Saturday, August 27, 2011

Kesilapan di hari lebaran

Suasana riang dan gembira jelas terpancar di wajah umat Islam di seluruh tanahair dengan ketibaan hari lebaran. Pastinya kanak-kanak antara yang paling ceria berhari raya ke sana dan kemari dengan pakaian serba baharu, sambil berpeluang mengumpul duit raya. Kesempatan cuti panjang sempena hari raya juga menjadikan kampung halaman riuh rendah dengan hilai tawa perantau yang pulang beraya ke kampung. Namun begitu disebalik kemeriahan sambutan Hari Raya Aidilftri yang diraikan setahun sekali terdapat beberapa kesilapan yang dilakukan oleh umat Islam yang tidak bertepatan dengan kemenangan menyambut hari lebaran.

Mana tidaknya kawasan tanah perkuburan yang sunyi sepi tiba-tiba bertukar wajah seakan menjadi tapak pesta di pagi 1 syawal. Ada pula yang mengambil kesempatan berniaga dengan menjual bunga-bungaan dan air mawar kepada pengunjung yang datang. Ia adat kebiasaan yang dilakukan saban tahun apabila tiba pagi Syawal yang sememangnya sukar untuk dihentikan. Mungkin kerana jarang-jarang pulang ke kampung peluang ini dimanfaatkan untuk menziarahi pusara orang tersayang, walaupun ia secara umumnya tidak sesuai dengan situasi dimana semua sedang bergembira.

Ini diburukkan lagi dengan sikap pengunjung yang tidak menjaga adab seperti tidak memberi salam ketika masuk ke kawasan perkuburan, bercakap perkara yang tidak sopan, tidak menutup aurat malah terlibat pula melakukan perkara-perkara khurafat. Adalah lebih molek jika pagi 1 Syawal diganti dengan menziarahi orang yang masih hidup seperti orang tua dan kaum kerabat sambil bersalaman dan memohon kemaafan atas segala salah silap. Atau sekiranya ingin juga berziarah ke pusara berkunjunglah pada hari-hari yang lain seperti di akhir Ramadan dan bukannya pagi 1 Syawal yang sayogianya di raikan dengan penuh kesyukuran dan kegembiraan.

Terdapat pula segelintir masyarakat Islam yang seakan begitu teruja sekali untuk menunaikan solat sunat hari raya sedangkan solat fardu terabai dek kerana seronoknya berhari raya. Ada pula yang tanpa rasa malu tidak penuh berpuasa di bulan Ramadan tetapi hadir bersolat hari raya. Mungkin kerana telah berhabis shopping baju raya dan seronok untuk bergaya segalanya diketepikan. Termasuk kesilapan dan dosa yang lebih besar apabila terdapat segelintir orang Islam yang langsung tidak peduli untuk solat tidak kira solat fardu mahupun solat sunat. Justeru itu betulkan niat berpakaian baharu di bulan Syawal bukan untuk membangga diri mahupun menunjuk-nunjuk tetapi elok dijuruskan kepada pengabdian diri kepada Allah Yang Maha Esa.

Perlu juga diingatkan betapa ketibaan 1 Syawal bukan masa untuk mengqaqa dosa dan maksiat yang berhenti dilakukan sebulan yang lalu. Apalah ertinya melalui proses tarbiyah Ilahiyah di bulan Ramadan selama sebulan kemudian dirosakkan dalam masa tak sampai satu hari. Jika itu berlaku boleh jadi ia petanda betapa ramai orang yang berpuasa tetapi mereka tidak memperoleh apa-apa kecuali rasa lapar dan dahaga sebagaimana yang pernah dinyatakan oleh Nabi Muhammad SAW dalam hadisnya. Malah ganjaran takwa kurnia Allah kepada hambaNya yang berjaya menempuh jihad Ramadan juga jauh panggang dari api.

Ini kerana ramai yang menyambut hari raya tanpa mempedulikan cara berpakaian yang menutup aurat. Ada pula dikalangan muda-mudi yang berhari raya dipanggung wayang yang kemungkinan terlibat pula melakukan dosa dan noda yang terkutuk. Malah ada pula yang mengambil kesempatan memadu kasih di kawasan tumpuan awam tanpa sekelumit rasa bersalah.

Ketibaan Syawal juga bukanlah masa untuk makan sebanyak-banyaknya. Ini kerana enjin penghadaman yang baru memulakan tugas setelah bercuti hampir sebulan tidak memproses makanan di siang hari dikhuatiri terperanjat dengan lambakan makanan yang dimakan terutama yang berempah dan pedas-pedas. Akibatnya ramai yang merana sakit perut mahupun cirit-birit di saat orang lain bergembira. Golongan perokok juga dinasihat tidak begitu teruja membalas dendam dengan menghisap berkotak-kotak rokok di hari lebaran kerana bakal mengundang padah kepada diri sendiri.

Adalah lebih baik jika golongan ini berusaha untuk berhenti merokok dan memulakan Syawal dengan nafas yang baru. Perkara ini juga adalah selari dengan ajaran syariat yang mengajak umatnya untuk tidak membazirkan rezeki kurniaan Tuhan kepada perkara yang memudaratkan.

Ketibaan hari lebaran sebaiknya dimanfaatkan pula dengan amalan kunjung mengunjung bagi mempererat hubungan silaturrahim antara sanak saudara dan kaum kerabat. Oleh itu para ibubapa disaran tidak membiarkan anak-anak asyik menonton televisyen dengan pelbagai rancangan menarik yang ditayangkan sempena hari raya. Golongan muda hendaklah dibiasakan dengan amalan mulia ini kerana suatu hari nanti merekalah yang akan mewarisinya. Bawalah mereka berkenalan dengan saudara-mara dan jiran tetangga. Malah inilah kesempatan terbaik untuk bermaafan dan menghentikan persengkatan yang berlaku jika ada. Seperti kata pepatah buang yang keruh ambil yang jernih.

Disudut yang lain keengganan sesetengah masyarakat menerima kunjungan tetamu termasuk kanak-kanak untuk berhari raya adalah juga kesilapan di hari baik bulan baik ini. Mungkin kerana tidak mahu rumah berkecah dan malas melayan tetamu mereka dilayan dipintu pagar sambil menghulurkan sampul duit raya. Sungguhpun begitu itu umat Islam diingat supaya prihatin dengan waktu berziarah.

Perbuatan berziarah tanpa ikut masa termasuk ketika ketika waktu tengahari ataupun lewat malam adalah bersalahan dengan ajaran syariat. Menurut adabnya lagi tetamu yang datang hendaklah terlebih dahulu memberi salam sebanyak 3 kali jika tiada yang mempersilakan masuk maka eloklah beredar kerana boleh jadi tuan rumah tidak bersedia menerima tetamu. Usahlah juga terlalu lama berziarah kerana berkemungkinan tuan rumah ada urusan dan keperluan lain yang hendak diuruskan.

Disamping itu umat Islam diminta sentiasa bersabar dan berhemah ketika dijalanraya. Jangan rosakkan kegembiraan hari raya dengan kesedihan pemergian orang yang tersayang akibat kecuaian dan kesalahan sendiri.

Akhirnya Syawal yang tiba wajib disambut dengan amalan berteraskan syariat, jauh daripada perlakuan dosa dan maksiat yang terlarang. Apatah lagi ketika ini, syaitan baharu sahaja bebas daripada dibelenggu. Tentunya ia kesempatan untuk kembali aktif, menggangu individu lemah iman dan gagal melalui Ramadan dengan cemerlang. Kegembiraan bertemu Syawal hendaklah disyukuri dengan berusaha untuk segera mempraktikkan pendidikan Ramadan agar berjaya mengharungi liku-liku hidup yang penuh pancaroba.

No comments:

Post a Comment