta impak negatif perbalahan etnik dan agama seperti yang berlaku di Rohingya pada ketika ini boleh sahaja menular ke sini dan pasti tiada sesiapa menghendakinya.

Menerima kelebihan dan kekurangan yang ada
Sebagai makhluk yang dicipta tiada sesiapapun yang sempurna. Sudah pasti setiap insan punya kelemahan dan kelebihan masing-masing. Justeru itu jadikan kekurangan sebagai mekanisme untuk memperbaiki diri dan kelebihan dikongsi bersama agar manfaatnya melata dan dapat dirasai oleh semua. Selain itu sikap buruk saling mengeji dan memburuk-burukkan orang lain tidak wajar dipraktikkan. Begitu juga sikap dengki dan sering berpandangan serong termasuk penyakit dalaman yang memudaratkan.
Sebaliknya nikmat kemerdekaan hendaklah dikongsi bersama dengan semua pihak berusaha untuk mengamalkan nilai-nilai positif seperti toleransi dan saling menghormati antara satu dan lain. Perselisihan dan ketidakpuashatian terhadap sesuatu perkara hendaklah di salurkan kepada pihak bertanggungjawab supaya penyelesaian yang komprehensif dapat diusahakan.

Amalan kongsi raya dan rumah terbuka merupakan medan terbaik untuk memupuk kesejahteraan dan keharmonian hidup bersama. Nilai yang positif seperti ini molek diteruskan dari semasa ke semasa kerana ia berupaya mengeratkan hubungan etnik masyarakat pelbagai kaum sehingga sehingga semua pihak bersedia untuk menerima kelebihan dan kekurangan yang ada dan saling bantu membantu memajukan negara.

Jadikan perjuangan terdahulu inspirasi kejayaan
Umum mengetahui betapa susah payah tokoh pejuang kemerdekaan terdahulu berusaha membebaskan negara daripada belenggu penjajahan. Segala pengorbanan yang ditempuhi mereka demi keamanan hidup generasi hari ini hendaklah dijadikan sumber inspirasi bagi membina negara bangsa yang berjaya dan disegani di mata dunia.

Untuk itu, semua individu yang cinta kepada negara haruslah berjuang meningkatkan pencapaian diri dalam apa jua bidang yang diceburi hingga akhirnya manfaat dan kebaikannya akan dirasai bersama. Golongan muda diseru memanfaatkan masa muda dengan berjuang mati-matian untuk mendalami ilmu dan pengetahuan, supaya akan lahir lebih ramai cendekiawan Malaysia yang boleh dibanggakan satu hari nanti. Kalangan pekerja sama ada di sektor awam mahupun swasta selayaknya bekerja dengan penuh dedikasi tanpa dicemari oleh unsur-unsur negatif seperti rasuah, curi tulang dan mengamalkan karenah birokrasi melampau yang boleh jadi menyusahkan urusan orang lain.

Akhirnya perpaduan dan kesatuan masyarakat untuk mempertahankan nikmat kemerdekaan ini merupakan formula terbaik untuk mengekalkan keharmonian dan kemerdekaan negara. Apa guna berbagai-bagai slogan dan pandangan diutarakan jika masyarakat berpecah belah dan tidak bersatu hati. Malah situasi seperti ini dibimbangkan akan membuka jalan dan ruang kepada pihak tertentu yang cuba untuk meniupkan api perkauman hingga marak menyala dan sukar untuk dipadamkan. Umum mengetahui perselisihan dan pandangan berbeza dalam sesuatu perkara akan tetap berlaku di mana-mana namun begitu biarlah ia berteraskan kepentingan dan kemaslahatan hidup bersama bukan atas kepentingan kendiri. Malah perbezaan pendapat tidak sepatutnya menjadi jurang perbezaan yang merugikan tetapi lebih manis jika ia dijadikan mekanisme untuk maju jauh ke hadapan.

Wednesday, August 8, 2012

LAILATULQADAR ANUGERAH TAHUNAN TERISTIMEWA

Artikel ini telah disiarkan dalam ruangan rencana akhbar Utusan Malaysia bertarikh 11/8/2012.

RAMADAN kini telah pun memasuki fasa yang terakhir. Di sana-sini kelihatan ramai yang sibuk membuat persiapan menjelang hari lebaran terutama sebelum pulang ke kampung halaman sempena cuti panjang Hari Raya Aidilfitri. Aliran trafik di sekitar pusat membeli-belah dan bazaar hari raya juga sesak teruk lebih-lebih lagi pada hujung minggu dengan bilangan pengunjung yang luar biasa. Suasana Aidilfitri semakin dihangatkan lagi dengan nyanyian lagu raya yang berkumandang siang malam di corong-corong radio dan pusat tumpuan ramai.

Namun begitu masyarakat Islam diseru tidak terlalu ghairah menanti ketibaan hari raya kerana masih ada ganjaran besar dan tidak ternilai disediakan buat Muslimin di penghujung Ramadan. Malah inilah masanya untuk semua berjuang habis-habisan bagi memperoleh ganjaran beribadah yang lebih baik daripada 1000 bulan dan hanya terdapat pada malam kemuliaan lailatulqadar. Peluang yang datang setahun sekali ini perlu direbut dengan bersungguh-sungguh kerana kalaupun seseorang ditakdirkan hidup sehingga usia menjankau 83 tahun, belum tentu sepanjang tempoh tersebut berjaya dipenuhi semuanya dengan beribadah.

Justeru Baginda Nabi Muhammad SAW diriwayatkan banyak berjaga malam dan mengikat kainnya pada 10 yang akhir Ramadan bagi menjejaki lailatulqadar. Baginda turut mengejutkan ahli keluarganya supaya bersama-sama beribadah pada malam tersebut. Aisyah ra. berkata; “Rasulullah SAW apabila masuk malam 10 terakhir Ramadan,baginda menghidupkan malam, mengejutkan keluarganya, bersungguh-sungguh dan uzlah daripada isteri-isterinya”. (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Sungguhpun begitu ia tidak semudah seperti yang disangka malah hanya segelintir yang ikhlas, benar akidahnya dan berada pada landasan syariat yang betul berpeluang menemui lailatulqadar. Lebih daripada itu lailatulqadar kekal menjadi rahsia mutlak Allah SWT agar supaya umat Islam berusaha untuk mengabdikan diri kepadanya sepanjang masa. Malah pengorbanan kurang tidur, banyak beri’tikaf di masjid, qiamullail dan melakukan amal-amal kebajikan yang lain pasti akan dibalas dengan kurniaan yang setimpal.

Selain daripada itu pada malam lailatulqadar Allah SWT akan mengampunkan dosa sesiapa yang bertaubat dan memohon keampunannya. Allah SWT juga berkenan untuk menerima segala doa yang dihadapkan kepadanya. Para malaikat Allah SWT yang diketuai oleh Malaikat Jibril as. juga turun ke bumi mencurahkan rahmat Allah SWT sambil mendoakan kesejahteraan dan keampunan buat pencari lailatulqadar. Kesemua daripada nikmat yang begitu hebat ini pasti tidak akan datang bergolek begitu sahaja. Ia perlu disertai dengan usaha bersungguh-sungguh sambil memohon supaya terpilih menikmatinya.

Nabi Muhammad SAW bersabda maksudnya: "Barang siapa menghidupkan malam lailatulqadar dengan penuh keimanan dan mengharapkan rahmat Allah Taala nescaya akan diampunkan dosanya yang terdahulu”. (Riwayat Bukhariy dan Muslim)

Pada malam itu juga terdapat tanda kebesaran Allah Taala seperti terbuka hijab pandangan mata lalu seseorang berpeluang melihat keajaiban langit. Ia sekali gus menunjukkan kekuasaan dan keagungan Nya sebagai Tuhan Pencipta sekalian alam. Pada malam itu juga para malaikat turun memenuhi bumi ini. Dan Malaikat turun bersama-sama turunnya berkat dan rahmat Allah yang dikhaskan untuk malam itu.

Menurut al-Imam al-Hafiz Ibn Kathir pada malam lailatulqadar juga akan ditetapkan rezeki dan ajal manusia tanpa sebarang pindaan lagi. Firman Allah SWT yang bermaksud “(Kami menurunkan Al-Quran pada malam yang tersebut, kerana) pada malam yang berkat itu, dijelaskan (kepada malaikat) tiap-tiap perkara yang mengandungi hikmat serta tetap berlaku, (tidak berubah atau bertukar).”(Surah al-Dukhan: 4) Tidak keterlaluan jika dikatakan malam tersebut adalah malam penentu kebahagiaan hidup di dunia mahupun di hari akhirat.

Bagi memudahkan pencarian malam tersebut ada beberapa panduan yang boleh diikuti. Imam al-Syafie misalnya menyatakan ia berlaku pada malam yang ke-21 ataupun malam ke-23 Ramadan. Manakala Imam al-Ghazali menentukannya berdasarkan tarikh awal Ramadan yang mana pada tahun ini jatuhnya pada hari Sabtu maka dijangka lailatulqadar berlaku pada malam ke-23 Ramadan. Baginda Nabi Muhammad SAW pula menyarankan supaya ia dicari pada malam 10 yang akhir dan dikuatkan lagi dengan malam-malam yang ganjil.

Ada pula dikalangan para ulama' mengatakan bahawa malam tersebut berlaku pada 27 Ramadan. Menurut Abu Ka'ab katanya, "Demi Allah sesungguhnya ibn Mas'ud telah meyakinkan bahawa malam LailatulQadar terjadi pada bulan Ramadan manakala lailatul-Qadar pula berlaku pada malam ke-27, akan tetapi dia enggan memberitahu kepada kami (malam yang tepat) kerana bimbang kamu tidak lagi berusaha mencarinya." Riwayat ini disokong oleh pendapat Ibn Abbas yang mengatakan bahawa surah Al-Qadr mempunyai 30 perkataan. Perkataan yang ke-27 bagi surah itu terjatuh kepada dhamir(hia) yang kembalinya kepada lailatulqadar.

Lalu apakah amalan yang perlu dilakukan pada malam itu. Secara umumnya tiada ibadah khusus yang ditetapkan. Amalan masyarakat setempat yang menghidupkan malam dengan mengerjakan solat sunat tahajud, solat sunat tasbih, solat sunat taubat, solat sunat hajat dilihat molek untuk dipraktikkan. Malam tersebut juga boleh diisi dengan bertadarus al-Quran dan berdoa sambil memohon keampunan daripada segala dosa silam.

Diriwayatkan bahawa Saidatina Aishah r.a. pernah bertanya kepada Rasulullah SAW akan doa yang perlu dibaca jika bertemu lailatulqadar. Baginda Nabi SAW bersabda “Berdoalah dengan doa yang bermaksud "Wahai Tuhan ku sesungguhnya engkau Maha Pengampun dan suka memberi pengampunan maka ampunkanlah kami wahai tuhan yang Maha Pemurah”. (Riwayat Ahmad)

Adapun tanda-tandanya sebagaimana yang turut disebutkan dalam Tafsir Ibn Kathir ialah; suasana pada malam itu cerah seperti disinari cahaya bulan, suhunya pula sederhana tidak terlalu panas mahupun sejuk. Pada keesokan harinya matahari terbit umpama bulan, kemerah-merahan tanpa sinaran cahaya yang memeritkan.

Apapun yang lebih penting ialah bagaimana para Mukminin sanggup berkorban masa, tenaga dan wang ringgit untuk mengabdikan diri kepada Allah SWT sepanjang Ramadan. Ini kerana tanda-tanda tersebut boleh jadi tidak nyata ataupun hanya dilihat oleh kalangan Nabi dan Rasul ataupun golongan wali Allah yang terpilih. Malah di situlah letaknya hikmah di sebalik kerahsiaan malam lailatulqadar yang merupakan anugerah agung buat Mukmin sejati.